Isnin, 6 Februari 2012

CATATAN JAULAH KE ASWAN

Majlis sambutan MaulidurRasul di wilayah Aswan terdapat sedikit kelainan pada tahun ini. Pertama, ia kali pertama berlaku selepas revolusi 25 Januari. Maka, kumpulan Tasawuf dan Tariqat di Mesir ini turut merasai angin perubahan.

Pemergian saya ke Aswan tahun ini seperti tahun-tahun sebelum ini kecuali tahun lepas 2011 kerana suasana pada masa itu tidak membenarkan. Untuk tahun ini adalah kali yang kelima saya menjejakkan kaki ke bumi Aswan sejak tahun 2007 dan ia sudah menjadi acara tahunan saya pada cuti syita' ini.

Perbezaan lagi tahun ini kerana perjalanan saya bersama-sama kawan lain dengan tiga buah bas yang tentu agak memenatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan kereta api. Perjalanan dengan kereta api ke Aswan lebih selesa yang hanya mengambil masa 14 jam berbanding bas yang hampir-hampir 17 jam!

Perbezaan juga kerana pada program yang bermula 1 Februari lalu adalah kerana majlis perasmian dan pembukaan masjid baru di Kampung Tunab, kampung halaman Syeikh Ashraf. Seharian majlis di kampung beliau.

Perbezaan juga berlaku tahun ini apabila syeikh kami, Sayidi Muhammad Soleh Jaafari yang tiba menaiki kapal terbang yang ditemani oleh Syeikh Ashraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Aswan tiba-tiba diserang sakit jantung. Tapi, Alhamdulillah, beliau hanya ditahan dalam wad satu malam dan dapat menyertai majlis sambutan MaulidurRasul di Masjid Syeikh Soleh Jaafari di bandar Aswan pada Khamis, 2 Februari.

Sesuatu yang menarik berlaku pada malam sambutan tersebut. Pengerusi majlis yang berucap sebaik sahaja selesai solat Isyak mengumumkan kedatangan Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) wilayah Aswan, Ustaz Muhammad Abdul Fattah. Untuk rekod, dalam Pilihanraya Dewan Rakyat bagi wilayah Aswan baru-baru ini, FJP hanya memperolehi satu kerusi daripada 6 kerusi. Baki lagi diperolehi Parti Nur, Bina' wa Tanmiyah dan Wasat selain seorang calon Bebas. Seorang wakil FJP itu menang melalui calon SENARAI iaitu Syahat Abdullah Umar yang mengetuai calon SENARAI FJP Aswan. Akhbar rasmi Ikhwan Muslimin, Huriyyah wal Adalah juga sukar diperolehi di bandar Aswan. Mungkin usaha FJP wilayah tersebut memberikan penerangan di wilayah tersebut perlu ditingkatkan.
Sayyidi Husin (kiri) di dalam majlis Maulid di Aswan bersama-sama kekandanya, Sayyidi Muhammad Soleh (kanan)

Berbalik kepada cerita yang berlaku di dalam majlis maulidurRasul tadi. Saya dan kawan-kawan agak terkejut, betulkah ia parti FJP? Pengerusi kemudian mengumumkan:
"Tariqat Jaafariyah serta Sayyidi Husain Al-Jaafari mengalu-alukan kedatangan Ustaz Muhammad Abdul Fatah, ketua FJP Aswan ke majlis kita pada malam ini..."

Sayyidi Husin yang merupakan adik kepada Sayyidi Muhammad Soleh (kedua-duanya adalah putera bagi Syeikh Abdul Ghani Jaafari, Syeikh Tariqat Jaafari ketika ini) menggantikan tempat abangnya kerana masih menerima rawatan di hospital menjemput Muhammad Abdul Fatah untuk bersalam dengannya. Sambil bersalam, Ustaz Muhammad telah mencium kepala Sayyidi Husin dan berlaku perbualan mesra antara kedua-dua mereka.

Selesai Ustaz Muhammad mengambil tempat duduk di barisan tetamu jemputan, Sayyidi Husin menggapai mikrofon di sebelah dan berucap.

"Saya amat mengalu-alukan kedatangan Ustaz Muhammad Abdul Fattah..Semoga ALLAH memelihara Ikhwan..." seraya beliau memandang kepada Ustaz Muhammad dan hadirin semua ketawa.

Sambung Sayyidi Husin "Syeikh kami (Syeikh Soleh Jaafari) menamakan saudara-saudara kami dalam tariqat sebagai Ikhwan..Tapi saya tidak pasti siapa yang mula-mula menggunakan kalimah Ikhwan, kami atau kalian?" yang ditujukan kepada gerakan Ikhwan Muslimin.

Paling mengejutkan hadirin, Sayidi Husin menyebut nama pengasas Ikhwan Muslimin, Imam Hasan Al-Banna dengan mendoakan semoga ALLAH meredhainya. "Saudara-saudara semua, Imam Hasan Al-Banna-radhiyallahu 'anhu- juga ada tariqat"..

Bagi saya, semua pihak tidak mempunyai sebarang masalah dengan Ikhwan Muslimin jika tidak dihalang oleh kerajaan sebelum ini. Tindakan kerajaan melabelkan Ikhwan Muslimin sebagai gerakan "haram" amat menakutkan rakyat. Tiada siapa yang boleh mendekati gerakan ini kecuali akan dikenakan dengan pelbagai tindakan.

Oleh kerana itu, seorang bekas Perdana Menteri Mesir sebelum ini, Dr.Aziz Sidqi telah menyuarakan rasa kekesalan terhadap sikap kerajaan terhadap Ikhwan Muslimin. Dr.Aziz Sidqi menjawat jawatan tersebut pada pemerintahan Anwar Sadat dan menghembus nafas terakhir pada 25 Januari 2008, dua tahun sebelum berlaku Revolusi 25 Januari. Kata beliau, "Kami memohon maaf kepada rakyat Mesir kerana kami menghalang mereka dari menikmati usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dalam tempoh yang panjang."

Jika kerajaan tidak menghalang usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin sejak 80 tahun lalu, sudah tentu rakyat Mesir tidak akan mundur seperti hari ini, sekalipun kemajuan dan pembangunan tidak dilakukan oleh kerajaan Mesir. Ia sudah memadai dengan "kerajaan" Ikhwan Muslimin yang mempunyai pelbagai kemudahan dan pimpinan yang berwibawa. Tetapi malangnya, bukan setakat usaha dan perancangan baik Ikhwan Muslimin yang dihalang, bahkan gerakan tersebut telah diharamkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan