Rabu, 1 September 2010

SYEIKH ASHRAF BERANGKAT PULANG KE MESIR,10 HARI DI MALAYSIA

Syeikh Ashraf telah berlepas pulang ke Mesir jam 9.20 malam dengan penerbangan MAS dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, Selasa 31 Ogos. Ramai tetamu dan anak-anak murid beliau berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim bagi mengucapkan selamat jalan kepada tetamu ini. Turut serta Ustaz Zakaria Othman, mantan pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir yang kini berkhidmat di Kolej Universiti Insaniah.

Syeikh Ashraf tiba di Malaysia tanggal 21 Ogos lalu dalam lawatan ziarah ke negara ini selama 10 hari. Sepanjang berada di Malaysia, beliau mengunjungi negeri Selangor (sehari), Negeri Sembilan (3 malam), Kelantan (3 malam), Perlis (1 malam) dan Kedah (3 malam) selain melawat Kuala Lumpur, Putrajaya dan memenuhi jemputan di Terengganu. Jadual program Syeikh yang begitu padat bermula dari hari pertama hingga 3 hari terakhir, sebelum beliau banyak direhatkan di negeri Kedah.

Pihak saya dan teman-teman yang mengatur perjalanan Syeikh ke Malaysia, mewakili Syeikh Ashraf mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini walaupun pada awalnya saya secara peribadi kurang yakin untuk mengendalikan program Syeikh ini. Berkat kesungguhan dan perbincangan yang diadakan hampir tiap-tiap malam bersama teman-teman, akhirnya jadual perjalanan Syeikh dapat diatur dengan licin dan baik.

Saya tidak akan menyebut secara khusus nama-nama mereka yang terlibat memberikan kerjasama kerana mereka terlalu ramai dan saya khuatir akan ada nama yang tercicir. Saya bersyukur kepada ALLAH kerana Dia memberikan kemudahan kepada saya dan rakan-rakan lain.

Mohon maaf kepada semua pihak jika di sana ada kekurangan dan saya mohon kemaafan kepada teman-teman yang antara mereka tentu kecewa kerana permintaan mereka kepada Syeikh tidak dapat ditunaikan termasuk memenuhi beberapa jemputan di negeri-negeri lain. Kata Syeikh Ashraf, ini hanya permulaan kepada lawatan beliau dan beliau berjanji, dengan izin ALLAH akan kembali menziarahi Malaysia pada masa akan datang. Mungkin akan datang, Sayyidi Muhammad Soleh, anak kepada guru beliau akan turut serta.

Juga saya memohon maaf secara khusus kepada teman-teman dari Singapura yang meminta saya menyusunkan jadual Syeikh ke negara tersebut tetapi oleh sebab Syeikh terikat dengan cuti yang terhad (berkhidmat dengan kerajaan di bawah Kementerian Wakaf), maka beliau menangguhkan hasrat mengunjungi Singapura ke satu tempoh terdekat yang akan ditentukan kelak.

Semoga ALLAH membalas jasa dan budi baik kalian dan dijadikan amal soleh bagi memberatkan neraca timbangan kita di akhirat kelak.

Bermula dari pagi tadi (Rabu, 1 Ogos), saya dan teman-teman yang mengiringi Syeikh lain telah beransur-ansur pulang ke negeri masing-masing setelah keberangkatan pulag Syeikh malam tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan