Selasa, 18 Mei 2010

"ILAHI YA ILAHI, WA HAZAL FAIDUL SYA'ARAWI" BERGEMA DI MAKAM SYEIKH SYA'RAWI


Tanggal 17 Mei lalu, saya bersama-sama teman lain telah menyertai jaulah makam sekitar muhafazah Mansurah dan kemudian ke Dumyat. Destinasi di Mansurah ialah makam seorang pendakwah Islam yang amat masyhur di Mesir bahkan di dunia ini iaitu Syeikh Muhammad Mutawali Syaarawi. Makam beliau terletak di dalam kompleks yang diasaskannya yang terletak di Kampung Daqawus dalam markaz Mit Ghamr, wilayah Mansurah. Beliau cukup terkenal dengan ketegasan dan keberanian dalam menyampaikan dakwah Islam sewaktu hayatnya. Dilahirkan pada 15 April 1911 dan meninggal dunia pada 17 Jun 1998 ketika berusia 87 tahun.

Ketika kami tiba di makam beliau, kerja pembaikpulih dan pembersihan makam giat dijalankan bagi menyambut ketibaan sambutan maulid beliau yang bakal bermula pada 6 Jun ini dan akan berterusan selama seminggu. Memang nama Syeikh Sya'arawi tidak asing lagi bagi masyarakat Mesir khasnya. Dari Aswan hingga ke Iskandariah, semuanya mengenali beliau. Tua,muda, alim,yang jahil, semuanya mengenali nama Syeikh Sya'arawi walaupun kebanyakan mereka tidak sezaman dengannya, jika sezaman pun tidak ramai yang mengambil ilmu dari beliau.Muda-mudi yang tak pernah kenal solat dan masjid pun bila diajukan nama Syeikh Sya'arawi kepada mereka,mereka pasti akan hormati dan menyanjung tinggi. Begitulah penghormatan masyarakat Mesir kepada beliau. Tidak hairanlah di saat kewafatan beliau, hampir seluruh Mesir berkabung dan rakyatnya menangisi yang teramat atas pemergian seorang bintang dari langit Al-Azhar. Video yang masih boleh dilihat dalam Youtube, sewaktu pengebumian beliau, ribuan rakyat membanjiri kawasan kompleks Sya'arawi (Mujammak Syaarawi) yang diasaskannya bagi memberi penghormatan kepada beliau.


Syeikh Sya'arawi cukup menonjol dalam ilmu Tafsir. Kebolehan utama beliau dari segi syair dan sastera Arab. Itu minat yang telah mula berputik sejak beliau di bangku sekolah rendah lagi. Antara yang pernah didik beliau ialah ulamak masyhur sekarang, Dr.Yusuf Qardhawi. Syeikh Sya'arawi pernah sampai ke kemuncak jawatan sebagai Menteri Wakaf ketika zaman pemerintahan Presiden Anwar Sadat.

Antara video lain yang memberikan kesan dalam kehidupan masyarakat Mesir terutamanya ialah teguran beliau terhadap Presiden Hosni Mubarak dalam satu majlis di Istana Presiden beberapa bulan sebelum beliau pergi dijemput menghadap Allah. Walaupun berlangsung selama beberapa minit, ucapan beliau itu menerima tepukan gemuruh dari mereka yang hadir dalam majlis itu. Lebih mengkagumkan beliau mampu meletakkan tangannya atas bahu Presiden Mubarak sambil menyatakan harapan bahawa mungkin itu perjumpaan terakhir antara beliau dan Presiden Mesir itu.

Antara majlis terakhir beliau ialah pengurniaan anugerah kebesaran tertinggi negara Emeriah Arab Bersatu (UAE) kepada beliau atas nama "Rijal Syakhsiyah" tahun itu. Paparan video menunjukkan beliau dalam keadaan uzur terpaksa menaiki kerusi roda dan diiringi sejumlah doktor dan pra-medik. Setelah diumumkan penerima anugerah tersebut yang merupakan anugerah tertinggi negara, beliau terus mendoakan kesejahteraan buat negara UAE dan pemimpinnya. Belumpun sempat habis doanya, beliau terpaksa bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan atas keuzuran yang dihadapi.

Diceritakan, sewaktu beliau dirawat di hospital, walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, beliau masih boleh menasihatkan ahli keluarga yang datang menziarahi beliau. Rasa tanggungjawab menyampaikan amanah ilmu Allah itu masih dirasai untuk dilaksanakan walaupun dalam keadaan uzur. Benarlah kata-kata Syeikh Soleh Jaafari r.anhu bahawa dalam syurga kelak, sekalian kerjaya dan aktiviti yang dilakukan atas dunia dahulu telah terputus KECUALI orang alim yang terus dibenarkan mengajar selama-lamanya walaupun telah berada dalam syurga.



Kini,meskipun Al-Marhum Syeikh Sya'arawi meninggalkan dunia lebih 12 tahun lalu, namun suara dan naishatnya masih diperdengarkan seakan-akan ia sentiasa bersama kita. Setiap hari akan ada majlis pengajian beliau diperdengarkan melalui Radio Al-Quran Al-Karim Kaherah dalam rancangan "Khawatir Al-Imaniyyah Li Fadhilat As-Syeikh Mutawali Sya'arawi". Lebih hebat lagi, khutbah beliau yang disampaikan di Masjid Namirah sewaktu Hari Wukuf di Arafah pada musim haji tahun 1976. Siapa sahaja kini yang diberikan peluang dan penghormatan bagi menyampaikan khutbah pada hari Arafah.Tapi kepada Syeikh Sya'rawi beliau diberikan penghormatan sedemikian rupa. Khutbah yang penuh munajatnya kepada Allah, tak pernah lekang kalimah "YA RABB" dari mula hingga penutup khutbah yang disampaikan sekitar 40 minit itu. Dikatakan bahawa beliau tidak pernah memakai alas kasut atau selipar sewaktu berada di tanah suci. Ini kata beliau biarlah kakinya terkena debu-debu tanah suci.

Kami duduk mengelilingi makam beliau dengan dimulai bacaan Yasin disedekahkan kepada roh beliau. Kemudian bacaan madih Nabawi sebelum fasal maulid Nabi dibacakan sebelum semuanya bediri berselawat ke atas Nabi. Majlis di akhiri dengan bacaan doa memohon rahmat dan bertawassul dengan beliau. Hampir dua jam kami duduk di makam beliau.

Syeikh Sya'arawi menerima banyak sumbangan dari masyarakat bahkan dunia. Tetapi hampir kesemua sumbangan tersebut disumbangkan buat anak-anak yatim, orang miskin dan kepada kompleks beliau. Bahkan terdapat binaan yang dicadangkan sebuah hospital berdekatan kompleks beliau, namun terbengkelai pembinaannya hingga kini. Kata beliau, beliau tidak mahu meninggalkan wang dan harta yang banyak untuk anak cucu beliau bimbang berlaku perebutan harta di kalangan keluarganya. Apa yang ditinggalkan cukuplah bagi anak-anaknya hidup dan tidak merempat.

Sewaktu memegang jawatan Menteri Wakaf, antara yang dilakukannya ialah beliau ke beberapa buah masjid di bawah pentadbiran kementeriannya, untuk mencuci dan membersihkan tandas masjid. Bahkan sewaktu hayatnya, beliau banyak menziarahi makam auliya' dan ahli keluarga Rasulullah s.a.w. Beliau kerapkali juga kelihatan kerap menziarahi Saidina Husain r.anhu. Nasab keturunan beliau bersambung kepada Imam 'Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain r.anhu.

Tidak hairanlah diceritakan sewaktu nazak, sebelum menghembuskan nafas yang terkahir, mereka yang berada di sekeliling beliau mendengar mulut beliau menyebut "Ya Husain! Hari ini kamu datang sendiri menjemput aku" disusuli dengan kalimah syahadah sebelum meninggalkan dunia ini dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan.

Al-fatihah buat Syeikh Syaraawi..Semoga Allah merahmati beliau dan membalas dengan sebaik-baik pembalasan..Ya Allah! Kami mencintainya maka kurniakanlah cahaya dan nur beliau menerangi hati-hati kami..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan