Isnin, 5 April 2010

HABIB ABDUL QADIR AS-SAQQAF: SEMOGA ALLAH MEREDHAINYA


Nama beliau ialah Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin Abdul Rahman bin 'Ali bin 'Umar bin
Saqqaf bin Muhammad bin 'Umar bin Toha As-Saqqaf yang bersambung nasab keturunan kepada Saidina Rasulullah s.a.w. Dilahirkan di bandar Saiun,Yaman pada bulan Jamadil Akhir tahun 1331 hijrah. Dibesarkan dalam keluarga kedua-dua ibu bapanya dari kalangan orang yang soleh. Ayahandanya, Habib Ahmad bin Abdul Rahman merupakan pendakwah di jalan Allah,manakala bondanya pula Sayyidah As-Syarifah Alawiyah binti Al-Habib Ahmad bin Muhammad Al-Jufri.

Habib Abdul Qadir memulakan pengajian dengan Al-Habib Toha bin 'Umar di bandar kelahirannya. Di sana beliau mula mempelajari beberapa pengajian selain dari ayahandanya tercinta.

Antara guru-guru beliau yang disebutkan pada pengijazahan kepada sebahagian muridnya:
-Ayahandanya Habib Ahmad bin Abdul Rahman As-Saqqaf
-Habib 'Umar bin Hamid bin 'Umar As-Saqqaf
-Habib 'Umar bin Abdul Qadir bin Ahmad As-Saqqaf
-Habib Abdullah bin 'Idrus Al-'Idrus
-Habib Abdullah bin 'Alawi Al-Habasyi,anaknya Habib Husain
-Habib Abdul Bari bin Syeikh Al-'Idrus
-Habib Muhammad bin Hadi As-Saqqaf
-Habib Abdullah bin 'Umar bin Hamid As-Saqqaf
-Habib Hasan bin Ismail bin Syeikh Abi Bakr bin Salim
-Habib Hamid bin 'Alawi Al-Bar dan ramai lagi.

Selepas kewafatan ayahandanya, Habib Ahmad bin Abdul Rahman tahun 1357, beliau telah
mula menggerakkan kelas pengajian bagi menyebarkan amanah ilmu Allah kepada masyarakat ketika itu berusia 21 tahun.

Takdir Allah, tidak lama kemudian berlaku perubahan iklim politik di utara Yaman apabila golongan fahaman sosialis mengambil alih kuasa di sana. Puak sosialis ini telah mengenakan tekanan yang amat dahsyat kepada para pendakwah Islam dan para ulamak, lebih-lebih mereka yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, tidak terkecuali Habib Abdul Qadir. Beliau telah diminta sentiasa melaporkan diri pada waktu pagi dan petang setiap hari di balai polis berdekatan.

Akan tetapi berkat kesabarannya, Allah telah memberikannya jalan keluar dari genggaman golongan sosialis tadi apabila salah seorang yang berkedudukan dalam pentadbiran telah mengeluarkan beliau ke wilayah bernama 'Adan pada bulan Rabi'ul Awal tahun 1393 hijrah.Beliau menetap di sana untuk beberapa bulan sebelum dipermudahkan untuk keluar negara berhijrah ke Singapura. Di sana beliau diberikan sambutan yang menggalakkan. Pada bulan Jamadil Awal, beliau berangkat ke negara Indonesia dan turut menerima sambutan yang baik ketika majlis bersama beliau diadakan sama ada di Jakarta, Kepulauan Sulu dan Surabaya.

Dari Indonesia, beliau kemudian berhijrah ke negara Saudi. Di sana bukanlah tempat yang asing kerana sebelumnya beliau telah menunaikan haji sebanyak 6 kali.

Sebelum beliau menetap di sana, Habib Abdul Qadir telah menziarahi negara lain dengan tujuan berdakwah antaranya ke Lubnan, Syria, Mesir, Nairubi, Kenya, Tanzania, kemudian kembali ke Kenya untuk satu tempoh yang panjang.

Sekembalinya ke Saudi pada tahun 1394 hijrah, beliau telah menetap di Jeddah. Di rumahnya,beliau telah mengadakan majlis pengajian di rumah beliau setiap hari dengan pelbagai kitab dari ilmu Hadith,Tasawuf,Sirah dan lain-lain lagi, selain pengajian beliau yang akan berlangsung secara mingguan dengan berpindah tempat dari satu tempat ke tempat yang lain.

Menjelang sambutan maulid atau perayaan dalam Islam, Habib Abdul Qadir akan dijemput bagi menghuraikan dan mengupas berkaitan sambutan tersebut. Selain itu, menjelang bulan Ramadhan, beliau akan mengadakan majlis pengajian di rumahnya yang disertai sejumlah besar tetamu yang ingin mengambil intipati ilmu dari beliau.

Antara kehebatan beliau juga, beliau menguasai ilmu Sastera dan Syair Arab sejak kecil. Beliau memiliki beberapa qasidah yang menunjukkan ketinggian ilmu dalam ilmu Bayan, Badie' (dalam ilmu Balaghah) dan 'Arudh.

Selayaknya diceritakan juga, kecintaan dalam hati manusia kepada beliau dari pelbagai bangsa, sama ada mereka yang jauh atau dekat, mereka yang sehaluan atau yang
suka menentang. Sepertimana dapat dilihat dengan jelas pada majlis pengajian beliau,
kehadiran dari pelbagai bangsa dan warna kulit akan tetapi memiliki pemikiran dan tujuan yang satu.

Sebelum ini, sesiapa yang bertandang ke bumi Mekkah bagi menunaikan haji, umrah atau
ziarah tidak pernah lupa untuk singgah di rumah beliau mengikuti majlis pengajian bersama beliau. Tambahan bagi para ulamak, menziarahi beliau merupakan satu kemestian. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, majlis pengajian bersama beliau sudah tiada lagi setelah beliau ditimpa keuzuran. Setelah lebih separuh abad hidupnya diwakafkan di jalan Allah, tentunya ramai anak-anak didik beliau yang kini berada di serata dunia bagi mengembangkan ilmu Allah kepada manusia. Antara mereka ialah Al-Marhum Sayyid Muhammad bin 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani yang telah pergi menghadap Allah lebih awal dari beliau.

Menjelang pagi Ahad,4 April 2010 bersamaan 19 Rabi'ul Akhir 1431, beliau telah dijemput menghadap ke hadrat Allah s.w.t dalam usia menjangkau 100 tahun. Semoga Allah s.w.t meredhai beliau serta menganugerahkan balasan kepadanya dengan sebaik-baik balasan terhadap apa yang beliau usahakan sewaktu hayat beliau . Kepada roh beliau, Al-Fatihah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan