Jumaat, 20 Ogos 2010

BEZA KHUTBAH JUMAAT DI MESIR DAN MALAYSIA


Semalam, saya solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Petangnya, sebelum menjelang waktu berbuka, saya sempat melayari satu stesen radio Mesir yang boleh didengar melalui internet. Saya sengaja mencari siaran radio Mesir melalui internet antara tujuan bagi mengekalkan Bahasa Arab agar tidak 'mati' sepanjang bercuti ini.

Apa yang menarik, saya ikuti khutbah Jumaat semalam yang disampaikan oleh Mufti Mesir, Dr.Ali Jum'ah melalui siaran langsung. Beliau menyampaikan khutbah di masjid Angkatan Tentera Negara di Madinah Nasr bersempena dengan sambutan kemenangan Mesir menawan kembali Terusan Suez yang dikenali dengan peperangan "Al-'Asyir min Ramadhan" (iaitu Hari Kesepuluh dari bulan Ramadhan).

Khutbah Jumaat di Mesir amat berlainan di Malaysia. Bahkan ia sesuatu yang membuatkan kita tertarik untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Di setiap masjid, terdapat seni penyampaian tersendiri yang dibawa oleh khatib. Apatah lagi kalau khatib tersebut adalah pensyarah Universiti Al-Azhar. Dengan penuh semangat seperti nada memberikan motivasi untuk ke medan perang, jarang sekali kita akan tertidur sewaktu khatib berkhutbah.

Ini kerana:

1)Khatib tersebut berkhutbah dan bukannya membaca khutbah. Kalam yang keluar dari hati amat berbeza kalam yang keluar dari lidah semata-mata bahkan dalm sesetangah keadaan, kita boleh mengalirkan air mata sewaktu doa di akhir khutbah dibaca.

2)Khutbah penuh dengan ilmu. Ia bukan sekadar tazkirah bahkan khatib berjaya memikat pendengar dengan mutiara-mutiara hadith dan cerita yang berlaku kepada ulamak dan auliya'. Kadang-kadang, apa yang disebut, bagi kita sesuatu yang baru apatah lagi hujah yang dibawa amat kuat dengan menyebut nama kitab atau pengarang hingga ada yang sebut mukasurat kitab.

3) Kalam pendahuluan dengan memuji Allah dan berselawat Rasulullah s,a,w sudah mampu membuatkan yang mendengarnya tertarik. Mungkin ini bertepatan dengan gaya seni Bahasa Arab yang kaya dengan syair dan sastera.

4) Suasana hadirin yang memberikan sambutan dengan setiap patah yang keluar dari lidah khatib. Suasana yang saya maksudkan merekaboleh berinteraksi bila ada ayat Al-Quran atau Hadith Rasulullah s.a.w dibacakan. Sebagai contoh, perintah supaya berselawat ke atas Rasulullah s.a.w, akan kedengaran satu masjid berselawat serentak.

Khutbah yang disampaikan di Mesir, bukanlah semuanya menyentuh berkaitan politik. Sesetengahnya berkaitan hal adab, solat berjemaah, tanggungjawab sebagai seorang mukmin dan lain-lain. Kalau sempat solat di masjid Ahlul Bait Rasulullah s.a.w seperti Masjid Saidina Husain atau Sayyidah Zainab r.anhuma,isi khutbah berkisar topik lebih kurang sama iaitu kewajipan mencintai Rasulullah s.a.w, Ahlul Bait dan cerita-cerita tasawuf. Tapi olahan para khatib, orang boleh menangis tambahan kalau di Saidina Husain, khatib menceritakan kembali Peristiwa Karbala.

Setiap kali menjelang Jumaat, kita boleh berpakat dengan kawan-kawan untuk solat di mana Jumaat hari ini dan masing-masing ada masjid yang diminatinya kerana seni khatib di masjid tersebut.

Apa yang saya ingin bandingkan dengan khutbah di Malaysia ia amat hambar. Bahkan ada sesetengah makmum yang datang solat Jumaat kerana 'terpaksa' dan takut dicop sebagai 'munafik' jika meninggalkan fardhu Jumaat tiga kali berturut-turut. Maka yang jadinya, ada yang pergi tapi pergi bila orang dah solat, tak dengar pun khutbah sebab kata dia, dengar pun tidur.

Bagaimana cara untuk kita kembalikan mutu khutbah Jumaat di Malaysia? Masih adakah harapan untuk menjadikannya menarik dan antara tarikan kenapa umat Islam takkan meninggalkan solat Jumaat dan datang awal semata-mata untuk mendengar khutbah Jumaat.

Khutbah Jumaat adalah satu dari kekuatan Islam. Ia menjadi medan untuk ulamak memperingati para jemaah yang hadir terhadap apa yang berlaku kerana pada masa itulah manusia akan berkumpul dan ia menjadi ijtimak mingguan bagi umat Islam.

Dr.Abdullah Nasih Ulwan dalam buku kecilnya "MAZA 'AN SOHWAH ISLAMIYYAH FIL ASRIL HADIS" (Apa itu Kebangkitan Islam Pada Zaman Moden), beliau membawa perancangan musuh Islam menghancurkan Islam dengan menjauhkan mereka dari empat perkara yang menjadi kekuatan umat Islam:

1) Al-Quran
2)Fardhu Haji
3)Khutbah Jumaat
4)Al-Azhar

Empat perkara ini menjadi tumpuan musuh-musuh Islam sejak dulu bagi memastikan umat Islam berpaling dan menjauhi dari empat perkara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan