Sabtu, 28 Ogos 2010

CATATAN BERSAMA SYEIKH ASHRAF 1: KESEMPATAN BERTEMU TOK GURU

Pagi Jumaat lalu, saya membawa Syeikh Ashraf Hamid Hasanain ke Masjid Pulau Melaka bagi mempertemukan beliau dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. Kebiasaannya, jadual Tok Guru akan menunaikan solat Subuh dan menyampaikan kuliah subuh di masjid tersebut.

Namun, pada pagi Subuh itu, kami tidak dapat menunaikan solat berjemaah di Pulau Melaka kerana jadual yang diatur, Syeikh Ashraf akan menunaikan solat Subuh dan menyampaikan kuliah di Masjid Muttaqin, Jalan Dato' Lundang, berdekakatan rumah saya.
YAB Tok Guru menyapa penuh mesra Syeikh Ashraf Hamid Hasanain

Selepas menyampaikan kuliah sekitar 15 minit, kami bergegas ke Masjid Pulau Melaka bagi mencuba nasib bertemu dengan Tok Guru. Ini kerana pada sebelumnya, usaha mendapatkan janji temu bagi pertemuan rasmi di pejabat beliau melalui Setiausahanya gagal kerana jadual Tok Guru yang agak sibuk dan padat. Kami memutuskan untuk bertemu Tok Guru secara tak rasmi.

Setiba kami di perkarangan masjid, keadaan sesak dengan kenderaan yang mula keluar dari masjid tersebut berduyun-duyun. Syeikh Ashraf terkejut dan bertanya, orang Malaysia sukakan kuliah selepas Subuh, sedangkan di Mesir kata beliau, selepas Subuh orang Mesir akan balik tidur tambahan pagi Jumaat, hari cuti. Namun di Malaysia khasnya di Kelantan, ia berlainan.

Saya dan teman membawa Syeikh Ashraf memasuki ruang masjid dan ternyata puluhan orang ramai sedang menantikan giliran masing-masing bagi mentahniq anak. Saya kira lebih dari 10 bayi ditahniq Tok Guru pagi itu. Kami terpaksa tunggu menanti giliran bertemu Tok Guru. Sekali lagi Syeikh Ashraf terkejut. Dia tanya, adakah yang buat semua ni (mentahniq) dibuat oleh Menteri Besar? Jawab kami, ya.

Seorang kakitangan di Pejabat Menteri Besar menyapa kami yang sedang menanti giliran, dia bertanyakan saya hasrat kami. Bersama beliau juga, terdapat sekumpulan wartawan sebuah stesen televisyen dari Indonesia sedang melakukan penggambaran bagi meneribitkan dokumentari berkaitan kehidupan Tok Guru.

Tiba jam 7.25 pagi, Tok guru terpaksa menolak kunjungan orang ramai seketika bagi menunaikan solat sunat Isyrak. Selesai solat sunat, saya memerhatikan pada wajah Tok Guru, gugur beberapa titisan air mata mengalir di pipi Tok Guru dan dilapnya dengan tisu yang ada di tangan. Tersentuh melihat Tok Guru solat dengan penuh tertib dan sopan, amat berbeza dengan solat saya dan kita.

Selesai berdoa, beliau cuba beredar tetapi masih ada rakyat yang memerlukan doa dan penawar dari beliau. Seorang lelaki lingkungan 30-an yang ditimpa sakit berat, dipapah oleh ahli keluarga memohon doa Tok Guru. Perlahan-lahan Tok Guru menjamah kepala lelaki tadi sambil mulut beliau membacakan sesuatu, sekali lagi kelihatan air mata Tok Guru bergenang. Simpati dan insaf melihat ujian Allah menimpa lelaki tadi.

Setelah itu, beliau berjalan menuju pintu bersebelahan mihrab,lalu saya dapatkan dan bersalam dengan beliau.Saya katakan ada tetamu dari Mesir datang. Beliau menyapa Syeikh Ashraf dengan bahasa Arab yang fasih. Saya perkenalkan kepada Tok Guru, Syeikh Ashraf bertugas di Masjid Al-Azhar. Syeikh kemudian menyerahkan cenderahati kenangan yang dibuat saudara Imaduddin berupa frame yang memuatkan gambar beliau dengan Tok Guru berlatarbelakangkan menara Masjid Al-Azhar selain sebuah buku Madih dan poster madih tulisan Syeikh Soleh Jaafari. Ternyata Tok Guru gembira menerima hadiah tersebut.
Cenderahati yang dihadiahkan kepada YAB Tok Guru

Perbualan lebih 5 minit itu, walaupun sekejap tetapi memberi kepuasan kepada Syeikh Ashraf. Tok Guru menjemput Syeikh Ashraf ke Medan Ilmu pagi itu jam 10.30 pagi bagi menyampaikan ucapan di sana, tapi kami terpaksa bertolak ke Perlis jam 9.00 pagi.

Sebelum beredar, Tok Guru sempat kata kepada Syeikh Ashraf, "Mafish syai wa la tokmiyah" (Maksud: Tiada hidangan teh atau tokmiyah (sejenis makanan warga Mesir), kata Syeikh Ashraf, "Saya puasa hari ini" sambil kedua-duanya ketawa kecil. Begitulah kemesraan Tok Guru pada tetamu.

***Saya memohon maaf tidak dapat menceritakan secara penuh aktiviti Syeikh Ashraf di Malaysia di dalam blog ini. Ramai teman yang bertanyakan aktiviti Syeikh untuk mengetahuinya namun disebabkan kekangan masa yang melanda,saya tidak dapat lakukannya Saya akan cuba berusaha menceritakan beberapa bahagian penting aktiviti beliau di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Komen