Rabu, 4 Januari 2012

PUSINGAN KETIGA YANG PALING SENGIT: DIKOTORI DENGAN UGUTAN DAN SAMSENG UPAHAN

Pusingan ketiga iaitu pusingan terakhir bagi Pilihanraya Dewan Rakyat Mesir yang ditetapkan pada 3 dan 4 Januari ini adalah pusingan yang paling sengit. Pusingan ulangan bagi fasa ketiga ini ditetapkan pada 10 dan 11 Januari ini. Saingan sengit yang sihat walau bagaimanapun sesuatu yang positif dalam sistem demokrasi. Namun apabila ia dicemari dengan keganasan, maka ia telah merencatkan amalan demokrasi yang sama-sama didokongi. Ugutan, penggunaan samseng yang berleluasa, hakim dan petugas dalam pusat mengundi yang berat sebelah dan berkempen melewati masa dan tempoh yang ditetapkan maka ia sesuatu yang bercanggah dengan amalan demokrasi.

Bilangan calon terlalu ramai dalam satu-satu daerah menambahkan lagi 'kegawatan' suasana dalam berkempen. Sebagai contoh, dalam wilayah Gharbiyyah. Selepas persempadanan baru kawasan, wilayah tersebut mempunyai hanya 5 daerah. Pilihanraya kali ini bagi memilih 10 orang Ahli Parlimen sahaja bagi mewakili 5 daerah tersebut kerana setiap daerah akan menghantar 2 wakil iaitu mewakili golongan profesional (Fi At) dan mewakili golongan petani atau buruh ('Ummal/ Fallah). Walau bagaimanapun, dalam wilayah tersebut, terdapat 285 orang calon dari pelbagai parti politik dan calon bebas bakal merebut 10 kerusi tersebut.

Seorang calon popular dari Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di daerah bandar Tanta dalam wilayah Gharbiyyah, Syeikh Sayyid Askar yang juga pimpinan Ikhwan Muslimin akan dicabar oleh 80 orang calon dari bebas dan parti politik lain. Ketokohan Syeikh Sayyid yang juga kalangan ulamak Al-Azhar amat terserlah dikalangan rakyat di daerah tersebut. Beliau tidak asing bagi mereka kerana pernah menang di daerah tersebut pada tahun 2005. Pada pilihanraya 2010, beliau sekali lagi dicalonkan tetapi tewas kerana penipuan yang dilakukan pemerintah. Syeikh Askar pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha bagi Akademi Kajian Islam (Mujamma' Buhus Islami). Beliau bertanding bagi calon Buruh daerah tersebut. Kerana ketandusan isu, pihak calon lawan, Abdul Mun'im Alimi telah mencabar pencalonan Syeikh Askar ke mahkamah atas tiket calon (Buruh) iaitu bagi Alimi sepatutnya Syeikh Askar bertanding atas (Fi At) bukan (Buruh). Rakyat yang sedia memberikan undi kepada beliau telah membuat slogan "Kami Mahukan Syeikh Askar; Undi Untuknya Sama ada Fi At atau Buruh". Dua hari sebelum pengundian, mahkamah memutuskan Syeikh Askar kekal sebagai calon Buruh. Syeikh Askar dalam ulasannya berkata, "Saya sudah lama berada dalam Kesatuan Buruh bahkan pada pilihanraya 2005 dan 2010, saya sudah bertanding atas tiket calon Buruh".

Bagi pilihanraya Mesir, peraturan menetapkan bahawa dua hari sebelum memasuki hari pengundian, maka ia disebut sebagai "tempoh bertenang" iaitu larangan bagi semua calon dan parti bertanding untuk melakukan sebarang kempen.

Kebanyakan mereka yang mengotori perjalanan pilihanraya ini adalah dari golongan bekas Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) parti pemerintah yang telah dibubarkan atau istilahnya (fulul). Ahli dan penyokong mereka telah menyertai pilihanraya kali ini dengan bertanding atas tiket bebas. Akan tetapi malangnya, terdapat beberapa parti politik yang telah bekerjasama dan dipergunakan oleh golongan fulul ini untuk kepentingan mereka.

Berikut disiarkan beberapa laporan kejadian yang telah menodai proses pilihanraya pusingan ketiga negara Mesir:

Di wilayah El-Minia, beberapa orang calon dari Parti El-Wafd, Nasiri dan fulul NDP yang dibubar menggunakan senapang dan mesingan bagi menghalang pengundi dan wakil calon ke pusat pengundian.

Di kampung "ElWaqaf", bekas wakil rakyat daerah tersebut Ahmad Abdul Hamid Hettah telah bekerjasama dengan rakannya juga bekas wakil rakyat sebelum ini dan seorang calon dari Parti El-Wafd dengan melepaskan tembakan bagi menakut-nakutkan pengundi untuk keluar mengundi.

Di kampung "Soft El-Khemar" juga di wilayah El-Menia, tiga orang calon yang bertanding dari keluarga "Badawi" iaitu 'Ali Ismail Badawi, Muhammad Ismail Badawi dan Ibrahim Ismail Badawi menggunakan kekerasan terhadap para pengundi sewaktu mereka dalam perjalanan ke tempat mengundi bahkan termasuk mengugut untuk membunuh!

Mereka bertiga juga telah mengutus surat kepada wakil calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi mengugut mereka agar jangan pergi ke pusat mengundi, jika tidak mereka akan dibunuh.

Walau bagaimanapun, Lajnah Undang-Undang Parti FJP El-Menia telah melaporkan kepada pihak tentera dan polis yang bertugas bagi menjaga keselamatan pengundi.

Di wilayah Qina, seorang calon fulul NDP, Khalid Khalfallah, calon INDIVIDU bagi daerah ketiga wilayah membelasah wakil calon FJP di sebuah pusat mengundi di kampung "Hua", dalam bandar Naja' Hammadi.

Seorang saksi memberitahu, calon tersebut merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan itu telah mengugut semua wakil-wakil calon lain yang berada di pusat pengundian itu dan lebih ditujukan kepada calon FJP.

"Dia sebut, kampung Hua ini merupakan tempat kelahiran dia dan dia juga merupakan bekas 'Jeneral' dalam Unit Polis Amnu Daulah yang telah dibubarkan", terang saksi tersebut.

Di kampung Abal Balad, seorang calon bebas bagi kerusi INDIVIDU, Ramadhan El-Tohan dibelasah teruk ekoran tindakannya bagi menghalang dua penyokong calon lawan, Ahmad Hattah (calon fulul NDP) dan Asyraf Abul Ghaith (calon SENARAI bagi Parti Wafd) daerah utara El-Menia menggunakan samseng untuk menakut-nakutkan pengundi.

Di Naja' Hammadi juga dalam wilayah Qina, beberapa orang penyokong calon fulul NDP, Abdul Rahim Ghul yang bertanding atas tiket bebas INDIVIDU bagi daerah ketiga Qina telah memukul dan menghalau wakil calon FJP, Mahmud Solah dari pusat mengundi.

Di wilayah Daqahliyyah, penyokong seorang calon fulul NDP, Mamduh Fudah bersama sebilangan samseng yang diupah telah menghalang pengundi untuk memasuki pusat pengundi di daerah Mansurah.

Di Kampung Kefr Badawi, sesuatu yang pelik apabila seorang hakim yang juga ketua saluran 36 dan 37 telah membatalkan pengundian yang dilakukan oleh golongan warga emas yang buta huruf. Lebih mengejutkan, salah seorang wakil calon NDP yang membantah tindakan hakim tersebut telah dihalau keluar dari pusat mengundi.

Di sebuah sekolah yang dijadikan pusta mengundi di wilayah Daqahliyah, seorang hakim yang mengetuai saluran 74 dan 75 telah melarang golongan buta huruf dibantu untuk mengundi. Tindakan hakim tersebut hingga melarang pengundi yang cacat penglihatan dibantu oleh petugas. Sekalipun terdapat golongan yang cacat penglihatan ini meminta bantuan, para petugas akan mendapatkan kertas mengundi dan mereka akan memasukkan kertas mengundi tersebut ke dalam peti undi tanpa dilakukan undian apa-apa pada kertas tersebut.

Di selatan Sinai, perbuatan seorang calon INDIVIDU dari Kutlah Misriyyah (Pakatan bagi Parti-Parti Liberal dan Sekular) yang berkempen dalam pusat mengundi telah memaksa hakim yang bertugas menghalaunya keluar. Calon tersebut, Sayyid Kamil dilihat membahagi-bahagikan kad calon kepada para pengundi di dalam pusta pengundian. Seorang wakil calon FJP wanita, telah menegur perbuatan calon tersebut kerana ia bersalahan dengan peraturan pilihan raya. Peraturan tersebut dengan jelas melarang sebarang kempen menjelang tempoh dua hari sebelum hari pengundian. Teguran wakil FJP tadi tidak diendahkan bahkan wanita tersebut ditengking. Ini memaksa wanita FJP tersebut membuat laporan kepada hakim yang bertugas dan memberi kata dua kepadanya sama ada dia segera keluar atau pihaknya terpaksa memanggil pihak keselamatan untuk memaksanya keluar dari pusat mengundi. Dengan marah, Sayyid Kamil telah meninggalkan tempat tersebut.

Di wilayah Wadi Al-Jadid, di Sekolah Abu Hurairah dan Nahdhah, ketua tempat mengundi telah mengarahkan wakil-wakil calon dan parti yang bertanding mengosongkan tempat mengundi dengan alasan "kesempitan ruang" pada pusat mengundi tersebut. Perbuatan tersebut telah menimbulkan tidak puas hati dari semua pihak yang bertanding. Ini telah memaksa Gabenor wilayah, Jeneral Toriq El-Mahdi mengadakan perbincangan dengan semua bersetuju untuk setiap wakil parti yang diwakili oleh dua orang untuk bergilir masuk selama 15 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan