Ahad, 8 Januari 2012

SOALJAWAB PENERANGAN PILIHANRAYA MESIR

Sebelum ini, saya kemukakan kedudukan terkini parti politik dalam Parlimen Mesir. Ramai yang menyatakan ia susah difahami. Untuk lebih memberikan kefahaman kepada pembaca, kali ini saya ringkaskan berkaitan proses Pilihanraya Mesir dan saya paparkan dalam bentuk soal jawab. Semoga menambahkan kefahaman kepada semua.

1) Berapakah kerusi keseluruhan Dewan Rakyat di Mesir?

Jumlah keseluruhan kerusi ialah 498 dan dipecahkan seperti berikut:

332 orang dipilih melalui calon Fardi (INDIVIDU)
166 orang dipilih melalui calon Qawaim (SENARAI)
10 orang lagi bakal dipilih oleh kerajaan baru (iaitu Ahli Parlimen yang dilantik)

2) Apakah perbezaan antara calon INDIVIDU dan calon SENARAI?

Calon INDIVIDU atau fardi mewakili individu manakala SENARAI mewakili parti politik.

3) Apakah yang dimaksudkan dengan calon Buruh dan Profesional dalam calon INDIVIDU?

Calon INDIVIDU dalam setiap kawasan Parlimen akan diwakili oleh dua kelompok iaitu:
1) kelompok 'Ummal (Buruh)
2) kelompok Fiat (Profesional)

Setiap calon yang bertanding akan dinilai dari kerjayanya. Jika dia seorang peniaga, peladang, pemandu sebagai contoh, maka dia perlu bertanding atas tiket (Buruh). Manakala jika kerjayanya pensyarah, doktor perubatan, peguam, jurutera sebagai contoh maka dia perlu bertanding atas tiket (Profesional).

4) Adakah menjadi syarat utama calon INDIVIDU mesti mewakili mana-mana parti politik?

Tidak. Ia tidak menjadi syarat. Mereka yang tidak mewakili parti akan bertanding atas tiket bebas (mustaqil). Oleh kerana itu, pada kertas undi calon INDIVIDU, tidak akan diletakkan simbol parti yang diwakili akan tetapi terdapat simbol peribadi yang dipilih oleh calon. Demikian juga menyebabkan calon INDIVIDU yang bertanding setiap kawasan terlalu ramai.
Contoh 1: Calon FJP di sebuah daerah di wilayah Gharbiyah. Dua calon mereka mewakili (Buruh) dan (Profesional) dan bagi calon SENARAI, mereka mengemukakan 10 calon.

5) Bagaimana pula calon SENARAI?

Adapun untuk calon SENARAI,semua calonnya mesti bertanding atas nama parti.

6) Berapa bilangan yang dihadkan bagi setiap calon SENARAI yang mewakili parti?

Setiap parti perlu mengemukakan antara 4 hingga 12 orang calon. Setiap senarai pula, mesti mempunyai seorang ketua iaitu Ketua Senarai (atau Ra'sul Qaimah).

7) Adakah calon SENARAI dan INDIVIDU mempunyai keluasan kawasan yang sama?

Tidak, ia berbeza. Kawasan bagi calon SENARAI akan lebih luas berbanding calon INDIVIDU. Sebagai contoh, kawasan pilihanraya wilayah Kaherah:

SPR telah memecahkan kawasan untuk calon INDIVIDU bertanding pada LIMA daerah berikut:
-Daerah pertama (Shubra)
-Daerah kedua (Madinah Nasr)
-Daerah ketiga (Ain Shams)
-Daerah keempat (Helwan)
-Daerah kelima (Misr Jadidah)

Bagi calon SENARAI, SPR memecahkan hanya kepada DUA daerah yang akan menggabungkan seperti berikut:
-Daerah pertama (Shubra+Helwan)
-Daerah kedua (Ain Shams+Madinah Nasr+Misr Jadidah)

8) Bagaimana proses pengundian dijalankan?

Setiap pengundi akan diberikan dua helai kertas undi:

i) Kertas undi pertama memaparkan calon INDIVIDU yang mana pengundi tersebut perlu mengundi dua orang iaitu seorang mewakili Buruh dan seorang lagi mewakili Profesional.

Jika dia mengundi lebih dari dua calon atau kurang dari itu, maka ia dikira undi rosak. Pada senarai calon INDIVIDU tidak akan dipaparkan logo parti bahkan simbol yang dipilihnya. Maka pengundi perlu mengingati nama calon dan simbol calon tersebut.

ii) Kertas undi kedua ialah senarai parti yang mahu dipilihnya. Jika dia penyokong FJP, maka dia perlu mencari ruangan petak yang tertera "Parti Kebebasan dan Keadilan" dan simbol yang ditetapkan bagi FJP ialah simbol "neraca". (Adapun simbol Parti Nur Fanus-Lampu Arab). Maka pengundi tersebut perlu mengundi di sebelah petak kosong yang disediakan. Perlu diingat, undian bagi Pilihanraya Mesir ialah tanda betul, bukan pangkah seperti di Malaysia.

iii) Selesai mengundi, pengundi perlu memasukkan dua kertas undi ke dalam dua kotak peti undi yang disediakan; satu peti untuk calon INDIVIDU dan kotak kedua untuk calon SENARAI.

iv) Sebelum beredar, pengundi perlu menandatangani senarai kehadiran dan akan mencelup jari dakwat bagi menunjukkan dia telahpun mengundi.
Contoh 2: Ir Ibrahim Abu 'Auf, seorang jurutera mewakili FJP di sebuah daerah di Mansurah atas calon INDIVIDU (Profesional) menggunakan simbol "basikal" dan simbol ini akan tertera pada kertas undi.

9) Dimanakah proses pengiraan undi dilakukan?

Semua pengiraan undi akan dipusatkan di satu tempat. Justeru, selepas selesai proses mengundi, hakim yang bertugas di semua pusat mengundi akan di 'seal' peti undi dan akan dibawa ke pusat penjumlahan undi.

10) Bagaimana proses pengiraan undi bagi CALON INDIVIDU?

Untuk diisytiharkan menang, seseorang calon mesti memperolehi undi nisbah (50%+1) daripada keseluruhan jumlah undi yang diterima.

11) Apa yang dimaksudkan dengan nisbah (50%+1)?

Undi yang diperolehi seseorang calon hendaklah melebihi 50% daripada jumlah yang diterima. Sebagai contoh, undi yang diterima (setelah ditolak undi rosak) berjumlah 50,000. Maka calon yang menang perlu memperoleh undi melebihi 25,000 undi.

12) Apa perlunya diadakan pusingan ulangan?

Ia amat perlu kerana seperti yang disebutkan di atas bahawa calon yang mengemukakan pertandingan untuk kerusi INDIVIDU terlalu ramai. Sebagai contoh, daerah pertama wilayah Gharbiyah yang ditandingi oleh calon FJP, Syeikh Sayyid 'Askar menyaksikan calonnya berjumlah 80 orang. Pada pusingan ulangan ini, dua calon yang memperolehi undi tertinggi akan bertanding manakala selainnya tewas secara automatik.

13) Adakah nisbah (50%+1) dikira juga pada pusingan ulangan?

Tidak, pada pusingan ulangan, nisbah tersebut tidak digunakan. Mana-mana jua calon yang mengatasi calon lawannya walau dengan perbezaan majoriti yang tipis akan diumumkan menang.
Contoh 3: Kertas undi yang telah ditanda pada ruangan kertas undi SENARAI pada simbol "neraca" milik FJP

14) Bagaimana pengiraan undi bagi CALON SENARAI?

Pengiraan undi seperti berikut:

Sebagai contoh setiap kawasan Parlimen, terdapat tiga parti yang mengemukakan calon SENARAI iaitu FJP, Nur Salafi dan Parti Wafd.

Jika pengiraan undi menyaksikan FJP memperolehi 50% undi, maka hanya 5 orang calonnya menang daripada 10 orang calon yang dikemukakan.

Kemudian calon Nur Salafi memperolehi 30% daripada 10 orang calon, maka hanya 3 orang dari calonnya yang menang.

Kemudian, 20% peratus lagi dimenangi oleh Parti Wafd, maka hanya 2 orang sahaja yang menang daripada 10 calonnya.

15) Adakah calon SENARAI memerlukan juga pusingan ulangan seperti calon INDIVIDU?

Tidak. Pengundian untuk calon SENARAI tidak memerlukan pusingan ulangan. Ia akan dikira pada pusingan awal sahaja.
Contoh 4: Senarai di atas menunjukkan nama 11 parti komponen "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" yang diketuai FJP menggunakan simbol "neraca" pada kertas undi.

16) Bagaimana percaturan FJP untuk memasukkan pimpinan tertinggi mereka ke dalam Parlimen?

Antaranya dengan meletakkan pimpinan utama mereka sebagai KETUA SENARAI calon FJP. Ini kerana KETUA SENARAI akan menduduki tempat pertama dalam susunan dan sudah pasti akan menang. Sebagai contoh:
-Timbalan Presiden FJP, Dr. 'Essam 'Iryan dicalonkan sebagai KETUA SENARAI FJP di wilayah Giza
-Setiausaha Agungnya Dr. Saad Katatni sebagai KETUA calon SENARAI FJP di wilayah ElMinia -AJK FJP Pusat, Dr.Mohammad Beltaji sebagai KETUA SENARAI FJP di wilayah Qalyubiyyah.

17) Dimanakah kedudukan calon parti komponen "Pakatan Demokrasi" selain FJP?

Selain FJP, "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" ini mempunyai 10 parti komponen yang lain. Calon selain FJP hanya bertanding di kerusi calon SENARAI. Mereka tidak bertanding calon INDIVIDU. Pimpinan parti komponen "Pakatan Demokrasi" akan dimasukkan dalam calon SENARAI.

Contoh, SENARAI FJP bagi Parlimen (Madinah Nasr+Misr Jadidah) yang mempunyai 8 orang calon dan memperolehi 30% undi. Ini bermakna hanya 3 calon sahaja yang menang. Salah seorangnya ialah Dr.Majdi Qarqar yang merupakan Setiausaha Agung Parti 'Amal, salah sebuah parti dalam "Pakatan Demokrasi" yang menduduki tempat ketiga dalam susunan. Berikut susunannya:

1) Dr.Ahmad Imam mewakili FJP (KETUA SENARAI)- menang
2) Abdul Basit Qubais (FJP)-menang
3) Dr.Majdi Qarqar (Parti 'Amal)-menang
4)Redha Mustafa Abduh (FJP)-tewas
5)Dr.Usamah Abdul Rahim (FJP)-tewas
6) Dr.Manal Abul Hasan (FJP)-tewas
7) Jad Muhammad Jad (FJP)-tewas
8) Khalid Sayyid Jaballah (FJP)-tewas


Tiada ulasan:

Catat Ulasan