Selasa, 16 Februari 2010

Aswan Bumi Yang Diberkati



Tahun pertama ke Aswan 2007: Menerima cenderahati dari masyaikhah JABAL TAQUQ, Aswan.


Ramai tertanya-tanya juga apa tujuan sebenar saya dan teman-teman ke Aswan minggu lalu. Ia sebenar untuk menyambut Maulid Syeikh Soleh Jaafari peringkat muhafazah Aswan bahkan hampir setiap tahun saya dapat menghadirinya bermula tahun 2007. Masa itu, bilangan kami sekitar 7 orang sahaja. Saya masih ingat nama mereka-selain saya,Ustaz Othman, Suhaimi, Ustaz Zubir, Mufaial,Syauqi Sabah dan Yumni dari Kedah. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi bertuah Aswan. Tujuan hanya bagi meraikan sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari bersama-sama saudara kami di sana. Mengimbau kembali kenangan tersebut, rombongan kami yang menyertai rombongan Arab Mesir lain bertolak menaiki sebuah bas dan kami ditempatkan di atas Masjid Syeikh Soleh di Jabal Taquq. Bahkan sebelum kami bertolak pulang, kami diraikan oleh masyaikhah Jabal Taquq dan setiap seorang dari kami menerima cenderahati dari pihak mereka. Sejak dari itu, saya mula "jatuh hati" dengan Aswan.Layanan mereka, baik hati mereka serta hubungan kuat mereka dengan Syeikh Soleh Jaafari membuatkan saya berazam untuk setiap tahun, akan cuba untuk menghadiri Maulid Syeikh Soleh yang lazimnya disambut di sana pada cuti penggal pertama pengajian. Sesiapa juga yang bersama-sama saya pasti terharu dengan layanan yang diberikan selain dapat melihat syiar Islam terserlah di sana melalui rasa cinta mereka kepada Syeikh Soleh Jaafari, seorang ulamak yang pernah berkhidmat untuk Islam satu masa dauhulu.

Bayangkan suasana seperti hari raya, kegembiraan menyambut kedatangan syeikh yang disambut dengan bacaan madih di mana-mana. Keadaan ini pernah membuatkan saya menitiskan air mata ketika majlis wida' sebelum berangkat pulang ke Kaherah pada tahun 2008. Sebelum kami menaiki van yang disediakan ke stesen kereta api, mereka sudah bersedia beratur bagi menghantar kepulangan kami sambil bacaan madih RADHINA YA BANI ZAHRA' dialunkan.Rasa tersentuh hati dan perasaan.

Bilangan tahun berikutnya makin bertambah pada 2008, 2009 dan tahun ini sebuah bas.Sewaktu saya masih memegang jawatan dalam Badan Pengurus juga saya masih boleh menghadiri maulid di sana.

Aswan menyimpan kenangan manis saya bersama-sama teman di sana. Walaupun sebagai destinasi pelancongan yang utama, suasana Aswan masih terjaga dengan nilai-nilai murni. Penduduknya amat menghormati tetamu dan cukup peramah.Sejak kedatangan saya ke sana tahun lepas, beberapa loghat Aswan sudah mula mampu dipelajari. Nama-nama jalan serta tempat mereka sudah mampu saya ingati. Segala pengangkutan dan perhubungan awam dari Masjid Syeikh Soleh ke bandar Aswan sudah saya naiki.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada saya dan teman-teman lain dengan nikmat ini selama-lamanya dan menjadikan kegembiraan ini berpanjangan. Semoga Allah berkati penduduk dan bumi Aswan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan