Isnin, 15 Februari 2010

Sedetik di Maqam Sayyidi Abul Hasan Syazuli



Berada di sisi maqam Sayyidi Abul Hasan As-Syazuli r.anhu terasa ketenangan. Rombongan kami selamat tiba di Masjid Sayyidi Abul Hasan As-Syazuli sekitar jam 8 pagi setelah semalaman bermusafir yang memakan masa hampir 13 jam. Perjalanan yang ditemani dengan bukit-bukau dan padang pasir-sesekali melintasi hotel mewah dan rumah tumpangan di tepi Laut Merah berhampiran pelabuhan Safaga.Banyak juga check point pemeriksaan polis yang terpaksa kami lalui. Syeikh Ashraf malam itu tidak dapat tidur kerana bimbangkan keselamatan kerana pada awalnya kami dimaklumkan terlalu sukar untuk melepasi kawalan pemeriksaan polis kerana orang-orang asing (Ajnabi). Tambahan pula destinasi kami ke Masjid Sayyidi Abul Hasan Syazili itu berada di tengah-tengah lembah padang pasir. Sebelum ini Syeikh Ashraf berpesan kepada saya, hanya mereka yang memiliki pasport dan visa sahaja yang dibenarkan mengikuti rombongan kami. Beberapa orang teman yang telah mendaftarkan diri terpaksa menarik diri di saat-saat akhir kerana ketiadaan visa. Setiap kali di pemeriksaan, polis yang bertugas akan bertanya kami dari mana dan kemana kami? Jawab pemandu bas 'Ammu Khalid "Hum talabah fil Azhar, ziarah Abil Hasan Syazli.." (Maksud: mereka belajar di Al-Azhar, nak ziarah Sayyidi Abul Hasan Syazuli).

Alhamdulillah, sekitar jam 8 pagi kami selamat tiba di kawasan Masjid wali agung ini. Keadaan masjid masih dalam kerja pembaikan dan pembesaran. Kelak projek yang dijangka siap tahun depan akan memperlihatkan keadaan maqam berada di dalam masjid dan luasnya seperti Masjid Sayyidi Dusuqi atau Sayyidi Ahmad Badawi Tanta.

Ini adalah kali kedua saya dikurniakan Allah menziarahi wali ini. Kali pertama tahun lepas di bulan Ramadhan bersama rombongan Syeikh Nurudin Al-Banjari yang bermalam di sana serta mengadakan pengajian beliau di dalam maqam tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan