Selasa, 16 Februari 2010

Maulid di Aswan



Syeikh Abdul Ghani dipapah masuk ke Majlis Hadrah (gambar bawah) suasana Masjid Syeikh Soleh di Aswan pada malam maulid tersebut.



Untuk pertama kalinya sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu di peringkat Aswan diadakan hanya satu malam berbanding sebelum ini diadakan selama lima malam bermula hari Ahad dan penutupnya Khamis. Dengan masa yang singkat, sudah tentu ramai para pembaca madih akan mempersembahkan bacaan mereka tambahan penduduk Aswan yang terkenal dengan suara lunak lagi merdu.Apatah lagi tahun ini diserikan dengan kehadiran Syeikh Abdul Ghani, syeikh 'umum yang sudah 2 tahun tidak turun ke Aswan atas faktor kesihatan.

Bermula dengan solat maghrib berjemaah, para hadirin kemudiannya diperdengarkan dengan bacaan madih memuji Rasulullah s.a.w dan ahli keluarganya. Haflah berhenti rehat solat Isyak dan disambung semula dengan bacaan Al-Quran oleh Syeikh Mahmud. Beliau berasal dari Suhaj dan bermukim di Aswan kerana bekerja di sebuah syarikat sebagai jurutera. Dengan suara yang merdu serta menghafal Al-Quran dengan sempurna, beliau dilantik menjadi imam di Masjid Syeikh Soleh di Jabal Taquq.

Majlis semakin rancak apabila Syeikh Abdul Ghani dan Sayyidi Muhammad Soleh (putera sulung) dan Sayyidi Husain (putera kedua) mengambil tempat di hadapan. Ucapan alu-aluan dari wakil masyaikhah Aswan, Haji Mahmud diteruskan dengan mengalu-alukan kedatangan tetamu serta kami dari Malaysia.

Oleh kerana masa yang suntuk, Sayyidi Muhammad Soleh mengarahkan agar tiada sebarang ucapan dari mana-mana pihak dan hanya madih sahaja dibenarkan. Bacaan madih dari wakil Malaysia dipersembahkan oleh saudara Amal dari Negeri Sembilan bergandingan dengan saudara Ahmad Othman dari Kelantan membacakan madih "YA SADATAL 'URBIL UWAL". Saya pula dijemput mempersembahkan hadiah dari pihak Malaysia kepada wakil masyaikhah Haji Mahmud di hadapaan Syeikh Abdul Ghani dan putera beliau.

Majlis berakhir sekitar jam 12 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan