Isnin, 8 Mac 2010

Maqam baru yang perlu diziarah: Sayyidi Yahya di Zaqaziq



Maqam Sayyidi Yahya di Kampung Ghor,Zaqaziq
*****************************************************************

Selain maqam Syeikh Abdul Halim Mahmud r.anhu, kami terus ke bandar Zaqaziq. Perjalanan dari kampung halaman Al-Marhum Syeikh Abdul Halim ke Zaqaziq memakan masa hampir sejam. Di bandar Zaqaziq, kami menziarahi maqam dan Masjid Syeikh Abu Khalil yang menempatkan beberapa maqam ahli keluarga beliau. Beliau merupakan pengasas kepada Tariqat Khaliliyyah. Selepas menziarahi maqam, kami diundang ke Sahah dan pejabat Tariqat tersebut yang terletak bersebelahan masjid. Syeikh tariqat, Syeikh Muhammad Khalil telah menyambut kami dan memberikan penerangan berkaitan kisah Syeikh Abu Khalil dan wirid asas tariqat tersebut.

Destinasi terakhir kami ialah maqam Sayyidi Yahya Al-Mutawwij Bil Anwar iaitu saudara kandung kepada Sayyidah Nafisah. Jalan masuk ke maqam tersebut amat jauh dari jalan utama, tambahan pula lokasi maqam tersebut terletak di kawasan pedalaman dan di kawasan rumah penduduk kampung. Dr.Yusri Jabr Al-Hasani bersama rombongan beliau telah sampai ke maqam tersebut beberapa bulan lalu. Penemuan maqam tersebut masih baru dan ramai tidak mengetahuinya kecuali setelah melihat papan tanda yang diletakkan di bahu jalan utama, iaitu kira-kira setengah jam sebelum tiba di maqam beliau. Maqam tersbeut asalnya rumah kepada seorang penduduk yang bermimpi bertemu dengan Sayyidi Yahya. Sejak mimpi beliau itu, beliau mengetahui bahawa di situ terdapat maqam Sayyidi Yahya lalu beliau telah menjadikan rumah beliau sebelum ini sebagai masjid untuk pengunjung maqam tersebut.

Dalam maqam tersebut terdapat juga maqam puteri beliau iaitu Sayyidah Zainab binti Sayyidi Yahya.Kami turut dilarang merakam dan mengambil gambar di dalam maqam tersebut.

Kedatangan kami berkebetulan sambutan maulid Sayyidi Yahya yang akan disambut pada malam kemuncaknya malam Jumaat ini.Jadi, selesai membacakan qasidah dan berdoa di maqam Sayyidi Yahya kami turut dihidangkan dengan jamuan tengah hari sebelum bertolak pulang.Bagi mereka yang pergi bersama hari itu, terdapat sesuatu kisah yang aneh, pelik tetapi benar diperlihatkan di sekitar maqam pada kunjungan kami itu. Ingin mengetahui kisah pelik tapi benar itu, saudara dijemput menziarahi maqam Sayyidi Yahya (Al-Mutawwij Bil Anwar, iaitu bermaksud "Muka yang becahaya"). Ini kerana diriwayatkan muka ahli keluarga Rasulullah s.a.w terutama Sayyidah Nafisah, ayahandanya Sayyidi Hasan Anwar dan Sayyidi Yahya kelihatan bercahaya, iaitu cahaya dari nenda mereka iaitu Rasulullah s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan