Isnin, 8 Mac 2010

Maulid PMRAM Ala-Kutub Sittah


Dr.Fathi Abdul Rahman Hijazi memberikan ucapan


Para ulamak di majlis tersebut..Terkenangkan Majlis penutup Kutub Sittah PMRAM tahun lalu

Majlis sambutan Maulid Nabi SAW anjuran PMRAM telah berlangsung tanggal 27 Februari lalu di Rumah Selangor, Hayyul 'Asyir mengingatkan kembali kenangan kita kepada Majlis penutup Pembacaan Kutub Sittah yang berlangsung di Nadi Riyadhi, turut dihadiri ramai ulamak dengan tetamu istimewa malam itu, Mufti Dr.Ali Juma'ah. Tetamu yang hadir pada sambutan maulid ini ialah Prof.Dr. Fathi Abdul Rahman Hijazi,Syeikh Dr.Jamal Faruq, Syeikh Usamah Mahmud Azhari, Syeikh Dr. Muhammad Wusam Khidr,Syeikh Ashraf Hamid Hasanain dan Habib Umar ibn Habib Zain. Majlis yang bemrula selepas maghrib dengan ucapan dari Syeikh Fathi itu diselangi dengan bacaan madih dan qasidah. Saya dan saudara Najih Irsyad telah menjemput Syeikh Fathi sebelum solat maghrib di Masjid Syeikh Zaki Ibrahim, seperti yang kami sepakati sebelum ini sewaktu saya menghubungi beliau seminggu sebelum majlis. Syeikh Fathi sebenarnya baru tiba dari musafir beberapa hari di muhafazah Laut Merah (Bahrul Ahmar) dan belum sempat pulang ke rumah, terus mencurahkan ilmu di pengajian beliau di Akademi Sufi di Masjid Syeikh Zaki Ibrahim, kemudian terus menghadiri majlis bersama kami malamnya.

Dalam kenderaan kami terdapat seorang pembaca madih dari Aswan, Muntasar. Beliau menuntut di Kuliah Usuludin Al-Azhar cawangan Aswan. Beberapa kali telah musafir ke luar negara antaranya ke Bahrain bagi jemputan membaca madih.

Dalam perjalanan, Syeikh Fathi yang menjadi pensyarah Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar Kaherah (Jabatan Sejarah dan Tamadun) banyak bersembang dengan kami. Beliau menceritakan pengajian Syeikh Soleh di Masjid Al-Azhar dan menuntut ilmu darinya selama 10 tahun. Saya baru teringat beliau pernah menceritakan sewaktu diberi penghormatan berucap di Maulid Syeikh Soleh Jaafari tahun lalu, katanya:
"Jika Syeikh (Soleh) duduk mengajar (di Masjid Azhar), kami masa itu yang menuntut di Al-Azhar akan duduk disebelahnya. Lalu Syeikh bertanya pada saya, Siapa nama kamu? Jawab saya, Fathi. Lalu Syeikh Soleh mendoakannya "FATAHALLAHU 'ALAIK" (Semoga Allah bukakan untukmu).

Tidak hairan orang sehebat Dr.Fathi antaranya sebab beliau sering berdamping dengan para ulamak dan mereka mendoakan untuk beliau. Dr.Fathi pernah mengajar saya subjek Balaghah tahun satu tetapi hanya sempat dua kali muhadarah sebelum beliau ditukarkan ke jabatan lain (iaitu Tarikh wa Hadharah). Beliau akan mulakan ucapan seperti mukadimah Syeikh Soleh kemudian diikuti dengan bacaan doa. Tidak pernah meninggikan suara dan mengeluarkan bahasa yang kesat, ucapannya sering ditutur dalam Bahasa Arab rasmi (Fushah) terutama sesama pelajar agama.

Beliau pernah dijemput ke majlis PMRAM buat kali pertama tahun lalu ketika majlis memperingati sambutan Israk Mikraj yang berlangsung di Dataran Hayyul 'Asyir. Beliau bertanya kenapa tidak dibuat di tempat sama seperti tahun lalu? Jawab saya kerana cuaca tidak mengizinkan, musim sejuk dan malam maulid Kaherah dibanjiri hujan yang mencurah-curah.

Saya menyebutkan hujan yang mencurah-curah malam 12 Rabiul Awwal, iaitu malam sambutan maulid Rasulullah s.a.w, jawab beliau spontan, "Ini menunjukkan bahawa Baginda s.a.w adalah pembawa rahmat yang 'menghujani' dunia ini." Kata Muntasar, "Dunia bukan sahaja manusian bahkan langit dan bumi turut meraikan malam sambutan kelahiran Baginda s.a.w".

Sejak jemputan PMRAM ke Majlis Israk Mikraj tahun lalu, Syeikh Fathi melahirkan kegembiraan hadir menyampaikan ucapan bersama pelajar Malaysia. Perasaan ini pernah dizahirkan kepada kami anggota Badan Pengurus PMRAM. Tak hairanlah, walaupun keletihan bermusafir, dalam jadual yang agak padat, Dr.Fathi menggagahkan diri juga untuk hadir ke majlis PMRAM malam itu. Sewaktu dalam perjalanan ke Hayyul 'Asyir, beliau bertanyakan saya hingga jam berapa majlis akan tamat? Saya jawab dalam jam 10 malam. Beliau minta keizinan kami untuk pulang lebih awal iaitu sebaik sahaja selepas menyampaikan ucapan. Jadi pihak urusetia telah menjemput beliau sebagai penceramah pertama malam itu.

Tapi entah bagaimana bila berada dalam majlis, dengan kedatangan para ulamak dan bacaan madih memuji Rasulullah s.a.w, beliau membatalkan hasrat untuk beredar awal bahkan menunggu hingga ke akhir majlis.

Pada malam itu, Syeikh Dr.Muhammad Wusam yang berkhidmat di Darul Ifta', anak murid kepada Dr.Ali Jumaah turut menyampaikan madih dan bacaan Al-Quran. Tidak lupa Habib 'Umar yang mengalunkan qasidah karangan Al-Imam Habib Abdullah Ibn Haddad r.anhu dan majlis tamat sekitar jam 10.30 malam dengan bacaan fasal kelahiran Baginda s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan