Jumaat, 12 Mac 2010

Solat Ghaib Selepas Jumaat di Seluruh Mesir buat Syeikhul Azhar


Syeikh Nasruddin Mahmud Nasr, imam dan khatib Masjid Al-Azhar
******************

Saya berkesempatan untuk solat fardhu Jumaat minggu ini di Masjid Al-Azhar. Hari ini, selepas solat Jumaat, seluruh masjid di Mesir akan mengadakan solat ghaib bagi Al-Marhum Syeikh Mohammad Sayyid Tantawi, Syeikh Al-Azhar yang meninggal dunia pagi Sabtu lalu. Jenazah Syeikh Tantawi telah selamat dikebumikan di perkuburan Baqie selepas disolatkan di Masjid Nabawi di Madinah.

Khutbah Jumaat disampaikan oleh Syeikh Nasruddin Mahmud Nassar, ulamak besar di Kementerian Waqaf Mesir yang juga imam dan khatib di Masjid Al-Azhar seterusnya mengimami solat Jumaat dan mengetuai solat ghaib kepada Al-Marhum.

Dalam khutbahnya beliau mengaitkan dengan kelebihan para ulamak di sisi Allah dan Rasulullah s.a.w. Seterusnya Syeikh Nasr telah memuji kehebatan, kesungguhan Al-marhum Syeikh Tantawi dalam usaha menyebarkan dakwah bukan sahaj untuk orang Islam bahkan kepada selain Islam.Bukan sahaja kepada sesama orang Sunni bahkan selain mereka. Bahkan sikapnya yang sederhana telah berjaya mendekatkan antara fahaman Sunni dan Syiah.

Menurut Syeikh Nasr lagi, walaupun beliau tiada lagi di dunia ini, namun ilmu dan turathnya masih lagi mampu ditatapi dan diwarisi oleh kita dan generasi seterusnya terutama kitab Tafsir "TAFSIR AL-WASIT" yang beliau hasilkan. Sambil memetik sabda Rasulullah s.a.w "Apabila mati anak Adam, maka terputus segala amalannya kecuali tiga iaitu sedkah jariah,ilmu yang dimanfaatkan serta anak yang soleh." Kata Syeikh Nasr, ketiga-tiga dimiliki oleh Syeikh Tantawi termasuk anak-anak soleh. Kata beliau, "Kitalah, generasi yang akan datang merupakan 'anak-anak soleh' beliau yang akan mendoakan buat beliau."

Ketika menyorot kembali muktamar terakhir yang disertai Al-Marhum, Syeikh Nasr menyebutkan betapa ketika itu dan sebelumnya, Syeikh Tantawi banyak mempertahankan sahabat Rasulullah s.a.w dalam ucapan muktamar yang disertainya. Mempertahankan para sahabat dari dikeji dan tohmahan yang difitnah kepada khulafa' Ar-Rasyidun dan sahabat Baginda yang lain. Kata Syeikh Nasr, "Oleh itu Allah telah muliakan Al-Imam Ar-Rahil (Syeikh Tantawi) dengan dikebumikan jasadnya di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w di Baqie, kemuliaan kepadanya yang banyak mempertahankan hak para sahabat Baginda s.a.w."

Ketika ini, saya lihat ramai jemaah yang hadir menitiskan air mata terharu mengenangkan pemergian Al-Marhum yang kesudahannya diberikan tempat persemadian yang baik atas muka bumi Allah ini.

Syeikh Nasr akhirnya mengingatkan kepada umat Islam agar tidak memandang rendah pada golongan ulamak kerana mereka merupakan pewaris kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan dalam khutbanya dengan nada yang agak keras, Syeikh Nasr mengeglarkan mereka yang tidak beradab dengan ulamak sebagai "As-Sufahak" dan "Juhhalak" iaitu "orang-orang yang bodoh dan jahil."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan