Isnin, 4 Julai 2011

Pilihanraya Parlimen Mesir Tetap Berlangsung Akhir September Ini


Perdana Menteri Mesir, Dr.'Essam Sharf (gambar) menegaskan Pilihanraya Parlimen Mesir tetap akan berlangsung akhir September seperti yang dirancang, tegas beliau yang ketika ini dalam rangka lawatan ke negara Emiriah Arab Bersatu (UAE). Perdebatan hangat sama ada pilihanraya September atau ditangguh ketika ini antara ahli politik negara ini berikutan timbul cadangan untuk menangguhkan pilihanraya Parlimen Mesir yang dijadualkan September ini bagi memberi laluan untuk membincangkan hal berkaitan Perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dilihat melengah-lengahkan pilihanraya dan membelakangi suara rakyat pada keputusan referendum bulan Mac lalu yang majoriti bersetuju terhadap pindaan Perlembagaan negara.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr.Yahya Jamal membuat kenyataan juga "bahawa kerajaan bersetuju menangguhkan Pilihanraya Parlimen negara" akan tetapi dinafikan oleh Majlis Angkatan Tentera yang menjadi pemerintah sementara negara. Kenyataan dari majlis tentera kemudian mengumumkan bahawa pilihanraya tetap akan berlangsung seperti yang dijadualkan sebelum ini. Ikhwan Muslimin adalah antara golongan yang mahukan pilihanraya berlangsung September ini. Pihak mereka bakal bertanding 40 hingga 50 peratus kerusi Parlimen.

Pendapat dari pemerhati politik, cadangan untuk menangguhkan pilihanraya adalah kerana sesetengah parti politik belum bersedia untuk menghadapinya sementara ada yang melihat ia satu cadangan untuk 'mengekang kemaraan dan kebangkitan' Ikhwan Muslimin yang dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihanraya tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan