Ahad, 18 Disember 2011

TENTERA MESIR TIDAK SERIUS TANGANI KONFLIK

Terlalu pantas isu yang berlaku di Mesir-minggu ini sahaja terdapat tiga peristiwa yang berlaku iaitu pilihanraya pusingan kedua bagi Parlimen Mesir pada 14 dan 15 Disember yang keputusannya hanya diketahui hari ini, 18 Disember yang menyaksikan kebanyakan calon terpaksa menyertai pusingan ulangan pada Rabu dan Khamis ini. Peristiwa kedua pada 16 Disember lalu satu protes diadakan di hadapan bangunan Jemaah Menteri dan ketiga menyaksikan pada protes tersebut gugurnya sebilangan rakyat yang menyertai himpunan antaranya Syeikh Imad 'Effat. Hingga kini, seramai 10 orang dilaporkan sudah terkorban dan lebih 500 orang lagi cedera. Ketika artikel ini ditulis, televisyen Mesir masih memaparkan pergolakan yang masih berterusan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan. Terbaru, sebuah pusat kaijan terbakar yang menyaksikan banyak bahan-bahan sejarah dan kajian ilmiah turut musnah.

Esok, Isnin Majlis Tentera diberitakan akan mengadakan sidang media khas bagi mengulas kejadian berdarah yang terbaru ini.

Mesir menyaksikan suasana yang agak tegang kebelakangan. Banyak sudah nyawa terkorban dan harta benda musnah namun rakyat masih ternanti-nanti siapakah dalang di sebalik peristiwa ini?

Sebelum ini, dunia digegarkan dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di Tahrir, kemudian di Masbero (bangunan stesen Televisyen dan Radio Mesir), kemudian kejadian berdarah Abbasiyah. Beberapa minggu lalu, di Jalan Mohammad Mahmud iaitu jalan yang menghala ke bangunan Kementerian Dalam Negeri manakala terbaru ialah di Jalan Jemaah Menteri.

Benar seperti yang disebut oleh Dr.Mohammad El-Baltaji, AJK Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Pusat yang juga Ketua parti bagi daerah Kaherah.

Beliau meminta Majlis Tentera mendedahkan nama-nama yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan pada semua peristiwa-peristiwa tersebut.

Kata beliau "Persoalan yang masih belum menemui jawapan ialah: Siapa yang bunuh mereka yang berhimpun di Masbero, Jalan Mohammad Mahmud, bangunan Jemaah Menteri? Maka Majlis Tentera wajib menjawabnya: Siapa yang melepaskan tembakan?

Atau kata beliau yang juga merupakan pimpinan Ikhwan Muslimin, adakah perlu pihak berkuasa berundur dari jawatan masing-masing akibat kegagalan mentadbir tanah air dengan baik?

Memang jelas, permintaan beliau bahawa Majlis Tentera perlu mendedahkan nama-nama penjenayah yang melakukan pembunuhan kepada rakyat. Sudah tentu, pihak keselamatan mempunyai maklumat segala hal yang berkaitan.

Setiap kali berlaku kejadian berdarah, beberapa hari kemudian Majlis Tentera akan mengadakan sidang media. Tetapi tentera seakan-akan tidak serius menyelesaikan masalah apabila kejadian yang hampir sama berulang kembali.

Lihat contoh peristiwa berdarah di Masbero beberapa bulan lalu. Selepas kejadian, tentera mengadakan sidang media dan menayangkan video kepada para wartawan dan kesimpulan yang dibuat, kejadian didalangi oleh "musuh kepada revolusi 25 Januari". Dengan menamakan "musuh revolusi" dan hingga kini rakyat masih ternanti-nanti di mana perbicaraan kepada mereka yang terlibat mendalangi peristiwa tersebut yang dinamakan sebagai "musuh revolusi" tadi? Siapakah mereka?

Pandangan saya, sidang media Majlis Tentera esok pun ramai yang boleh membuat andaian apa yang bakal berlaku pada sidang media tersebut yang akan turut menyimpulkan di akhirnya seperti sebelum ini bahawa "musuh revolusi" menjadi dalang peristiwa di bangunan Jemaah Menteri sejak Jumaat lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan