Sabtu, 4 Jun 2011

DR.ABDUL HAMID GHAZALI PEMIKIR EKONOMI ISLAM KEMBALI KE RAHMATULLAH




Dunia Islam kehilangan seorang lagi tokoh dan mujahid gerakan Islam khasnya di Mesir pagi tadi. Al-Marhum Prof.Dr.Abdul Hamid Ghazali, seorang pemikir ekonomi dan pencetus perubahan khasnya dalam lapangan ekonomi Islam, juga pejuang Ikhwan Muslimin yang istiqamah telah kembali ke rahmatullah dalam usia 83 tahun. Solat jenazah akan disempurnakan selepas solat zohor hari ini, Sabtu di Masjid Mustafa Mahmud, Mohandiseen, Giza.

Dr.Abdul Hamid Ghazali dilahirkan pada 23 Februari 1937 di Kampung Mit Syahalah,markaz Syuhada' wilayah Munufiyah,Mesir dalam keluarga yang kuat berpegang kepada agama Islam. Bapa saudara kepada ayah beliau ialah Syeikh Abdul Majid Salim, bekas mufti Mesir (tahun 1928) dan Syeikhul Azhar (tahun 1950-1952). Dr.Abdul Majid mengenali Ikhwan Muslimin sejak dari kecil. Beliau dipenjarakan tahun 1954 ketika beliau masih menuntut di peringkat sekolah menengah pada usia 17 tahun. Tahun 1968 memperolehi Ijazah Kedoktoran (Phd) dalam jurusan Ekonomi dari United Kingdom dan bertugas sebagai tenaga pengajar di Kuliah Ekonomi dan Sains Politik di Universiti Kaherah.

Sewaktu tahun 1965, Presiden Jamal Abdul Nasir mengeluarkan perintah penahanan kepada semua tahanan politik dari Ikhwan Muslimin yang pernah ditahan sebelum ini termasuk Dr.Abdul Hamid. Beliau terselamat ketika itu kerana masih berada di London bagi menamatkan pengajian Phd beliau.

Pada pemerintahan Anwar Sadat, beliau sekali lagi ditahan ketika era kebangkitan mahasiswa pada tahun 1971 bersama-sama dengan bekas Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Ustaz Mahdi 'Akif.

Sewaktu bertugas di Fakulti Ekonomi dan Sains Politik,beliau telah bergerak aktif bagi menyampaikan dakwah dan mendidik ramai pemuda-pemuda dari kalangan penuntut universiti sekitar tahun 70-an. Percubaan untuk menahan beliau kali kedua sekitar September 1981 sekali lagi gagal kerana beliau bertugas di luar negara bermula 1980 hingga 1990.

Beliau adalah pemikir dan pencetus kepada perubahan dalam pembangunan ekonomi Islam di Mesir dan dunia Islam. Antara sumbangan dan tugasan beliau ialah:
  • Pengasas Bahagian Ekonomi Islam di Universiti Ummul Qura, Mekah
  • Ketua Pusat Kajian Islam dan Latihan bagi Bank Pembangunan Islam di Jedaah selama 4 tahun
  • Pengasas, penyelia dan ketua Pusat Ekonomi Islam bagi Bank Islam Antarabangsa bagi Pelaburan dan Pembangunan di Kaherah bermula tahun 1985 hingga 1990
  • Pensyarah jemputan di Universiti Kuwait, Universiti Raja Abdul Aziz dan Ummul Qura
  • Ketua Penyelaras Kajian antara Bank-Bank Islam bermula 1991 hingga 1995
  • Panel kepada forum perbankan dan ekonomi Islam di beberapa persidangan bertaraf antabangsa.

Beliau pernah dipilih sebagai calon Ikhwan untuk bertanding Pilihanraya Parlimen tahun 1995 bagi daerah Manil, Kaherah akan tetapi kerana penipuan oleh parti kerajaan maka Ikhwan memboikot pilihanraya tersebut. Beliau kemudian dihadapkan ke mahkamah Askar bersama-sama teman yang lain dan dihukum penjara tiga tahun tanpa apa-apa kesalahan.

Selepas dibebaskan, beliau dihalang keluar dari Mesir dan dihalang dari menikmati kebebasan seperti sentiasa diawasi oleh pihak polis (amnu daulah) dan dari menghadiri sebarang persidangan di luar negara antaranya yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Demokrasi di sebuah universiti di London tahun 2006.

Beliau telah berkahwin dan hasil perkongsian hidup beliau dikurniakan tiga anak perempuan yang semuanya telah mendirikan rumah tangga di samping mempunyai 9 orang cucu.

Dalam Ikhwan Muslimin, beliau dilantik sebagai anggota Majlis Syura Ikhwan, ketua bahagian Politik Ikhwan hampir 8 tahun dan Penasihat politik bagi Mursyidul 'Am.

Semoga ALLAH merahmati beliau dan menempatkan beliau bersama kekasihNya dalam syurga tertinggi..Amin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan