Selasa, 14 Jun 2011

JIKA MUBARAK BERTINDAK SEPERTI AL-ASAD HARI INI..

Setelah Dar'a, Baniyas terbaru Jasr Syaghur dikenakan operasi ketenteraan paling zalim oleh tentera Syria, kini satu lagi bandar yang terletak tidak jauh dari Damsyik, ibu negara Syria iaitu Ma'ratun Nukman akan diganyang dan dihancurkan.

Apa yang menarik, operasi ketenteraan tersebut yang disokong oleh pasukan helikopter, kereta kebal dan perisai itu digunakan bagi menyerang rakyat yang keluar dalam demontrasi secara aman, tanpa membawa senjata api atau peralatan yang berbahaya. Lebih mengejutkan berita mendedahkan operasi terhadap satu wilayah ke satu wilayah diketuai dan diseliai oleh Maher Al-Asad, adik bongsu kepada Presiden Basyar Al-Asad.

Maheer Al-Asad, adik bongsu Basyar yang zalim

Lebih menyedihkan, peranan media Syria yang memainkan propaganda bagi menghalalkan operasi tentera tersebut kononnya operasi tentera dari bandar ke bandar adalah bagi memburu kegiatan pengganas. Kononnya dijumpai sebuah kubur besar yang ditanam mayat polis Syria yang kononnya dibunuh oleh pengganas. Sebab itulah antara laungan para penunjuk perasaan Syria ialah "Al-Kazib, Al-Kazib, I'ilam Suria El-Kazib" (Maksudnya: Pembohong, Pembohong, Media Syria Pembohong). Akan tetapi rakyat Syria meyakini operasi tersebut dilancarkan sebagai "hukuman" kepada rakyat Syria yang menuntut kebebasan hak setelah lebih 30 tahun dikongkong sejak zaman pemerintahan Hafeez Al-Asad lagi.

Sejahat-jahat dan sezalim-zalim Mubarak yang dikatakan Firaun Moden Mesir ini pun tidak sanggup melakukan operasi tentera yang sehebat dibuat oleh "puak-puak Singa" di Syria. Jika Mubarak atau anaknya, Jamal mengarahkan tentera bersama polis menyerang rakyat di semua wilayah semasa revolusi 25 Januari lepas, sudah pasti banyak angka akan menjadi korban. Hingga kini sudah lebih 1,000 jiwa rakyat Syria terkorban sementara hampir 10,000 lagi menjadi pelarian ke sempadan Turki.

Kezaliman yang dilakukan oleh Syria terhadapnya tanpa perikemanusiaan tidak boleh dibiarkan lagi. Sekalipun Basyar telah mengumumkan Undang-Undang Darurat Syria yang dikenakan sejak puluhan tahun telah ditarik balik, tetapi tiada apa-apa perubahan yang boleh dibaik sangka terhadap Basyar kecuali azab ALLAH yang hina diturunkan kepadanya.

Oleh sebab itulah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang diketuai oleh Syeikh Yusuf Qardhawi yang beribu pejabat di Doha, Qattar telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 19 April 2011 lalu bagi mengutuk tindakan kerajaan Syria yang telah melanggari batas kemanusiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan