Isnin, 20 Jun 2011

SEBUAH LAGI PEJABAT IKHWAN DIRASMI


Sebuah lagi pejabat Ikhwan Muslimin cawangan Belbis dirasmikan semalam dengan kehadiran dari rakyat tempatan termasuk pemimpin daerah dan para ulamak Al-Azhar. (Klik untuk baca berita) Belbis adalah sebuah bandar kecil yang terletak dalam wilayah Timur (Syarqiyah), kira-kira 40 kilometer sebelum bandar Zaqaziq, ibu negeri Syarqiyah. Belbis juga melahirkan puluhan ulamak yang masyhur antaranya Syeikh Dr.Abdul Halim Mahmud, Syeikh Al-Azhar yang berasal dari Kampung As-Salam, Belbis.

Pejabat Ikhwan kali ini yang dirasmikan oleh Dr.Mahmud Ezzat, Naib Mursyidul Am, yang menjadi kebiasaan pejabat atau markaz dirasmikan oleh Mursyidul 'Am. Mungkin juga kerana Dr.Mohammad Badi'e telah banyak merasmikan pejabat Ikhwan lain sebelum ini, terdekat hanya lebih seminggu lepas, Dr.Badi'e merasmikan pejabat Ikhwan cawangan Bandar 6 Oktober. Begitulah kehebatan Ikhwan Muslimin selepas berlaku revolusi 25 Januari. Belum lagi memerintah negara, pemimpin mereka mempunyai jadual yang amat padat bersama rakyat dan mengatur strategi khasnya bagi berhadapan pilihan raya negara September depan. Setiap lapangan yang boleh mereka masuki, akan dijadikan medan menyampaikan dakwah Islam buat masyarakat.

Tidak hairan kini banyak aktiviti mendekati masyarakat diadakan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, karnival jualan barang dapur secara borong bagi mengelakkan kenaikan harga barang, pemuda-pemuda turun melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengindahkan bandar seperti mengecat bahu jalan dan baru-baru ini, ketika peperiksaan sekolah menengah berlangsung di Mesir, Ikhwan Muslimin cawangan Asyut mengadakan kerjasama dengan Bahagian Peperiksaan sekolah-sekolah di Asyut membantu perjalanan peperiksaan di sana. Inilah antara lapangan yang disertai Ikhwan Muslimin dan politik adalah salah satu cabang mereka dengan menubuhkan Parti Kebebasan dan Keadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan