Isnin, 28 Jun 2010

ABUL BARAKAT SAYYIDI AHMAD DARDIR




Berjalan kaki di belakang Masjid Al-Azhar selalunya bagi mencari kitab yang di maktabah atau kedai buku yang tumbuh bagaikan cendawan di sekitar Al-Azhar, yang paling masyhur tapi ramai pelajar kita lupakan ialah kedai buku Mustafa Halabi, kedai yang menjual kitab turath (cetakan lama dan kertas kuning). Kata orang, dulu harga kitab di situ amat murah tapi kini harganya setanding dan menyamai kitab-kitab cetakan baru.

Jauh di belakang kedai buku itu, ramai yang tidak mengetahui di situ bersemadinya seorang jasad 'alim yang masyhur iaitu Sayyidi Ahmad Dardir r.anhu atau lebih dikenali dengan MALIKI AS-SOGHIR (iaitu Maliki Kecil) kerana alim dan faqihnya beliau dalam mendalami ilmu dalam mazhab Maliki.

Tidak dinafikan juga ilmu tasawuf yang beliau miliki hingga digelarkan "ABUL BARAKAT" iaitu bapa kepada keberkatan. Menurut Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, satu karomah yang diberikan kepada beliau ialah setiap malam beliau dikurniakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

Sayyidi Ahmad Dardir seorang ulamak yang amat tegas dan garang ketika menyampaikan pengajian. Setiap kali pengajian, beliau akan memegang tongkat dan akan memukul anak-anak muridnya yang didapati berkelakuan tidak baik.

Sayyidi Ahmad Dardir dilahirkan di Kampung Bani 'Adi, muhafazah (wilayah) Asyut pada tahun 1127H. Perkampungan Bani 'Adi sememangnya terkenal dengan melahirkan ramai ulamak dan orang-orang soleh. Contohnya, mantan Mufti Mesir, Al-Marhum Syeikh Hasanain Makhluf Al-'Adawi, imam dan khatib Masjid Al-Azhar Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi adalah berasal dari kampung tersebut.

Sayyidi Ahmad Dardir juga diberikan gelaran "Abul Barakat". Berkata ahli sejarah, "Adalah Sayyidi Ahmad Dardir sering melakukan amar makruf, nahi munkar...."

Selain itu, beliau juga amat suka membantu orang ramai yang memerlukan, suka bersedekah dan melapangkan segala kesusahan orang yang datang bertemunya. Oleh sebab itu, beliau diberikan gelaran "Abul Barakat".

Diceritakan bagaimana nama 'Ad-Dardir" diperolehi kerana pada satu masa,satu kabilah Arab yang diketuai seorang syeikh yang 'alim lagi soleh, telah datang ke kampung beliau. Terdapat kesan-kesan cahaya iman dan ibadat beliau pada Allah di wajahnya. Lalu ketika itu, datuknya diberikan nama tersebut dengan nama syeikh tersebut iaitu "Ad-Dardir" sebagai mengambil berkat dengan lelaki yang soleh. Seterusnya nama "Ad-Dardir" terus diwarisi oleh ayahandanya dan beliau.

Ayahandanya, Sayyidi Muhammad Ad-Dardir seorang ahli agama yang soleh. Banyak membantu masyarakat dalam ilmu Al-Quran bahkan menjadikan rumahnya sebagai tempat pengajian Al-Quran dan anaknya, Sayyidi Ahmad telah menghafaz Al-Quran dengannya.Ketika berusia 10 tahun, ayahnya wafat.Namun sebelum pemergian ayahnya telah memberikan khabar berita yang baik bahawa anaknya Sayyidi Ahmad akan menjadi seorang lelaki yang soleh satu hari nanti.

Tidak lama kemudian, Sayyidi Ahmad Dardir meninggalkan kampung halaman dan mengembara ke Al-Azhar. Di sana, beliau bertemu dengan Syeikh Syamsuddin Al-Hifni, Syeikh Al-Azhar dan syeikh bagi Tariqat Khalwatiyah (Maqamnya terdapat di kawasan Darrasah, berhampiran Masjid Syeikh Zaki Ibrahim).
MAQAM SYEIKH HIFNI R.ANHU

Dengan Syeikh Hifni, beliau menjadikannya sebagai guru dan murabbi dalam ilmu tasawuf selain Syeikh 'Ali As-So'idi sebagai guru dan rujukan dalam mazhab Maliki.

Sayyidi Ahmad Dardir juga dikenali sebagai "Maliki As-Soghir" iaitu "Imam Malik Kecil" kerana kealiman beliau dalam mendalami mazhab Imam Malik.

Para ulamak termasuk Syeikh Soleh Jaafari r.anhu menyebut Sayyidi Ahmad Dardir diberikan karomah yang luar biasa iaitu pada setiap malam beliau dikurniakan bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w di dalam mimpi.

Beliau wafat pada tahun 1201H dan disemadikan di belakang Al-Azhar.

Semoga Allah meredhai Sayyidi Ahmad Dardir...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan