Selasa, 15 Jun 2010

KALUNGAN AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM USTAZ HASAN SHUKRI


Pemergian Al-Marhum Ustaz Hasan Shukri ke rahmatullah pada petang semalam amat mengejutkan semua. Beliau hadir pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu baru-baru ini. Sebagai seorang ulamak, pemergian beliau semestinya ditangisi dan kehilangannya tentunya amat dirasai.

Saya bukanlah orang yang mengenali Allahyarham secara dekat, apatah lagi bagi menulis bingkisan kisah perjuangn beliau dalam gerakan Islam PAS, tetapi berdasarkan tulisan dan pembacaan tulisan teman seperjuangan beliau, Allahyarham adalah seorang pejuang yang istiqomah, amat mudah didekati dan disanjungi kawan dan lawan. Selain pernah menduduki beberapa jawatan penting dalam PAS seperti Timbalan Presiden dan terakhir sebagai Ahli Majlis Syura 'Ulamak yang dipegangnya hingga ke akhir hayat, beliau juga adalah antara perintis kepada perjuangan PAS di Malaysia.

Allahyarham Ustaz Hasan Shukri merupakan graduan lepasan Universiti Baghdad Iraq. Menurut catatan Tuan Haji Mohd Hashim, seorang aktivis PAS dalam blog beliau beliau menceritakan perbualan antara beliau dengan Allahyarham Haji Yusof Rawa, mantan Mursyidul Am PAS pertama katanya:

"Tuan Haji Yusuf juga pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ke 2, dalam tempoh masa yang agak lama. Beliau menggantikan Pesuruhjaya pertama Pulau Pinang, yang diarahkan menjadi Pesuruhjaya pertama Terengganu bagi menggerakkan PAS di situ hingga berjaya PAS menawan Terengganu dalam PRU pertama lepas merdeka tahun 1959.

Teringat kisah lucu, gurauan dengan beliau se waktu berada di rumahnya… “Nama ‘Rawa’ di hujung nama ana ini banyak memberi tuah pada PAS..” Kata beliau.

Nama beliau sebenarnya Haji Yusseof bin Haji Abdullah Ar-Rawa. ‘Rawa’ adalah keturunan bangsawan dari tanah besar Sumatera, yang menjadi keturunannya.
“Fasai apa pulak Tuan Aji?” Saya tanya.

“Pernah ana jumpa seorang dari Menteri dari Negara Arab, bila ana perkenalkan nama ana Yusuf Abdullah Ar-rawi (Rawa), dia sangat gembira. Sangkanya kami adalah dari satu keturunan, ‘Ar-rawi’. Maka dia beri 3 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di negara Iraq. Saya beri pada PAS.. Salah seorang dari mereka yang dihantar belajar di sana adalah Haji Hasan Shukri.” Jelas beliau.

Rupanya Tuan Haji Hasan Shukri juga adalah orang yang membantu saya percepatkan penubuhan cawangan-cawangan dan PAS Kawasan Parlimen Balik Pulau, semasa beliau bertugas di pejabat Agung PAS, masa itu. "
Foto terakhir diambil oleh Saudara Sayuti Omar di Muktamar PAS di Kelantan baru-baru ini. Gambar: Blog Saudara Sayuti Omar

Antara majlis yang pernah saya hadiri sewaktu di Malaysia bersama dengan Allahyarham Ustaz Hasan Shukri ialah sewaktu sambutan Jubli Emas 50 tahun PAS Malaysia yang diadakan di PUTIK kira-kira 9 tahun lalu. Salah satu program yang diatur ialah majlis pengkisahan Sejarah PAS yang menampikan Allahyarham sendiri sebagai penceramah.

Antara fakta menarik yang beliau sebut dalam ceramah tersebut ialah bagaimana situasi PAS setelah bulan bintang yang menjadi lambang rasmi PAS pada waktu itu tidak boleh lagi digunakan setelah ia diharamkan oleh pemerintah pada tahun 1971 (di zaman pemerintahan Allahyarham Tun Razak), maka beliau yang mencipta lambang baru PAS yang diguna hingga kini atas nama bulan purnama.

Saya masih ingat, ketika sedang memikirkan simbol baru tersebut, beliau mengambil tudung dakwat yang berbentuk bulat, dan melukisnya atas kertas. Beliau tak terfikir untuk menamakannya bulan tapi setelah dilihat seorang anggota muslimat dari Kelantan (tak silap beliau sebut kawasan Tumpat), muslimat tersebut terus menyebut simbol itu "bulan". Ustaz Hasan masa itu terus mengiyakan dan sejak itu simbol parti PAS ialah lambang bulan purnama, sambil disambut gelak ketawa mereka yang hadir dalam dewan PUTIK masa itu.

Satu kenangan dalam PAS kata Allahyarham lagi, sewaktu menjadi Setiausaha Agung PAS dahulu (ketika Allahyarham Dato' Asri menjadi Presiden). Menurut catatan Tuan Haji Subki Latif dalam blognya, Allahyarham pernah dilantik dua kali sebagai Setiausaha Agung PAS iaitu di bawah Dato' Asri dan era kepimpinan ulamak di bawah Tuan Haji Yusof Rawa. Kata beliau:

"Ketika itu beliau Setiausaha Agung. Dia baik dengan semua, tetapi kerana dia tidak dimasukkan dalam golongan Dato Asri, maka sekalian yang tidak sekata dengan Dato Asri berkumpul di depan mejanya dan di rumahnya baik dari Terengganu, Kedah malah Kelantan. Dia digugurkan dari jawatannya digantikan oleh Ustaz Nakhaie dan kemudian Dato Abu Bakar Omar. Dia terus menjadi pegawai di Pejabat Agung PAS. Tetapi orang-orang tadi berkumpul di mejanya juga. Akhirnya pimpinan bertukar kepada Haji Yusof Rawa. Ustaz Hasan dijadikan Setiausaha Agung semula."

Dalam ceramah tadi, Ustaz Hasan mengatakan ketika itu, beliau mengeluarkan surat mengambil tindakan kepada ahli dan pimpinan PAS . Beliau merujuk peristiwa di mana PAS berada dalam krisis kepimpinan ketika peralihan dari pucuk pimpinan kepada kepimpinan ulamak. Jawatankuasa disiplin PAS masa itu yang dipengerusikan oleh Allahyarham Haji Yusof Rawa sendiri telah memutuskan beberapa tindakan dengan memecat, menggantung keahlian serta ada yang diberikan amaran. Antara mereka yang dikenakan tindakan itu adalah pimpinan PAS sendiri yang menjadi rakan seperjuangan Allahyarham. Kata beliau, surat tindakan disiplin itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh beliau selaku Setiausaha Agung masa itu.

Allahyarham Ustaz Hasan juga adalah pejuang PAS yang konsisten dan pernah melalui perit getir perjuangan bersama hampir kesemua Yang Dipertua dan Presiden PAS bermula dengan Allahyarham Dr.Burhanuddin Al-Helmi hingga sekarang, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat.

Dalam blog Tuan Haji Mohd Hashim beliau mencatatkan bagaimana PAS mengadakan rapat umum bagi kempen pilihanraya PAS 1959 dalam blognya beliau menukilkan:

"Waktu itu rapat umum secara terbuka masih dibenarkan, tidak seperti sekarang. Pada 27 Februari, dengan kereta buruk ‘terbatuk-batuk’ Ketua Penerangan bersama pemuda-pemuda bersemangat seperti Hasan Shukri yang sekarang masih aktif dalam PAS (Jawatan tertinggi pernah beliau pegang ialah Timbalan Presiden PAS), menuju ke Padang Rengas kerana rapat umum pukul 9 pagi, 3.30 petang di Lenggong, dan malamnya di Kampung Laut.
Pada 10 pagi besoknya di Raban, petang di Gerik dan malam di pekan minggu Taiping. Sepatutnya kembali ke Pejabat Agung, tetapi kerana keperluan dan permintaan terlalu mendesak, beberapa rapat umum terpaksa dilanjutkan di sekitar Kuala Kangsar. "
Solat jenazah diimamkan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang.Gambar:Harakahdaily.net

Allahyarham Ustaz Hasan juga dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar yang menjadi kemegahan kepada pejuang PAS. Ia menjadi lambang kepada kesungguhan PAS untuk memiliki markaz dan pejabat pentadbiran sendiri di tahun 80-an dan antara pelopor kepada pembinaan markaz tersebut ialah Allahyarham sendiri.

Markaz tersebut yang kini semakin gah berdiri setelah mengalami beberapa kali proses pengubahsuaian. Tentu setiap pahala amal jariah akan terus mengalir kepada Allayrahyam selagimana bangunan tersebut masih berdiri.

Menurut saudara Rashidi Hasan dalam tulisannya di Harakahdaily mengulas majlis pecah tanah Kompleks baru PAS, beliau mencatatkan kenangan lampau sewaktu majlis di Taman Melewar, beberapa hari sebelum Muktamar tahunan PAS ke-56 berlangsung, katanya:

"Di majlis tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta sebahagian besar pemimpin tertinggi PAS Pusat, hadir sama menyaksikan majlis pecah tanah.

25 tahun lalu, di Lorong Haji Hassan, Jalan Batu Geliga, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar didirikan. Pada ketika itu seluruh kawasan tersebut di kelilingi dengan kebun getah dan kebun buah-buahan.

Mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri yang pada ketika itu menjadi Setiausaha Agung PAS menjadi peneraju utama atau arkitek pembinaan Markaz Tarbiyyah.
PAS tidak mempunyai sumber kewangan. Maka setiap ahli dan penyokong PAS bertungkus lumus mengumpul dana dan membantu pembinaan secara gotong-royong, termasuk membuat jalan masuk ke Markaz Tarbiyyah.

Penulis masih ingat sewaktu PAS menganjurkan ceramah kali pertama di situ. Dalam suasana gelap gelita kepekatan malam, kami bersila di celah-celah kebun getah untuk mendengar ceramah.
Dari situlah antara detik-detik mula kemanisan perjuangan dalam PAS. Kami mengutip derma pada setiap kali ceramah. Mengumpulkan dana bagi membantu pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS sedikit demi sedikit.

Pembinaan Markaz Tarbiyyah dimulakan dengan membina sebuah pejabat dua tingkat, sebagai pusat operasi pentadbiran PAS Pusat. Bangunan dewan yang dinamakan Dewan Dato' Fadzil Noor dan perpustakaan Ustaz Yusuf Rawa dibina kemudian.
Dalam tempoh 25 tahun Markaz Tarbiyyah PAS Pusat begitu nostalgik dan amat besar jasanya kepada pembangunan serta perkaderan aktivis PAS."

Rumah Allahyarham juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut. Nama lorong berkenaan juga dikatakan dinamakan dengan nama beliau iaitu Lorong Haji Hasan.

Dalam catatan terbaru oleh Tuan Haji Mohd Hashim dalam blog beliau Ibnu Hashim, beliau menggamit kenangan bersama Allahyarham Ustaz Hasan yang dianggapnya sebagai guru ketika menceritakan kesungguhan Allahyarham menyiapkan markaz PAS,katanya:
"Terkenang juga, bagaimana Allahyarham berusaha membina pusat tarbiah, di Melewar ini. Dibelinya sekeping tanah, dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan kepada pembeli-pembeli orang PAS. Tapak yang depan sekali dibuat pusat tarbiah, dan pernah dijadikan pejabat agung PAS. Selepas itu rumahnya, rumah Nakhaie (yang waktu membeli itu jadi pemimpin PAS), dan seterusnya. Bila kesuntukan wang, Allahyarham cari saya, "Mat! (nama gelaran saya), ada apa-apa nak derma tak? Aku perlu beberapa lori pasir dan beberapa bantal simen.. Kita nak siap cepat markas kita ni.." Rayunya. "Korek-korek duit zakat harta atau niaga kalau ada, yang akan datang pun boleh bayar sekarang. Kita perlu sangat ni.. Muktamar dah dekat."

Begitulah caranya mengumpulkan wang untuk bina pusat tarbiah di samping kutip derma melalui ceramah umun dan lain-lain."

Jika tak silap saya, Muktamar PAS tahun itu adalah dijadikan majlis perasmian kepada markaz PAS Taman Melewar.
Allahyarham pernah dilantik sebagai Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor ketika era Allahyarham Dato' Fadzil Noor menjadi Presiden sebelum dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS selama satu penggal.

Ketika Pilihanraya Umum tahun 1999, beliau yang merupakan Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Selangor tidak bertanding di mana-mana kerusi ketika mana ke semua AJK Pas Pusat bermula dari Presiden hingga ke Pesuruhjaya lain bertanding.

Selepas kemenangan PAS menguasai negeri Terengganu, beliau dilantik oleh DUN Terengganu sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili DUN Terengganu bersama Ustazah Safinah Jusoh, Naib Ketua Dewan Muslimat negeri masa itu.

Antara tugas beliau terakhir sebelum Muktamar PAS baru-baru ini,beliau adalah antara tenaga utama dalam membuat draf penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya DHPP. Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.
Tuan Guru Dato' Nik Aziz tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi jenazah Allahyarham hari ini. Gambar: Facebook Tuan Guru Nik Aziz

Demikian antara cebisan bingkisan jasa dan bakti Allahyarham yang sempat dicatat. Adapun selain itu, hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Dari sekecil-kecil perkara (walau sebesar zarah) hingga kepada yang besar sumbangan dalam PAS, gelak tawa, gurau senda dan suka duka, tentunya akan diingati selama-lamanya oleh rakan-rakan seperjuangan Allahyarham. Tidak hairan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz terlalu hiba dan sayu hingga mengalirkan air mata ketika menziarahi jenazah Allahyarham.

Maafkan saya jika nukilan di atas tidak selayaknya bagi insan kerdil ini menyoroti kisah perjuangan tokoh dan wira hebat seperti beliau. Akan tetapi sekadar mengingati generasi muda agar kita sama-sama mencontohi beliau sebagai anak-anak yang memerlukan bimbingan ayandanya seperti Allahyarham.

Semoga Allah membalas segala amalan soleh beliau selama ini dengan sebaik-baik pembalasan, semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama kekasihNya..Al-fatihah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan