Sabtu, 5 Jun 2010

SAYYIDI 'ALI ZAINAL ABIDIN: MAHKOTA YANG MENGHIASI GOLONGAN PARA 'ABID



Suasana di dalam maqam Sayyidi Ali yang penuh sesak dengan para pencinta beliau.
Suasana di perkarangan masjid beliau dua tingkat. (Gambar bawah): Pintu gerbang yang menghiasi pintu masuk ke masjid.

Petang tadi, walaupun sibuk dengan peperiksaan, tapi kesempatan untuk meraikan sambutan penutup Maulid Sayyidi Ali Zainal Abidin r.anhu tidak boleh dilepaskan. Sekadar hadir pada sambutan maulid beliau bagi bertemu para pencinta ahli keluarga Rasulullah s.a.w lain yang semua berhimpun di sekitar masjid Sayyidi Ali Zainal Abidin, di Zen Hom. Zen Hom sekarang sudah menjadi penempatan baru pelajar-pelajar Perubatan Malaysia setelah kawasan di Sayyidah Zainab.

Selepas maghrib, seperti biasa rakaman Radio Al-Quran tentang sambutan majlis di dalam masjid. Menanti azan Isyak berkumandang, ucapan penuh bersemangat disampaikan oleh imam dan khatib masjid tersebut. Setelah solat Isyak, saya bersama teman lain menziarahi makam Sayyidi Ali yang penuh sesak. Tiada majlis hadrah atau himpunan halaqah tariqat dibuat di dalam masjid seperti sambutan Maulid Sayyidah Nafisah beberapa minggu lalu. Pekeliling dari Kementerian Waqaf Mesir yang melarang seketika sebarang halaqah tariqat di masjid kendalian kementerian masih dikuatkuasakan.

Sambutan Maulid Sayyidi Ali menandakan betapa dekatnya sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari yang bakal disambut awal bulan Rejab.

Saidina 'Ali Zainal Abidin merupakan putera kepada Saidina Husain ibnu Saidina Ali r.anhuma. Beliau 'Ali bin Husain bin Ali bin Abi Talib. Digelar dengan "Zainal Abidin" iaitu "penghias kepada golongan orang-orang yang beribadat". Ini kerana beliau begitu kuat sujud dan melakukan ketaatan kepada Allah hingga dikatakan setiap malam beliau akan solat sunat sebanyak seribu (1,000) rakaat. Bila pagi, beliau kelihatan berjalan dalam keadaan terhoyong-hayang kerana tidak cukup tidur dan tanda kuat ibadat beliau kepada Allah.

Sayyidi Ali Zainal Abidin juga suka melakukan sedekah tanpa dilihat dan diketahui orang. Kisah beliau pada setiap malam akan membuat makanan dan akan meletakkan makanan itu di hadapan pintu rumah orang-orang miskin. Setelah diletak makanan, beliau akan mengetuk pintu dan terus berlari tanpa diketahui siapa yang membuat kebajikan itu. Tatkala selepas kewafatan beliau, beberapa lama orang-orang itu tidak lagi menerima makanan seperti sebelum ini. Barulah mereka tahu bahawa Sayidi Ali yang membuatkan makanan tersebut sewaktu hayat beliau.

Sayyidi Ali adalah antara putera Saidina Husain yang terselamat dalam peristiwa berdarah KARBALA. Ini kerana pada waktu tercetus perang itu, beliau demam dan tidak ikut serta ayahandanya dan berada di dalam khemah. Beliau antara lima ahli keluarga Saidina Husain yang terselamat selain 'Ali Soghir, dua puteri beliau (Saidina Husain) iaitu Sayyidah Sukainah dan Fatimah selain adinda Saidina Husain iaitu Sayyidah Zainab binti Ali. Adapun selain mereka, semuanya gugur syahid.

Walau bagaimanapun, masjid beliau yang dikatakan terdapat di Kaherah yang menjadi tempat sambutan Maulid beliau semalam ini bukanlah maqam beliau. Ini kerana pendapat masyhur bahawa Sayyidi Ali disemadikan di Baqie.

Di Kaherah ini, adalah maqam anakanda beliau yang bernama Sayyidi Zaid bin Sayyidi Ali Zainal Abidin. Di masjid tersebut, terdapat kepala Sayyidi Zaid yang dikebumikan di dalam masjid yang dinamakan dengan ayahandanya. Kenapa tidak diletakkan nama Masjid Sayyidi Zaid? Ini kerana ayahanda beliau iaitu Sayyidi Ali lebih masyhur dan lebih dikenali.

Pernah cerita masyhur ketika di Masjidil Haram, musim haji penuh sesak manusia untuk mengucup Hajarul Aswad. Hinggakan Khalifah Hisham Abdul Malik yang ada didalam Masjidil Haram sukar untuk mendekati Hajarul Aswad. Namun apabila masuk Sayyidi Ali Zainal Abidin ke dalam masjid, manusia tiba-tiba terbelah dua, membuka laluan kepada Sayyidi Ali untuk mengucup Hajarul Aswad. Lalu beliau mengucup dengan mudah hingga sesetengah mereka yang belum mengenali Sayyidi Ali tertanya-tanya, siapakah gerangan lelaki ini? Lalu Allah mengilhamkan kepada penyair yang masyhur, Farazdaq menukilkan syair memberitahu perihal Sayyidi Ali dengan katanya:

من معشر حبهم دين وبغضهم * كفر وقربهم منجا ومعتصم
إن عد أهل التقى كانوا أئمتهم * أو قيل من خير أهل الأرض قيل هم
هذا ابن فاطمة إن كنت جاهله * بجده أنبياء الله قد ختم

Maksud:

"Mencintai mereka adalah dari agama, membenci mereka * (boleh membawa) kekufuran dan mendekati mereka adalah pegangan agama,
Jika dikira orang yang bertaqawa mereka adalah ketuanya* atau jika dikata siapa sebaik-baik ahli Bumi, maka dikatakan juga mereka,
Inilah dia anak kepada Fatimah jika kamu ingin tahu* Datuknya (Rasulullah) adalah penutup segala para nabi".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan