Khamis, 17 Jun 2010

KELANTAN FIESTA 2010: SATU PERINGATAN BAGI ORANG YANG BERAKAL

Malam tadi, perancangan awal bagi perasmian Kelantan Fiesta 2010 yang dijangka akan berlangsung dalam gilang-gemilang. Dalam kepala penganjur, Red Carpet Worldwide, tentunya puluhan ribu rakyat Kelantan akan memenuhi tempat duduk dan stadium Sultan Mohamad ke-IV Kota Bharu, sebab yang akan turun ialah Perdana Menteri sendiri. Persiapan tempat dan program tentu disusun sebaiknya.Tapi selalunya apa yang terjadi tak seindah apa yang dirancang.

Malang sungguh bagi pihak penganjur. Ini bukan ibarat jatuh ditimpa tangga. Bak kata Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakob, mantan Ahli Parlimen Bachok, antara tokoh pemidato yang saya minati, "Jatuh tersepak batu, kena ditimpa tangga, ikatan kain terombak, muka terkena tahik ayam pandu..Cukup satu pakej" Maknanya, sudahlah kaki tersepak batu, sakit dah tu, tangga pula menimpa diri, dua kali sakit, kain yang dipakai terombak ikatan, malu pula sini dan terakhir muka kena tahi ayam, malu pun dapat,sakit pun dapat.

Pertama: Dengar berita hujan turun dengan lebat mulai maghrib dan dekat majlis bermula, hujan masih turun renyai-renyai.

Kedua: Bekalan elektrik pula terputus. Ini menyebabkan ada mereka yang datang, terpaksa patah balik kerana keadaan tidak selesa.

Ketiga: Anggaran penganjur yang mensasarkan jumlah kehadiran yang ramai (kerana buat di stadium), hanya dihadiri kira-kira 300 orang sahaja. Kalau 300 orang, lebih baik sewa dewan Sekolah Padang Garong dekat stadium tu, situ lagi kecil dewan, tak sampai malu macam ni.

Keempat: Perancangan majlis akan disempurnakan oleh Yang Mulia Tuanku Pemangku Raja Kelantan tapi Baginda tidak berangkat kerana ada urusan tertentu.

Kelima: Kalau Pemangku Raja tak berangkat pun, asalkan Perdana Menteri yang sudah berada di Kelantan sejak pagi hari itu hadir, pun dah kurang beban malu, tapi PM juga bergegas pulang dengan penerbangan jam 10.30 malam itu juga.

Keenam: Menteri Besar, Tok Guru Nik Aziz, EXCO dan pegawai kerajaan negeri awal-awal lagi mengumumkan takkan menghadiri majlis perasmian tersebut seperti yang dimaklumkan oleh EXCO, Dato' Takiyudin Hasan. Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Ketujuh: PM yang sepatutnya hadir dan memberikan ucapan sebaliknya diganti oleh Dato' Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Beliaupun terpaksa berucap menggunakan loud hailer.


Kelapan: Bila jadi begitu, RTM pula membatalkan rancangan mengadakan siaran langsung. Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan ‘atas sebab-sebab tertentu’ di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.

Lebih mengejutkan tindakan menaikkan banner dan banting gambar PM dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia.

Apa yang penting di sini, bukan keputusan kerajaan negeri Kelantan yang memulau majlis tersebut seperti yang dibesarkan pihak media, yang menjadi kesalahan besar pihak penganjur ialah memungkiri janji seperti yang dipersetujui sebelum ini. Kerajaan negeri tentunya terbuka memberikan kerjasama dalam apa jua program bagi kepentingan rakyat di negeri ini. Contohnya program Karnival Jom Heboh TV3 yang julung-julung kali diadakan dengan berlandaskan Islam tanpa perkara melanggar syarak, yang boleh dibuat di Kelantan tapi tidak boleh dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Memetik ulasan Dato' Husam Musa dalam ulasan blog beliau, bahawa padang tempat tersebut menjadi saksi betapa sebelum ini dengan linangan air mata serta doa yang dipanjatkan dalam siri-siri solat hajat, tentunya padang tersebut berasa berat untuk dipijak oleh golongan yang memungkiri janji serta mengkhianati kerajaan yang ikhlas dalam melaksanakan ajaran Tuhan, penciptanya yang dijagaNya selama 20 tahun ini.

Apa rakyat Kelantan nak? Mereka nak royalti, bukan wang ehsan. Itu jawapan terbaik buat sesiapa jua yang bercakap ingin menjaga kebajikan rakyat Kelantan masa ini.

Pesanan dari saya: Jangan mungkir janji anda...Yang paling penting jangan cuba buat khianat pada orang nak buat Islam, tambah yang bergelat Tok Guru, buruk padahnya..Yang paling penting kena ingat Allah itu Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan