Jumaat, 11 Jun 2010

KEDATANGAN MINGGU PERTAMA BULAN REJAB:MAULID SYEIKH SOLEH

Sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari menjelang lagi tahun ini. Ketibaan bulan Rejab setiap tahun mengingatkan kepada sambutan bersejarah ini. Namun, tahun ini ia berkebetulan pada musim peperiksaan. Sambutan Maulid Syeikh Soleh telah ditetapkan sejak dulu sampai sekarang akan disambut pada minggu pertama bulan Rejab setiap tahun.

KUBAH DAN BANGUNAN MASJID YANG DIHIASI LAMPU PADA SAMBUTAN MAULID

Seperti yang diketahui, sambutan Maulid Syeikh Soleh setiap tahun akan diadakan pada dua peringkat:

Pertama, yang dianjurkan oleh markaz furu' atau cawangan di muhafazah setelah dipersetujui oleh Syeikh Abdul Ghani sebagai syeikh tariqat (contohnya sambutan yang telah diadakan di Aswan Februari lalu-yang dihadiri rombongan sebuah bas pelajar Malaysia dan Indonesia di bawah kendalian Syeikh Ashraf-, di Asyut pada Mac dan kemudiannya di Bani Suwef).

Kedua, sambutan peringkat Markaz 'Am (Markaz Induk). Dalam dunia ini, tariqat Jaafariyah hanya mempunyai satu-satunya Markaz 'Am iaitulah Masjid Syeikh Soleh sekarang ini di Darrasah, Kaherah. Adapun selain itu, jika terdapat juga masjid Syeikh Soleh di cawangan lain, ia akan dinamakan "markaz furu" (markaz cawangan).

ANTARA TETAMU DARI NEGARA LIBYA

Kalangan tetamu ada yang telah tiba sejak beberapa hari lalu bagi persediaan sambutan ini. Tetamu yang kelihatan pada Khamis lalu di majlis hadrah di masjid ialah beberapa kaum kerabat Syeikh Soleh sendiri yang tiba dari Sudan dan juga tetamu dari negara Libya. Menurut sahabat kami, Abdullah Solehin dari Jabal Taquq, Aswan yang sempat kami hubungi beberapa hari lalu, mereka akan datang secara beramai-ramai dari Aswan pada hari Selasa ini iaitu hari ketiga maulid.

Sambutan Maulid Syeikh Soleh telah berlangsung setahun selepas kewafatan beliau pada tahun 1979 selepas diambil alih teraju oleh puteranya, Syeikh Abdul Ghani hingga kini menjadikannya agenda tahunan tariqat Jaafariyyah Ahmadiyyah.

BACAAN MADIH SEPANJANG MAJLIS

Sambutan biasanya akan berlangsung selama lima hari minggu pertama bulan Rejab iaitu bermula pada Ahad berterusan hingga malam penutup iaitu Khamis. Majlis akan bermula selepas solat maghrib setiap malam yang mana para pengunjung dan tetamu yang hadir akan disajikan dengan alunan madih dan qasidah dari Diwan Jaafari yang berjumlah 12 jilid itu.
HAJI HAMUDAH BAKHIT MENGHANGATKAN MAULID DENGAN MADIHNYA

Hari Ahad akan dikenali sebagai "Yaumul Iftitah" iaitu hari pembukaan. Pada hari ini, selepas saja solat maghrib, Syeikh Abdul Ghani sebagai syeikh tariqat akan bersama-sama tetamu lain mengkhatamkan Al-Quran dan dihadiahkan kepada roh Syeikh Soleh Jaafari sebagai "Sohib Al-Farah" (tuan empunya sambutan).
DR.ABDUL HAKAM,KALANGAN ULAMAK AL-AZHAR BERUCAP DI MAJLIS

Selepas majlis khatam Al-Quran dan bacaan doa, bermula saat itu hadirin akan di'hidang'kan dengan alunan madih. Sebelum itu, majlis biasanya akan dimulakan dengan bacaan Al-Quran.Ia akan diselang-seli dengan ucapan dan kalam nasihat dari tetamu atau para ulamak yang dijemput pada majlis itu selain hadirin turut disajikan dengan jamuan nasi Arab, halawah, syai serta juadah ringan yang lain.
SYEIKH ABDUL GHANI BERSAMA HADIRIN DI MAJLIS KHATAM AL-QURAN


Malam terakhir sambutan iaitu hari Khamis atau disebut "Lailah Khitamiyyah" (malam penutup) kepada acara sambutan. Seperti malam-malam sebelumnya, majlis akan diperdengarkan alunan madih tapi kelainannya, majlis akan berlangsung dari maghrib hingga menjelang waktu Subuh pagi Jumaat. Selepas solat Subuh berjemaah, Syeikh Abdul Ghani bersama putera-putera beliau,Sayyidi Muhammad Soleh, Sayyidi Husain dan Sayyidi Hasan serta kaum kerabat mereka yang terdekat akan berjalan dari ruang masjid ke maqam Syeikh Soleh Jaafari yang terletak di bawah. Di sana, mereka akan membacakan Al-Fatihah serta doa ringkas buat roh Syeikh.
SAYYIDI MUHAMMAD SOLEH,PUTERA SYEIKH ABDUL GHANI MEMBACA AL-FATIHAH DI PAGI JUMAAT DI SISI MAQAM NENDANYA

Sekitar satu jam kemudian, majlis bersurai selepas menikmati juadah sarapan yang disediakan.

Untuk makluman, di halaman masjid, akan berlangsung pameran dan jualan kitab serta produk keluaran Tariqat Jaafariyah antaranya kaset madih, CD, keychain, kalendar, gambar-gambar Syeikh Soleh selain jualan buku dan kitab-kitab Tasawuf yang lain.
JUALAN BUKU TASAWUF DAN KITAB SYEIKH SOLEH DI PERKARANGAN MASJID SEPANJANG MAULID.

Begitulah gambaran ringkas kepada sambutan maulid berdasarkan pengalaman sebelum ini. Tentunya masjid Syeikh Soleh Jaafari akan dipenuhi dengan anak-anak murid beliau yang datang dari seluruh pelusuk negara Mesir (bermula dari Aswan hingga ke Iskandariah) bahkan juga dari luar Mesir.

Kepada mereka yang telah membai'ah dengan Syeikh Abdul Ghani, harap kalian dapat menghadirkan diri walau seketika terutama pada malam penutup. Jika kalian memiliki kerneh tariqat, sila pakai bersama sepanjang majlis. Digalakkan hadir dengan berjubah putih, berkopiah. Berada dalam majlis penuh adab dan mengikuti arahan dari Lajnah Disiplin kerana ia juga arahan dari Syeikh. Jika pihak mereka tidak mengizinkan kalian bersalam dengan syeikh, lupakan hasrat tersebut kerana pada sambutan maulid, agak sukar untuk medapat peluang bersama dengan syeikh kerana keutamaan diberikan kepada para tetamu. Kalian bukan tetamu tetapi muridin.

Tidak lupa jemputan ini buat teman-teman Malaysia dan Indonesia yang telah menyertai jaulah ke Aswan sempena maulid Syeikh Soleh pada Februari lalu. Kalian juga dijemput ke majlis maulid peringkat "markaz 'Am" seperti mana kalian dapat dan mampu menghadiri sambutan maulid yang berlangsung di nun jauh di sana, muhafazah Aswan, Februari lalu.Tentunya sambutan di peringkat markaz 'Am ini lebih bermakna dan besar ertinya dalam kamus tariqat Jaafariyah berbanding sambutan maulid yang dianjurkan di peringkat cawangan-cawangan (furu') lain.

Tidak lupa, kepada semua teman yang pernah menyertai jaulah bersama Syeikh Abdul Ghani ke Aswan tahun-tahun sebelum ini, ke Luxor, ke Asyut, Bani Suwef,Iskandariah dan ke Qina.

Atau juga bagi teman-teman yang pernah menghadiri majlis hadrah mingguan setiap Ahad dan Khamis di masjid beliau di Darrasah (Markaz 'Am) sebelum ini.

Atau kepada mereka yang pernah menghadiri pengajian Al-Quran bersama Syeikh Ashraf (setiap pagi di maqam Syeikh Soleh) atau bersama Syeikh Nabil (di Masjid Saidina Husain), yang pernah diceritakan oleh dua ulamak masyhur lagi tawadhuk ini berkaitan peribadi atau karomah Maulana Syeikh Soleh Jaafari dalam kelas pengajian mereka.

Ataupun buat mereka yang pernah terdetik dalam hati mereka rasa cinta para ulamak atau ahli bait Rasulullah s.a.w, kalian semua dijemput untuk memeriahkan majlis maulid ini jika berkelapangan, tidak sibuk untuk muzakarah ilmu dan telah selesai menjalani peperiksaan.

"KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIR"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan