Rabu, 21 Oktober 2009

Kutub Sittah: Tahniah Buat PMRAM

Majlis Pembacaan Kutub sittah yang bru berakhir semalam sesungguhnya memberikan seribu satu kenangan manis kepada para peserta. Apatah lagi kepada AJK dan tenaga pelaksana yang bertungkus lumus serta rapat dengan para ulamak yang menghadiri majlis julung kali anjuran PMRAM itu. Idea untuk melaksanakan kutub sittah itu dicetuskan oleh mantan Presiden PMRAM sesi lalu, Ustaz Khairul Anuar Ismail. Ia rentetan dari keputusan PMRAM yang mengambil ketetapan bermula tahun ini, PMRAM tidak lagi akan mengadakan Konvokesyen Graduan tahun akhir seperti sebelum ini walaupun seingat saya tahun terakhir iaitu 2008 merupakan tahun keempat belas PMRAM mengadakan Konvokesyennya. Oleh itu, cetusan untuk mengadakan Majlis Bacaan Kutub sittah diadakan dan keutamaan diberikan kepada pelajar tahun akhir. Ini kerana sebelum mereka pulang ke Malaysia, sekurang-kurangnya mereka memperolehi sanad Sahih Bukhari. Seperti yang dunia maklumi, ketika persiapan terakhir dilakukan PMRAM, tiba-tiba kita dikejutkan berita halangan dari Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) apabila pihaknya menghantar surat kepada Syeikh Al-Azhar, Dr.Muhammad Sayyid Tantawi menghalang PMRAM dari menggunakan Dewan Muktamar Al-Azhar (ACC). Namun, segala yang berlaku ada hikmah yang Allah jua mengetahuinya. Segala doa, munajat dan solat hajat diperkuatkan bagi memohon kehadrat-Nya dijayakan program ini dan itulah keputusan PMRAM. Apa jua terjadi tarikh 17 Oktober iaitu pagi Sabtu lalu, program ini mesti dijalankan seperti yang dirancang. Sebab utamanya ialah bagi meraikan masa syeikh seperti yang dipersetujui sebelum ini. Entah bila pula syeikh mempunyai kelapangan masa jika ia ditangguhkan. Dewan Rumah Johor Baru di Rab'ah akhirnya dijadikan tempat program dan berlangsung selama tiga hari manakala hari terakhir bertempat di Nadi Riyadhi Madinah Nasr. Ia bukanlah satu dewan yang segah ACC tapi tentunya keberkatan melimpahi dewan tersebut. Paling menarik bagi saya semalam ialah satu majlis sehebat itu boleh menghimpunkan ulamak hampir sepuluh orang berada di atas satu pentas. Sedangkan majlis seperti itu kita banyak dapati di negara Yaman dan Syria ketika mana satu-satu majlis menghimpunkan ulamak hebat dari negara tersebut. Tambahan pula dengan kehadiran Mufti Mesir, Syeikh Dr.Ali Jum'ah yang hadir bukan sekadar memberikan ucapan berkaitan dengan Al-Imam Bukhari r.anhu bahkan boleh berada dalam majlis tersebut selama tiga jam dan majlis diakhir dengan bacaan doa dari beliau! Inilah keberkatan dan balasan Allah kepada mereka yang sabar. Ujian dan halangan dari pihak musuh Allah yang membencikan majlis ilmu sebelum ini merupakan 'tapisan' Allah kepada hamba-Nya. Hanya mereka yang sabar dan terus istiqamah akan dipilih Allah. Sesuatu cebisan kenangan yang bukan semua mereka yang hadir perolehi. Bagi tenaga penggerak yang hampir dengan para masyayeikh ini, tentu saja lebih banyak kenangan dan memori yang terpahat selama empat hari bersama para ulamak. Tahniah kepada PMRAM yang telah berjaya menganjurkan program ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Syeikh Dr. Jamal Faruq Jibril yang banyak membantu dari susunan majlis dan jemputan tetamu. Tak dilupa kepada tenaga pengajar sepanjang empat hari tersebut iaitu Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kittani Al-Husaini, muhaddith masyhur yang datang dari Iskandariah, Syeikh Dr. Yusri Sayyid Jabr, Syeikh Usamah Sayyid Azhari, Syeikh Dr. Rif'at Fauzi Abdul Muttalib (yang tidak dapat hadir pada majlis penutupan semalam). Juga tetamu yang hadir pada majlis bersama Mufti iaitu Syeikh Dr. Sa'ad Sa'ad Jawish Al-Hasani, Syeikh Dr. Toha Dusuqi Al-Hubaisyi, Syeikh Ashraf Abdul Fattah Al-Mikawi (seperguruan dengan Syeikh Usamah) imam masjid di Bandar 6 Oktober, Prof. dr. Ahmad Rabi'e (Dekan Kuliah Dakwah Universiti Al-Azhar) dan Syeikh Ahmad Al-Hajain. Maklumat lanjut layari blog rasmi Kutub Sittah www.kutubsittah.blogspot.com