Jumaat, 23 Disember 2011

BEKAS MENTERI MUBARAK TEWAS DI SYARQIYYAH

Dalam kawasan pilihanraya Parlimen peringkat kedua ini, yang menjadi tumpuan saya ialah daerah ketiga dalam wilayah Syarqiyah yang menyaksikan pertandingan antara calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) untuk kerusi (Fi At) yang diwakili oleh Ir. Muhammad Fayadh. (Ibu negeri bagi wilayah SYARQIYYAH ialah ZAQAZIQ).

Beliau ditentang oleh bekas Menteri Kebajikan Masyarakat zaman Mubarak (tentunya dari kalangan FULUL), Dr.Ali El-Musailahi.
Ir.Muhammad Fayadh (kanan) dan Ibrahim Salim (kiri) -Ahli Parlimen baru FJP bagi daerah ketiga Syarqiyyah

Nama beliau dikenali kerana kementeriannya merupakan kementerian yang menaungi PMRAM. Dalam kempen yang begitu sengit di kubu Musailahi itu, akhirnya nasib menyebelahi FJP apabila Muhammad Fayadh menang dengan undi 178,074 undi berbanding Musailahi yang hanya memperoleh 155,162 undi.
Ali Musailahi, bekas Menteri zaman Mubarak-tewas di tangan calon FJP

Seorang lagi calon FJP (Buruh) untuk daerah yang sama, iaitu Ibrahim Salim juga diumumkan menang dengan undi 191,270 berbanding lawannya juga calon bekas NDP Mubarak (atau FULUL) Ali Kisyk dengan undi sebanyak 126,764. (Sumber: Web Ikhwan Syarqiyah KLIK)

Untuk rekod, wilayah Syarqiyah menyaksikan FJP dapat menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi pada pusingan ulangan apabila kesmeua 10 calonnya memperoleh kemenangan.

Untuk maklumat lanjut, layari web Ikhwan Muslimin cawangan Syarqiyyah :
http://sharkiaonline.com

CALON FJP MENANG 40 DARI 49 PUSINGAN ULANGAN

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) sekali lagi mencatatkan kejayaan besar pada pusingan ulangan bagi peringkat kedua yang berakhir Khamis lepas dan sedang bersedia berhadapan dengan pusingan ketiga (terakhir) yang ditetapkan pada 3 dan 4 Januari depan. Sementara itu, Setiausaha Agung FJP, Dr.Saad Katatni berkata, hingga sekarang, seramai 10 juta pengundi Mesir telah memberikan undi kepada FJP.

FJP meletakkan 49 calonnya bagi pusingan ulangan peringkat kedua namun 40 daripadanya menang. Berikut pecahan calon FJP dan mereka yang menang berdasarkan sembilan wilayah tersebut:

1) Giza:
Menang 8 dari 9 calon

2) Menufiyah:
Menang 6 dari 6 (sapu bersih)

3) Buhaira :
Menang 7 dari 10 calon

4) Bani Suwef :
Menang 4 dari 6 calon

5) Syarqiyah :
Menang 10 dari 10 calon (sapu bersih)

6) Ismailiyyah :
Seorang calon sahaja dan menang

7) Suwes:
Seorang calon sahaja dan menang

8)Suhaj :
Menang 3 dari 4 orang calon

9) Aswan:
Dua orang calon dan tewas kedua-duanya.

Keputusan rasmi dari pihak Suruhanjaya Pilihanraya Mesir (SPR) akan diumumkan tengah hari esok, Sabtu.

Dalam pada itu, Ikhwan Muslimin dan FJP menyambut baik dengan keputusan Ketua Pemerintah Tentera, Musyir Husin Tantawi yang menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh pertama persidangan Dewan Rakyat.

Rabu, 21 Disember 2011

WAKIL RAKYAT PERTAMA DARI PARTI NUR SALAFI MENINGGAL DUNIA


Parti Nur Salafi hari ini kehilangan seorang wakil rakyat mereka apabila Syeikh 'Adil Abu Solib (gambar) wakil rakyat bagi daerah kedua (Buruh) bagi daerah Utara Giza meninggal dunia setelah serangan jantung, Selasa semalam. Allahyarham memenangi kawasan tersebut pada pusingan pertama fasa kedua 14 dan 15 Disember lalu.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1959 dan memiliki Diploma Kepejabatan dan Kesetiausahaan tahun 1980. Aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan apabila dilantik sebagai pengerusi sebuah NGO, Jam'iyyah Syar'iyyah di Ahram. Antara sumbangan beliau ialah menubuhkan beberapa kolej pengajian antaranya Kolej Pengajian Umar bin Al-Aziz, bagi peringkat menengah dan rendah.

Ucapan terakhir beliau ungkapkan pada Facebook beliau setelah diisytiharkan menang "Terima kasih bagi kalian dan setiap yang mengundi bagi senarai Parti Nur-juga yang mengundi kepada parti-parti dan senarai yang lain.."

Allahyarham pernah bertanding sebelum ini pada pilihanraya 2005 atas tiket calon bebas tetapi tewas di tangan calon Parti pemerintah, NDP akibat penipuan pilihanraya. Walaupun ada tuduhan yang mengatakan beliau adalah ahli Pati Demokratik Kebangsaan (NDP) yang dibubarkan tetapi ia dinafikan oleh Parti Nur.

Ikhwan Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) telah menghantar wakil menziarahi jenazah Allahyarham bagi mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Ia diketuai oleh Ketua Pejabat Ikhwan Muslimin daerah Giza, Sayyid An-Nuzaili, Ketua pejabat ikhwan bagi Ahram, Ali Jabir selain Ahli Parlimen bagi FJP, Ezzab Mustafa.

MENGUNDI ADALAH TUNTUTAN SYARAK-KESATUAN PENDAKWAH MESIR

Kesatuan Pendakwah Islam Mesir menyeru supaya rakyat Mesir yang layak mengundi untuk menunaikan kewajipan masing-masing kerana ia adalah kefadhuan syarak khasnya dalam keadaan perkembangan semasa Mesir yang terlalu mendesak.

Kenyataan kesatuan yang masih diperingkat penajaan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum pilihanraya bermula 28 November lalu. Wakil kesatuan yang ditubuhkan menggabungkan para pendakwah Islam di bawah pantauan Kementerian Wakaf itu, Syeikh Abdul Aziz Rejab berkata, penyertaan dalam proses pilihanraya merupakan penyaksian di hadapan Allah dan ia dikuatkan lagi dengan firman ALLAH yang melarang menyembunyikan penyaksian sebagaimana firmanNya:
"Siapakah lagi yang lebih zalim dari mereka yang menyembunyikan penyaksian di sisi ALLAH dan ALLAH tidak pernah lupa apa yang kamu kerjakan".

Beliau juga meminta supaya para pengundi memilih calon yang sesuai yang mampu memenuhi syarat-syarat pemimpin seperti berkelayakan, berpengalaman, baik dan mampu berkhidmat untuk tanah air. Beliau mengingatkan ancaman Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis "Sesiapa yang bersaksi atas seorang muslim dengan penyaksian bahawa dia bukanlah ahli yang selayaknya maka tempatnya adalah dalam neraka".

Pesan beliau, hendaklah penyaksian itu dilakukan semata-mata kerana ALLAH, bukan kaum kerabat atau hal-hal lain.

Selepas kejatuhan rejim Mubarak, para pendakwah, imam dan khatib di bawah Kementerian Wakaf telah mengambil inisiatif menubuhkan kesatuan bagi menjaga kebajikan ahli mereka di Mesir. Ia seperti kesatuan profesional yang lain seperti Kesatuan Peguam, Kesatuan Doktor, Kestauan wartawan dan lain-lain.

Sumber: Al-Ahram (klik)

PENGUNDIAN PUSINGAN ULANGAN BAGI PERINGKAT KEDUA HARI INI DAN ESOK

Hari ini, Rabu dan Khamis adalah pusingan ulangan bg fasa kedua utk 9 wilayah- dgn FJP terpaksa mengulang bg 49 calonnya.
Sumber: Akhbar Hurriyah wal 'Adalah,Rabu 21 Di 2011

Hari ini, Rabu 21 Disember dan esok, Khamis, 22 Disember adalah ditetapkan pilihanraya ulangan bagi pusingan kedua yang melibatkan 9 wilayah lagi iaitu:

-Giza
-Menufiyah
-Bani Suwef
-Buhaira
-Suez
-Aswan
-Suhaj
-Syarqiyah
-Ismailiyah

Berkaitan kedudukan kerusi bagi parti-parti yang bertanding di Mesir hingga pusingan kedua yang mempunyai jumlah kerusi sebanyak 236 kerusi:

-Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mendahului dengan 117 kerusi dengan 47 calonnya mengulang pada pusingan kedua ini.
-kedua diikuti Parti Nur Salafi (45 kerusi) dengan 25 calon pada pusingan ulangan.
-Kutlah Masriyah yang menggabungkan Parti Misriyyan Al-Ahrar, Tajammuk dan Masry El-Demoqrati sebanyak 26 kerusi dan 3 orang calon pada pusingan ulangan.
-diikuti Parti Wafd Liberal sebanyak 24 calon dan 3 orang calonnya pada pusingan ulangan
-Parti Wasat memperolehi 5 kerusi
-Parti serpihan NDP bekas Mubarak atau istilahnya FULUL sebanyak 3 kerusi.

Selasa, 20 Disember 2011

ULASAN SYEIKH WAJDI GHUNAIM: TENTERA MESIR TIDAK MAHU MENYERAHKAN KUASA KEPADA RAKYAT


Seorang pendakwah Islam, Syeikh Wajdi Ghunaim mengeluarkan kenyataan bagi mengulas tindakan tentera bertindak kasar terhadap rakyat yang berhimpun di hadapan bangunan Majlis Jemaah Menteri bermula Jumaat 16 Disember lalu. Menurut Ghunaim:

*Mereka yang mengasari rakyat di Tahrir ini adalah bukan dari kalangan tentera Mesir. Ini kerana tentera tidak mungkin mengasari rakyat (kerana tentera terbukti menyokong revolusi 25 Januari lalu) akan tetapi "terdapat pihak yang membenci revolusi tersbeut yang terkesan dengan persengketaan dan dendam lama antara mereka dengan para pendukung revolusi." Kata beliau, mereka mungkin perusuh atau samseng pengikut Majlis Tentera atau pihak Kementerian Dalam Negeri yang memakai pakaian seragam tentera.

*Bahawa mereka ini menghidap penyakit buta hati- bukan buta mata- sekalipun turun petanda atau petunjuk dari langit yang menguatkan bahawa tentera melakukan kekasaran, tentu penyokong Ketua Majlis Tentera, Husin Tantawi sama sekali tidak akan membenarkannya. Sekalipun ratusan gambar dan video telah menunjukkan buktinya kepada dunia hari ini.

*Beliau mempersoalkan kenapa Majlis Tentera tidak bertindak terhadap Israel yang melakukan tindakan biadap dengan membunuh tentera Mesir di sempadan selain melakukan pencerobohan kepada sempadan negara beberapa bulan lalu?

*Majlis Tentera adalah yang banyak mendapat sokongan dari Amerika. Ini jelas apabila Amerika mengalu-alukan Majlis Tentera mengambil alih kuasa selepas kejatuhan Mubarak selain Menteri Luar Isarel yang turut melahirkan pandangan yang sama. Apatah lagi, kenyataan Ketua Tentera, Husin Tantawi bahawa hubungan antara Mesir dan Zionis Israel tidak sama sekali akan terjejas.

*Tentera sebenarnya tidak mahu menyerahkan kuasa dan ini telah diketahui umum bagaimana kenyataan pimpinan tentera antaranya Jeneral El-Mala yang menyebut "Dewan Rakyat yang akan datang tidak akan berfungsi" bahkan terdapat kempen bagi menyokong Tantawi.

*Tentera juga menunjukkan mereka menggunakan senjata import khasnya dari Amerika mengekang kebangkitan rakyat ketika ini menguatkan lagi bahawa mereka sebenarnya tidak akan menyerahkan kuasa kepada rakyat.

Sumber: El-Wafd (klik)

Kenyataan ini susulan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika ini, Dr.Janzuri masih menafikan kekerasan tentera menangani penunjuk perasaan sepanjang rusuhan bermula Jumaat lalu.

Bagaimana sebuah buku tulisa Solah Muntasar bertajuk "Naik dan Jatuh: Dari Persada ke Mahkamah" penulis membongkarkan bahawa hingga hari ini surat peletakan jawatan Mubarak masih belum ditandatangani.

Penulis mempersoalkan kenapa kenyataan Mubarak yang dibacakan oleh timbalannya, Omar Suleiman bahawa dia mempertanggungjawabkan Majlis Tentera bagi mentadbir negara dibuat berdasarkan peruntukkan dalam perlembagaan Mesir yang mana?

Penulis juga mendedahkan bahawa, Omar Suleiman menghubungi melalu telefon kepada Mubarak bahawa dia sedang menyiapkan kenyataan untuk mengumumkan Mubarak meletak jawatan. Tetapi Mubarak meminta tempoh dilewatkan bagi dia dan anaknya, Jamal dan 'Ala'a sempat melarikan diri ke Sharm AsSheikh. Omar Suleiman kemudian membuat rakaman kenyataan bahawa Mubarak meletakkan jawatan dan rakaman tadi dilakukan di Pejabat Majlis Tentera. Kemudian, setelah dibuat rakaman, Omar Suleiman menyerahkan rakaman tersebut kepada Jeneral 'Atman, salah seorang Ahli Majlis Tentera untuk beliau serahkan kepada Stesen Radio dan Televisyen Mesir (Masbero) untuk disiarkan ke seluruh negara.

Isnin, 19 Disember 2011

PARTI ISLAH SALAFI MENANG DI MENUFIYAH ATAS TIKET FJP

Parti Perubahan (Hizul Islah) adalah sebuah parti aliran Islam yang cenderung kepada Salafi. Ia antara parti Salafi yang ditubuhkan selepas revolusi 25 Januari selain Parti Nur, Asolah dan Fadhilah.

Walau bagaimanapun, pendekatan lebih terbuka yang ditunjukkan oleh Parti Perubahan ini dengan bekerjasama dengan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang menjadi sayap politik Ikhwan Muslimin dilihat lebih menguntungkannya berbanding rakan mereka, Parti Nur. Nur dilihat lebih suka mengambil jalan 'konfrantasi' dengan musuh sealiran dengan mereka seperti FJP. Jika bersama parti sealiran dengan mereka iaitu 'aliran agama', pendekatan yang lebih keras mereka tunjukkan dengan parti aliran Liberal dan sekular lain.

Parti Perubahan (Islah) menyertai gerakan pakatan mereka yang dinamakan dengan Tahalluf Demoqrati Min Ajli Misr (Kerjasama Demokrasi Demi Mesir).
Dr.Atiyah Adlan, Presiden Parti Perubahan Salafi

Pada pilihanraya Parlimen ini, antara yang menang ialah Presiden Parti Islah Salafi ini iaitu Dr. Atiyah Adlan yang bertanding atas senarai FJP di daerah kedua wilayah Menufiyah. Semalam, SPR telah mengumumkan kemenangan Atiyah Adlan di daerah tersebut. Tahniah kepada Parti Islah atas kepintaran mereka dalam berpolitik..


IKHWAN MUSLIMIN SANTUNI ARTIS


"Pandangan aku terhadap Ikhwan Muslimin berkaitan hiburan telah berubah" Hani Syanudah.

Seorang ahli seni muzik Mesir yang terkenal, Hani Syanudah bahawa persepsinya terhadap Ikhwan Muslimin kebelakangan ini telah berubah ekoran sikap positif yang ditunjukkan pimpinan pergerakan tersebut terhadap aktiviti kesenian.

Syanudah,anak kelahiran Tanta yang berusia 68 tahun itu berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan Lajnah Kesenian Ikhwan Muslimin dan wakil Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi mengucapkan tahniah atas persembahan yang disertai Syanudah berjudul "Selawat ke Atas Rasulullah" (Sollu 'ala Toha Rasul).

Seorang wakil rombongan tersebut, Dr.Muhammad Al-Zaini berkata, "Hubungan berterusan dengan golongan seni hiburan akan diteruskan bagi menyampaikan pandangan sebenar Ikhwan Muslimin terhadap golongan artis yang menyokong pendirian dan sikap positif mereka."
Syanudah bersama rombongan Lajnah Kesenian Ikhwan Muslimin.

Sumber: http://ikhwanonline.com

Sikap keterbukaan Ikhwan Muslimin yang lebih terbuka ini menyebabkan antara faktor mereka muda didekati berbanding aliran dan pergerakan Islam yang lain. Sudah tentu, pendirian Ikhwan Muslimin atau sayap politik mereka, FJP ditentang oleh aliran Islam seperti Parti Nur dan Pergerakan Salafi yang lebih 'syadid' dan keras terhadap golongan artis, kesenian dan hiburan. Justeru, tidak hairanlah Ikhwan telah membuktikan mereka memperolehi sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga Kristian Qibti yang dibuktikan dalam Pilihanraya Parlimen kali ini.

Ahad, 18 Disember 2011

TENTERA MESIR TIDAK SERIUS TANGANI KONFLIK

Terlalu pantas isu yang berlaku di Mesir-minggu ini sahaja terdapat tiga peristiwa yang berlaku iaitu pilihanraya pusingan kedua bagi Parlimen Mesir pada 14 dan 15 Disember yang keputusannya hanya diketahui hari ini, 18 Disember yang menyaksikan kebanyakan calon terpaksa menyertai pusingan ulangan pada Rabu dan Khamis ini. Peristiwa kedua pada 16 Disember lalu satu protes diadakan di hadapan bangunan Jemaah Menteri dan ketiga menyaksikan pada protes tersebut gugurnya sebilangan rakyat yang menyertai himpunan antaranya Syeikh Imad 'Effat. Hingga kini, seramai 10 orang dilaporkan sudah terkorban dan lebih 500 orang lagi cedera. Ketika artikel ini ditulis, televisyen Mesir masih memaparkan pergolakan yang masih berterusan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan. Terbaru, sebuah pusat kaijan terbakar yang menyaksikan banyak bahan-bahan sejarah dan kajian ilmiah turut musnah.

Esok, Isnin Majlis Tentera diberitakan akan mengadakan sidang media khas bagi mengulas kejadian berdarah yang terbaru ini.

Mesir menyaksikan suasana yang agak tegang kebelakangan. Banyak sudah nyawa terkorban dan harta benda musnah namun rakyat masih ternanti-nanti siapakah dalang di sebalik peristiwa ini?

Sebelum ini, dunia digegarkan dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di Tahrir, kemudian di Masbero (bangunan stesen Televisyen dan Radio Mesir), kemudian kejadian berdarah Abbasiyah. Beberapa minggu lalu, di Jalan Mohammad Mahmud iaitu jalan yang menghala ke bangunan Kementerian Dalam Negeri manakala terbaru ialah di Jalan Jemaah Menteri.

Benar seperti yang disebut oleh Dr.Mohammad El-Baltaji, AJK Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Pusat yang juga Ketua parti bagi daerah Kaherah.

Beliau meminta Majlis Tentera mendedahkan nama-nama yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan pada semua peristiwa-peristiwa tersebut.

Kata beliau "Persoalan yang masih belum menemui jawapan ialah: Siapa yang bunuh mereka yang berhimpun di Masbero, Jalan Mohammad Mahmud, bangunan Jemaah Menteri? Maka Majlis Tentera wajib menjawabnya: Siapa yang melepaskan tembakan?

Atau kata beliau yang juga merupakan pimpinan Ikhwan Muslimin, adakah perlu pihak berkuasa berundur dari jawatan masing-masing akibat kegagalan mentadbir tanah air dengan baik?

Memang jelas, permintaan beliau bahawa Majlis Tentera perlu mendedahkan nama-nama penjenayah yang melakukan pembunuhan kepada rakyat. Sudah tentu, pihak keselamatan mempunyai maklumat segala hal yang berkaitan.

Setiap kali berlaku kejadian berdarah, beberapa hari kemudian Majlis Tentera akan mengadakan sidang media. Tetapi tentera seakan-akan tidak serius menyelesaikan masalah apabila kejadian yang hampir sama berulang kembali.

Lihat contoh peristiwa berdarah di Masbero beberapa bulan lalu. Selepas kejadian, tentera mengadakan sidang media dan menayangkan video kepada para wartawan dan kesimpulan yang dibuat, kejadian didalangi oleh "musuh kepada revolusi 25 Januari". Dengan menamakan "musuh revolusi" dan hingga kini rakyat masih ternanti-nanti di mana perbicaraan kepada mereka yang terlibat mendalangi peristiwa tersebut yang dinamakan sebagai "musuh revolusi" tadi? Siapakah mereka?

Pandangan saya, sidang media Majlis Tentera esok pun ramai yang boleh membuat andaian apa yang bakal berlaku pada sidang media tersebut yang akan turut menyimpulkan di akhirnya seperti sebelum ini bahawa "musuh revolusi" menjadi dalang peristiwa di bangunan Jemaah Menteri sejak Jumaat lalu.

Sabtu, 17 Disember 2011

KENAPA AS-SYAHID SYEIKH IMAD DIBUNUH?


Sebelum syahidnya Al-Marhum Syeikh 'Imad 'Effat, ramai yang tidak tahu bahawa beliau adalah antara aktivis revolusi 25 Januari. Pemergian beliau turun ke medan Tahrir pada himpunan dan protes sebelum dan selepas jatuhnya Mubarak, tidak ramai yang menyedari kerana As-Syahid akan mengenakan pakaian biasa, tanpa pakaian jubah Al-Azhar dan serban Al-Azhar-seperti kebiasaan yang beliau pakai pada hari-hari menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar.

Saat menemui ajal, beliau turun sekali lagi bersama-sama rakyat pada Jumaat lalu bersamaan 16 Disember bagi menuntut agar tentera melaksanakan janjinya menyerahkan kerajaan Mesir kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada masa yang disepakati sebelum ini iaitu sebelum Jun 2012 selain menuntut agar pilihanraya Mesir yang berbaki dua pusingan akan datang, berlangsung dengan penuh telus dan bersih.

Ini kerana pada pusingan pertama dan kedua yang berlangsung pada 14 dan 15 Disember lepas, menyaksikan saki-baki golongan 'FULUL' atau calon-calon bekas parti Mubarak yang dibubarkan (NDP) melakukan pembelian undi dan menyogok para pengundi dengan wang. Ada beberapa daerah mengundi, calon 'jahat' ini telah mengupah para perusuh untuk melarikan kertas dan peti undi seperti yang berlaku di daerah Gamaliya, bahagian Kaherah apabila calon bekas parti NDP yang juga bekas wakil rakyat kawasan tersebut, Haidar Baghdadi. Namun, pihak keselamatan berjaya mendapatkan semula kertas dan peti undi yang cuba dilarikan. Begitu juga pada pusingan kedua baru-baru ini, pihak calon 'jahat' ini mengupah perusuh untuk melakukan kekacauan di pusat-pusat mengundi antaranya melepaskan tembakan ke udara yang menyebabkan ada pengundi yang takut untuk mengundi. Pelbagai penipuan yang berleluasa ini, sekalipun berjaya diatasi tetapi ia tiada kerjasama baik yang diberikan oleh pihak tentera sebagai pemerintah sementara ketika ini. Itu belum dikira lagi poster dan kain rentang yang dikoyak dan dirosakkan. Malah terdapat beberapa daerah, pihak musuh menggunakan samseng-samseng bagi menghalang calon kempen Parti Kebebasan dan Keadilan masuk ke kampung bagi merayu undi. Terdapat juga laporan beberapa penyokong parti dibelasah dan dikasari.

Yang banyak menentang penipuan pilihanraya ini ialah individu calon atau wakil mereka atau parti yang bertanding khasnya Parti Kebebasan dan Keadilan, satu-satunya parti setakat ini yang dilihat mahu pilihanraya berjalan dengan penuh adil dan telus. Adapun selainnya, banyak melakukan dakyah dan politik kotor. Sekalipun ia bergelar parti Salafi yang kononnya mahu kepada pelaksanaan syariat Islam seperti Parti Nur yang banyak memberikan saingan sengit kepada Parti kebebasan dan Keadilan di semua daerah. Antara kempen kotor Parti Nur apabila menggunakan nama seorang syeikh Wahabi yang terkenal di Mesir iaitu Syeikh Muhammad Hisan. Parti Nur menggunakan kalam ucapan dan gambar beliau bahawa Syeikh Hisan menyokong Parti Nur. Tetapi dalam satu wawancara televisyen, Syeikh Hisan terang-terang meminta nama dan gambar beliau tidak digunakan untuk kempen mana-mana parti politik. Bahkan pada pusingan kedua lepas, terdapat calon dari Parti Nur adalah dari kalangan 'FULUL' iaitu calon bekas NDP pada zaman Mubarak. Parti Nur sanggup mengambil mereka sebagai calon mereka demi untuk kepentingan politik.

Semua perjalanan pilihanraya yang walaupun zahirnya dilihat lebih adil berbanding zaman Mubarak, tetapi beberapa perkara yang mencacatkan keadilannya harus dibantah. Maka golongan rakyat yang prihatin, mereka mengadakan bantahan di hadapan Pejabat Jemaah Menteri, di Jalan Jemaah Menteri di Qosrul 'Aini, berhampiran dengan dataran Tahrir. Maka sebab itu, kejadian ini dinamakan "Peristiwa Jalan Jemaah Menteri" atau "Ahdas Syarie Majlis Wuzarak".

Syeikh Imad juga turut menyertai himpunan tersebut. Menurut isteri beliau yang juga wartawan akhbar Al-Ahram yang diceritakan dari saksi kejadian, ketika Syeikh Imad berada dalam himpunan tersebut, tiba-tiba seorang lelaki yang berada bersebelahan beliau melepaskan tembakan yang menyebabkan Al-Marhum gugur syahid. Bedah siasat hospital juga mendapati bahawa tembakan yang dilepaskan adalah dari jarak dekat. Solat jenazah beliau telah disembahyangkan ribuan umat Islam yang bersedih atas pemergian beliau di Masjid Al-Azhar, sehari selepas syahidnya beliau.

Pada 22 Oktober 2011 iaitu kira-kira sebulan sebelum berlangsungnya Pilihanraya Mesir, Al-Marhum As-Syahid Syeikh Imad 'Effat dgn ilmu dan keberanian beliau telah mengeluarkan fatwa bahawa mengundi calon 'Fulul' iaitu bekas parti Mubarak adalah HARAM. Berikut disiarkan kenyataan penuh beliau spt yg disiar oleh web Ikhwan Muslimin:

"Sesungguhnya mengundi bagi (calon) Fulul atau mereka yang ada hubungan dengan anggota parti (pemerintah) yang dibubarkan (iaitu Parti Demokratik Kebangsaan-NDP) pada pilihanraya akan datang adalah HARAM dari segi syarak. Ini kerana memandangkan mereka telah menyumbang kepada kerosakan selain keinginan mereka yang mahu menghancurkan masa depan Mesir dengan berleluasanya rasuah sedangkan telah berlakunya revolusi berdasarkan sebab tersebut (iaitu memerangi rasuah dan kerosakan). Maka sesiapa yang memberikan undinya nescaya dia telah menyampaikan (golongan ini) kepada pentas bagi membuat perundangan."

Boleh rujuk web rasmi Ikhwan Muslimin yang menyiarkan teks dalam Bahasa Arab (klik )

Pada pandangan saya, ini juga menjadi faktor beliau menjadi sasaran musuh. Satu fatwa yang amat berani dan atas nama Al-Azhar, tentunya ia memberikan kesan besar kepada masa depan politik musuh revolusi 25 Januari yang terdiri dari kalangan 'FULUL' parti NDP Mubarak dan Amnu Daulah, kedua-duanya telah dibubarkan tetapi masih bertebaran melakukan kerosakan dan memastikan revolusi dan pilihanraya Parlimen menemui kegagalan.

Berdasarkan kepada fatwa tersebut, pada saya secara tidak langsung Al-Azhar telah membuktikan bahawa politik dan pemerintahan merupakan perkara yang ada kaitan dengan agama. Jika tidak, masakan tidak ada hukum HARAM mengundi mereka yang membuat kerosakan dan mengamalkan rasuah?

Sememangnya Islam dan pemerintahan tidak pernah terpisah atau istilahnya 'Islam suku, politik suku'. Ia adalah ajaran dan didikan golongan sekular yang amat bertentangan dengan Islam.

Rabu, 14 Disember 2011

PILIHANRAYA PUSINGAN KEDUA BERMULA 14 DAN 15 DIS


Hari ini, 14 Disember dan esok, 15 Disember merupakan Pilihanraya pusingan kedua yang melibatkan 9 lagi wilayah di Mesir. Menurut laporan rasmi Suruhanjaya Pilihanraya Mesir bahawa terdapat 3,387 calon bertanding 'individu' dan 'senarai' bagi merebut 180 kerusi Parlimen. Bagi jumlah pengundi, seramai 18.8 juta layak untuk mengundi. Sembilan wilayah tersebut ialah:

1) Menufiyah-Terdapat 2.2 juta pengundi dan 525 pusat mengundi.

2) Syarqiyah-Mmepunyai 3.4 juta pengundi dan 1,036 pusat mengundi.

3) Aswan-Seramai 852,000 pengundi dengan 227 pusat pengundian.

4) Giza-Seramai 4.2 juta pengundi yang mempunyai 572 pusat mengundi.

5) Bani Suwef-Terdapat 1.2 juta pengundi dengan 494 pusat pengundian.

6) Suez-Terdapat 378,000 pengundi dengan 68 pusat pengundian.

7) Ismailiyyah-Mempunyai 696,400 pengundi dengan 199 pusat mengundi.

8) Suhag-Mempunyai 2.3 juta pengundi dengan 754 pusat mengundi.

9) Buhaira-Terdapat 3.1 juta pengundi dengan 714 pusat pengundian.

SPR juga memutuskan untuk menangguhkan pilihanraya tiga daerah bagi calon SENARAI pada 21 dan 22 Disember ini iaitu:

1) Daerah kedua bagi wilayah Giza
2)Daerah kedua bagi wilayah Suhag
3) Daerah pertama bagi wilayah Menufiyah

Ahad, 4 Disember 2011

GOLONGAN ISLAM MENDAHULUI PILIHANRAYA MESIR


Berdasarkan keputusan terkini berkaitan undi yang diperloehi calon SENARAI (QAIMAH) Parti Kebebasan dan Keadilan atau Hizbul Hurriyah wal 'Adalah (FJP) maka FJP mendahului parti-parti lain iaitu memperolehi undi sebanyak 3,565,092 atau 40% dari 9 wilayah yang mengundi pada pusingan pertama 28 dan 29 November lalu.

Ia diikuti Parti Salafi Nur pada tangga kedua iaitu 2, 371,731 atau 20% kemudian diikuti Kutlah Masriyah 1,299,081 atau 15 %, kemudian Parti Wasat 6% dan terakhir Parti El-Wafd sebanyak 4 %.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi pada 9 wilayah yang mengundi pada pusingan pertama 28 dan 29 November lalu sebanyak 60.7% atau 10 juta 634, 076 daripada 17 juta 522,583 orang yang layak mengundi. Undi yang dikira sebanyak 9 juta 734,513 manakala undi rosak sebanyak 612,713 undi. Berikut butiran pilihanraya berdasarkan 9 wilayah:

1) Kaherah (Pengundi yang berdaftar: 6 juta 563, 764)
Keluar mengundi: 4 juta 050,999 atau 61.7%
Undi diterima: 3, 780 737
Undi rosak: 270, 262

2) Iskandariah (Pengundi yang berdaftar: 3 juta 303,916)
Keluar mengundi: 2 juta 265,641 atau 67.6%
Undi diterima: 2,164, 338
Undi rosak:101,303

3) Kafr Sheikh (Pengundi yang berdaftar: 1 juta 863, 834)
Keluar mengundi:1 juta 060, 184 atau 56.9%
Undi diterima: 1, 014 604
Undi rosak: 45,580

4) Asyut (Pengundi yang berdaftar: 2 juta 071,879)
Keluar mengundi: 1 ,132 542 atau 54.7 %
Undi diterima 1, 050 215
Undi rosak: 82,327

5) Dumyat (Pengundi yang berdaftar : 849,235)
Keluar mengundi: 563,448 atau 66.3%
Undi diterima:541,032
Undi rosak: 22,124

6) Port Said (Pengundi yang berdaftar : 437, 134)
Keluar mengundi: 306,210 atau 70 %
Undi diterima: 295,556 undi
Undi rosak: 10,654

7)Fayyum (Pengundi yang berdaftar : 1, 545 556)
Keluar mengundi: 798, 032 atau 51.6 peratus
Undi diterima: 738,841
Undi rosak: 59,191

8)Luxor (Pengundi yang berdaftar: 666,254)
Keluar mengundi: 338,065 atau 50.7 %
Undi diterima: 321,726
Undi rosak: 16,339

9) Laut Merah (Pengundi yang berdaftar : 221,011)
Keluar 118, 955 atau 53.8 %
Undi diterima: 114, 022
Undi rosak:4,933

Selasa, 29 November 2011

NAIB MURSYID 'AM IKHWAN MENGUNDI


Naib Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Ir Khairat Shatir membuang undi pada hari kedua Pilihanraya Parlimen, 29 November di saluran 33, Sekolah Sayyidah Nafisah.

SYEIKH AZHAR, DR.QARDHAWI TURUT MEMBUANG UNDI

Akhbar rasmi Ikhwan Muslimin "Kebebasan dan Keadilan" melaporkan berita bahawa Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib membuang undi di Sekolah Rendah Lelaki Mesir Jadidah sekitar jam 10.30 pagi dan menolak untuk diiring oleh pasukan keselamatan masuk ke tempat membuang undi dan seterusnya turut beratur bersama-sama pengundi lain.

Begitu juga ulamak Islam yang terkenal, Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi yang turut menunaikan tanggungjawab di sebuah sekolah di Madinah Nasr, bekas Setiausaha Agung LIGA ARAB, 'Amr Musa yang mengundi di sekolah Fatimah Az-Zahra', Kaherah Baru (Kaherah Al-Jadidah), Setiausaha Agung LIGA ARAB sekarang, Dr.Nabil 'Arabi yang mengundi di sebuah pusat Pendidikan Jasmani di Zamalek, Menteri Kebajikan Sosial dan Masyarakat, Dr.Judah Abdul Khaliq yang membuang undi di Sekolah Sayyidah Khadijah, Ma'adi.

Seorang lagi calon Presiden Mesir, Hamdi Subhi yang membuang undi di Sekolah Rizq Hamamu daerah Baltim. Sejurus keluar dari pusat pengundian beliau berkata "Saya mengundi Parti Kebebasan dan Keadilan".

HARI KEDUA PILIHANRAYA MESIR


Pengundian bagi Parlimen Mesir untuk sembilan wilayah yang bermula semalam, 28 November diteruskan pada hari ini berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir setelah pelbagai kesulitan yang dihadapi pada hari pertama. Ini adalah pengalaman pertama SPR yang mengendalikan pilihanraya yanga adil dan telus setelah 30 tahun ditekan oleh rejim Mubarak.

Pada hari pertama, 28 November semalam, pelbagai masalah dan kesulitan yang dihadapi di beberapa pusat pengundian. Sebagai contoh di daerah Madinah Nasr (Nasr City) di Sekolah Abbas 'Aqad, terdapat 9 saluran mengundi yang dibuka skeitar jam 11 pagi iaitu tiga jam lewat dari waktu yang ditetapkan kerana kertas undi yang tidak mencukup selain para hakim yang menyelia pusat pengundian tiba lewat.

Manakala di Sekolah El-Fath, Hadaiq Qubbah pula, terdapat kertas-kertas undi yang tidak dicop selain di beberapa buah daerah, ketiadaan peti untuk membuang undi hingga pusat pengundian terpaksa dibuka lewat.

Walau bagaimanapun, pakar perlembagaan negara menyifatkan kes-kes tersebut tidak merencatkan proses pilihanraya dan ia akan diteruskan pada hari ini. Keputusan pilihanraya dijangka diumumkan sehari selepas pengundian berlangsung.

Isnin, 28 November 2011

KEPUTUSAN PILIHANRAYA DIKETAHUI ESOK


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir mengumumkan tempoh pengundian yang sepatutnya berakhir jam 7 malam dilanjutkan hingga jam 9 malam ini berikutan terdapat beberapa lokasi pengundian yang dibuka lewat kerana hakim yang bertugas tiba lewat di tempat bertugas ekoran hujan yang turun di sesetengah tempat.

SPR juga mengumumkan bahawa keputusan Pilihanraya bagi calon Fardi (Individu) akan diketahui sehari selepas pengundian pada setiap kali pusingan pilihanraya dijalankan. Ini bermakna keputusan bagi 9 wilayah yang menjalankan pengundian hari ini, 28 November akan diumumkan pada 29 November kecuali keputusan calon SENARAI yang diumumkan lewat kemudian.

PILIHANRAYA MESIR YANG LEBIH ADIL DAN TELUS

Pilihanraya Parlimen Mesir kali ini lebih diyakini rakyat berbanding sebelum ini di zaman Mubarak yang penuh penipuan, ugutan dan sogokan. Ia dimulakan pada hari ini 28 November dengan 9 wilayah.

Semua pusat-pusat pengundian adalah dibawah seliaan hakim-hakim yang akan menjalankan tugas secara profesional.

Pusat pengundian akan dibukan seawal jam 8 pagi hingga 7 malam.

Setelah berbaris, para pengundi akan meneliti nama dan nombor kebangsaan (Roqom Qaumi) sebelum diberikan dua keping kertas:

1) Kertas pertama: Calon individu (Fardi). Para pengundi perlu mengundi dua calon, iaitu seorang dari Buruh dan seorang lagi dari Fi At.

2) Kertas kedua: Calon senarai. Dalam peraturan Pilihanraya Mesir, mana-mana parti berhak mencalonkan calon senarai pada satu-satu daerah antara 4 hingga 12 orang. Maka para pengundi yang berminat kepada calon, dia hanya perlu mengundi pada SATU sahaja parti yang diminatinya. (Contoh kertas undi SENARAI pada gambar di atas)

Perlu diingat pengundian di Mesir dikira tanda BETUL, tidak sepertimana di Malaysia yang dikira tanda PANGKAH pada kotak yang disediakan. Pengundi akan membuang dua kertas tadi ke dalam dua peti undi yang disediakan.

Sebelum beredar, pengundi perlu menandatangani senarai kehadiran dan mengecap ibu jari pada ruangan bersebelahan tanda tangan yang diturunkan sebelum mencelup jari pada dakwat kekal yang disediakan.

Mudah dan telus bukan pilihanraya Mesir selepas REVOLUSI??

9 WILAYAH TERLIBAT PENGUNDIAN PERINGKAT PERTAMA


Hari ini, 28 November merupakan peringkat pertama pengundian bagi Parlimen Mesir yang melibatkan 9 negeri iaitu:

1) Kaherah
2) Iskandariah
3) Fayyum
4) Port Said
5) Bahrul Ahmar (Laut Merah)
6) Dumyat
7) Kafr Sheikh
8) Luxor
9) Asyut

Seramai 17.5 juta pengundi berdaftar akan menentukan wakil rakyat masing-masing untuk mewakili suara mereka dalam Parlimen selepas revolusi Mesir yang menyaksikan kejatuhan Mubarak.

Menurut laporan Ikhwan Online.com:

1) seramai 3,809 calon pada 9 negeri ini bertanding bagi merebut 168 kerusi sementara 36 parti untuk merebut 199 senarai.

2) Seramai 9,530 orang hakim akan terlibat menyelia tempat-tempat pengundian yang dilakukan di sekolah-sekolah kerajaan. (Semua pusat-pusat pengundian sepanjang pilihanraya di Mesir berada di bawah pantauan hakim-hakim).

3) Sebanyak 4011 buah sekolah menjadi pusat pengundian di 9 negeri terbabit dan Kementeri Pendidikan memberikan cuti peristiwa kepada sekolah-sekolah tersebut hari ini. Ia membabitkan:

-1118 buah sekolah di Kaherah
-595 (Iskandariah)
-101 (Port Said)
-400 (Dumyat)
-633 (Kafr Sheikh)
-365 (Fayyum)
-487 (Asyut)
-201 (Luxor)
-111 (Bahrul Ahmar)

KERAJAAN PILIHAN RAKYAT MESIR PADA 2012


Berikut jadual perancangan terbaru setelah perbincangan pihak Majlis Tentera Mesir dengan pertubuhan dan parti-parti politik selepas Himpunan Pemeliharaan Demokrasi 18 November lalu:

1) Ia dimulakan dengan Pilihanraya Dewan Rakyat bagi tiga peringkat yang akan bermula pada 28 November, peringkat kedua pada 14 dan 31 Disember manakala peringkat ketiga pada 3 dan 10 Januari 2012.

2) 10 Mac : Pilihanraya Dewan Senat (Syura) dijangka berakhir.

3) 27 Mac: Persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Syura

4) 10 April: Parlimen akan mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas bagi menggubal dan meminda Perlembagaan Mesir yang baru

5) 16 hingga 20 April : Pencalonan bagi pertandingan Presiden Mesir akan dibuka

6) 10 Mei : Dijangka perbincangan berkaitan perlembagaan akan berakhir

7) 30 Mei: Referendum atau pungutan suara rakyat terhadap draf Perlembagaan baru Mesir

8) 20 Jun: Pengundian bagi pemilihan Presiden Mesir akan bermula

9) 27 Jun: Pengundian pada pusingan kedua terpaksa dilakukan jika tiada seorang dari kalangan calon yang memperolehi undi melebihi 50 peratus

10) 30 Jun : Presiden baru negara akan mengangkat sumpah jawatan.

Ia dikira penyelesaian terbaik yang dilakukan secepat mungkin untuk memenuhi tuntutan rakyat. Jika dibandingkan jadual yang dicadangkan tentera sebelum ini, ia dikira 6 bulan lebih awal dari jadual sebelum ini iaitu seperti yang diumumkan oleh tentera pada taklimat dengan pimpinan parti-parti politik Mesir yang diadakan pada 1 Julai 2011 lalu iaitu:

1) November 2011: Pilihanraya Parlimen Mesir bermula

2) April 2012: Pemilihan bagi Dewan Syura dijangka berakhir

3) Mei 2012: Persidangan penggal pertama Parlimen yang akan membentuk jawatankuasa khas bagi Perlembagaan

4) Jawatankuasa ini diberi masa selama enam bulan untuk bersidang yang dijangka berakhir pada November 2012

5) Pungutan suara terhadap draf cadangan perlu dibuat dalam tempoh 15 hari

6) Selepas itu, baru dibuka pencalonan untuk Presiden Mesir yang dijangka berakhir Disember 2012 atau kemungkinan besar hingga awal 2013.

Cadangan ini yang ditolak rakyat dan melihat pihak tentera cuba untuk melengah-lengahkan ke arah pembentukan kerajaan pilihan rakyat.

Ahad, 7 Ogos 2011

IKHWAN TERUS MELAKAR SEJARAH DALAM MEMIMPIN PERUBAHAN


Satu perkembangan menarik selepas kejatuhan Mubarak pada Februari lalu, Ikhwan Muslimin sebagai sebuah gerakan dakwah yang lama ditubuhkan telah maju ke hadapan dalam memimpin perubahan politik negara Mesir apabila semalam, Sabtu bersamaan 6 Ramadhan 1432/ 6 ogos 2011 telah berlangsung dua program Ikhwan Muslimin serentak.

Pertama, di sebelah pagi telah berlangsung mesyuarat tergempar bagi Majlis Syura 'Am bagi memilih tiga anggota Maktab Irsyad bagi menggantikan tiga anggota bekas Maktab Irsyad yang dilantik sebagai pemimpin parti Kebebasan dan Keadilan. Seramai 108 ahli Majlis Syura 'Am daripada 120 orang anggota telah menghadiri pemilihan tersebut. Tiga bekas anggota Maktab Irsyad tersebut ialah Dr.Mohammad Mursi (Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan), Dr.'Isom 'Iryan (Timbalan Presiden) dan Dr. Sa'ad Katatni (Setiausaha Agung).

Setelah pengundian dijalankan, tiga mereka yang dipilih menganggotai Maktab Irsyad ialah Abdul 'Azim Abu Yusuf, Muhammad Ahmad Ibrahim dan Dr.Husam Abu Bakr.

Buat pertama kali dalam sejarah Ikhwan Muslimin, pemilihan dan mesyuarat Majlis Syura 'Am mereka berlangsung dengan liputan penuh dari media negara.

Pada sebelah petang, sejurus selesai mesyuarat Majlis Syura 'Am, satu majlis berbuka puasa tahunan diadakan. Ramai pimpinan politik dan agamawan yang hadir. Antaranya ialah Dr.Yusuf Qardhawi, Dr.Ali Jum'ah Mufti Mesir, Dr. Muhammad Abul Fudhail Al-Qusi Menteri Wakaf, Dr.Nasr Farid Wasil mantan Mufti Mesir, Timbalan Perdana Menteri Mesir, wakil HAMAS dan pimpinan parti politik pembangkang Mesir.

Jumaat, 29 Julai 2011

Paderi Mesir 'Cemari' Masjid Semasa Ziarah Dr.Bad'ie di Suwes?

26 Julai lalu, Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin Dr.Mohammad Bad'ie telah mengadakan ziarah pertama di wilayah Suwes dan menyampaikan ucapan pada "Hadith Sulasa" di Masjid Saidina Hamzah. Yang menarik, pada majlis yang dianjurkan dalam masjid itu telah dihadiri oleh paderi dari gereja berhampiran. Paderi tersebut turut mendengar ucapan Mursyidul 'Am. Apa pandangan anda jika ia berlaku di Malaysia?

Dr.Mohammad Bad'ie berucap dan gambar bawah paderi Kristian, berpakaian serba hitam sedang bersalaman dengan Mursyidul 'Am. Kejadian ini berlaku di dalam masjid di wilayah Suwes. Berita ini disiarkan oleh web rasmi Ikhwan Muslimin (klik untuk lihat)



Selasa, 19 Julai 2011

KEBANGKITAN MAHASISWA MESIR BERMULA: KITA LAKAR SEJARAH UNTUK GENERASI AKAN DATANG


Solat hajat dan himpunan mahasiswa Mesir yang diadakan semalam bagi saya adalah ledakan bermulanya kebangkitan mahasiswa di Mesir. Pada pengamatan saya sejak bertahun-tahun di sini, itulah antara himpunan terbesar yang pernah dihadiri saya dan rakan-rakan lain. Ibarat pada satu jasad, dicubit paha kanan, paha kiri terasa, maka ribuan mahasiswa dan mahasiswi turun di dataran Kompleks Hayyul 'Asyir bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang ditindas dan diugut setelah menyertai himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Isunya bukan yang ditindas itu ialah Presiden SUARA, bukan juga kerana PMRAM menyokong BERSIH, bukannya isu Ambiga itu kafir zimmi atau kafir harbi, bukannya isu politik kepartian yang sempit, tetapi isunya ialah penindasan dan penafian hak. Lebih dari itu isu kemanusiaan.

Selain beberapa pelajar kita dari negeri Terengganu dan Perak yang diugut oleh pegawai rumah negeri masing-masing selain Asrama Melayu Abbasiah (ARMA) yang akan dikeluarkan semuanya gara-gara menyertai BERSIH, seorang penuntut Darul Ifta saudara Firdaus Mazlan yang juga Presiden SUARA dikenakan tindakan dibuang dari tempat pengajian beliau.

Saya diminta oleh penganjur untuk mengimami solat hajat selepas solat maghrib. Ketika membacakan doa saya sudah tidak dapat menahan sebak. Mengenangkan nasib yang diterima orang yang mengaji agama. Rasanya kalau kami menuntut jurusan Muzik atau kesenian tentunya kami akan ditatang seperti minyak yang penuh. Sewaktu saya berada dalam Badan Pengurus PMRAM sebelum ini, banyak kali kita mendengar aduan mahasiswa yang ditindas. Rasanya telinga ini mendengar berkali-kali rungutan pelajar yang dipersenda. Bagi mereka orang mengaji agama ini tiada nilai sebab bila balik, apa sumbangan untuk memajukan negara? Sekadar jadi imam terawih dan baca qunut nazilah boleh lah.

Sebelum mengimami solat hajat, saya menyebut agar betapa perlunya membuang dari diri rasa buruk sangka dengan ALLAH. Apa jua yang kita doakan hendaklah baik sangka bahawa ALLAH pasti memakbulkan doa kita. Sekalipun ada orang akan memperli, solat hajat sebelum ini pun seakan-akan tiada kesan. Dah berapa kali solat hajat, lepas Kutub Sittah dulu pun solat hajat, macam tak de kesan pun??

Orang yang bertanya begini adalah orang yang tidak faham. Sementara orang yang berkata untuk mempersenda adalah orang yang jahil. Sedangkan Syeikh Soleh Jaafari mengajar anak-anak muridnya bahawa munajat seorang hamba kepada ALLAH adalah "rasa lazat dan manis" sekalipun kelak ALLAH tak sudi memustajabkan doa hambaNya. Akan tetapi ALLAH tidak pernah mungkir janji. Paling kurang, hati kita akan merasa lega sewaktu merayu dan merintih di hadapan ALLAH.

Saudara Firdaus Mazlan yang berucap kemudiannya menceritakan satu-persatu apa yang menimpa beliau. Dalam pendedahannya, ternya pihak kedutaan Malaysia terlibat secara langsung. Kata beliau, terdapat perjumpaan khas antara pihak Duta dengan Mufti Mesir bagi memastikan beliau tidak lagi dapat meneruskan pengajian. Akhirnya ketetapan dari Darul Ifta' dibuat dengan penyingkiran beliau.

Detik peristiwa yang berlaku di dataran Hayyul 'Asyir ini juga perlu dicatat dalam sejarah apabila dua pegawai kebajikan Rumah Anak Negeri iaitu Selangor dan Kelantan berada satu pentas dengan pimpinan PMRAM termasuk Presiden Perubatan dan ABIM. Apakah makna semua ini? Jika semuanya bersatu, maka sebenarnya memberi isyarat bahawa nusrah ALLAH sudah hampir. Lihatlah detik-detik hari terakhir Mubarak di kemuncak kekuasaan. Rakyat tidak kira agama, tua muda, kaya miskin, tentera, para ulamak semuanya bergandingan hanya selepas tiga kali Jumaat, Mubarak dijatuhkan oleh ALLAH.

Bagi saya jika mood mahasiswa Mesir ini bertahan, saya yakin nasib saudara dan rakan kita itu akan terbela insya ALLAH. Kebangkitan mahasiswa akan bermula. Jika rakyat Mesir telah berjaya melakar lembaran sejarah dalam negara mereka dengan tinta peluh dan darah mereka, kita hanya sekadar turun dan memerlukan sedikit masa,wang dan keringat, apalah sangat berbanding perjuangan kebangkitan rakyat Mesir dan Tunisia yang mengorbankan ribuan nyawa termasuk kebangkitan mahasiswa di Indonesia yang menumbangkan Soeharto tahun 1998 sebelum ini. Mari kita tulis sejarah untuk tatapan adik dan anak-anak kita agar mereka dapat manfaat dengan kelebihan ilmu yang ada di Mesir ini kelak.

Ya ALLAH, Tuhan yang menjatuhkan Mubarak, jatuhkanlah mereka yang memusuhi kami.

Ya ALLAH, Tuhan yang membebaskan Mesir, berikan kebebasan bersuara kepada kami.

Ya ALLAH, Tuhan yang telah membersihkan Amnu Daulah dan polis Mesir, bersihkan pasukan polis di negara umat Islam.

Ya ALLAH, Tuhan yang membebaskan Kheirat Shatir Naib Mursyidul 'Am Ikhwan, Hasan Malek dan pemimpin Ikhwan yang lain, bebaskan mahasiswa dari cengkaman musuhMu..

Ya ALLAH, Tuhan yang memenjarakan Jamal dan 'Ala' Mubarak, penjarakan hati-hati musuh kami sehingga mereka buta mata hati.


TV MESIR SIAR LINTAS LANGSUNG PERBICARAAN MAHKAMAH BEKAS MENTERI


Buat pertama kalinya dalam sejarah, perbicraan mahkamah terhadap seorang bekas menteri negara Mesir disiarkan lintas langsung dari mahkamah. Anas El-Feqi, bekas Menteri Penerangan Mesir dihadapkan ke mahkamah semalam atas dakwaan menggelapkan wang awam ketika menjawat jawatan tersebut. Lintas langsung yang disiarkan oleh televisyen tersebut adalah salah satu tuntutan rakyat yang terus mengadakan perhimpunan dan berkampung di dataran Tahrir, Iskandariah dan Suwes yang meminta kerajaan Mesir mengheret Mubarak dan pembantu-pembantunya ke mahkamah dan perbicaraan hendaklah dibuat secara terangan ('alaniyah). Turut didakwa ialah bekas ketua Kesatuan Radio dan Televisyen Mesir, Usamah Sheikh yang juga menghadapi pertuduhan menggelapkan harta awam.

Sumber: http://news.maktoob.com/article/6383524

Rabu, 13 Julai 2011

MURSYIDUL 'AM IKHWAN IKTIRAF PERANAN AL-AZHAR

"Hanya ALLAH Yang Esa, tiada yang lain yang telah menjatuhkan undang-undang (Mubarak), ia adalah ketentuan ALLAH yang diciptanya untuk rakyat Mesir," antara petikan ucapan Dr.Mohammad Bad'ie Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin di perhimpunan rakyat di Stadium Zaqaziq yang dihadiri lebih 40 ribu rakyat.
Lautan manusia membanjiri Stadium Zaqaziq mendengar ucapan dari Dr.Mohammad Bad'ie
Beliau turut memuji Al-Azhar yang telah sekian lama mencurahkan jasa buat umat Islam di Mesir dan seluruh dunia sejak penubuhannya lebih seribu tahun yang lalu selain mengakui peranan besar yang dimainkan oleh Al-Azhar dalam mengembalikan ummah kepada Islam sebenar.


"Jika Al-Azhar berusia lebih seribu tahun, usia Ikhwan Muslimin baru menjangkau melebihi usia 80 tahun maka sebenarnya Ikhwan Muslimin membesar dari (asuhan) Al-Azhar.."

GABENOR WILAYAH DUDUK SEPENTAS MURSYIDUL 'AM IKHWAN

Buat pertama kali dalam sejarah, seorang Datuk Bandar atau Gabenor bagi sebuah wilayah boleh hadir dan duduk semeja dengan Mursyidul 'Am Jemaah Ikhwan Muslimin, sebuah pertubuhan yang amat digeruni oleh musuh-musuh Islam dan rejim Mubarak sebelum ini. Itulah yang berlaku pada himpunan rakyat di Stadium bandar Zaqaziq, Selasa lalu yang dihadiri oleh Tuan Muhammad Abdul Qadir, gabenor wilayah Syarqiyyah Mesir. Bukan sahaja duduk bersebelahan satu pentas bersama pimpinan Ikhwan Muslimin lain, beliau diberikan kesempatan menyampaikan ucapan mengalu-alukan kedatangan Dr.Mohammad Badi'e ke wilayah tersebut sebagai lawatan pertama kali selepas revolusi.
Datuk bandar sedang menyampaikan ucapan, di sebelah beliau ialah Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin.

Senario baru dalam perubahan iklim politik Mesir itu disaksikan lebih 40 ribu rakyat Mesir yang berhimpun sejak petang lagi bagi menyambut kedatangan Mursyidul 'Am. Turut menyampaikan ucapan sebelum Datuk Bandar ialah ketua pejabat Ikhwan Muslimin cawangan Syarqiyyah, Tuan Haji Abdul Aziz Abdul Qadir dan anggota Maktab Irsyad, Dr.Muhyi Hamid.

Pada sebelah petang sebelum menghadiri perhimpunan bersama rakyat, Dr.Mohammad Badi'e telah merasmikan pejabat Ikhwan Muslimin cawangan Syarqiyyah. Pejabat tersebut telah diarahkan tutup sebanyak dua kali iaitu tahun 1992 dan 2010 dan kembali beroperasi selepas revolusi tahun ini. Turut hadir di majlis tersebut beberapa pimpinan Ikhwan Muslimin tempatan selain Dr.Muhyi Hamid, anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin.

Selasa, 12 Julai 2011

TPM MESIR LETAK JAWATAN, 17 JULAI KABINET BARU MESIR


Tekanan demi tekanan yang diberikan rakyat terhadap bekas menteri yang pro-Mubarak akhirnya menyebabkan Timbalan Perdana Menteri Mesir, Dr.Yahya Jamal meletakkan jawatan hari ini. Sebelum ini rakyat Mesir meminta Jamal meletakkan jawatan berikutan beberapa kenyataan dan tindakannya yang tidak bersama rakyat. Kontreversi Yahya Jamal mula tercetus sebelum ini apabila beliau mencium tangan ketua Paderi Ortodoks, Baba Syanuda. Tindakan Yahya Jamal itu dikritik hebat rakyat khasnya mereka yang beragama Islam kerana dianggap menjatuhkan maruah agama. Peletakan jawatan Jamal ini dilakukan sehari selepas Perdana Menteri Dr.Essam Sharaf mengumumkan rombakan kabinet akan dibuat dalam tempoh seminggu. Penasihat Media Perdana Menteri, Dr.Ahmad Al-Siman mengesahkan kabinet menerima peletakan jawatan Jamal. Sementara itu, Ahmad Al-Siman memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan mengumumkan jemaah menterinya yang baru 17 Julai ini.

Sementara itu, Jeneral Mamduh Syahin, anggota Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata menafikan bahawa Mubarak akan dibicarakan di mahkamah tentera sebaliknya di mahkamah awam. Untuk ke sekian kalinya, pihak tentera mengulangi ketetapan bahawa Pilihanraya Parlimen akan berlangsung September ini, seperti yang dijanjikan.

PM MINTA RAKYAT CADANGKAN CALON MENTERI YANG DIKEHENDAKI


Demontrasi hari ini masih diteruskan dan siaran berita jam 9 malam ini turut menyiarkan secara langsung dari dataran Tahrir, ribuan rakyat masih berhimpun. Pagi tadi, mereka berarak dari dataran Tahrir ke Pejabat Jemaah Menteri yang terletak berhampiran lokasi himpunan.

Pengumuman Perdana Menteri Essam Sharaf yang mengumumkan untuk rombakan kabinet dalam tempoh seminggu disambut baik rakyat. Bahkan Sharaf dilaporkan meminta supaya pertubuhan politik dan kebangsaan agar menyerahkan kepada beliau cadangan nama menteri-menteri untuk dilantik. Tindakan mendengar pandangan rakyat ini menjadi amalan Sharaf sejak dilantik April lalu tetapi rakyat melihat beliau seakan-akan mengikut telunjuk golongan pro-Mubarak. Permintaan Sharaf tersebut disuarakan beliau ketika pertemuan dengan wakil kumpulan revolusi 25 Januari.

Sharaf dijangka turun ke wilayah Suwes dalam tempoh yang terdekat bagi menyelesaikan masalah di wilayah tersebut. Demontrasi juga berterusan di wilayah yang terdapat Terusan Suez bagi menuntut perbicaraan mahkamah kepada Mubarak dan menterinya disegerakan. Beberapa hari lalu, Menteri Dalam Negeri Mansur 'Isawi memecat Ketua Polis wilayah Suwes dan membuat pelantikan baru sebagai memenuhi sebahagian tuntutan rakyat.

PM JANJI ROMBAKAN KABINET MESIR DALAM TEMPOH SEMINGGU


Perdana Menteri Dr.Essam Sharaf berkata, beliau akan membuat rombakan kabinet kerajaan beliau dalam tempoh seminggu serta akan melantik datuk bandar di wilayah yang baru sebelum akhir bulan ini. Beliau juga meminta Menteri Dalam Negeri agar menyegerakan penyingkiran pegawai-pegawai polis yang disabitkan dengan pertuduhan membunuh penunjuk perasaan pada kebangkitan rakyat awal tahun ini. Essam Sharaf yang kini berhadapan dengan tekanan yang memuncak dari rakyat yang berkampung di dataran Tahrir yang meminta beliau dan ketua Majlis Tentera, Marsyal Husin Tantawi meletakkan jawatan masing-masing. Beliau juga turut mengumumkan bahawa perbicaraan mahkamah mereka yang membunuh penunjuk perasaan akan bermula pertengahan Julai ini secara terbuka. Dijangka Jumaat ini demontrasi akan berterusan sehingga tuntutan rakyat dipenuhi.

Jumaat, 8 Julai 2011

KEMPEN MOHON SYEIKH GHUNAIM DIBENAR KEMBALI KE MESIR


Kempen bagi memohon kerajaan dan Majlis Tentera Mesir agar membenarkan seorang pendakwah kelahiran Mesir, Syeikh Wajdi Ghunaim kembali ke Mesir dilancarkan sempena himpunan rakyat di dataran Tahrir hari ini. Kempen tersebut dengan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan dan akan diserahkan kepada Majlis Tentera dalam masa terdekat. Syeikh Wajdi Ghunaim yang menerima didikan secara langsung dari Ikhwan Muslimin kini berusia 60 tahun antara pendakwah yang tidak dibenarkan tinggal dan menetap di Mesir oleh kerajaan Mesir sebelum ini selain Dr.'Amru Khalid, Dr. 'Umar Abdul Kafi dan Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi. Untuk mengenali beliau, boleh layari web rasmi beliau di http://www.wagdyghoneim.net

16 SYAHID LAGI DI SYRIA JUMAAT HARI INI


16 lagi rakyat Syria menjadi mangsa kekejaman tentera Syria dalam demontrasi Jumaat yang dinamakan "Jumaat Tidak Untuk Dialog" sebagai isyarat rakyat dan pembangkang menolak dialog dengan kerajaan bagi mengakhiri krisis politik negara itu seperti yang ditawarkan kerajaan sebelum ini. Aktivis kemanusiaan melaporkan, kebanyakan mangsa yang terkorban dari wilayah Hamah, yang menyaksikan lebih 20 orang terkorban sejak dua hari lalu dalam operasi ketenteraan termasuk 3 orang yang digilis kereta kebal milik tentera Syria.

JUMAAT "REVOLUSI YANG UTAMA" DI SELURUH MESIR SEMALAM


Himpunan aman seluruh Mesir Jumaat, 8 Julai menyaksikan jutaan rakyat keluar di bandar-bandar utama dengan dinamakan Jumaat "Revolusi Yang Utama" dan sesetengahnya menamakan sebagai Jumaat "Desakan". Tujuan utama himpunan hari ini dianjurkan bagi mendesak kerajaan dan Majlis Tentera menyegerakan perbicaraan terhadap Mubarak dan mengenakan hukuman bunuh balas (qisas) kepada mereka yang membunuh penunjuk perasaan sepanjang revolusi Januari lepas.
Banner tertulis "Rakyat Mahu Mubarak Dibicarakan"

Dengan melaungkan slogan "Rakyat Mahukan Mubarak Dibicarakan" menggantikan "Rakyat Mahukan Presiden Diguling" sebelum 25 Januari, rakyat mahu kementerian dan agensi kerajaan 'dibersihkan' dari anasir-anasir yang pro-Mubarak dan kerajaan sebelum ini. Tuntutan mereka khas buat Kementerian Dalam Negeri Mesir yang dilihat masih dikuasai pegawai tinggi yang dilantik Mubarak ketika diterajui bekas menteri, Habib 'Adli. Bagi mereka yang menamakan sebagai Jumaat "Revolusi Yang Utama" sebagai mencari jalan penyelesaian kepada rakyat sebelum ini, sebahagiannya mahukan pilihanraya Parlimen didahulukan dan satu pihak lagi mahukan Perlembagaan digubal terlebih dahulu sebelum diadakan pilihanraya. Bagi menyelesaikan pertikaian tersebut, rakyat menamakan hari ini sebagai "Revolusi Yang Utama" iaitu memelihara dan melaksanakan tuntutan revolusi adalah yang utama dari kedua-dua tuntutan yang hangat dibincangkan.
Al-Azhar turut berperanan mencetuskan kebangkitan rakyat

Di dataran Tahrir, hampir 100 ribu rakyat berkumpul di dataran bersejarah itu sejak awal pagi hingga ke malam ini dan ada sebahagian mereka yang akan berkampung dengan khemah-khemah yang didirikan di sekitar dataran tersebut hingga kerajaan dan Majlis Tentera memenuhi tuntutan mereka. 25 buah pertubuhan dan parti politik termasuk pertubuhan pemuda dan gerakan pembaharuan selain Ikhwan Muslimin dan Parti Nur yang diasakan oleh golongan Salafi menyertai himpunan hari ini. Buat pertama kalinya, anggota polis dan tentera tidak berkawal himpunan tersebut kecuali penganjur menempatkan puluhan pemuda sebagai petugas sukarelawan yang berkawal sepanjang himpunan. Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan juga menempatkan sebanyak 44 buah ambulans, puluhan doktor dan 10 buah klinik bergerak bagi langkah jika berlaku kes kecemasan terhadap peserta himpunan. Ramai memuji langkah kerajaan tersebut sebagai menunjukkan kerjasama mereka dalam menjayakan himpunan aman tersebut. Lebih menarik, pemuda Ikhwan Muslimin mendirikan pentas khas di dataran tersebut dan mengundang beberapa orang paderi memberikan ucapan setengah jam sebelum bermulanya solat Jumaat.

Himpunan sama juga berlaku di wilayah-wilayah lain seperti 'Arish, Tanta, Iskandariah, Matruh, Buhaira, ElMinia, Asyut, Qina dan Aswan.

Di Suwes, himpunan yang berlangsung di dataran 40, pusat bandar dimasuki seorang perusuh yang ingin mencetuskan kekacauan dengan melepaskan tembakan ke udara. Lelaki tersebut kemudiannya dicekup dan dipukul mereka yang menyertai himpunan sebelum diserahkan kepada pihak tentera.
Gambar Mubarak dibakar di Sharm El-Sheikh

Himpunan turut berlaku di bandar Sharm El-Sheikh apabila puluhan rakyat berkumpul di hadapan Hospital Antrabangsa Sharm El-Sheikh selepas solat Jumaat menuntut Mubarak dibicarakan. Mubarak kini dilaporkan berada dalam hospital berkenaan kerana menerima rawatan selepas digulingkan. Mereka menuntut Mubarak keluar dari Sharm El-Sheikh sambil melaungkan slogan "Mubarak!Mubarak! Keluar dari Sharm El-Sheikh".