Selasa, 29 November 2011

NAIB MURSYID 'AM IKHWAN MENGUNDI


Naib Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Ir Khairat Shatir membuang undi pada hari kedua Pilihanraya Parlimen, 29 November di saluran 33, Sekolah Sayyidah Nafisah.

SYEIKH AZHAR, DR.QARDHAWI TURUT MEMBUANG UNDI

Akhbar rasmi Ikhwan Muslimin "Kebebasan dan Keadilan" melaporkan berita bahawa Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib membuang undi di Sekolah Rendah Lelaki Mesir Jadidah sekitar jam 10.30 pagi dan menolak untuk diiring oleh pasukan keselamatan masuk ke tempat membuang undi dan seterusnya turut beratur bersama-sama pengundi lain.

Begitu juga ulamak Islam yang terkenal, Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi yang turut menunaikan tanggungjawab di sebuah sekolah di Madinah Nasr, bekas Setiausaha Agung LIGA ARAB, 'Amr Musa yang mengundi di sekolah Fatimah Az-Zahra', Kaherah Baru (Kaherah Al-Jadidah), Setiausaha Agung LIGA ARAB sekarang, Dr.Nabil 'Arabi yang mengundi di sebuah pusat Pendidikan Jasmani di Zamalek, Menteri Kebajikan Sosial dan Masyarakat, Dr.Judah Abdul Khaliq yang membuang undi di Sekolah Sayyidah Khadijah, Ma'adi.

Seorang lagi calon Presiden Mesir, Hamdi Subhi yang membuang undi di Sekolah Rizq Hamamu daerah Baltim. Sejurus keluar dari pusat pengundian beliau berkata "Saya mengundi Parti Kebebasan dan Keadilan".

HARI KEDUA PILIHANRAYA MESIR


Pengundian bagi Parlimen Mesir untuk sembilan wilayah yang bermula semalam, 28 November diteruskan pada hari ini berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir setelah pelbagai kesulitan yang dihadapi pada hari pertama. Ini adalah pengalaman pertama SPR yang mengendalikan pilihanraya yanga adil dan telus setelah 30 tahun ditekan oleh rejim Mubarak.

Pada hari pertama, 28 November semalam, pelbagai masalah dan kesulitan yang dihadapi di beberapa pusat pengundian. Sebagai contoh di daerah Madinah Nasr (Nasr City) di Sekolah Abbas 'Aqad, terdapat 9 saluran mengundi yang dibuka skeitar jam 11 pagi iaitu tiga jam lewat dari waktu yang ditetapkan kerana kertas undi yang tidak mencukup selain para hakim yang menyelia pusat pengundian tiba lewat.

Manakala di Sekolah El-Fath, Hadaiq Qubbah pula, terdapat kertas-kertas undi yang tidak dicop selain di beberapa buah daerah, ketiadaan peti untuk membuang undi hingga pusat pengundian terpaksa dibuka lewat.

Walau bagaimanapun, pakar perlembagaan negara menyifatkan kes-kes tersebut tidak merencatkan proses pilihanraya dan ia akan diteruskan pada hari ini. Keputusan pilihanraya dijangka diumumkan sehari selepas pengundian berlangsung.

Isnin, 28 November 2011

KEPUTUSAN PILIHANRAYA DIKETAHUI ESOK


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir mengumumkan tempoh pengundian yang sepatutnya berakhir jam 7 malam dilanjutkan hingga jam 9 malam ini berikutan terdapat beberapa lokasi pengundian yang dibuka lewat kerana hakim yang bertugas tiba lewat di tempat bertugas ekoran hujan yang turun di sesetengah tempat.

SPR juga mengumumkan bahawa keputusan Pilihanraya bagi calon Fardi (Individu) akan diketahui sehari selepas pengundian pada setiap kali pusingan pilihanraya dijalankan. Ini bermakna keputusan bagi 9 wilayah yang menjalankan pengundian hari ini, 28 November akan diumumkan pada 29 November kecuali keputusan calon SENARAI yang diumumkan lewat kemudian.

PILIHANRAYA MESIR YANG LEBIH ADIL DAN TELUS

Pilihanraya Parlimen Mesir kali ini lebih diyakini rakyat berbanding sebelum ini di zaman Mubarak yang penuh penipuan, ugutan dan sogokan. Ia dimulakan pada hari ini 28 November dengan 9 wilayah.

Semua pusat-pusat pengundian adalah dibawah seliaan hakim-hakim yang akan menjalankan tugas secara profesional.

Pusat pengundian akan dibukan seawal jam 8 pagi hingga 7 malam.

Setelah berbaris, para pengundi akan meneliti nama dan nombor kebangsaan (Roqom Qaumi) sebelum diberikan dua keping kertas:

1) Kertas pertama: Calon individu (Fardi). Para pengundi perlu mengundi dua calon, iaitu seorang dari Buruh dan seorang lagi dari Fi At.

2) Kertas kedua: Calon senarai. Dalam peraturan Pilihanraya Mesir, mana-mana parti berhak mencalonkan calon senarai pada satu-satu daerah antara 4 hingga 12 orang. Maka para pengundi yang berminat kepada calon, dia hanya perlu mengundi pada SATU sahaja parti yang diminatinya. (Contoh kertas undi SENARAI pada gambar di atas)

Perlu diingat pengundian di Mesir dikira tanda BETUL, tidak sepertimana di Malaysia yang dikira tanda PANGKAH pada kotak yang disediakan. Pengundi akan membuang dua kertas tadi ke dalam dua peti undi yang disediakan.

Sebelum beredar, pengundi perlu menandatangani senarai kehadiran dan mengecap ibu jari pada ruangan bersebelahan tanda tangan yang diturunkan sebelum mencelup jari pada dakwat kekal yang disediakan.

Mudah dan telus bukan pilihanraya Mesir selepas REVOLUSI??

9 WILAYAH TERLIBAT PENGUNDIAN PERINGKAT PERTAMA


Hari ini, 28 November merupakan peringkat pertama pengundian bagi Parlimen Mesir yang melibatkan 9 negeri iaitu:

1) Kaherah
2) Iskandariah
3) Fayyum
4) Port Said
5) Bahrul Ahmar (Laut Merah)
6) Dumyat
7) Kafr Sheikh
8) Luxor
9) Asyut

Seramai 17.5 juta pengundi berdaftar akan menentukan wakil rakyat masing-masing untuk mewakili suara mereka dalam Parlimen selepas revolusi Mesir yang menyaksikan kejatuhan Mubarak.

Menurut laporan Ikhwan Online.com:

1) seramai 3,809 calon pada 9 negeri ini bertanding bagi merebut 168 kerusi sementara 36 parti untuk merebut 199 senarai.

2) Seramai 9,530 orang hakim akan terlibat menyelia tempat-tempat pengundian yang dilakukan di sekolah-sekolah kerajaan. (Semua pusat-pusat pengundian sepanjang pilihanraya di Mesir berada di bawah pantauan hakim-hakim).

3) Sebanyak 4011 buah sekolah menjadi pusat pengundian di 9 negeri terbabit dan Kementeri Pendidikan memberikan cuti peristiwa kepada sekolah-sekolah tersebut hari ini. Ia membabitkan:

-1118 buah sekolah di Kaherah
-595 (Iskandariah)
-101 (Port Said)
-400 (Dumyat)
-633 (Kafr Sheikh)
-365 (Fayyum)
-487 (Asyut)
-201 (Luxor)
-111 (Bahrul Ahmar)

KERAJAAN PILIHAN RAKYAT MESIR PADA 2012


Berikut jadual perancangan terbaru setelah perbincangan pihak Majlis Tentera Mesir dengan pertubuhan dan parti-parti politik selepas Himpunan Pemeliharaan Demokrasi 18 November lalu:

1) Ia dimulakan dengan Pilihanraya Dewan Rakyat bagi tiga peringkat yang akan bermula pada 28 November, peringkat kedua pada 14 dan 31 Disember manakala peringkat ketiga pada 3 dan 10 Januari 2012.

2) 10 Mac : Pilihanraya Dewan Senat (Syura) dijangka berakhir.

3) 27 Mac: Persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Syura

4) 10 April: Parlimen akan mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas bagi menggubal dan meminda Perlembagaan Mesir yang baru

5) 16 hingga 20 April : Pencalonan bagi pertandingan Presiden Mesir akan dibuka

6) 10 Mei : Dijangka perbincangan berkaitan perlembagaan akan berakhir

7) 30 Mei: Referendum atau pungutan suara rakyat terhadap draf Perlembagaan baru Mesir

8) 20 Jun: Pengundian bagi pemilihan Presiden Mesir akan bermula

9) 27 Jun: Pengundian pada pusingan kedua terpaksa dilakukan jika tiada seorang dari kalangan calon yang memperolehi undi melebihi 50 peratus

10) 30 Jun : Presiden baru negara akan mengangkat sumpah jawatan.

Ia dikira penyelesaian terbaik yang dilakukan secepat mungkin untuk memenuhi tuntutan rakyat. Jika dibandingkan jadual yang dicadangkan tentera sebelum ini, ia dikira 6 bulan lebih awal dari jadual sebelum ini iaitu seperti yang diumumkan oleh tentera pada taklimat dengan pimpinan parti-parti politik Mesir yang diadakan pada 1 Julai 2011 lalu iaitu:

1) November 2011: Pilihanraya Parlimen Mesir bermula

2) April 2012: Pemilihan bagi Dewan Syura dijangka berakhir

3) Mei 2012: Persidangan penggal pertama Parlimen yang akan membentuk jawatankuasa khas bagi Perlembagaan

4) Jawatankuasa ini diberi masa selama enam bulan untuk bersidang yang dijangka berakhir pada November 2012

5) Pungutan suara terhadap draf cadangan perlu dibuat dalam tempoh 15 hari

6) Selepas itu, baru dibuka pencalonan untuk Presiden Mesir yang dijangka berakhir Disember 2012 atau kemungkinan besar hingga awal 2013.

Cadangan ini yang ditolak rakyat dan melihat pihak tentera cuba untuk melengah-lengahkan ke arah pembentukan kerajaan pilihan rakyat.