Sabtu, 29 Ogos 2009

Jumaat Pertama Bulan Ramadhan: Solat di Masjid Saidina Husain

Jumaat pertama bulan Ramadhan semalam, saya sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Husain r.anhu.. Memang agak lama tidak dapat menjejakkan kaki ke kawasan lapang dataran Masjid Saidina Husain yang sering menjadi tumpuan para pelancong. Apatah lagi masuk dan menunaikan solat di dalam masjidnya kerana kesempitan waktu bersama program dan tugasan PMRAM. Lazimnya solat Jumaat di Masjid Saidina Husain akan mengambil masa yang singkat. Ini kerana faktor khutbahnya yang ringkas tapi penuh bersemangat. Khatib yang menyampaikan khutbah di masjid ini sering bertukar ganti. Sejak saya sampai dulu sampai sekarang entah berapa orang khatib yang berkhutbah. Namun semuanya penuh semangat dengan. Apatah lagi jika diselitkan cerita berkaitan Rasulullah s.a.w dan ahli keluarga Baginda s.a.w. lebih-lebih lagi cerita berkaitan Saidina Husain.Tentu mampu mengalirkan air mata para hadirin yang hadir.

Khatib hari ini menyampaikan khutbah tentang perihal Rasulullah s.a.w menyambut Ramadhan. Disebut bahawa Baginda s.a.w amat pemurah menderma dan berbuat kebajikan lebih pantas dari angin yang bertiup. Khatib kemudian mengaitkan sifat mulia yang ada pada Baginda s.a.w ini dengan mukjizat Baginda s.a.w. Salah satunya ialah ketika peristiwa menggali parit bagi persiapan untuk Perang Khandak. Seorang sahabat Baginda s.a.w telah menjemput Rasulullah s.a.w ke rumah bagi menikmati jamuan yang disediakan. Lalu Baginda s.a.w menjemput ksemua tentera yang menggali parit tersbeut ke rumah sahabat tersebut yang jumlahnya hampir 3 ribu orang. Makanan yang asalnya disediakan untuk seorang iaitu bagi Bgainda s.a.w sahaja menjadi cukup untuk dimakan kepada 3,000 orang.

Khatib mengakhiri khutbah dengan membawa satu kisah. Satu ketika Baginda s.a.w bersama dengan puteri kesayangan Baginda s.a.w iaitu Sayyidah Fatimah Az-Zahra' menantunya Saidina 'Ali serta Baginda s.a.w mendukung dua cucu Baginda yang mulia-sebelah kanannya Saidina Hasan dan kirinya Saidina Husain. Tiba-tiba Baginda s.a.w berpaling kepada Saidina Hasan lanta menyebut "Marhaban ya Hasan!" sebanyak tiga kali. Lalu puterinya Sayyidah Fatimah Az-Zahra' bertanya kepada Baginda s.a.w kenapa Baginda s.a.w berkata kepada Saidina Hasan "Marhaban Hasan!" sebanyak tiga kali dengan meninggalkan Husain tanpa berkata kepada Husain dengan ucapan yang sama sedangkan kedua-duanya cucu Baginda s.a.w. Sabda Baginda s.a.w "Tadi aku melihat malaikat Jibril datang dan berkata kepada Husain "Marhaban Ya Husain" sebanyak tiga kali, lalu aku berkata ucapan yang sama kepada Hasan!" Allah!..Allah!..

Pesan khatib dalam bulan Ramadhan membuat kebaikan kepada ahli keluarga Rasulullah s.a.wamatlah dituntut sama ada mereka yang telah wafat dengan cara menziarahi maqam mereka atau masih hidup dari keturunan As-Syaarif dengan berkhidmat untuk mereka.

Selesai solat Jumaat, seperti biasa di setiap penjuru masjid terdapat zawiyah bagi tariqat-tariqat membuat halaqah masing-masing. Selepas mengucapkan salam kepada Saidina Husain saya beredar. Di perkarangan masjid terdapat pameran jualan kitab oleh Majlis Tertinggi Bahagian Agama Islam Kementerian Wakaf Mesir (Majlis 'Aala Syuun Al-Islamiyyah). Kitab atau makhtutat lama yang diterbit serta ditahqiq semula oleh ulamak Al-Azhar dijual dengan harga yang berpatutan. Namun jika anda membeli banyak mana pun kitab di sini beg plastik tidak disediakan! Sila bawa beg atau plastik sendiri.

Selasa, 25 Ogos 2009

Ustaz Rasul Pulang ke Malaysia


Semalam mantan Badan Pengurus PMRAM, Ustaz Mohd Rasul bin Amat telah berangkat pulang ke tanahair setelah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar. Beliau merupakan mantan Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma tahun 2007 dan setahun kemudian dilantik sebagai Naib Presiden II PMRAM merangkap Ketua Lajnah Muhafazah. Setelah turun dari kepimpinan PMRAM beliau terus berkhidmat dengan PMRAM sebagai tenaga penggerak utama bagi menjayakan Dana Syaqah PMRAM. Kepulangan beliau ke Malaysia satu kehilangan besar buat PMRAM di sini. Semoga Ustaz Rasul dapat meneruskan perjuangan di Malaysia. Semoga segala usaha dan baktinya selama ini diberkati Allah.

Gambar Sekitar Majlis Sambutan Awal Ramadhan Mesir

Tetamu utama berada di atas pentas. Bermula dari kanan Dr. Nasr Farid Wasil, Dr. Hamdi Zaqzuq (Menteri Wakaf), Dr. Muhammad Sayyid Tantawi (Syeikhul Azhar), wakil Presiden Mesir, wakil Menteri Keadilan Mesir dam kiri sekali Mufti Mesir Dr.Ali Jumaah.

Mantan Timbalan Rektor Al-Azhar, Dr.Toha Abu Kuraisya ditemuramah stesen televisyen tempatan.

Mantan Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasil ditemuramah stesen televisyen tempatan.
Gambar yang amat bernilai. Kenangan bersama alim hadith, Dr. Ahmad 'Umar Hashim yang sedang berehat di ruang legar dewan persidangan.

Dr.Ahmad Umar Hashim sering menjadi tumpuan walau di mana beliau berada. Beliau sedang ditemuramah oleh televisyen tempatan.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Lima Kelebihan Umat Muhammad s.a.w


Malam pertama terawih malam tadi saya berkesempatan solat di Masjid Nuri Khattab. Jadual asal bagi pentazkirah malam ini ialah mantan Rektor Al-Azhar, Dr.Ahmad Umar Hashim.Namun mungkin kerana kesibukan pada beliau, tempat beliau diganti oleh seorang pensyarah Univerisit Al-Azhar, Dr.Abdul Hakim Abdul Latif As-So'idi. Tengah hari tadi beliau telah menyampaikan khutbah di masjid yang sama. Dalam tazkirahnya beliau menyebut hadith Baginda s.a.w. "Daku diberikan kemuliaan oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini yang tidak diberikan kepada umat-umat sebelum ini:
Pertama: Pada awal Ramadhan, Allah akan melihat (nazroh) hamba-hambaNya dengan pandangan kerahmatan. Sesiapa yang mendapat pandangan (nazroh) Allah ini nescaya dia takkan diazab oleh Allah.

Kedua: Malaikat meminta ampun siang dan malam untuk orang yang berpuasa.

Ketiga: Mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari haruman kasturi.

Keempat: Syurga berhias dan bersiap-siap menerima orang yang berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Kelima: Allah akan mengampuni dosa di akhir Ramadhan sepertimana pekerja yang akan diberikan gaji terhadap kerja yang dilaksanakan dengan sempurna di akhir kerja tersebut.

Di Ambang Ramadhan

Tengah hari tadi, saya menunaikan solat fardhu Jumaat di Masjid Nuri Khattab. Imam dan khatib hari ini ialah Dr.Abdul Hakim Abdul Latif As-So'idi, pensyarah Universiti Al-Azhar. Sudah lama saya nantikan khutbah beliau. Beliau akan menyampaikan khutbah di masjid tersebut pada minggu pertama awal bulan. Khutbahnya kekadang menyentuh perasaan. Apatah lagi ketika menjadi imam beliau akan membacakan ayat-ayat Al-Quran dengan alunan suara yang cukup merdu. Khutbah tadi menyentuh tentang persiapan mukmin yang gembira menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Masjid Nuri Khattab antara masjid yang agak aktif dengan aktiviti sepanjang Ramadhan. Setiap malam akan diadakan tazkirah selang 4 rakaat solat terawih dengan menampilkan pentazkirah dari kalangan ulamak Al-Azhar. Sebagai permulaan pada malam pertama malam ini, pentazkirahnya ialah seorang ulamak masyhur, iaitu Dr.Ahmad 'Umar Hashim.

Khamis, 20 Ogos 2009

Majlis Bersama Ulamak Sempena Sambutan Awal Ramadhan

Dr.Ahmad 'Umar Hashim
Dr.Nasr Farid Wasil, mantan Mufti Mesir

Malam ini saya menghadiri Majlis Rukyah Hilal sempena Menyambut Bulan Ramadhan di Dewan Andalus, Al-Azhar Confrence Centre (ACC). Majlis diadakan di bawah seliaan Darul Ifta', Kementerian Keadilan Mesir bagi melihat anak bulan menentukan 1 haribulan Ramadhan yang telah ditetapkan jatuh pada Sabtu ini iaitu 22 Ogos. Majlis tersebut bermula sekitar jam 8 malam. Kebanyakan tempat duduk dalam Dewan Andalus ACC tersebut dipenuhi dengan warga Malaysia dan Indonesia. Beberapa hari sebelum itu, pihak Darul Ifta' telah menyampaikan kad jemputan kepada Presiden PMRAM bagi jemputan majlis tersebut. Majlis dihadiri Syeikh Al-Azhar, Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Mufti Mesir, Dr.Ali Jumaah, Menteri Wakaf, Dr.Hamdi Zaqzuq dan dua orang menteri yang masing-masing mewakili Presiden Mesir Husni Mubarak dan Menteri Keadilan. Kelima-lima mereka ditempatkan di atas pentas utama sebagai tetamu VIP. Turut menyertai mereka ialah mantan Mufti Mesir, Dr.Nasr Farid Wasil. Majlis yang disiarkan secara langsung melalui siaran 1 itu dimulakan dengan bacaan Al-Quran dari qari yang masyhur, Syeikh Dr. Ahmad Ahmad Na'ina yang juga seorang pakar perubatan. Majlis kemudian menjemput Mufti Mesir, Dr.Ali Jumaah bagi mengisytiharkan tarikh bermula Ramadhan. Majlis kemudian diakhiri dengan sekali lagi diperdengarkan bacaan Al-Quran dari Dr.Ahmad Na'ina.

Majlis berakhir sekitar jam 9 malam. Majlis tersebut turut dihadiri ramai dikalangan ulamak Al-Azhar serta tetamu jemputan. Antara yang kelihatan ialah Syeikh Abdul Hadi Al-Qosobi, syeikh bagi masyayikh tariqat kesufian Mesir. Beliau kelihatan diiringi beberapa ahli Majlis Tertinggi Sufi Mesir antaranya Syeikh Muhammad 'Isomudin, syeikh 'Asyirah Muhammadiyah yang juga putera dan pewaris kepada Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Turut kelihatan ulamak Hadith yang masyhur, Dr.Ahmad 'Umar Hashim seorang alim dalam bidang Hadith, merupakan mantan Rektor Al-Azhar. Kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Agama di Dewan Rakyat Mesir dan anggota Majlis Kajian dan Penyelidikan Islam serta anggota Majlis Tertinggi Sufi Mesir. Ke mana-mana saja beliau akan jadi perhatian masyarakat. Setiap kali sambutan Maulid Ahlul Bait Rasulullah s.a.w beliau akan dijemput untuk berucap. Maka masjid tersebut akan penuh padat dengan orang yang datang bagi mendengar ucaan beliau. Kali terakhir saya mendengar ucapan Dr.Ahmad ialah sewaktu sambutan Maulid Sayyidah Nafisah r.anha di masjid beliau dalam bulan Jun lalu. Setiap kali beliau akan berucap, para hadirin sabar menanti walau terpaksa menanti dalam tempoh yang agak lama. Berucap dalam tempoh yang tidak lama-dalam setengah jam sahaja- namun beliau berjaya memukau hadirin dengan memadai berucap berkaitan cinta kepada Rasulullah s.a.w dan ahli keluarga Baginda s.a.w Selepas saja menyampaikan ucapan, pastinya beliau akan dikerumuni para hadirin yang mahu berebut-rebut untuk bersalam dengan beliau. Pernah saya melihat sekali seorang warga Mesir 'terpaksa' mencium kepala beliau kerana terlalu ramai yang bersalam dengan beliau. Begitulah Dr.Ahmad Umar di mata masyarakat Islam dengan kepakaran ilmu Hadith yang beliau miliki. Beliau pernah diundang oleh Yayasan Islam Kelantan ke negeri Kelantan satu ketika dahulu , sekitar awal tahun 2000 sewaktu beliau memimpin Al-Azhar ketika di awal pelaksanaan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Berada dalam majlis ini dengan dihadiri puluhan alim ulamak terasa diri begitu kerdil. Sewaktu berjalan keluar ke pintu utama untuk pulang, terserempak pula dengan mantan Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasil. Beliau banyak mengarang buku Feqah yang dijadikan silibus pengajian di Al-Azhar. Beliau juga pernah mengeluarkan fatwa sewaktu di akhir memgang jawatan mufti satu ketika dahulu dengan pengharaman merokok. Fatwa tersebut telah diedar dan ditampal di seluruh masjid di Mesir. Turut kelihatan bersama beliau ialah mantan Timbalan Rektor Al-Azhar, Dr.Toha Abu Kuraisyah sewaktu Dr.Umar Hashim menjadi rektor.

Rabu, 19 Ogos 2009

Semoga Allah memberkatimu


Selamat pulang ke tanah air diucapkan kepada Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jufri yang telah berangkat pulang ke Malaysia minggu lalu. Ustaz Syed Kadir banyak memberikan khidmat bakti beliau khasnya kepada PMRAM melalui MANHAL PMRAM selaku Fellow. Beliau juga merupakan Pengarah Unit Bait Muslim peringkat PMRAM. Selain itu beliau adalah figure penting kepada BKAN Selangor dan Wilayah Persekutuan. Tak lupa beliau adalah tenaga pengajar kepada Madrasah Imam Syafie anjuran PMRAM. Beberapa hari terakhir sebelum kepulangan beliau ke tanah air, beliau mempunyai jadual yang cukup padat. Program Kolokium Ilmuan-Q PMRAM di Solah Kamil merupakan program terakhir PMRAM yang beliau sertai sebagai panel bersama Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, anggota Penasihat PMRAM yang mengupas tajuk "Ta'addud Jama'ah" yang dibentangkan kepada pelajar-pelajar baru. Bersambung nasabnya terus kepada Rasulullah s.a.w dan merupakan ahlul Bait Nabi s.a.w.
Walaupun telah tamat pengajian dan bergelar "tok guru", namun Ustaz Syed tetap istiqomah dengan program-program PMRAM. Teringat ketika menjadi Badan Pengurus angkat kepada BKAN Selangor tahun lepas, ketika saya dijemput berucap di Rumah Selangor, lidah saya seakan-akan terkedu untuk berucap jika Ustaz Syed Kadir berada di hadapan. Segan pula dengan beliau yang sememangnya tidak layak bagi saya untuk bercakap sedangkan dihadapan saya terdapat seorang yang lebih 'alim. Bahkan pernah saya sebutkan betapa beruntungnya beliau yang mengalir di dalam tubuh beliau darah nendanya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Hak beliau yang perlu dihormati; seorang alim dan kedua hak beliau sebagai ahli keluarga Rasulullah s.a.w. Itulah yang diajar oleh ulamak kita antaranya Syeikh Soleh Jaafari yang mengharuskan kita mencium tangan mereka dari kalangan ahli keluarga Rasulullah s.a.w.
Semoga Allah memberkati hidup beliau dan keluarga beliau serta selamat meneruskan perjuangan di Malaysia.