Selasa, 31 Ogos 2010

PROGRAM TERAKHIR SYEIKH ASHRAF DI MALAYSIA




Hari terakhir Syeikh Ashraf di Malaysia, beliau berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Dato' Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah di kediaman beliau di Alor Setar. Paginya, solat Subuh beliau menyampaikan tazkirah di surau berhampiran rumah Ustaz Zakaria, mantan Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir.

Menjelang tengah hari, Syeikh dan rombongan mengunjungi Pekan Rabu di bandar Alor Setar. Beliau dijangka berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar jam 8 malam ini dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kaherah jam 1 pagi.

Isnin, 30 Ogos 2010

SALAM MERDEKA DARI NEGERI JELAPANG PADI


Sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-53, saya ucapkan selamat menyambut hari ulangtahun yang penuh bersejarah bagi negara kita ini. Telah 53 tahun, kita dikurniakan oleh Allah nikmat kemerdekaan, keamanan dan keharmonian.

Rata-rata rakyat apabila ditanya tentang azam sempena sambutan ini, semuanya mahukan keamanan dan keharmonian berkekalan. Sedar atau tidak sebenarnya kita telah diuji oleh Allah dengan nikmat kemewahan yang melimpah ruah sejak 53 tahun lalu. NikmatNya ini terus dilimpahkan walaupun semakin hari semakin banyak maksiat kepadaNya berleluasa. Allah Taala masih mencurahkan nikmatNya ini kepada kita.

Saban tahun apabila menjelangnya tarikh kemerdekaan ini, kita sering diceritakan detik-detik bersejarah bendera Union Jack diturunkan dan laungan merdeka sebanyak tujuh kali berkumandang dilaungkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Sejak itu, negara kita secara rasminya telah bebas dari cengkaman penjajah British yang menjajah lebih 100 tahun.

Walaupun secara zahirnya British telah meninggalkan negara jajahannya termasuk Malaysia, namun perlu diingat, kesannya masih melekat pada pemikiran dan kehidupan rakyat tempat jajahannya. Kita perlu ingat bagaimana bekas Ketua Menteri British,Glade Stone pernah berucap di dalam Parlimen satu ketika dahulu bahawa British hanya akan memberikan kemerdekaan pada tanah jajahannya setelah tersedia generasi di negara tersebut yang akan mewarisi tugas-tugas British kelak.

Seperti kata YAB Tuan Guru Nik Aziz, oleh sebab British menjajah negara kita terlalu lama lebih 100 tahun, maka cara kita berfikir pun terikut-ikut dengan mereka. Sebagai contoh pemikiran meletakkan kehidupan seharian tiada kena mengena dengan Islam. Islam hanya berkuasa dan diamalkan pada urusan-urusan tertentu sahaja. Kes yang melibatkan negara dan pentadbiran, Islam tiada hak untuk masuk campur. Hukum Islam hanya boleh diamalkan pada hukum nikah kahwin dan pusaka sahaja manakala lebih dari itu, bukan bidang kuasa Islam. Mungkin lebih sikit apabila ada kematian, maka Al-Quran dibaca dengan berkali-kali khatam dan masa itu baru boleh dilihat wanita-wanita bertudung khasnya apabila melibatkan kemangkatan para pembesar negeri atau negara. Luar dari itu, tiada lagi batasan syarak yang menjadi batasan pergaulan mereka.

Terbaru fungsi masjid. Masjid menjadi pusat kegiatan penting pada zaman Rasulullah s.a.w. Disitulah menjadi pusat pertemuan dan aktiviti harian penduduk kota Madinah masa itu. Kini skop masjid dikecilkan bahkan dijadikan masjid hanya untuk solat dan zikir sahaja tanpa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti lain. Fungsi masjid dibataskan dengan pemikiran sempit. Saya sempat berjalan dengan Syeikh Ashraf di Selangor dan solat di Masjid Negeri Shah Alam. Suasana masjid dan surau sekarang ini jauh berbeza dengan satu ketika dahulu, masjid dan surau diimarahkan dengan ativiti pelbagai bahkan hampir setiap masjid dan surau di Selangor mengadakan tazkirah semasa terawih.

Sama juga apa yang berlaku kepada kefahaman konsep ibadat. Orang Melayu hanya nampak ibadat seperti solat,terawih dan puasa sahaja. Selain itu, bukan ibadat. Tak hairan sesetengah mereka walaupun puasa tapi rasa berat nak bantu orang lain, sebab mereka merasakan membantu orang menunaikan hajat sebagai contoh bukan bermaksud ibadat.

Fahaman-fahaman seperti inilah yang perlu dibebaskan dari pemikiran sempit orang-orang Melayu walaupun kita telah berjaya menghalau penjajah British 53 tahun lalu. Semoga Allah akan membebaskan belenggu penjajahan moden ini dari kita semua.


Ahad, 29 Ogos 2010

ZIARAH SYEIKH ASHRAF DI NEGERI KEDAH

Jadual Syeikh Ashraf Hamid Hasanain di Kedah agak tidak padat berbanding jadualnya di negeri-negeri lain sebelum ini. Hari ini, beliau dan rombongan akan menziarahi seorang ahli tasawuf yang masyhur di Kedah,Tuan Guru Abdul Hamid atau lebih dikenali Pak Su Hamid yang tinggal di Kampung Bukit Tembaga, Padang Terap.

Pada sebelah pagi, Syeikh Ashraf dibawa mengunjungi Rektor Kolej Universiti Insaniah dan Sohibus Samahah Dato' Mufti Kedah.

Malam ini, kami diundang berbuka puasa di kediaman Ustaz Zakaria, mantan Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir.

Pagi esok, 30 Ogos Syeikh Ashraf akan menunaikan solat fardhu Subuh di Masjid Zahir,Alor Setar dan jam 9 pagi akan bertolak ke Gunung Jerai sbeelum petangnya akan melawat Pekan Rabu.

Sabtu, 28 Ogos 2010

CATATAN BERSAMA SYEIKH ASHRAF 1: KESEMPATAN BERTEMU TOK GURU

Pagi Jumaat lalu, saya membawa Syeikh Ashraf Hamid Hasanain ke Masjid Pulau Melaka bagi mempertemukan beliau dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. Kebiasaannya, jadual Tok Guru akan menunaikan solat Subuh dan menyampaikan kuliah subuh di masjid tersebut.

Namun, pada pagi Subuh itu, kami tidak dapat menunaikan solat berjemaah di Pulau Melaka kerana jadual yang diatur, Syeikh Ashraf akan menunaikan solat Subuh dan menyampaikan kuliah di Masjid Muttaqin, Jalan Dato' Lundang, berdekakatan rumah saya.
YAB Tok Guru menyapa penuh mesra Syeikh Ashraf Hamid Hasanain

Selepas menyampaikan kuliah sekitar 15 minit, kami bergegas ke Masjid Pulau Melaka bagi mencuba nasib bertemu dengan Tok Guru. Ini kerana pada sebelumnya, usaha mendapatkan janji temu bagi pertemuan rasmi di pejabat beliau melalui Setiausahanya gagal kerana jadual Tok Guru yang agak sibuk dan padat. Kami memutuskan untuk bertemu Tok Guru secara tak rasmi.

Setiba kami di perkarangan masjid, keadaan sesak dengan kenderaan yang mula keluar dari masjid tersebut berduyun-duyun. Syeikh Ashraf terkejut dan bertanya, orang Malaysia sukakan kuliah selepas Subuh, sedangkan di Mesir kata beliau, selepas Subuh orang Mesir akan balik tidur tambahan pagi Jumaat, hari cuti. Namun di Malaysia khasnya di Kelantan, ia berlainan.

Saya dan teman membawa Syeikh Ashraf memasuki ruang masjid dan ternyata puluhan orang ramai sedang menantikan giliran masing-masing bagi mentahniq anak. Saya kira lebih dari 10 bayi ditahniq Tok Guru pagi itu. Kami terpaksa tunggu menanti giliran bertemu Tok Guru. Sekali lagi Syeikh Ashraf terkejut. Dia tanya, adakah yang buat semua ni (mentahniq) dibuat oleh Menteri Besar? Jawab kami, ya.

Seorang kakitangan di Pejabat Menteri Besar menyapa kami yang sedang menanti giliran, dia bertanyakan saya hasrat kami. Bersama beliau juga, terdapat sekumpulan wartawan sebuah stesen televisyen dari Indonesia sedang melakukan penggambaran bagi meneribitkan dokumentari berkaitan kehidupan Tok Guru.

Tiba jam 7.25 pagi, Tok guru terpaksa menolak kunjungan orang ramai seketika bagi menunaikan solat sunat Isyrak. Selesai solat sunat, saya memerhatikan pada wajah Tok Guru, gugur beberapa titisan air mata mengalir di pipi Tok Guru dan dilapnya dengan tisu yang ada di tangan. Tersentuh melihat Tok Guru solat dengan penuh tertib dan sopan, amat berbeza dengan solat saya dan kita.

Selesai berdoa, beliau cuba beredar tetapi masih ada rakyat yang memerlukan doa dan penawar dari beliau. Seorang lelaki lingkungan 30-an yang ditimpa sakit berat, dipapah oleh ahli keluarga memohon doa Tok Guru. Perlahan-lahan Tok Guru menjamah kepala lelaki tadi sambil mulut beliau membacakan sesuatu, sekali lagi kelihatan air mata Tok Guru bergenang. Simpati dan insaf melihat ujian Allah menimpa lelaki tadi.

Setelah itu, beliau berjalan menuju pintu bersebelahan mihrab,lalu saya dapatkan dan bersalam dengan beliau.Saya katakan ada tetamu dari Mesir datang. Beliau menyapa Syeikh Ashraf dengan bahasa Arab yang fasih. Saya perkenalkan kepada Tok Guru, Syeikh Ashraf bertugas di Masjid Al-Azhar. Syeikh kemudian menyerahkan cenderahati kenangan yang dibuat saudara Imaduddin berupa frame yang memuatkan gambar beliau dengan Tok Guru berlatarbelakangkan menara Masjid Al-Azhar selain sebuah buku Madih dan poster madih tulisan Syeikh Soleh Jaafari. Ternyata Tok Guru gembira menerima hadiah tersebut.
Cenderahati yang dihadiahkan kepada YAB Tok Guru

Perbualan lebih 5 minit itu, walaupun sekejap tetapi memberi kepuasan kepada Syeikh Ashraf. Tok Guru menjemput Syeikh Ashraf ke Medan Ilmu pagi itu jam 10.30 pagi bagi menyampaikan ucapan di sana, tapi kami terpaksa bertolak ke Perlis jam 9.00 pagi.

Sebelum beredar, Tok Guru sempat kata kepada Syeikh Ashraf, "Mafish syai wa la tokmiyah" (Maksud: Tiada hidangan teh atau tokmiyah (sejenis makanan warga Mesir), kata Syeikh Ashraf, "Saya puasa hari ini" sambil kedua-duanya ketawa kecil. Begitulah kemesraan Tok Guru pada tetamu.

***Saya memohon maaf tidak dapat menceritakan secara penuh aktiviti Syeikh Ashraf di Malaysia di dalam blog ini. Ramai teman yang bertanyakan aktiviti Syeikh untuk mengetahuinya namun disebabkan kekangan masa yang melanda,saya tidak dapat lakukannya Saya akan cuba berusaha menceritakan beberapa bahagian penting aktiviti beliau di Malaysia.

Selasa, 24 Ogos 2010

JADUAL PENUH ZIARAH SYEIKH ASHRAF DI KELANTAN

JADUAL PENUH ZIARAH SYEIKH ASHRAF DI NEGERI KELANTAN DARUL NAIM

RABU, 25 OGOS 2010

10.00 pagi: Pertemuan dengan Al-Fadhil Ustaz Sha'ari, khalifah Tariqat Ahmadiyah Dandarawiyah di kediaman beliau di Kota Bharu.

11.00 pagi: Bertolak ke negeri Terengganu dan majlis di Terengganu.

KHAMIS, 26 OGOS 2010

6.00 pagi: Solat dan kuliah Subuh di MASJID MUTTAQIN, Jalan Dato' Lundang.

9.00 pagi: Ziarah Pondok Pasir Tumbuh dan Tuan Guru Haji Hashim.

10.00 pagi: Majlis muhadharah ilmiah di PONDOK MODEN,KANDIS Bachok.

*Selepas Zohor, lawatan sekitar bandar Kota Bharu

5.00 petang: Solat Asar di Masjid Pulau Melaka

6.00 petang: Majlis tahlil dan berbuka puasa di Kampung Kubang Pasu.

8.30 malam: Mengimami solat Isyak dan tazkirah di QARYAH RAMADHAN,
Perkarangan Stadium

JUMAAT, 27 OGOS 2010

6.00 pagi: Solat dan kuliah Subuh di MASJID TAMAN UDA MURNI, Jalan Pengkalan Chepa

***Sepanjang berada di Kelantan, Syeikh Ashraf ditempatkan di HOTEL SUTERA INN, Kota Bharu. Beliau menerima kunjungan ziarah ke penginapan beliau.

SYEIKH SELAMAT TIBA DI KELANTAN HARI INI



Syeikh Ashraf berbuka puasa bersama keluarga Imad dan jemputan.

Syeikh Ashraf telah selamat tiba dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa jam 2.45 petang tadi yang diiringi saya dan Ustaz Othman. Ketibaan kami disambut saudara Imaduddin dan petang tadi, kami berbuka puasa di kediaman keluarga angkat beliau di Kampung Alor Hijau, Selinsing.


Cenderahati yang dianugerahkan pihak masjid kepada Syeikh Ashraf

Syeikh Ashraf kemudiannya diberikan peluang menyampaikan tazkirah dan diterjemahkan oleh saya serta di akhir majlis,beliau sudi mengijazahkan sanad surah Al-Fatihah kepada mereka yang hadir di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, masjid yang dibina dan diurus oleh keluarga angkat saudara Imad hingga kini.

Ahad, 22 Ogos 2010

JADUAL SYEIKH ASHRAF DI PERLIS

JADUAL ZIARAH SYEIKH ASHRAF HAMID HASANAIN DI NEGERI PERLIS

27 OGOS 2010 (JUMAAT)

8.00 malam: Solat terawih dan pengijazahan sanad surah Al-Fatihah bertempat di
SURAU TAMAN JALI

28 OGOS 2010 (SABTU)

9.00 pagi: Lawatan Syeikh ke sekitar negeri Perlis

Jumaat, 20 Ogos 2010

MAKLUMAN

MAKLUMAN

Perubahan jadual Syeikh Ashraf di Negeri Sembilan pada:

Hari Isnin 23 Ogos 2010:

3.00 petang: Ziarah ke Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan di Gemencheh

BEZA KHUTBAH JUMAAT DI MESIR DAN MALAYSIA


Semalam, saya solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Petangnya, sebelum menjelang waktu berbuka, saya sempat melayari satu stesen radio Mesir yang boleh didengar melalui internet. Saya sengaja mencari siaran radio Mesir melalui internet antara tujuan bagi mengekalkan Bahasa Arab agar tidak 'mati' sepanjang bercuti ini.

Apa yang menarik, saya ikuti khutbah Jumaat semalam yang disampaikan oleh Mufti Mesir, Dr.Ali Jum'ah melalui siaran langsung. Beliau menyampaikan khutbah di masjid Angkatan Tentera Negara di Madinah Nasr bersempena dengan sambutan kemenangan Mesir menawan kembali Terusan Suez yang dikenali dengan peperangan "Al-'Asyir min Ramadhan" (iaitu Hari Kesepuluh dari bulan Ramadhan).

Khutbah Jumaat di Mesir amat berlainan di Malaysia. Bahkan ia sesuatu yang membuatkan kita tertarik untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Di setiap masjid, terdapat seni penyampaian tersendiri yang dibawa oleh khatib. Apatah lagi kalau khatib tersebut adalah pensyarah Universiti Al-Azhar. Dengan penuh semangat seperti nada memberikan motivasi untuk ke medan perang, jarang sekali kita akan tertidur sewaktu khatib berkhutbah.

Ini kerana:

1)Khatib tersebut berkhutbah dan bukannya membaca khutbah. Kalam yang keluar dari hati amat berbeza kalam yang keluar dari lidah semata-mata bahkan dalm sesetangah keadaan, kita boleh mengalirkan air mata sewaktu doa di akhir khutbah dibaca.

2)Khutbah penuh dengan ilmu. Ia bukan sekadar tazkirah bahkan khatib berjaya memikat pendengar dengan mutiara-mutiara hadith dan cerita yang berlaku kepada ulamak dan auliya'. Kadang-kadang, apa yang disebut, bagi kita sesuatu yang baru apatah lagi hujah yang dibawa amat kuat dengan menyebut nama kitab atau pengarang hingga ada yang sebut mukasurat kitab.

3) Kalam pendahuluan dengan memuji Allah dan berselawat Rasulullah s,a,w sudah mampu membuatkan yang mendengarnya tertarik. Mungkin ini bertepatan dengan gaya seni Bahasa Arab yang kaya dengan syair dan sastera.

4) Suasana hadirin yang memberikan sambutan dengan setiap patah yang keluar dari lidah khatib. Suasana yang saya maksudkan merekaboleh berinteraksi bila ada ayat Al-Quran atau Hadith Rasulullah s.a.w dibacakan. Sebagai contoh, perintah supaya berselawat ke atas Rasulullah s.a.w, akan kedengaran satu masjid berselawat serentak.

Khutbah yang disampaikan di Mesir, bukanlah semuanya menyentuh berkaitan politik. Sesetengahnya berkaitan hal adab, solat berjemaah, tanggungjawab sebagai seorang mukmin dan lain-lain. Kalau sempat solat di masjid Ahlul Bait Rasulullah s.a.w seperti Masjid Saidina Husain atau Sayyidah Zainab r.anhuma,isi khutbah berkisar topik lebih kurang sama iaitu kewajipan mencintai Rasulullah s.a.w, Ahlul Bait dan cerita-cerita tasawuf. Tapi olahan para khatib, orang boleh menangis tambahan kalau di Saidina Husain, khatib menceritakan kembali Peristiwa Karbala.

Setiap kali menjelang Jumaat, kita boleh berpakat dengan kawan-kawan untuk solat di mana Jumaat hari ini dan masing-masing ada masjid yang diminatinya kerana seni khatib di masjid tersebut.

Apa yang saya ingin bandingkan dengan khutbah di Malaysia ia amat hambar. Bahkan ada sesetengah makmum yang datang solat Jumaat kerana 'terpaksa' dan takut dicop sebagai 'munafik' jika meninggalkan fardhu Jumaat tiga kali berturut-turut. Maka yang jadinya, ada yang pergi tapi pergi bila orang dah solat, tak dengar pun khutbah sebab kata dia, dengar pun tidur.

Bagaimana cara untuk kita kembalikan mutu khutbah Jumaat di Malaysia? Masih adakah harapan untuk menjadikannya menarik dan antara tarikan kenapa umat Islam takkan meninggalkan solat Jumaat dan datang awal semata-mata untuk mendengar khutbah Jumaat.

Khutbah Jumaat adalah satu dari kekuatan Islam. Ia menjadi medan untuk ulamak memperingati para jemaah yang hadir terhadap apa yang berlaku kerana pada masa itulah manusia akan berkumpul dan ia menjadi ijtimak mingguan bagi umat Islam.

Dr.Abdullah Nasih Ulwan dalam buku kecilnya "MAZA 'AN SOHWAH ISLAMIYYAH FIL ASRIL HADIS" (Apa itu Kebangkitan Islam Pada Zaman Moden), beliau membawa perancangan musuh Islam menghancurkan Islam dengan menjauhkan mereka dari empat perkara yang menjadi kekuatan umat Islam:

1) Al-Quran
2)Fardhu Haji
3)Khutbah Jumaat
4)Al-Azhar

Empat perkara ini menjadi tumpuan musuh-musuh Islam sejak dulu bagi memastikan umat Islam berpaling dan menjauhi dari empat perkara tersebut.

Khamis, 19 Ogos 2010

IKUT PMRAM:TAKLIMAT KEPADA PELAJAR BARU KELANTAN KE MESIR


Rombongan pelajar dari Kelantan untuk kumpulan pertama selamat berlepas ke Mesir 18 Ogos lalu. Sebelum itu, satu majlis taklimat ringkas anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK) diadakan di Dewan YIK, 16 Ogos lalu.

Semua bakal mahasiswa dan mahasiswi berjumlah lebih 100 orang ke Mesir, 70 orang ke Jordan dan 4 orang ke Morroco dihimpunkan satu majlis penerangan. YAB Menteri Besar Tuan Guru Nik Aziz dijemput sesi perasmian penutup manakala Dato' Nik Amar, EXCO Pendidikan Kelantan menyampaikan ceramahnya di awal majlis.

Sebelum majlis perasmian penutup, saya dijemput untuk mewakili PMRAM menyampaikan taklimat persatuan di sana. Saudara Bahrudin Husin, EXCO Pengetahuan KPKM pula memberikan taklimat penerangan berkaitan KPKM.

Dalam taklimat yang terhad masa itu, saya sebutkan secara umum PMRAM berkaitan penubuhan dan aktiviti semasa PMRAM. Bakinya saya kata akan dikenali lebih dekat di Mesir.

Dalam taklimat itu juga saya ulangi apa yang saya sebut sebelum ini di Mesir,bahawa skop pengajian itu perlu diluaskan. Bila jejakkan kaki ke Mesir, jadikan 24 jam di sana sebagai masa untuk mengaji. Saya huraikan dengan platform persatuan yang ada, pelbagai program berbentuk ilmu dan thaqafah dianjurkan persatuan.

Di Mesir sebelum ini, 'berbuih mulut' saya 'jaja' modal ini selama 2 tahun saya jadi Badan Pengurus. Dan mungkin juga saya akan terus perjuangkan perkara yang sama selagi mana kejumudan takrif pengajian ini tak diperbetulkan kembali seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w adalah ketua ulamak, ketua panglima perang dan ketua negara.

Saya tak mahu adik-adik generasi akan datang 'tertipu' lagi dengan pengertian fahaman sempit maksud MENGAJI. "Ana mari Mesir ni nak ngaji.." Itulah jawapan bila abang-abang lama minta tolong jadi AJK. Cubalah create alasan lain yang lebih menampakkan pemikiran seorang mahasiswa. Jawapan itu zaman 80-an dulu lakulah. Tapi tidak zaman sekarang.

Salah faham ini lah yang akhirnya menjadi virus yang membarah akhirnya memakan diri tuan sendiri. Sudahlah kita di Malaysia diserang dengan fahaman politik sempit, di Mesir pula diserang dengan virus yang lebih kurang sama bahanya dengan H1N1 ini.

Akhirnya kerja 'amar makruf nahi mungkar tak menjadi, Unit Hisbah yang kerjanya untuk membanteras mungkar dan sosial tiada sambutan kerja-kerja berpersatuan untuk memimpin di peringkat cawangan PMRAM atau induk makin ketandusan tenaga. Orang datang ke Mesir ramai, tapi ramai yang 'tolong tengok'..Bukan tolong dalam erti kata tolong sungguh.

Saya sedia berhujah dengan mereka yang tidak sealiran dengan saya dalam hal ini. Tambah yang jenis menghasut adik-adik baru supaya jangan terlibat dengan aktiviti berpersatuan. Kalau kamu tak nak terlibat, sudahlah, ini kalau sampai hasut-menghasut. Saya cabar, tolong cuba kemukakan hujah kalau rasa PMRAM ini persatuan yang tak kena dengan syarak.

Apa yang selama ini PMRAM buat ketetapan (qoror) yang salah dari segi Islam? Kalau ada, tunjukkan bukti. Dan kalau betul sungguh bukti tersebut, saya sendiri tak mahu kepada PMRAM. Tapi masalahnya, selama ini ramai yang jadi jenis "baling batu, sembunyi tangan". Jadi manusia bacul.

Di akhir ucapan, saya terangkan bila ke sana hanya dua persatuan yang sah untuk disertai ada DUA sahaja. Pertama PMRAM, kedua PERUBATAN.

Yang ambil jurusan Perubatan, bila sampai sertailah Persatuan PERUBATAN manakala yang pengajian Islam, sertailah PMRAM. Saya ingatkan Mesir sebuah negara darurat. Tempoh darurat mereka dilanjutkan lagi hingga tahun 2012. Semangat semangat juga, tapi keselamatan perlu dijaga.

Alhamdulillah, saya jelaskan PMRAM mempunyai hubungan yang baik dengan pihak keselamatan polis di sana dan Presiden PMRAM sentiasa dihubungi bagi bertanyakan keadaan pelajar-pelajar kita.

Rupanya taklimat saya berkaitan isu keselamatan mendapat perhatian ayah-ayah pelajar yang datang menemani anak mereka disitu. Selesai majlis, ada yang menemui saya bertanyakan lebih lanjut berkaitan dengan PMRAM dan Mesir.

Seorang bapa pelajar bertanyan berkaitan aktiviti Persatuan PERUBATAN,katanya anak dia akan ambil jurusan Perubatan. Saya lata kepada pakcik itu, "Suruh anak pakcik masuk PERUBATAN saje, hok lain tak payah lah, banyak masalah.."

Saya bersyukur kepada ALLAH, walaupun pelbagai sekatan dikenakan kepada mereka yang inginj melanjutkan pengajian di Mesir, tetapi jumlah mereka semakin bertambah dari setahun ke setahun.

Dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, kereta yang kami naiki yang dipandu saudara Bahrudin mengalami kemalangan. Kereta kami yang cuba melintasi simpang itu dirempuh sebuah motosikal yang ditunggangi seorang pelajar dari sekolah menengah berdekatan. Rempuhan kuat itu menyebabkan cermin tingkap dan sebahagian cermin hadapan pecah dan bertaburan.

Saya petang itu 'bermandikan' kaca hingga ia bertaburan atas kopiah saya. Alhamdulillah, nasib baik tiada serpihan kaca yang masuk ke dalam mata.Kuat rempuhan dia hingga saya nampak dengan mata saya pelajar itu melambung dan jatuh atas jalan raya. Sudahlah dia tidak pakai topi keledar.Tapi Alhamdulillah, dia segera dibawa ke hospital dan berjaya diselamatkan walaupun terdapat luka dimulut dan kaki kanannya patah.

Keesokan harinya, saya menerima SMS dari saudara Adlan Mokhtaruddin, sahabat kami Ustaz Azrul Ismail pula kemalangan. Memang sehati sejiwa kita Ustaz Azrul..Memang bulan Ramadhan adalah bulan mendidik, bulan ujian dan bulan untuk tarbiyah..Muqarrar ujian ini tidak banyak, hanya satu KALIMAH sahaja iaitu SABAR..Baru akan dapat kejayaan.

Rabu, 18 Ogos 2010

PEMBERITAHUAN

*Hingga kini, tiga negeri masih belum muktamad penyusunan jadual iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah. Jadual akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan mungkin mengalami perubahan setelah Syeikh tiba.

*Diskusi kitab "ASROR AS-SIYAM" akan dibuat di mana-mana yang lokasinya akan dimaklumkan kelak.

JADUAL SYEIKH ASHRAF DI TERENGGANU

JADUAL ZIARAH SYEIKH ASHRAF HAMID HASANAIN DI NEGERI TERENGGANU

25 OGOS 2010 (RABU)

9.00 pagi: Ziarah maqam ulamak di Kuala Terengganu (Maqam Tok Pulau Manis
dan lain-lain)

1.00 t/hari: Solat Zohor di masjid Kuala Terengganu dan melawat sekitar bandar
5.00 petang: Majlis muhadharah dan iftor jama'ie bersama pelajar di Sekolah
Menengah Agama Zainal Abidin (SMAZA), Kuala Terengganu


(Bertolak pulang ke Kota Bharu selepas solat terawih)

JADUAL SYEIKH ASHRAF DI NEGERI SEMBILAN

JADUAL ZIARAH SYEIKH ASHRAF HAMID HASANAIN
DI NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

22 OGOS 2010 (AHAD)

4.00 petang: Solat Asar di Masjid Negeri Sembilan, Seremban
8.30 malam: Solat di MASJID BANDAR BARU SENAWANG

23 OGOS 2010 (ISNIN)

8.45 pagi: Kunjungan ziarah Sohibus Samahah Mufti Negeri Sembilan
10.00 pagi: Ziarah Syeikh Rauf Al-Bahanji di Pondok Tampin
3.00 petang: Ziarah Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki di Yayasan Sofa
8.00 malam: Imam jemputan terawih dan majlis di MASJID JAMEK
AN-NUR, REMBAU


24 OGOS 2010 (SELASA)

8.00 pagi: Lawatan sekitar bandar Seremban
11.00 pagi: Bersiap bertolak ke Kelantan

JADUAL ZIARAH SYEIKH ASHRAF DI SELANGOR

JADUAL ZIARAH SYEIKH ASHRAF HAMID HASANAIN
DI NEGERI SELANGOR

21 OGOS 2010 (SABTU)

4.30 petang: Syeikh Ashraf dan pengiring tiba di KLIA

22 OGOS 2010 (AHAD)

6.00 pagi: Solat Subuh dan muhadharah di Surau Muhajirin, Gombak

8.00 pagi: Syeikh akan dibawa menziarahi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya

2.00 petang: Bersiap bertolak ke Negeri Sembilan

DISKUSI "ASROR AS-SIYAM" DI MALAYSIA


Kitab "ASROR AS-SIYAM" (Rahsia-Rahsia Puasa) tulisan Maulana Syeikh Soleh Jaafari, imam Masjid Al-Azhar (wafat tahun 1979) akan didiskusikan di Malaysia oleh imam Masjid Al-Azhar sekarang, Syeikh Ashraf Hamid Hasanain.

Nantikan majlis bersama beliau.

Selasa, 17 Ogos 2010

JADUAL UMUM SYEIKH ASHRAF DI MALAYSIA


JADUAL UMUM PERJALANAN SYEIKH ASHRAF HAMID HASANAIN
(IMAM MASJID AL-AZHAR)

21 OGOS 2010:
-Syeikh Ashraf bersama pengiring dijangka tiba di KLIA sekitar jam 4.15 petang

22 DAN 23 OGOS 2010:
-Majlis di Selangor dan malamnya di Negeri Sembilan

24 HINGGA 26 OGOS 2010:
-Majlis di Negeri Kelantan dan Terengganu

28 OGOS 2010:
-Majlis di Perlis

29 HINGGA 31 OGOS 2010:
-Majlis di negeri Kedah

1 SEPTEMBER 2010:
-Syeikh dijangka berlepas pulang ke Mesir

IKUTI JADUAL PERJALANAN SYEIKH ASHRAF DI MALAYSIA

Ramai sahabat-sahabat yang bertanya saya akan jadual perjalanan Syeikh Ashraf Hamid,imam Masjid Al-Azhar yang akan bertandang ke Malaysia selama 10 hari bermula 21 Ogos ini. Yang penting, setakat ini jadual beliau akan ke Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan sahabat-sahabat dari negeri selain tersebut. Sebelum ini, terdapat jemputan supaya membawa Syeikh Ashraf ke Pahang, Johor,Pulau Pinang bahkan ada yang telah mencadangkan ke Singapura.

Kami sedaya upaya mencadangkan kepada beliau supaya melanjutkan jadual ziarah beliau hingga 15 hari, namun faktor tugasan beliau di Masjid Al-Azhar dan tanggungjawab lain di Kementerian Wakaf Mesir menyebabkan masa beliau terbatas. Hasrat Syeikh, ini bukan ziarah terakhir beliau ke Malaysia bahkan selepas ini beliau bercadang untuk turun lagi ke Malaysia mungkin bersama syeikh beliau, Sayyidi Muhammad Soleh dan lain-lain.

Hanya ini yang termampu saya dan kawan-kawan lain uruskan untuk syeikh.Mulai hari ini saya akan paparkan satu persatu jadual di negeri-negeri tersbeut yang telah dimuktamadkan bersama-sama teman lain. Setakat ini,hanya Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu telah muktamad.

Teman-teman yang ingin mengetahui lebih lanjut perjalanan syeikh, boleh hubungi saya di talian: 017-9184713

USTAZ AZRUL TERLIBAT DALAM KEMALANGAN


Pagi semalam, saya menerima SMS dari saudara Adlan Mokhtaruddin, Naib Presiden PMRAM dari Mesir yang memaklumkan mantan Ketua Lajnah Dakwah PMRAM tahun lepas, saudara Azrul Ismail terlibat dalam kemalangan jalan raya sekwatu perjalanan ke Damanhur. Kenderaan yang dinaiki melanggar bonggol dengan laju menyebabkan pemandu hilang kawalan. Saya dimaklumkan juga dalam insiden itu pemandu dan seorang penumpang wanita yang sarat mengandung warga Mesir meninggal dunia. Namun Alhamdulillah, saudara Azrul mengalami keretakan pada bahagian tangan beliau.

Hanya baru beberapa minggu lalu, kita dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa Presiden, saudara Shahrizan Hazime. Beliau juga mengalami kecederaan ringan.

Ujian Allah kepada hambaNya adalah satu proses bagi pengampunan dosa dan dinaikkan darjat serta martabat di sisiNya. Semoga ALLAH menganugerahkan kesabaran sebagai satu-satunya penawar kepada segala ujian tersebut.

SYEIKH ASHRAF DI MALAYSIA 21 OGOS


Syeikh Ashraf Hamid Hasanain,Imam Masjid Al-Azhar akan mengadakan lawatan ke Malaysia bermula 21 Ogos ini hingga 1 September depan. Jadual beliau sedang disusun dan akan dimaklumkan kelak.