Sabtu, 22 Mei 2010

EMPAT PERKARA MENGGEMBIRAKAN KALAU DAPAT DI MESIR


Kata senior kat Mesir masa saya tahun pertama di Mesir dulu, ada tiga perkara yang amat disukai oleh pelajar Malaysia di Mesir:

Pertama: Boleh duduk masa naik bas 24 JIM atau 80PALANG ke kuliah di Darrasah. (Ini disebabkan masa ke kuliah keadaan bas terlalu padat, kebanyakan penumpang terpaksa berdiri. Kalau boleh duduk pun pada awalnya kadang-kadang terpaksa berdiri tak lama disebabkan kalau ada orang tua atau wanita yang naik kemudian,maka tempat duduk tersebut terpaksa diberikan kepada mereka).

Kedua: Dapat minum MILO. Di Mesir minuman utama ialah teh (syai). Dari pagi sampai ke malam syai tak berhenti. Arab memang tak kenal selain syai atau kopi. MILO atau Horlicks langsung tak dipandang. Maka nak dapatkan bekalan MILO di Mesir cukup susah. Siapa yang dapat minum walau menumpang kawan tentu amat puas hati.

Ketiga: Dapat surat atau kad Raya dari Malaysia. (Mungkin ini zaman dulu, 10 atau 20 tahun dulu. Sekarang sudah ada emeil dan SMS). Mengikut cerita, setiap petang di Rumah BKAN akan sentiasa dikunjungi bagi melihat siapa yang bertuah menerima surat dari Malaysia.

Itu tiga perkara yang menjadi perhatian orang-orang lama Mesir. Hari ini, saya ingin menambah satu lagi menjadikannya empat. Iaitu bila dapat visa (iqomah). Tentu semua setuju dengan saya.

Seperti dimaklumi, untuk dapatkan satu visa di Mesir urusannya amat sukar. Terpaksa beratur panjang dan melayan karenah Arab. Sekali pergi ke pejabat imigresen di Bu'uth, belum menjaminkan anda akan memperolehi visa tersebut. Tambah kalau datang ke sana melewati jam 10 pagi, tiada harapan lagi. Setengahnya terpaksa datang selepas Subuh.Begitulah rutin yang terpaksa dilalui pelajar Malaysia setiap tahun. Lebih kurang masa nak buat urusan di kuliah.

Masalah ini bukan baru bahkan telah bertahun-tahun. Tak pelik cerita abang lama dulu yang terpaksa bawa saratoga (selimut) dan pemanas air serta datang bermalam di depan pintu pejabat Imigresen bagi mendapatkan angka giliran yang terawal.

Perkara ini berkali-kali telah disuarakan oleh pihak PMRAM. Kepada Dato' Duta sebelum ini dan seingat saya terakhir pada pertemuan dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bulan Februari lalu.

Tentu amat sukar untuk diubah kerana bagi Arab Mesir, itu adalah 'sistem terbaik' bagi mereka yang pernah diamalkan di dalam dunia moden sekarang.Wallau'alam.

Khamis, 20 Mei 2010

LULUS LESEN JUDI: SATU LAGI PROJEK MENGUNDANG BALA ALLAH

Isu lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia sekarang merupakan isu yang berkaitan dengan maruah umat Islam. Ia bukan lagi berkisar tentang topik mana-mana politik kepartian.Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Markaz Pengumpulan Hasilan dan Kajian (MANHAL) PMRAM seperti yang disiarkan dalam web rasmi PMRAM sudah memadai bagi dijadikan renungan secara ilmiah betapa segala hujah untuk menghalalkannya tertolak. (Sila klik untuk melihat pautan.)

Sebagai umat Islam yang terasa dicabar dengan isu ini tentunya kita perlu bangkit menyatakan bantahan kepada kelulusan lesen judi yang tentunya 'satu lagi projek MENGUNDANG BALA DAN MURKA ALLAH'.

Dalam isu ini,saya rasa terpanggil untuk menulis menyatakan bantahan kepada isu ini bukan atas sikap menyokong mana-mana parti politik atau sengaja mengambil kesempatan mempolitikkan isu akan tetapi ia perlu dilihat dengan skop yang lebih luas iaitu maruah Islam sekarang ini sedang dicabar.

Dengan diumumkan sendiri oleh seorang Timbalan Menteri yang beragama Islam,di dalam sebuah negara yang mengaku sebagai negara Islam sebelum ini, dengan penduduknya majoriti orang Islam, adalah sesuatu yang tidak masuk akal lesen judi ini dikeluarkan semata-mata hujah dangkal iaitu "bagi mengelakkan judi haram berlaku." Oleh itu, maka satu lesen judi "halal" terpaksa dikeluarkan bagi memastikan judi haram tidak berlaku.

Dangkal sungguh hujah tersebut yang menggunakan lojik akal bagi menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah baik dalam Al-Quran dan Hadith yang dalilnya jelas lagi nyata. Sekadar menukar nama dari JUDI HARAM kepada JUDI HALAL bukanlah syarat untuk menjadikannya halal. Jika itu sudah menjadi ketetapan Allah, walau sedikit tetap haram. Arak,walau setitik tetap haram.Bagi saya judi adalah haram sesuatu yang telah dimaklumi hukumnya. Buatlah apa jua alasan untuk menghalalkannya takkan berubah hukum kerana ia telah dinas dalam Al-Quran. Tak payah rasanya di sini mendatangkan hujah panjang lebar. Orang di kampung pun sedia maklum perkara ini. Tak munasabah orang atasan tidak mengetahuinya di dalam negara yang mengaku sebagai sebuah negara Islam. Mustahil kalau tak jumpa ayat Al-Quran yang mengharamkan judi, seperti dakwaan mantan orang nombor satu polis, Tun Hanif Omar satu ketika dahulu.


Yang untung dalam isu ini Cina. Tan Sri Vincent Tan, pemilik Kumpulan Berjaya. Siapa tak kenal Vincent Tan, antara orang terkaya di Malaysia selepas Tan Sri Ananda Krishnan dan Lim Goh Tong, tauke judi Genting.

Bagi menyahut perintah Nabi Muhammad s.a.w mencegah kemungkaran, bagi yang berkuasa perlu cegah dengan tangan, lidah dan yang paling rendah iman dengan membenci di dalam hati. Tiada iman lagi selepas dari itu jika dalam hati tiada rasa resah, bersalah dan benci. Redha dengan kekufuran, maka sahamnya akan diperolehi sama dengan si pembuat.

Buat lah apa saja bagi menyuarakan bantahan anda bagi menyahut hadis Rasulullah s.a.w tentang mencegah kemungkaran. Jika mampu suarakan dalam bentuk tulisan, turun ke jalan atau berdoa dan bermunajat semoga Allah membuka pintu hati pimpinan negara kita agar kembali ke pangkal jalan.

Masih segar dalam ingatan kita bagaimana menjelang Sukan Komanwel tahun 1998 dahulu, syarikat Carlsberg, sebuah syarikat arak menjadi salah satu penaja suka,ketika itu logo syarikat arak tersebut dipasang dimerata-rata tempat terutama sekitar Kuala Lumpur bahkan terdapat pada kereta sewa atau teksi yang pemandunya adalah muslim.

Apa jua yang dilakukan janganlah sekali-kali membelakangkan redha Allah semata-mata mencari redha manusia.

Kepada golongan ulamak, di sinilah terletaknya peranan tuan-tuan dalam menegur pemerintah. Mana ada dalam dunia seramai Mufti di negara kita. Sebesar-besar negara Mesir ini pun hanya seorang saja Mufti dalam mesir. Negara kita ada 14 orang Mufti. Setiap satu negeri, ada mufti sendiri bahkan tak cukup Mufti, ada timbalan mufti pula bagi membantu tugas Sohibussamahah. (Bukan kecil pengertian makna Sohibussamahah). Tak lepas kita nak menjawab di akhirat kelak kalau di dunia kita tidak bersuara apabila mungkar terang-terang berlaku.

Semoga Allah mengembalikan pemimpin negara kita kepada pangkal jalan agama-Nya setelah menyimpang agak jauh dari landasan Islam sebenarnya.

Rabu, 19 Mei 2010

MAKAM SYEIKH AHMAD SIDDIQ AL-GHUMARI DI DARRASAH



Menyertai jaulah makam sekitar Kaherah bersama-sama teman-teman lain pada 7 Mei lalu, penemuan makam baru bagi saya yang belum pernah pergi sebelum ini. Makam Al-'Alim Muhaddith agung,Syeikh Ahmad Ibn As-Siddiq Al-Ghumari yang terletak di kawasan perkuburan Darrasah. Keluarga besar beliau lain merupakan ulamak masyhur antaranya saudaranya Syeikh Abdullah Siddiq Al-Ghumari. Sebahagian besar ulamak Mesir mengambil ilmu Hadis dari beliau antaranya Syeikh Dr.Yusri Jabr.

Al-fatihah buat Syeikh Ahmad Siddiq Al-Ghumari..

Selasa, 18 Mei 2010

LEBIHNYA GURU, ILMUNYA DIMANFAATKAN WALAUPUN SELEPAS DIA TIADA


Syeikh Nabil dan Syeikh Ashraf mengajar ilmu Al-Quran

Sempena Hari Guru yang tiba tahun ini, dikesempatan ini saya ucapkan SELAMAT HARI GURU buat mereka yang pernah mendidik dan mengajar saya walau sepatah huruf. Terutama buat ayahanda dan bonda saya yang dari mereka saya menerima didikan awal. Juga guru-guru sewaktu di Tadika USM Pulau Pinang-antara rakan saya ketika itu ialah Dr.Akmal Huzaifah- Kami pernah bercerita kembali sewaktu di Maahad Muhammadi Lelaki yangs ebenarnya kami dulu satu tadika di USM. Antara yang masih segar dalam ingatan ialah Cikgu Wan. Sebab bengis dan garangnya menjadi 'igauan' dan ketakutan kami masa itu. Kemudian saya ke Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong bermula darjah 1 hingga 3.

Kemudian setahun di SRK Hasim Awang, Kepala Batas Pulau Pinang. Antara cikgu yang masih segar dalam ingatan ialah Cikgu Azimah, mengajar Bahasa Inggeris saya yang terkenal juga kebengisan. Setelah lama berpisah, saya menemuinya kembali pada tahun 2002 di pertandingan akhir Forum Remaja peringkat Kebangsaan yang diadakan di Alor Setar, Kedah. Beliau bertugas sebagai penjaga masa dan ketika itu baru saya tahu beliau telah berpindah ke sekolah baru di Sungai Petani. Kemudian sekolah terakhir di peringkat rendah ialah Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam yang meninggalkan seribu kenangan manis di sana. Hingga kini masih ingat nama-nama guru di sana sewaktu saya di kelas 5 Kuning dan 6 Putih. Cikgu Zulkifli (guru kelas 5K), Cikgu Azmar Yahya (guru kelas 6P), Cikgu Tan (guru BI), Ustazah Zahrah (guru Pendidikan Islam) dan ramai lagi laa..

Seterusnya di peringkat menengah,hanya satu sekolah yang saya duduki bermula peralihan hingga tingkatan enam iaitu Maahad Muhammadi Lelaki. Di sana berpuluh-puluh lagi guru yang saya menerima asuhan dan didikan yang walaupun tidak disebut di sini tapi nama mereka sentiasa terpahat di hati. Hingga kini di menara ilmu dunia, Al-Azhar dan bumi Mesir makin bercambah dan bertambah ilmu di dada. Tambahan lagi dalam 'universiti PMRAM' yang ku timba ilmu dan pengalamannya bermula dengan bertatih sebagai AJK biasa hingga sebagai Badan Pengurus PMRAM selama dua tahun.Dalam universiti PMRAM ini, teman-teman sebaya atau senior adalah murabbi yang mendidik.

Demikian saya sebutkan institusi rasmi. Bagi yang tak rasmi, hanya Allah saja Maha Mengetahui. Saya pohon kepada Allah agar Dia merahmati mereka semua.

Terima kasih buat kalian semua..Semoga Allah memberkati hidup semua. Inilah lebihnya menjadi guru dan mengajar ilmu yang boleh dimanfaatkan kerana termasuk dalam hadis Baginda s.a.w antara tiga perkara yang akan sampai pahalanya sekalipun setelah kewafatannya antaranya ilmu yang dimanfaatkan.Sekalipun guru itu telah tiada atas muka bumi ini, tapi ilmunya terus hidup melalui anak-anak muridnya di serata dunia.

PERJALANAN KE DUMYAT JAUH DAN LETIH: TERFIKIR PENGORBANAN MEREKA BERULANG-ALIK KE KAHERAH



Setelah tiba di muhafazah Dumyat, kami menikmati makan tengah hari di pantai Ra'sul Bar. Rasa tidak sempurna jaulah ke Dumyat jika tidak ke Ra'sul Bar. Ombak petang di sana agak kuat menghempas pantai ditambah deruan angin yang agak kencang. Perkara yang agak lain petang itu, bacaan madih Nabawi berkumandang di sekitar pantai ketika sesi bergambar berlangsung.

Destinasi kami berakhir bagi menziarahi seorang sahabat kami, Ustaz Fakhrudin Amin bin Ramli. Ayahanda beliau telah kembali ke rahmatullah minggu lalu. Ustaz Fakhrudin juga kerapkali membantu PMRAM cawangan Kelantan bagi program-program yang diadakan di RKB. Beliau juga bersama saya dan teman-teman menyertai maulid Syeikh Soleh di Aswan akhir Januari tahun ini. Malam-malam kami keluar bersiar-siar di sekitar rumah penginapan kami di bandar Aswan. Sempat juga menikmati juadah ikan bakar bersama-sama.

Bacaan Yasin dan tahlil disedekahkan buat roh allahyarham yang dikendalikan oleh Ustaz Othman. Kemudian saya yang mengendalikan majlis menjemput Ustaz Baharudin Husin, EXCO KPKM mewakili YDP bagi menyampaikan ucapan sebelum Ustaz Othman dan Ustaz Suhaimi. Saya pula menyampaikan salam dari Ketua Lajnah Kebajikan Ustaz Farkhan dan Presiden PMRAM, Ustaz Shahrizan Mohd Hazime kepada beliau dan salam takziah atas apa yang berlaku. Majlis diselang-seli dengan bacaan madih Nabawi sebelum majlis penyampaian sumbangan dan cenderahati dari PMRAM,KPKM dan pihak penganjur rehlah kepada Ustaz Fakhrudin Amin. Majlis berakhir sekitar jam 7 malam dengan sedikit jamuan ringan.

Perjalanan dari Kaherah ke Dumyat dan waktu pulang ke Kaherah terasa keletihan. Baru kami semua terbayang agak jauh juga muhafazah Dumyat dari Kaherah. Saya pula terfikir bagaimana dengan AJK PMRAM atau mereka yang terlibat dengan mesyuarat di Kaherah yang terpaksa berulang-alik dari Dumyat ke Kaherah. Tentunya memenatkan dan memerlukan wang saku yang lebih. Tentunya pengorbanan mereka amat besar untuk perjuangan Islam di Mesir ini. Jauh Iskandariah, rupanya jauh lagi Dumyat.

"ILAHI YA ILAHI, WA HAZAL FAIDUL SYA'ARAWI" BERGEMA DI MAKAM SYEIKH SYA'RAWI


Tanggal 17 Mei lalu, saya bersama-sama teman lain telah menyertai jaulah makam sekitar muhafazah Mansurah dan kemudian ke Dumyat. Destinasi di Mansurah ialah makam seorang pendakwah Islam yang amat masyhur di Mesir bahkan di dunia ini iaitu Syeikh Muhammad Mutawali Syaarawi. Makam beliau terletak di dalam kompleks yang diasaskannya yang terletak di Kampung Daqawus dalam markaz Mit Ghamr, wilayah Mansurah. Beliau cukup terkenal dengan ketegasan dan keberanian dalam menyampaikan dakwah Islam sewaktu hayatnya. Dilahirkan pada 15 April 1911 dan meninggal dunia pada 17 Jun 1998 ketika berusia 87 tahun.

Ketika kami tiba di makam beliau, kerja pembaikpulih dan pembersihan makam giat dijalankan bagi menyambut ketibaan sambutan maulid beliau yang bakal bermula pada 6 Jun ini dan akan berterusan selama seminggu. Memang nama Syeikh Sya'arawi tidak asing lagi bagi masyarakat Mesir khasnya. Dari Aswan hingga ke Iskandariah, semuanya mengenali beliau. Tua,muda, alim,yang jahil, semuanya mengenali nama Syeikh Sya'arawi walaupun kebanyakan mereka tidak sezaman dengannya, jika sezaman pun tidak ramai yang mengambil ilmu dari beliau.Muda-mudi yang tak pernah kenal solat dan masjid pun bila diajukan nama Syeikh Sya'arawi kepada mereka,mereka pasti akan hormati dan menyanjung tinggi. Begitulah penghormatan masyarakat Mesir kepada beliau. Tidak hairanlah di saat kewafatan beliau, hampir seluruh Mesir berkabung dan rakyatnya menangisi yang teramat atas pemergian seorang bintang dari langit Al-Azhar. Video yang masih boleh dilihat dalam Youtube, sewaktu pengebumian beliau, ribuan rakyat membanjiri kawasan kompleks Sya'arawi (Mujammak Syaarawi) yang diasaskannya bagi memberi penghormatan kepada beliau.


Syeikh Sya'arawi cukup menonjol dalam ilmu Tafsir. Kebolehan utama beliau dari segi syair dan sastera Arab. Itu minat yang telah mula berputik sejak beliau di bangku sekolah rendah lagi. Antara yang pernah didik beliau ialah ulamak masyhur sekarang, Dr.Yusuf Qardhawi. Syeikh Sya'arawi pernah sampai ke kemuncak jawatan sebagai Menteri Wakaf ketika zaman pemerintahan Presiden Anwar Sadat.

Antara video lain yang memberikan kesan dalam kehidupan masyarakat Mesir terutamanya ialah teguran beliau terhadap Presiden Hosni Mubarak dalam satu majlis di Istana Presiden beberapa bulan sebelum beliau pergi dijemput menghadap Allah. Walaupun berlangsung selama beberapa minit, ucapan beliau itu menerima tepukan gemuruh dari mereka yang hadir dalam majlis itu. Lebih mengkagumkan beliau mampu meletakkan tangannya atas bahu Presiden Mubarak sambil menyatakan harapan bahawa mungkin itu perjumpaan terakhir antara beliau dan Presiden Mesir itu.

Antara majlis terakhir beliau ialah pengurniaan anugerah kebesaran tertinggi negara Emeriah Arab Bersatu (UAE) kepada beliau atas nama "Rijal Syakhsiyah" tahun itu. Paparan video menunjukkan beliau dalam keadaan uzur terpaksa menaiki kerusi roda dan diiringi sejumlah doktor dan pra-medik. Setelah diumumkan penerima anugerah tersebut yang merupakan anugerah tertinggi negara, beliau terus mendoakan kesejahteraan buat negara UAE dan pemimpinnya. Belumpun sempat habis doanya, beliau terpaksa bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan atas keuzuran yang dihadapi.

Diceritakan, sewaktu beliau dirawat di hospital, walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, beliau masih boleh menasihatkan ahli keluarga yang datang menziarahi beliau. Rasa tanggungjawab menyampaikan amanah ilmu Allah itu masih dirasai untuk dilaksanakan walaupun dalam keadaan uzur. Benarlah kata-kata Syeikh Soleh Jaafari r.anhu bahawa dalam syurga kelak, sekalian kerjaya dan aktiviti yang dilakukan atas dunia dahulu telah terputus KECUALI orang alim yang terus dibenarkan mengajar selama-lamanya walaupun telah berada dalam syurga.



Kini,meskipun Al-Marhum Syeikh Sya'arawi meninggalkan dunia lebih 12 tahun lalu, namun suara dan naishatnya masih diperdengarkan seakan-akan ia sentiasa bersama kita. Setiap hari akan ada majlis pengajian beliau diperdengarkan melalui Radio Al-Quran Al-Karim Kaherah dalam rancangan "Khawatir Al-Imaniyyah Li Fadhilat As-Syeikh Mutawali Sya'arawi". Lebih hebat lagi, khutbah beliau yang disampaikan di Masjid Namirah sewaktu Hari Wukuf di Arafah pada musim haji tahun 1976. Siapa sahaja kini yang diberikan peluang dan penghormatan bagi menyampaikan khutbah pada hari Arafah.Tapi kepada Syeikh Sya'rawi beliau diberikan penghormatan sedemikian rupa. Khutbah yang penuh munajatnya kepada Allah, tak pernah lekang kalimah "YA RABB" dari mula hingga penutup khutbah yang disampaikan sekitar 40 minit itu. Dikatakan bahawa beliau tidak pernah memakai alas kasut atau selipar sewaktu berada di tanah suci. Ini kata beliau biarlah kakinya terkena debu-debu tanah suci.

Kami duduk mengelilingi makam beliau dengan dimulai bacaan Yasin disedekahkan kepada roh beliau. Kemudian bacaan madih Nabawi sebelum fasal maulid Nabi dibacakan sebelum semuanya bediri berselawat ke atas Nabi. Majlis di akhiri dengan bacaan doa memohon rahmat dan bertawassul dengan beliau. Hampir dua jam kami duduk di makam beliau.

Syeikh Sya'arawi menerima banyak sumbangan dari masyarakat bahkan dunia. Tetapi hampir kesemua sumbangan tersebut disumbangkan buat anak-anak yatim, orang miskin dan kepada kompleks beliau. Bahkan terdapat binaan yang dicadangkan sebuah hospital berdekatan kompleks beliau, namun terbengkelai pembinaannya hingga kini. Kata beliau, beliau tidak mahu meninggalkan wang dan harta yang banyak untuk anak cucu beliau bimbang berlaku perebutan harta di kalangan keluarganya. Apa yang ditinggalkan cukuplah bagi anak-anaknya hidup dan tidak merempat.

Sewaktu memegang jawatan Menteri Wakaf, antara yang dilakukannya ialah beliau ke beberapa buah masjid di bawah pentadbiran kementeriannya, untuk mencuci dan membersihkan tandas masjid. Bahkan sewaktu hayatnya, beliau banyak menziarahi makam auliya' dan ahli keluarga Rasulullah s.a.w. Beliau kerapkali juga kelihatan kerap menziarahi Saidina Husain r.anhu. Nasab keturunan beliau bersambung kepada Imam 'Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain r.anhu.

Tidak hairanlah diceritakan sewaktu nazak, sebelum menghembuskan nafas yang terkahir, mereka yang berada di sekeliling beliau mendengar mulut beliau menyebut "Ya Husain! Hari ini kamu datang sendiri menjemput aku" disusuli dengan kalimah syahadah sebelum meninggalkan dunia ini dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan.

Al-fatihah buat Syeikh Syaraawi..Semoga Allah merahmati beliau dan membalas dengan sebaik-baik pembalasan..Ya Allah! Kami mencintainya maka kurniakanlah cahaya dan nur beliau menerangi hati-hati kami..