Selasa, 30 Mac 2010

26 MAC: SAYA DIINGATKAN SETAHUN BERLALU PENTADBIRAN PMRAM



Beberapa hari lalu, saya diingatkan oleh teman-teman dalam Badan Pengurus terhadap satu tarikh yang penting. Tanggal 26 Mac 2010 lalu, genaplah setahun pentadbiran PMRAM di bawah teraju saudara Abdul Mu'izz Muhammad setelah dimasyhurkan oleh SPR di Muktamar Sanawi PMRAM di Nadi Riyadhi setahun lalu.Ini bermakna, saya telah berada dalam kepimpinan PMRAM setahun 18 hari atau kiraan saya lebih 380 hari sejak tahun pertama dalam BP tanggal 8 Mac 2008.

Sepanjang setahun lalu, pengalaman banyak mengajar erti kehidupan sebenarnya. Sedikit sebanyak rasa ketidakpuashatian orang terhadap kita, sekecil-kecil kritikan hingga sebesar-besar kutukan telah dilalui dengan sifat berlapang dada. Tugas Timbalan Setiausaha Agung, tidaklah seberat 'bos' saya, Setiausaha Agung, jauh sekali dengan kesibukan tugas Presiden. Membantu dari sudut kepejabatan, laporan minit mesyuarat Badan Pengurus dan sedia menerima apa jua perintah dan arahan dari 'bos' saya. Walaupun dari jarak usia, saya lebih berumur dua tahun dari saudara Adlan, tapi dari sudut kerja dan pengurusan beliau jauh lebih kemas dan hebat. Di sisi beliau, saya meletakkan diri sebagai 'pekerja' atau office boy beliau.

Tempoh setahun bukan satu jangka masa yang singkat. Ia perlu dilalui dengan kesabaran dan ketabahan. Ramai mulut-mulut yang bercakap tentang "zaman kegelapan" PMRAM pada awal kenaikan PMRAM sesi ini hanya kerana PMRAM bakal diterajui saudara Abdul Mu'izz yang disifatkan seorang berwatakan keras dan tidak mesra dengan orang. Tapi setahun telah berlalu,tidak ada 'kegelapan' yang melanda saudara Abdul Mu'izz dan PMRAM bahkan mereka yang bercakap tentang 'kegelapan PMRAM' itu yang sebaliknya 'gelap' dan membisu seribu bahasa. Manakala saudara Abdul Mu'izz pula dikurniakan Tuhan rezeki setelah menamatkan bujangnya tahun lalu.

Meletakkan kepatuhan kepada individu (intima' shakhsi) merupakan satu 'khurafat' yang perlu dihapuskan dari terus membelenggu pemikiran kita. Saudara Abdul Mu'izz dan pimpinan PMRAM berulang kali menyatakan pandangan bahawa kita berjuang bukan kerana individu tapi kerana dasar PMRAM yang membawa Islam.Selagi mana PMRAM hari ini berputar di atas orbitnya (iaitu islam)maka wajib bagi kita mempertahankannya. Pemimpin boleh datang dan pergi tapi Islam hanya satu yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang akan dijaga oleh Allah s.w.t hingga kiamat.

Syukur kepada Allah s.w.t yang membantu kami untuk berjalan atas landasan PMRAM hingga ke hari penghujung ini. Syukur Tuhan, Kau kurniakan kepada kami pimpinan yang telah berlalu sebelum ini.Syukur Tuhan atas segala-gala nikmat-Mu ke atas kami..

CATATAN BUAT USTAZ AZIB HUSEIN


Majlis perasmian Kem Injeksi Qiadi (KIQ) KPKM oleh Presiden ketika itu, Ustaz Hairul Nizam.Ustaz Azib pengarah KIQ dan saya timbalannya.

Nama Ustaz Abdul Azib Husein bukan asing dengan warga Kelantan di Mesir. Kepulangannya ke tanah air 28 Mac lalu satu kehilangan buat anak-anak Kelantan di Mesir. Jasanya tidak sedikit di Kelantan dan PMRAM. Beliau juga merupakan naqib usrah saya sewaktu tahun pertama kami di Mesir.Beliau bergandingan dengan Ustaz Tarmizi memimpin usrah kami. Pernah beberapa kali bermalam di rumah saya yang ketika itu terletak di hadapan Rumah Pulau Pinang. Beliau juga sebenarnya banyak membantu saya melatih berucap di hadapan khalayak. Dalam usrah, beliau banyak membuka perbahasan dan perbincangan antara kami. Beberepa bulan setelah tiba di Mesir, berlangsungnya mesyuarat agung KPKM. Ketika itulah, Ustaz Azib ditabalkan sebagai EXCO KPKM yang baru dengan memegang portfolio Ketua Badan Penerbitan (yang kemudiannya ditukar kepada Ketua Lajnah hingga sekarang).

Beberapa bulan kemudiannya diadakan majlis pelancaran laman web rasmi KPKM yang baru di bawah kelolaan Badan Penerbitan KPKM oleh Yang Dipertua masa itu, Ustaz Nik Azran Mohamed. Seingat saya, itulah kali pertama dalam hidup saya mempengerusikan majlis di Rumah Kelantan. Itu semua atas usaha Ustaz Azib yang mahu melatih saya. Pertama kali berucap di hadapan khalayak ramai tentu banyak kesilapan berlaku kerana gugup. Setelah berkahir majlis saya ingatkan beliau akan memarahi saya, tapi bila saya tanya beliau katakan itu perkara biasa, perlu banyak latihan lagi. Setahun kemudian dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua KPKM sewaktu Ustaz Mohd Rahimi Haron memimpin KPKM.

Di pertengahan sesi memegang TYDP, beliau dicalonkan sebagai Badan Pengurus dengan memegang Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma (BKTD) tahun 2006 dan terpaksa membahagikan masa dengan baik antara dua jawatan besar tersebut. Setelah turun dari Badan Pengurus, beliau menggantikan saya sebagai Ketua Jabatan Nuqaba' KPKM tahun 2008 setelah saya mengosongkan jawatan tersebut untuk ke Badan Pengurus. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai ahli Lembaga Penasihat KPKM sesi lalu ketika Ustaz Nor Halif menerajui KPKM.

Sebelum menuntut di Al-Azhar, beliau menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong-seangkatan dengan saudara A.Ubaidillah Alias, mantan TYDP dan beberapa orang lain. Sempat merasai alam kampus di Malaysia selama beberapa sesi di Uniersiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum berangkat ke Mesir di Kuliah Syariah Islamyiah Universiti Al-Azhar Kaherah. Dengan pencapaian yang cemerlang dari segi akademik hingga berjaya menamatkan pengajian 2 tahun lalu. Telah berkahwin lebih setahun yang lalu dengan gadis pilihannya yang banyak membantu kerja-kerja dakwahnya sewaktu di UIA dan dikurniakan dengan puteri yang bernama Haziqatul Ula.

Terima kasih buat mereka yang mengajar dan mendidik. Kata Saidina 'Ali r.anhu, "Mereka itu adalah guruku walaupun yang pernah mengajar daku sepatah huruf."

KEPULANGAN USTAZ AZIB DAN YAZID:SELAMAT BERJUANG!


Bergambar kenang-kenangan bersama Ustaz Azib dan Ustaz Yazid sebelum mereka berangkat pulang.

Hari Ahad, 28 Mac lalu, tarikh kepulangan teman kami dalam Badan Pengurus, saudara Mohd Yazid Pardi ke Malaysia. Beliau telah menamatkan pengajian di Kuliah Syariah. Saya dan BP lain turut menghantar beliau ke Lapangan Terbang dengan menaiki sebuah koster. Turut serta beberapa orang teman serumah saudara Yazid lain.Seorang lagi mantan BP PMRAM,saudara Abdul Azib Husain dari Kelantan juga pulang ke Malaysia malam itu.Presiden PMRAM saudara Abdul Mu'izz sempat menghadiahkan kopiah berlogokan PMRAM kepada saudara Yazid. Tentu beliau terharu dengan hadiah Presiden. Memang Presiden kita seorang yang ambil berat dan penyayang. Bersifat dengan sifat seorang 'ayah' terhadap BP sebagai'anak-anak'nya. Tugas beliau dalam PMRAM sebagai Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa (BPKB) akan dipangku oleh saudara Farkhan hingga pada hari muktamar kelak. Dalam perjalanan ke mator, saudara Yazid, Presiden saudara Abdul Mu'izz, saudara Farkhan, mantan Presiden PMRAM Ustaz Hairul dan wakil ahli serumahnya, saudara Faizul Hadi telah berucap. Masing-masing melahirkan harapan. Semoga semua dapat bertemu di medan sebenar perjuangan Islam di Malaysia.

Ustaz Azib dan Yazid, kedua-dua mereka banyak medidik saya dalam program PMRAM. Tahun pertama saya di Mesir, saya kenali Ustaz Yazid dalam program Kolokium Ilmuan Q PMRAM ketika itu beliau merupakan fasilitator dan AJK program. Tahun kemudiannya, kami bertemu dalam KOFI sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua BKAN Johor (BKPIJM) ketika saya sebagai Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM. Setahun kemudian, iaitu tahun 2009 beliau dipilih menganggotai Badan Pengurus.

Ahad, 28 Mac 2010

Temui Pimpinan dalam Facebook Mereka


Semalam, saudara Azlan Hj Alias, Ketua Badan Ekonomi PMRAM telah berjaya memiliki Facebook sendiri dengan bantuan saudara Taufik. Perkara ini telah diulas oleh saudara Zuhaili dalam blog beliau http://akuabezuh.blogspot.com. Nampaknya semakin ramai Badan pengurus yang telah menceburi lapangan Facebook termasuk Presiden, saudara Abdul Mu'izz. Jangan lupa add saya dan mereka melalui Facebook anda semua..Cuma buat saudara Zuhaili kena cepat buat Facebook, sebab tentu ramai peminat beliau tertunggu-tunggu Facebook beliau..

P/S: Tunggu 'pencen' lambat lagi..

PERKEMAS Anjurkan Bazar




Persatuan Kebajikan Pelajar Singapura atau ringkasannya PERKEMAS mengadakan Bazar pada 26 Mac lalu. PMRAM yang diwakili anggota Badan Pengurusnya telah dijemput hadir memeriahkan bazar tersebut yang berlangsung di markaz mereka di Hayyu Sabie. Pelbagai menu dijula pada bazar tersebut antaranya nasi beriani, roti boyan, ais krim dan lain-lain. Semasa berbual dengan salah seorang pelajar mereka,saudara Nasrullah, PERKEMAS turut menganjurkan kelas pengajian setiap minggu pada hari Rabu bersama Syeikh Ashraf Hamid Hasanain yang mengajar kitab ILHAMUN NAFI'E bermula solat maghrib dan selepas Isyak pada hari yang sama bersama Dr.'Atiyah Mustafa Husain yang membacakan kitab HAQAIQ 'ANI TASAWWUF.

PMRAM Sertai Bazar Pelajar Brunei


Presiden dan BP PMRAM bergambar bersama Presiden Persatuan Pelajar Brunei (di tengah, berkopiah)

Pada 20 Mac lalu, Badan Pengurus PMRAM dijemput memeriahkan Bazar Amal anjuran Persatuan Pelajar Brunei di Mesir. Bazar yang berlangsung sehari itu diadakan di Nadi Syabab, Hayyu Sadis. Rombongan BP PMRAM itu diketuai Presiden, saudara Abdul Mu'izz Muhammad dan disertai beberapa Yang Dipertua BKAN dan Pengerusi DPM. Majlis bermula sekitar jam 10 pagi itu dihadiri beberapa orang pegawai di Kedutaan Besar Brunei di Mesir. Pelbagai juadah makanan tradisional disajikan dan dijual di bazar tersebut.

Pertama kali ke Masyaikhah Al-Azhar


Petikan ucapan Presiden Husni Mubarak yang memuji Al-Azhar, diabadikan di tangga utama ke bilik Syeikhul Azhar.

Bunga yang dihadiahkan oleh individu kepada Syeikhul Azhar yang baru bagi ucapan tahniah yang diletakkan pada salah satu sudut di bilik tersebut.


Tetamu lain yang telah lama menunggu menemui Dr.Ahmad Toyyib.

Minggu lepas, saya dan saudara Adlan dan Zuhaili ke Pejabat Syeikh Al-Azhar di Darrasah. Tujuan kami bagi menyampaikan surat perutusan tahniah PMRAM kepada Syeikhul Azhar baru, Dr.Ahmad Toyyib yang baru dilantik beberapa minggu lalu. Bila kami tiba di tempat menunggu di pejabat beliau, rupanya telah ramai tetamu yang lama menanti bagi menemui Dr.Ahmad Toyyib. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menangguhkan pertemuan kami dengan beliau. Apatah lagi, kami dapat lihat di bilik beliau terdapat sekumpulan wartawan berita dari beberapa buah stesen televisyen telah bersedia bagi menemuramah beliau.

Jumaat, 12 Mac 2010

Malam Penutup Program Mega DPM


Kenangan majlis penutup MINDA di Damanhur tahun lalu.


Esok, Sabtu merupakan antara hari paling sibuk buat Badan Pengurus.Kesemua DPM yang mengadakan program mega mereka akan mengadakan majlis penutupan esok. Bermula di DPM Tanta, Zaqaziq dan Damanhur, kesemua akan diwakili Badan Pengurus yang telah ditetapkan. Saya diminta untuk turun ke DPM Zaqaziq bagi majlis dialog bersama PMRAM selepas maghrib bersama beberapa orang BP lain. Presiden PMRAM, saudara Mu'izz pula sudah semalaman berada di Iskandariah bagi menguruskan jenazah Allahyarham saudara Ahmad Sarhan,pelajar Perubatan Tanta yang meninggal dunia malam Jumaat lepas. Malam tersebut, Presiden PMRAM mempunyai jadual bersama warga Tanta di program EMINENT dalam forum mahasiswa. Bermalam di sana, setelah menerima panggilan beliau terus bergegas ke Iskandariah.

Solat Ghaib Selepas Jumaat di Seluruh Mesir buat Syeikhul Azhar


Syeikh Nasruddin Mahmud Nasr, imam dan khatib Masjid Al-Azhar
******************

Saya berkesempatan untuk solat fardhu Jumaat minggu ini di Masjid Al-Azhar. Hari ini, selepas solat Jumaat, seluruh masjid di Mesir akan mengadakan solat ghaib bagi Al-Marhum Syeikh Mohammad Sayyid Tantawi, Syeikh Al-Azhar yang meninggal dunia pagi Sabtu lalu. Jenazah Syeikh Tantawi telah selamat dikebumikan di perkuburan Baqie selepas disolatkan di Masjid Nabawi di Madinah.

Khutbah Jumaat disampaikan oleh Syeikh Nasruddin Mahmud Nassar, ulamak besar di Kementerian Waqaf Mesir yang juga imam dan khatib di Masjid Al-Azhar seterusnya mengimami solat Jumaat dan mengetuai solat ghaib kepada Al-Marhum.

Dalam khutbahnya beliau mengaitkan dengan kelebihan para ulamak di sisi Allah dan Rasulullah s.a.w. Seterusnya Syeikh Nasr telah memuji kehebatan, kesungguhan Al-marhum Syeikh Tantawi dalam usaha menyebarkan dakwah bukan sahaj untuk orang Islam bahkan kepada selain Islam.Bukan sahaja kepada sesama orang Sunni bahkan selain mereka. Bahkan sikapnya yang sederhana telah berjaya mendekatkan antara fahaman Sunni dan Syiah.

Menurut Syeikh Nasr lagi, walaupun beliau tiada lagi di dunia ini, namun ilmu dan turathnya masih lagi mampu ditatapi dan diwarisi oleh kita dan generasi seterusnya terutama kitab Tafsir "TAFSIR AL-WASIT" yang beliau hasilkan. Sambil memetik sabda Rasulullah s.a.w "Apabila mati anak Adam, maka terputus segala amalannya kecuali tiga iaitu sedkah jariah,ilmu yang dimanfaatkan serta anak yang soleh." Kata Syeikh Nasr, ketiga-tiga dimiliki oleh Syeikh Tantawi termasuk anak-anak soleh. Kata beliau, "Kitalah, generasi yang akan datang merupakan 'anak-anak soleh' beliau yang akan mendoakan buat beliau."

Ketika menyorot kembali muktamar terakhir yang disertai Al-Marhum, Syeikh Nasr menyebutkan betapa ketika itu dan sebelumnya, Syeikh Tantawi banyak mempertahankan sahabat Rasulullah s.a.w dalam ucapan muktamar yang disertainya. Mempertahankan para sahabat dari dikeji dan tohmahan yang difitnah kepada khulafa' Ar-Rasyidun dan sahabat Baginda yang lain. Kata Syeikh Nasr, "Oleh itu Allah telah muliakan Al-Imam Ar-Rahil (Syeikh Tantawi) dengan dikebumikan jasadnya di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w di Baqie, kemuliaan kepadanya yang banyak mempertahankan hak para sahabat Baginda s.a.w."

Ketika ini, saya lihat ramai jemaah yang hadir menitiskan air mata terharu mengenangkan pemergian Al-Marhum yang kesudahannya diberikan tempat persemadian yang baik atas muka bumi Allah ini.

Syeikh Nasr akhirnya mengingatkan kepada umat Islam agar tidak memandang rendah pada golongan ulamak kerana mereka merupakan pewaris kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan dalam khutbanya dengan nada yang agak keras, Syeikh Nasr mengeglarkan mereka yang tidak beradab dengan ulamak sebagai "As-Sufahak" dan "Juhhalak" iaitu "orang-orang yang bodoh dan jahil."

Khamis, 11 Mac 2010

Sambutan Maulid di Al-Azhar



SYEIKH ASHRAF HAMID HASANAIN AL-JAAFARI AL-HUSAINI MENJEMPUT SAUDARA KE MAJLIS SAMBUTAN MAULID NABI MUHAMMAD S.A.W YANG AKAN DIADAKAN DI MASJID AL-AZHAR.

Ramah Mesra Bersama Warga Shubra


Saudara Taufik sedang berucap mempengerusikan dialog.


Ahli PMRAM di majlis ramah mesra bersama PMRAM

Semalam, 11 Mac saya, saudara Farkhan Md.Zin dan saudara Taufiq Mohd Dahlan (BP angkat PMRAM cawangan Shubra) mewakili PMRAM di majlis ramah mesra bersama warga Shubra di markaz mereka. Pada waktu yang sama, hampir kesemua Badan Pengurus PMRAM mempunyai tugasan masing-masing.Bermula dari Presiden hingga ke BKKS. Presiden saudara Abdul Mu'izz di Tanta sebagai panel forum sempena EMINENT, baki yang lain memenuhi jemputan di DPM termasuk Damanhur, Mansurah dan Zaqaziq.

Dialog yang diadakan semalam merupakan antara aktiviti Badan Pengurus bertemu mata serta berdialog dengan ahli-ahli sebelum berakhir sesi pentadbiran 2009. Pelbagai isu ditimbulkan serta cadangan dan muhasabah yang membina.Majlis berakhir sekitar jam 10.30 malam dengan saya dijemput menyampaikan ucapan penggulungan. Ucapan ringkas sekitar 10 minit itu saya ingatkan mereka dengan usia 80 tahun PMRAM tahun ini yang dikurniakan Allah kepada mahasiswa Malaysia di bumi Anbiya' ini.

Rabu, 10 Mac 2010

Dunia Kehilangan Syeikhul Azhar ke-43


Berita kewafatan Syeikul Azhar, Prof.Dr.Mohammad Syed Tantawi pagi ini sepantas kilat tersebar di dunia ini. Berita sedih ini diterima sebaik sahaj beliau menghembuskan nafas terakhir pagi ini, Rabu di hospital di bandar Riyadh, Saudi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir dalam usia mencecah 82 tahun akibat masalah jantung yang dialami ketika beliau berada di Lapangan terbang Antarabangsa Raja Khalid di bandar Riyadh untuk kembali ke Kaherah.Beliau dijemput ke negara Saudi bagi menghadiri majlis anugerah pingat Al-Malik Faisal bagi penerima untuk tahun ini. Beliau antara Syeikhul Azhar paling lama menyandang jawatan ini iaitu selama 14 tahun bermula 1996.

Al-Marhum Syeikh Tantawi dilahirkan tanggal 28 Oktober 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyah, Pusat Thoma, wilayah Suhaj,Mesir. Beliau menghafaz Al-Quran di bandar Iskandariah.

Beliau memperolehi ijazah kedoktoran (Phd) dalam bidang Hadith dan Tafsir tahun 1966 dengan pangkat Cemerlang (Mumtaz). Kemudian beliau berkhidmat sebagai tenaga pengajar di negara Libya selama 4 tahun dan dilantik sebagai Dekan Kuliah Pengajian Tinggi di Universiti Islam, Madinah.

Beliau kemudian dilantik sebagai mufti negara Mesir pada 28 Oktober 1986 ketika Al-Marhum Syeikh Jadul Haq 'Ali Jadul Haq menjadi Syeikul Azhar ketika itu. Setelah kewafatan Syeikh Jadul Haq tahun 1996, beliau telah dilantik sebagai Syeikhul Azhar yang ke-43.

Beliau sering diundang ke majlis dan muktamar di luar negara bagi memberikan pandangan terhadap isu semasa atau berkaitan dengan agama Islam dan lebih menonjol dalam ilmu Tafsir. Beliau banyak menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar, masjid-masjid di Mesir dan halaqah beliau mentafsirkan ayat-ayat suci Al-Quran di stesen Radio Al-Quran Mesir dalam program "Ma'al Quranil Karim" (Bersama Al-Quran) setiap hari.

Beliau juga memiliki tafsir Al-Quran iaitu "Tafsir Al-Wasit" yang dijadikan sukatan pembelajaran bagi subjek Tafsir untuk beberapa kuliah di Al-Azhar termasuk kuliah saya, Bahasa Arab.

Anak didik beliau yang pernah menuntut dari beliau, para pelajar lebih-lebih lagi warga Azhari tentunya merasa kehilangan yang teramat atas pemergian beliau. Beliau meneruskan kesinambungan sistem dan manhaj Al-Azhar dari generasi ulamak terdahulu sepanjang 14 tahun beliau memimpin Al-Azhar.Beliau pernah mengeluarkan kecaman terhadap kejadian pengeboman yang berlaku di sekitar Kaherah termasuk terakhir di halaman Masjid Saidina Husain yang menjadikan orang awam yang tak berdosa sebagai mangsa.

Beliau turut kelihatan hadir di majlis sambutan Maulid Nabi Muhammad s.a.w anjuran Masyaikhah 'Am Tariqat Mesir yang disambut di Masjid Sayyidina Husain sebelum ini bahkan acapkali diundang di majlis sufi dan tariqat di Mesir. Pandangan beliau banyak ingin menyatupadukan antara Sunni dan Syiah.

Jenazah beliau dikatakan akan dikebumikan di Baqie. Alfatihah buat Al-marhum..

Selasa, 9 Mac 2010

Jaulah BP di Tanta dan Shibin 9 Mac



Pengerusi Shibin, saudara Faizal sedang menyampaikan ucapan aluan



Badan pengurus PMRAM semasa jaulah di Tanta


Jaulah Badan Pengurus semalam ke DPM Tanta dan Shibin El-Kom. Saya bertolak dari Mansurah bersama tiga Badan Pengurus lain setelah meninggalkan majlis maulid bersama Syeikh Ashraf di DPm yang sedang berlangsung.

Kesemua Badan Pengurus PMRAM hadir dalam majlis di Tanta termasuk Ustaz Khairul Anuar penasihat PMRAM yang juga mantan Presiden tahun lepas.Ini jaulah pertama Badan Pengurus PMRAM ke Tanta setelah hampir satu sesi.Presiden saudara Abdul Mu'izz Muhammad turut melahirkan kemaafan kepada warga Tanta atas kelewatan Badan Pengurus PMRAM turun jaulah kali ini. Namun, Badan Pengurus angkat Tanta, suadara Yazid dan Adlan dilihat juga kerap kali turun sebelum ini. Program jaulah kami kali ini diadakan sempena program mega Tanta iaitu EMINENT. Bazar dan malam kesenian Islam pada malam penutup memeriahkan lagi EMINENT kali ini.

Berakhir program sekitar jam 5 petang, kami beberapa orang Badan pengurus terus bergerak ke Shibin El-Kom. Dari Tanta hanya memakan masa 30 minit. Di sana, saya sebagai BP angkat Shibin mengendalikan dialog. Pelbagai isu dan cadangan diutarakan oleh ahli Shibin. Kalam penutup disampaikan oleh Timbalan presiden, saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Hari ini, Badan Pengurus meneruskan jaulah ke DPM Dumyat. Namun ada yang akan ke Tanta dan Zaqaziq bagi mengikuti program dan slot pengisian di sana.

Bersama Syeikh Ashraf di Mansurah



Syeikh Ashraf di majlis maulid di Mansurah

Sekitar jam 7 pagi tadi, 9 Mac saya bersama beberapa orang teman dan syeikh kami, Syeikh Ashraf Hamid Hasanain bertolak dari Kaherah ke Mansurah bagi memenuhi jemputan pihak DPM Mansurah mengadakan sambutan Maulid Nabi Muhammad s.a.w.Tiba jam 9.30 pagi kehadiran warga Mansurah terutama akhawat agak memberangsangkan. Majlis bermula dengan bacaan Al-Quran dengan disusuli bacaan madih oleh teman, Ustaz Amal dari Negeri Sembilan dan Othman serta saya. Pengerusi DPM Mansurah, saudara Amirul Hashim menyampaikan ucapan aluan sebelum Syeikh Ashraf. Dalam ucapannya hampir satu jam, Syeikh Ashraf menyentuh perkara berkaitan sambutan Maulid Baginda s.a.w dan turut mensyarahkan sifat bentuk zat tubuh Baginda s.a.w yang suci. Sekitar jam 11.30 pagi, saya terpaksa memohon keizinan syeikh untuk bertolak ke Tanta bagi jaulah Badan Pengurus ke DPM tersebut.

Isnin, 8 Mac 2010

Minggu BP Turun Ke Muhafazah


Jaulah Badan Pengurus ke DPM Mansurah tahun lalu.

Minggu ini antara minggu tersibuk bagi Badan Pengurus PMRAM dengan jemputan turun ke muhafazah. Bayangkan 15 orang Badan Pengurus terpaksa dipecahkan ke lapan muhafazah naungan PMRAM. Bermula malam ini,Isnin ada kalangan BP yang telah turun ke muhafazah bagi merasmikan program di peringkat DPM. Presiden saudara Abdul Mu'izz sendiri ke DPM Zaqaziq bagi merasmikan program mega DPMZ, timbalannya saudara Shahrizan Mohd Hazime dan saudara Azlan Alias ke DPM Mansurah, saudara Mohd Azrul Ismail dan Amaluddin Arshad ke Damanhur merasmikan program mega DPM Damanhur (MINDA) manakala saudara Zuhaili Saiman dan Meor, Bendarai Kehormat ke muhafazah Shibin El-Kom.

Esok, Selasa mengikut perancangan saya akan ke Mansurah selepas saja solat Subuh bersama teman lain dengan sebuah tremco mengikuti Syeikh Ashraf Hamid Hasanain yang dijemput menyampaikan ucapan di sambutan Maulid DPMM. Menjelang tengah hari, saya terpaksa bergegas ke Tanta mengikuti jaulah Badan Pengurus dan HEWI di sana dan sebelah malamnya juga ramah mesra bersama ahli di Shibin El-Kom.

Maqam baru yang perlu diziarah: Sayyidi Yahya di Zaqaziq



Maqam Sayyidi Yahya di Kampung Ghor,Zaqaziq
*****************************************************************

Selain maqam Syeikh Abdul Halim Mahmud r.anhu, kami terus ke bandar Zaqaziq. Perjalanan dari kampung halaman Al-Marhum Syeikh Abdul Halim ke Zaqaziq memakan masa hampir sejam. Di bandar Zaqaziq, kami menziarahi maqam dan Masjid Syeikh Abu Khalil yang menempatkan beberapa maqam ahli keluarga beliau. Beliau merupakan pengasas kepada Tariqat Khaliliyyah. Selepas menziarahi maqam, kami diundang ke Sahah dan pejabat Tariqat tersebut yang terletak bersebelahan masjid. Syeikh tariqat, Syeikh Muhammad Khalil telah menyambut kami dan memberikan penerangan berkaitan kisah Syeikh Abu Khalil dan wirid asas tariqat tersebut.

Destinasi terakhir kami ialah maqam Sayyidi Yahya Al-Mutawwij Bil Anwar iaitu saudara kandung kepada Sayyidah Nafisah. Jalan masuk ke maqam tersebut amat jauh dari jalan utama, tambahan pula lokasi maqam tersebut terletak di kawasan pedalaman dan di kawasan rumah penduduk kampung. Dr.Yusri Jabr Al-Hasani bersama rombongan beliau telah sampai ke maqam tersebut beberapa bulan lalu. Penemuan maqam tersebut masih baru dan ramai tidak mengetahuinya kecuali setelah melihat papan tanda yang diletakkan di bahu jalan utama, iaitu kira-kira setengah jam sebelum tiba di maqam beliau. Maqam tersbeut asalnya rumah kepada seorang penduduk yang bermimpi bertemu dengan Sayyidi Yahya. Sejak mimpi beliau itu, beliau mengetahui bahawa di situ terdapat maqam Sayyidi Yahya lalu beliau telah menjadikan rumah beliau sebelum ini sebagai masjid untuk pengunjung maqam tersebut.

Dalam maqam tersebut terdapat juga maqam puteri beliau iaitu Sayyidah Zainab binti Sayyidi Yahya.Kami turut dilarang merakam dan mengambil gambar di dalam maqam tersebut.

Kedatangan kami berkebetulan sambutan maulid Sayyidi Yahya yang akan disambut pada malam kemuncaknya malam Jumaat ini.Jadi, selesai membacakan qasidah dan berdoa di maqam Sayyidi Yahya kami turut dihidangkan dengan jamuan tengah hari sebelum bertolak pulang.Bagi mereka yang pergi bersama hari itu, terdapat sesuatu kisah yang aneh, pelik tetapi benar diperlihatkan di sekitar maqam pada kunjungan kami itu. Ingin mengetahui kisah pelik tapi benar itu, saudara dijemput menziarahi maqam Sayyidi Yahya (Al-Mutawwij Bil Anwar, iaitu bermaksud "Muka yang becahaya"). Ini kerana diriwayatkan muka ahli keluarga Rasulullah s.a.w terutama Sayyidah Nafisah, ayahandanya Sayyidi Hasan Anwar dan Sayyidi Yahya kelihatan bercahaya, iaitu cahaya dari nenda mereka iaitu Rasulullah s.a.w.

Ziarah Maqam Syeikh Abdul Halim Mahmud di Zaqaziq



Gambar Syeikh Abdul Halim Mahmud (kiri) berdoa bersama Syeikh Soleh Jaafari di Masjid Al-Azhar.



Bergambar beramai-ramai di hadapan maqam beliau.



Maqam Syeikh Abdul Halim Mahmud, disebelahnya masjid beliau dalam pembinaan.



Di sisi maqam Syeikh Abdul Halim Mahmud


****************************************************************************

Semalam, 8 Mac saya dan kawan-kawan mengadakan ziarah ke muhafazah Barat Mesir di Bandar Zaqaziq. 10 orang teman termasuk YDP Perlis, Ustaz Syed Aisam, teman dari Negeri Sembilan dan Kelantan, kami bertolak ke Zaqaziq sekitar jam 9 pagi. Sebelum tiba di Zaqaziq, kami singgah di maqam Syeikh Al-Azhar, Dr.Abdul Halim Mahmud yang terletak di Kampung As-Salam. Kampung yang cukup aman dan permai,bersebelahan dengan Sungai Nil dan disebelah maqam beliau ialah kediaman beliau sewaktu hayatnya. Anak beliau,Prof.Dr. Mani' Abdul Halim mantan Dekan Kuliah Usuludin AllAzhar Kaherah telah meninggal dunia lebih setahun yang lalu.Maqam beliau terletak dalam sebuah bilik di bawah kubah, manakala disebelahnya dibina masjid yang masih dalam kerja pembinaan.

Ini kali pertama kami tiba di maqam Syeikh Abdul Halim Mahmud yang masyhur dengan kisah beliau bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w ketika Mesir berperang dengan Israel awal tahun 70-an. Mimpi tersebut memberikan khabar yang baik yang disampaikan kepada Presiden Mesir ketika itu, Anwar Sadat hingga membantu kemenengan tentera Mesir mengalahkan Israel hanya dengan pancutan air.

Syeikh Abdul Halim Mahmud berasal dari Zaqaziq, dilahirkan pada tahun 1910 dan meninggal dunia pada tahun 1978, setahun sebelum kemangkatan Maulana Syeikh Soleh Jaafari. Beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan Syeikh Soleh, bahkan pernah menziarahi pengajian Syeikh Soleh di Masjid Al-Azhar.

Dilantik sebagai Syeikhul Azhar pada 1973 dan memegang jawatan tersebut hingga ke akhir hayat beliau.Al-Fatihah buat Syeikh Abdul Halim Mahmud..

Maulid PMRAM Ala-Kutub Sittah


Dr.Fathi Abdul Rahman Hijazi memberikan ucapan


Para ulamak di majlis tersebut..Terkenangkan Majlis penutup Kutub Sittah PMRAM tahun lalu

Majlis sambutan Maulid Nabi SAW anjuran PMRAM telah berlangsung tanggal 27 Februari lalu di Rumah Selangor, Hayyul 'Asyir mengingatkan kembali kenangan kita kepada Majlis penutup Pembacaan Kutub Sittah yang berlangsung di Nadi Riyadhi, turut dihadiri ramai ulamak dengan tetamu istimewa malam itu, Mufti Dr.Ali Juma'ah. Tetamu yang hadir pada sambutan maulid ini ialah Prof.Dr. Fathi Abdul Rahman Hijazi,Syeikh Dr.Jamal Faruq, Syeikh Usamah Mahmud Azhari, Syeikh Dr. Muhammad Wusam Khidr,Syeikh Ashraf Hamid Hasanain dan Habib Umar ibn Habib Zain. Majlis yang bemrula selepas maghrib dengan ucapan dari Syeikh Fathi itu diselangi dengan bacaan madih dan qasidah. Saya dan saudara Najih Irsyad telah menjemput Syeikh Fathi sebelum solat maghrib di Masjid Syeikh Zaki Ibrahim, seperti yang kami sepakati sebelum ini sewaktu saya menghubungi beliau seminggu sebelum majlis. Syeikh Fathi sebenarnya baru tiba dari musafir beberapa hari di muhafazah Laut Merah (Bahrul Ahmar) dan belum sempat pulang ke rumah, terus mencurahkan ilmu di pengajian beliau di Akademi Sufi di Masjid Syeikh Zaki Ibrahim, kemudian terus menghadiri majlis bersama kami malamnya.

Dalam kenderaan kami terdapat seorang pembaca madih dari Aswan, Muntasar. Beliau menuntut di Kuliah Usuludin Al-Azhar cawangan Aswan. Beberapa kali telah musafir ke luar negara antaranya ke Bahrain bagi jemputan membaca madih.

Dalam perjalanan, Syeikh Fathi yang menjadi pensyarah Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar Kaherah (Jabatan Sejarah dan Tamadun) banyak bersembang dengan kami. Beliau menceritakan pengajian Syeikh Soleh di Masjid Al-Azhar dan menuntut ilmu darinya selama 10 tahun. Saya baru teringat beliau pernah menceritakan sewaktu diberi penghormatan berucap di Maulid Syeikh Soleh Jaafari tahun lalu, katanya:
"Jika Syeikh (Soleh) duduk mengajar (di Masjid Azhar), kami masa itu yang menuntut di Al-Azhar akan duduk disebelahnya. Lalu Syeikh bertanya pada saya, Siapa nama kamu? Jawab saya, Fathi. Lalu Syeikh Soleh mendoakannya "FATAHALLAHU 'ALAIK" (Semoga Allah bukakan untukmu).

Tidak hairan orang sehebat Dr.Fathi antaranya sebab beliau sering berdamping dengan para ulamak dan mereka mendoakan untuk beliau. Dr.Fathi pernah mengajar saya subjek Balaghah tahun satu tetapi hanya sempat dua kali muhadarah sebelum beliau ditukarkan ke jabatan lain (iaitu Tarikh wa Hadharah). Beliau akan mulakan ucapan seperti mukadimah Syeikh Soleh kemudian diikuti dengan bacaan doa. Tidak pernah meninggikan suara dan mengeluarkan bahasa yang kesat, ucapannya sering ditutur dalam Bahasa Arab rasmi (Fushah) terutama sesama pelajar agama.

Beliau pernah dijemput ke majlis PMRAM buat kali pertama tahun lalu ketika majlis memperingati sambutan Israk Mikraj yang berlangsung di Dataran Hayyul 'Asyir. Beliau bertanya kenapa tidak dibuat di tempat sama seperti tahun lalu? Jawab saya kerana cuaca tidak mengizinkan, musim sejuk dan malam maulid Kaherah dibanjiri hujan yang mencurah-curah.

Saya menyebutkan hujan yang mencurah-curah malam 12 Rabiul Awwal, iaitu malam sambutan maulid Rasulullah s.a.w, jawab beliau spontan, "Ini menunjukkan bahawa Baginda s.a.w adalah pembawa rahmat yang 'menghujani' dunia ini." Kata Muntasar, "Dunia bukan sahaja manusian bahkan langit dan bumi turut meraikan malam sambutan kelahiran Baginda s.a.w".

Sejak jemputan PMRAM ke Majlis Israk Mikraj tahun lalu, Syeikh Fathi melahirkan kegembiraan hadir menyampaikan ucapan bersama pelajar Malaysia. Perasaan ini pernah dizahirkan kepada kami anggota Badan Pengurus PMRAM. Tak hairanlah, walaupun keletihan bermusafir, dalam jadual yang agak padat, Dr.Fathi menggagahkan diri juga untuk hadir ke majlis PMRAM malam itu. Sewaktu dalam perjalanan ke Hayyul 'Asyir, beliau bertanyakan saya hingga jam berapa majlis akan tamat? Saya jawab dalam jam 10 malam. Beliau minta keizinan kami untuk pulang lebih awal iaitu sebaik sahaja selepas menyampaikan ucapan. Jadi pihak urusetia telah menjemput beliau sebagai penceramah pertama malam itu.

Tapi entah bagaimana bila berada dalam majlis, dengan kedatangan para ulamak dan bacaan madih memuji Rasulullah s.a.w, beliau membatalkan hasrat untuk beredar awal bahkan menunggu hingga ke akhir majlis.

Pada malam itu, Syeikh Dr.Muhammad Wusam yang berkhidmat di Darul Ifta', anak murid kepada Dr.Ali Jumaah turut menyampaikan madih dan bacaan Al-Quran. Tidak lupa Habib 'Umar yang mengalunkan qasidah karangan Al-Imam Habib Abdullah Ibn Haddad r.anhu dan majlis tamat sekitar jam 10.30 malam dengan bacaan fasal kelahiran Baginda s.a.w.

Sayyidi Muhammad Soleh di Rumah Negeri Sembilan


Sayyidi Muhammad Soleh di satu majlis di Darrasah

Tanggal 1 Mac lalu, saya berkesempatan hadir majlis sambutan Maulid Nabi SAW yang berlangsung di Rumah Negeri Sembilan dengan dihadiri Sayyidi Muhammad Soleh ibn Maulana Syeikh Abdul Ghani dan Syeikh Ashraf Hamid Hasanain. Ini ziarah pertama Sayyidi Muhammad Soleh ke rumah pelajar Malaysia. Beliau sempat memberikan ucapan dan membacakan maulid serta berselawat beramai-ramai. Majlis berakhir sekitar jam 10.30 malam.

Kenangan di Aswan



Saudara Idris dari Pakistan mewakili berucap malam tersebut.




Ustaz Othman dan Amal membacakan madih




Penyerahan cenderahati kepada Haji Mahmud


Di Aswan, saya sempat menyerahkan cenderahati tanda kenang-kenangan mewakili sahabat dari Malaysia. Cenderahati tersebut merupakan qasidah Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang dicetak semula dan diletakkan dalam frame. Cenderahati tersebut diserahkan oleh saya kepada wakil syeikh di Aswan iaitu Haji Mahmud dihadapan Maulana Syeikh Abdul Ghani,puteranya Sayyidi Muhammad Soleh dan Sayyidi Husain serta tetamu yang lain. Malam itu juga, bacaan madih dipersembahkan oleh Ustaz Othman dari Kelantan berganding dengan Ustaz Amal dari Negeri Sembilan dengan qasidah "YA SADATIL 'URBIL UWAL". Wakil kami yang berucap malam itu saudara Idris dari Pakistan.