Isnin, 26 April 2010

PENUNTUT ILMU AGAMA PERLU JAGA MARUAH,JANGAN BACUL



Antara mereka yang memuliakan para penuntut ilmu Allah ialah para ulamak sendiri.Kalangan mereka Al-Marhum Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani. Berikut dipetik dari buku karangan Ustaz Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki bertajuk "Al-Maliki Ulamak Rabbani Abad Ke-21" di bawah tajuk "Kasih Terhadap Penuntut Ilmu":

"Antara perkara yang menunjukkan kasihnya (Sayyid Muhammad) terhadap anak-anak muridnya, apabila tiba bulan Ramadhan, beliau akan mengerjakan umrah bersama mereka selepas menyampaikan pengajaran tahunannya selepas Asar di Masjid Al-Haram.

Kebiasannya beliau akan merahsiakan perkara tersebut kecuali kepada beberapa anak-anak murid yang dikasihinya kerana bimbang akan diketahui orang ramai yang berpusu-pusu menghadiri pengajiannya di Masjid Al-Haram pada setiap bulan Ramadhan. Kebetulan, pada hari itu seorang penduduk Mekah mengetahui akan hal tersebut. Maka beliau memberitahu Sayyid Muhammad Alawi untuk ikut serta dan akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka ketika berada di tempat bermiqat di Ja'ranah.

Apabila sampai tiba di Ja'ranah,beliau meminta anak-anak murid Sayyid Muhammad Alawi supaya membantunya menurunkan makanan dari keretanya. Kemungkinan ada salah seorang dari mereka yang acuh tak acuh melakukan kerja tersebut, maka beliau (orang Arab tadi)mengherdiknya.

Apabila Sayyid Muhammad mendengar herdikan lelaki itu, lantas beliau memarahinya. Dengan perasaan marah beliau berkata, "Bagaimanakah kamu melakukan sedemikian terhadap anak-anak kami sedangkan mereka adalah penuntut ilmu dan Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah mewasiatkan dan menyuruh kami supaya menghormati dan memuliakan mereka."

Rasulullah s.a.w bersabda:
سيأتيكم أقوام يطلبون العلم، فإذا رأيتموهم فقولوالهم: مرحبا بوصية رسول الله واقنوهم

"Akan datang kepada kamu kaum-kaum yang datang menuntut ilmu, apabila kamu bertemu dengan mereka,maka katakanlah kepada mereka "Selamat datang wahai wasiat Rasulullah" dan ajarilah mereka."

Kemudian, Sayyid Muhammad Alawi berkata kepada lelaki tadi, "Jangan kamu anggap mereka inginkan makanan kamu ini. Ingatlah kamu ingat bahawa mereka datang dari keluarga yang dihormati di Indonesia, kedatangan mereka ke Tanah Haram bertujuan untuk menuntut ilmu dan bukan bertujuan yang lain.

Sayyid Muhammad Alawi kemudian mengarahkan anak-anak muridnya menaiki kereta. Lelaki itu berasa amat malu atas perbuatannya dan selepas kejadian itu beliau datang meminta maaf daripada Sayyid Muhammad Alawi.

PMRAM PERTAHANKAN MARUAH MAHASISWA ISLAM DI MESIR


Salah satu daripada hak muslim ke atas muslim yang lain ialah mempertahankan maruah saudara seagamanya yang lain apabila hak tersebut dicerobohi, demikian tulisan Al-Marhum Syeikh Sa'id Hawa yang menarik perhatian saya dalam kitab masyhurnya "Tazkiyatul Anfus". Daripada lebih 20 hak tersebut, beliau mengulas tentang mempertahankan hak saudara Islam yang lain dengan kata beliau, "Memelihara kehormatan saudara seIslamnya serta hartanya,dirinya dari dizalimi dengan kadar kemampuannya.."

Tidak cukup sekadar itu, Al-Marhum Syeikh Sa'id Hawwa telah membawa hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abi Darda' : Seorang lelaki telah memperkecilkan seorang lelaki lain di hadapan Rasulullah s.a.w lalu seorang lelaki lain telah mempertahankannya maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda "Sesiapa yang mempertahankan hak kehormatan saudaranya yang lain maka baginya pendinding dari api neraka." Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Tidaklah seorang muslim mempertahankan kehormatan saudaranya yang lain kecuali berhak ke atas Allah untuk tidak mengazabnya dalam nerakaNya."

Jelas kepada kita, PMRAM sebagai persatuan yang menjaga kebajikan ahli di Mesir telah sekian lama mempertahankan hak dan maruah mahasiswa di Mesir. Tambahan kepada golongan agamawan, jangan rasa diri anda rendah diri apabila berdepan dengan golongan pembesar. Bukan merendah diri namanya apabila dimaki hamun, dicerca dan diherdik di hadapan khalayak. Itu namanya menghinakan diri. Islam melarang kita menghina diri,tapi menggalakkan kita merendah diri.

Sejak setahun yang lalu, kerap kali pimpinan PMRAM meminta ahli yang diherdik dan diperlakukan sebagai golongan kelas kedua oleh sesetengah pihak supaya tampil mengemukakan bukti dan dilapor secara bertulis. Berbuih mulut pimpinan PMRAM minta tapi sampai ke akhir sesi PMRAM 2009 di bawah saudara Abdul Mu'izz, isu ini terus menyepi dan dibuat tak tahu oleh sesetengah mangsa yang kebanyakannya adalah ahli PMRAM.

Dalam hal ini, saya tak tahu bagaimana mentaliti mereka memandang isu ini. Apakah mereka tidak peka, tak tahu cara nak salurkan maklumat tersebut atau tahu tapi malas nak layan dan serahkan kepada Allah untuk menghukumnya. Kalau yang ketiga itu memang malang sungguh kita. Sudahlah bergelar mahasiswa yang dianggap berkuasa (suara keramat kononnya), menuntut bidang agama dan ditakdirkan menjadi bangsa Melayu. Kalau tengok sejarah orang Melayu dulu-dulu kala, datuk nenek mereka bukan calang-calang orang. Berani berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kalau tidak masakan timbul nama-mana seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong. Tapi bila mari ke anak cucu cicit, sifat berani tak boleh nak digunakan seperti datuk nenek dulu. Pelik.Nabib jadi orang Melayu. Kalau jadi bangsa Arab mudah. Tak puas hati, terus terang sebut. Nak bertumbuk sampai berdarah pun tak mengapa sebab lepas tu mereka tak mengenal perasaan "dendam". Bagi mereka bilahabis satu perkara, selesai. Orang Melayu, tak cukup masa hidup,lepas jadi mayat pun masih tak selesai lagi.

Saya terbaca dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu, para pekerja sebuah kilang di Indonesia mogok dan mengadakan demontrasi gara-gara hanya majikannya memanggil salahs eorang pekerja dia sebagai "BODOH". Lepas itu, semua pekerja dia buat demontrasi. Hingga majikannya menarik balik dan memohon maaf atas kesalahan tadi.

Yang paling menyayat hati kalau ada orang menghina golongan agama. Sampai mati kita tak boleh terima selagi mana mereka yang menghina itu tidak bertaubat dan berlutut mengaku salah. Mana boleh maruah pelajar agama dipermainkan. Golongan penuntut ilmu agama mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah. Hingga dalam hadis Nabi s.a.w pun disebut "...hingga ikan dilautan pun meminta ampun dan beristighfar kepada penuntut ilmu Allah..". Ikan yang tiada akal pun boleh meminta ampun kepada penuntut ilmu agama,apatah lagi para malaikat dan makhluk-makhluk lain.

Jumaat, 16 April 2010

PUISI BUAT PMRAM


Sewaktu diberikan peluang untuk berucap kali terakhir di Muktamar Sanawi PMRAM Selasa lalu, saya akhiri dengan madah puisi yang saya karang di hari muktamar tersebut. Tahun lalu, saya akhiri dengan ucapan sahaja.

Tiada yang lebih menyayat hati,
Selain dari melihat kesatuanku berpecah.

Tiada yang lebih mensayukan hati,
Selain dari melihat fikrah teman-temanku goyah.

Tiada yang lebih mengguriskan hati,
Selain dari melihat ummatku lemah.

Tiada yang lebih memilukan hati,
Selain persatuanku ditohmah.

Terima kasih buat Kelantan BKAN tercinta,
Buat Kedah BKAN angkat yang tak pernah lupa,
Shibin El-Kom pula DPM angkat dihati buat selamanya,
Kenangan bersama kalian bagiku amat berharga.

Pemimpin PMRAM datang pergi silih berganti,
80 tahun berlalu penuh onak dan duri,
KepadaMu jua kami pohon wahai Ilahi,
Peliharalah PMRAM, berkatilah perjuangan ini.

FORUM KUPAS TEMA PMRAM 2010



Pagi tadi berlangsung usrah gabungan di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiyah KPKM. Bermula dengan jamuan roti tempayan dengan gulai kambing, peserta bermalam di Rumah Kelantan dan berqiamullail bersama-sama. Selesai solat Subuh yang diimami saudara Jamal Najmudin mantan BP yang turun bersama-sama saya Selasa lalu, peserta dihidangkan dengan santapan rohani dengan forum yang mengupas tema PMRAM tahun ini iaitu Kemantapan Fikrah, Membina Syakhsiah. Saya bertindak sebagai moderator manakala ahli panel terdiri daripada saudara Khairul Anuar Ismail (mantan Presiden PMRAM), Ustaz Abdul Hadi Mat Ali (tenaga pengajar di RKB) dan terakhir Ustaz Zulkifli Abdul Ghani. Forum berlangsung selama hampir dua jam dan para peserta turut diberikan peluang untuk mengajukan persoalan kepada para panel. Selesai forum yang berakhir sekitar jam 7.30 pagi, para peserta telah menyertai Explore-Race untuk bersukan di luar Rumah Kelantan.

ANUGERAH EMAS PMRAM BUAT AKTIVIS




Untuk tahun ini,PMRAM mula memperkenalkan anugerah baru buat menghargai sumbangan ahli yang banyak berkhidmat sebagai aktivis PMRAM yang dikenali sebagai Anugerah Emas PMRAM. Seramai enam penerima telah menerima anugerah tersebut, masing-masing tiga dari ikhwah dan bakinya akhawat. Lima mereka di Muktamar Sanawi PMRAM Selasa lalu manakala seorang lagi iaitu saudara Majdi Zakaria menerimanya di pejabat PMRAM malam tadi setelah majlis timbal terima tugas Badan Pengurus PMRAM. Dua lagi menerima ikhwah ialah saudara Abdul Moin Abdul Manan dan saudara Azfar.

Saudara Majid Zakaria pernah menjadi adhoc beberapa program mega PMRAM, selain penggerak bagi Unit Bait Muslim PMRAM. Saudara Azfar pula penggerak kepada PMC dan saudara Abdul Moin pula salah seorang aktivis PMRAM sekian lama bekerja untuk PMRAM. Pernah bekerja di bawah saudara Abdul Mu'izz Muhammad dengan mengetuai Unit Mini Pavillion sewaktu beliau memegang BPP. Sewaktu saya menerajui BPP pula, saudara Abdul Moin dilantik sebagai perancang Badan BPP dan dalam masa yang sama kekal sebagai pengarah Mini Pavillion hingga kini.

Penerima menerima seutas jam tangan dan sijil penghargaan dari pihak PMRAM.

PASUKAN BARU PMRAM MULA BERTUGAS

Tahniah buat kepimpinan baru PMRAM yang telah mula menjalankan tugas mereka sejak beberapa hari yang lalu. Buat teman-teman, saudara Muhammad Zuhaili Saiman, Mohd Adlan Mokhtarudin, Mohamad Azlan Alias, Mohd Farkhan Md.Zin dan Ahmad Taufiq Mohd Dahlan yang dikekalkan untuk pentadbiran sesi ini, selamat bertugas dalam Majlis Tertinggi. Semoga Allah membimbing kalian.

Malam tadi, tugas pertama mereka ialah menghadiri jemputan jamuan bersama usrah gabungan di bawah PMRAM cawangan Kelantan di Dewan Tok Kenali.

Rabu, 14 April 2010

حمدا لله على السلامة


Simbolik 80 Tahun PMRAM acara pemotongan kek selepas majlis perasmian berlangsung.

Kalimah "Hamdallilahi 'alas salam" membawa maksud syukur kepada Allah atas keselamatan. Ia seringkali kita dengar adat pengucapan Arab khasnya di Mesir apabila sesuatu perkara berakhir dengan selamat. Sebagai contoh, selepas Presiden Mesir Hosni Mubarak selamat menjalani pembedahan di Jerman bulan lalu, keesokkannya hampir kesemua akhbar Mesir menyiarkan tajuk utama mereka dengan "Hamdalillah 'alas salam Ya Rais". Satu lagi ia akan diucap setelah seseorang itu kembali dari musafir.

Di sini saya ingin ucapkan "Hamdalillah 'alas salam" kerana dengan izin dan pertolongan-Nya maka PMRAM telah selamat menjalani muktamar dengan lancar semalam. Bermula dari persiapan yang mula bekerja pada malam sebelum itu hingga berkahirnya muktamar sekitar jam 12 malam.

Terima kasih semua yang menjayakan muktamar kali ini.

Isnin, 12 April 2010

DR.ABDULLAH AL-HUSAINI REKTOR AZHAR YANG BARU


Timbalan Rektor Universiti Al-Azhar (bagi Hal Ehwal Pelajar dan Pengajian), Prof.Dr.Abdullah Al-Husaini Hilal dilantik sebagai Rektor Al-Azhar yang baru menggantikan Syeikh Dr.Ahmad Toyyib yang kini dilantik sebagai Syeikh Al-Azhar. Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan pelantikan (qarrar jumhuri) dari Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 11 April lalu.

Dr.Abdullah yang berusia 64 tahun dilahirkan pada tahun 1946 di wilayah Daqahliyah, Mesir merupakan mantan Dekan Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar Kaherah sebelum dilantik sebagai Timbalan Rektor Al-Azhar tahun 2008 di bawah pentadbiran Prof.Dr.Ahmad Toyyib.

Beliau adalah graduan bagi Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Kaherah pada tahun 1971. Kemudian menyambung pada peringkat Master tahun 1973 dan Phd bagi kuliah yang sama tahun 1978. Beliau kemudian bertugas sebagai tenaga pengajar hingga dilantik sebagai Dekan bagi kuliah Bahasa Arab tahun 2004.

RIADAH SEBELUM MUKTAMAR



Antara aktiviti Badan Pengurus di hari terakhir sebelum muktamar yang bakal berlangsung ialah sukaneka. Selepas semua berkumpul bermalam di pejabat, sebaik sahaja terbit matahari pagi Isnin, 12 April kami berkumpul di perkarangan Hadiqah Dauliyah. Bermain bola sepak dan aktiviti riadah yang lain.

VIDEO SAUDARA ULWAN YANG MENGHARUKAN

Terharu kami,Badan Pengurus melihat video klip dalam sebuah facebook ahli PMRAM dari Terengganu,saudara Ahmad Ulwan bin Hassim. Sesiapa yang mendaftar facebook, video klip yang boleh dilihat pada link berikut http://www.facebook.com/profile.php?v=wall&story_fbid=114385138579619&id=1156896630#!/video/video.php?v=116717938343384&ref=mf.
Saya sendiri beberapa kali sebak menontot video ini. Terima kasih buat saudara Ulwan.Ia bukan permintaan dari PMRAM atau mana-mana Badan Pengurus.

BUDI BAIKMU TUAN DIBAWA MATI


Duduk bersebelahan di Muktamar Sanawi PMRAM tahun lalu.

Saudara Adlan..Terima kasih atas segalanya. Bersama pengarah USMB,saudara Zuhaili ketika menjawat jawatan timbalan pengarah pada program USMB tahun 2008.

Serius memikirkan hal PMRAM.Gambar diambil beberapa minggu menjelang Muktamar (atas). Ceria sewaktu merasmikan program MINDA peringkat Damanhur sewaktu menjadi BP angkat dua tahun lalu.Gambar kenangan bersama warga Damanhur di Imarah Amerika (gambar bawah).



Di majlis sambutan hari lahir ke-23 tanggal 9 April 2009 lalu (gambar bawah).

Insan yang paling saya amat terhutang budi hingga ke saat ini ialah saudara Adlan selaku Setiausaha Agung PMRAM. Saya bukanlah orang terbaik untuk diletakkan di posisi pembantu kepada pentadbiran. Seperti yang selalu diingatkan oleh Presiden, Setiausaha Agung kepada satu-satu persatuan ibarat CEO kepada sesebuah syarikat. Tugas yang digalas amat berat bagi bergandingan dengan Presiden supaya perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik. Tentu sekali posisi saudara Adlan sebagai setiausaha Agung amat bertepatan dengan kebolehan dari sudut pentadbiran yang dikuasai.

Dilantik sebagai timbalan Setiausaha Agung meletakkan saya berada dalam sebuah organisasi kecil yang dinamakan Jabatan Setiausaha Agung. Ketua JSUA namanya Setiausaha Agung, AJKnya timbalan dan Naib Setiausaha Agung (NSUA). Namun bagi NSUA lebih banyak memberikan tumpuan kepada lajnah yang disandang iaitu Lajnah Pendaftaran. Manakala tugas TSUA pula tentu lebih banyak perlu ditumpukan membantu Setiausaha Agung.

Bermula dari kosong, saya mula mengorak langkah bertatih. Saya pula bertekad akan buat yang terbaik walaupun dalam benak fikiran,tidak langsung mendapat pendedahan berkaitan pengurusan dan pentadbiran sebelum ini. Saudara Adlan banyak memberikan saya tunjuk ajar, satu persatu. Apa yang penting,niat di hati saya mahu jadi pembantu yang terbaik bagi beliau. "Aku bukan yang terbaik bagi membantumu, tapi aku akan cuba untuk jadi pembantu yang terbaik buatmu.." Itu antara ungkapan saya kepada beliau di awal-awal pentadbiran dulu. Lalu saya meletakkan diri sebagai pembantu atau kerani di pejabat PMRAM. Segala apa yang diarah oleh Presiden atau SUA, saya akan cuba laksanakan kerana itu adalah tugasan saya.

Hari terakhir ini, saya amat dapat rasakan kepuasan bertugas sebagai TSUA. Bangga menjadi pembantu kepada seorang teman yang banyak mengambil berat tentang saya selama ini. Setahun bersahabat dengan saudara Adlan, saya dapat rasakan beliau seorang yang kuat bekerja tanpa mementingkan diri. Asalkan kerja PMRAM selesai maka itu sudah cukup bagi beliau. Makan,minum dan urusan diri itu cerita lain. Tak salah jika saya sebutkan di sini, ketika di ambang peperiksaan fasa pertama lalu, beliau sanggup menyertai mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PMRAM walaupun ketika itu dalam keadaan demam. Ketika itu beliau baru saja beberapa hari pulang ke Mesir setelah bercuti, dengan memandu sendiri motosikal dalam keadaan demam yang agak kuat meredah angin dingin musim sejuk ketika itu.Satu semangat luar biasa yang ditunjukkan demi amanah yang diberikan.

Kami dilantik sebagai Badan Pengurus pada tahun 2008 semasa Presiden saudara Khairul Anuar Ismail. Beliau memegang portfolio Badan Sambutan dan Rehlah manakala saya diamanahkan Badan Penerangan dan Penerbitan. Tahun itu, beliau adalah timbalan pengarah Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) peringkat PMRAM.Tahun yang sama, dilantik BP angkat bagi DPM Damanhur. Setiap kali Damanhur berprogram,kami pasti merancang turun bersama.Tambahan tahun itu suasana di DPM Damanhur agak getir dari segi kesatuan ahli. Lebih lagi memerlukan BP angkat berperanan untuk merapatkan kembali dengan PMRAM. Sebarang program perlu BP angkat turun bersama. Jika beliau merasmikan program, saya akan ambil perasmian penutup. Atau begitulah sebaliknya. Program pertama seingat saya yang melibatkan kami ialah perasmian bulan thaqafah. Malamnya kami bermalam di markaz utama DPM di Huda. Selepas subuh kami terdengar ada ahli yang mengadakan perlawanan futsal.Kami terus bergegas ke padang yang terletak agak tidak jauh dari DPM. Bertemu ahli di sana.

Pada penutup program MINDA Damanhur, kami turun bersama. Oleh sebab agak lewat majlis tamat, kami bermalam di rumah Ustaz Rahman di Imarah Amerika. Pagi lepas Subuh, saya ditinggalkan mereka ke Pasar Zawiyah. Pasar Zawiyah di Damanhur amat popular di sepanjang Sungai Nil di sana. Saya ditinggalkan bukan sebab apa tapi tertidur kerana keletihan. Akhirnya hingga ke hari ini, saya belum kesampaian untuk melihat suasana Zawiyah tersebut. Damanhur tetap berada di hati kami dengan kenangan setahun menjadi BP angkat di sana.

Setelah tahun kedua dalam BP PMRAM, dengan takdir Allah sekali lagi kami bersama. Kali ini dalam satu jabatan.Juga beliau sebagai taakhi saya selain saudara Taufik. Tidak pada BP angkat lagi. Kami sudah berpecah, saya di Shibin El-Kom dan saudara Adlan di Tanta. Hati masih menaruh keinginan untuk turun ke Damanhur lagi. Walaupun tidak lama, tapi sekurang-kurangnya dapat bersama-sama menjenguk dan bertanya khabar teman-teman di Imarah Amerika dan sekitarnya.

Teringatkan Ustaz Amir Najmi yang pakar dalam masak memasak. Ustaz Hafiz juga tidak kurang hebatnya. Tukang sembelih yang masyhur di sana. Kalau ada majlis di DPM, dua insan hebat ini akan kelihatan.Tapi kerana kesibukan pada tugasan masing-masing, kami terpaksa pendamkan impian tersebut. Biarkan ia tinggal kenangan bagi kami.Menjelang pertengahan November tahun lalu, beliau pulang bercuti sebulan di Malaysia atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Jawatannya dipangku oleh saudara Muhammad Labib sebagai antara orang berkelayakan dalam bidang pentadbiran memandangkan beliau pernah menjawat jawatan yang sama di DPMnya Mansurah.

Bagi saya, beliau telah lakukan yang terbaik sepanjang menggalas tugas SUA tahun ini. Tugasan sebagai SUA bukanlah dikenali umum kerana ia melibatkan tugasan di pejabat sahaja. Itulah yang diinginkan oleh orang seperti beliau. Bekerja tanpa mahukan populariti dan dikenali orang ramai.

Syukur wahai Tuhan,kurniakan bagi saya teman seperti dia. Kepada saudara Adlan, maafkan jika diri ini tak mampu untuk buat yang terbaik seperti yang dikehendaki. Jika ada di sudut hati perasaan tak puas hati dan kecewa atas gerakkerja sahabatmu ini, daku susun sepuluh jari memohon keampunan. Terima kasih atas segala-galanya yang diberikan selama ini. Budi baikmu tuan akan ku bawa sampai mati. Tiada ungkapan yang mampu dituturkan, tiada kalimah yang sesuai untuk dilafazkan.

Sekurang-kurangnya persahabatan kita ini menjadi saksi yang kita pernah bersama kerana-Nya, bertemu dan akan berpisah selepas ini juga kerana-Nya. Selepas ini, hanya Allah mengetahui di mana posisi kami. Berkata syair: "Jika hilang dirinya dari pandanganku, akan tetapi ingatlah sekali-kali tidak akan hilang cintanya dariku.."

BADAN PENGURUS SAMBUT 80 TAHUN PMRAM


Badan Pengurus ceria pada majlis 80 tahun PMRAM (atas) kek yang dibeli bagi meraikan 80 tahun PMRAM (bawah).

Semua Badan Pengurus PMRAM semalam,11 April memanjatkan doa dan kesyukuran kehadrat Allah bersempena genapnya 80 tahun usia PMRAM. Majlis ringkas yang dihadiri oleh Presiden,Badan Pengurus serta penasihat PMRAM itu berlangsung di pejabat PMRAM. Majlis bermula dengan solat maghrib dan diikuti majlis muhasabah sepanjang setahun pentadbiran PMRAM. Di akhir majlis, diadakan pemotongan kek sempena 80 tahun PMRAM yang disempurnakan oleh saudara Abdul Mu'izz dan saudara Shahrizan, gandingan dua Presiden. Serentak itu alunan lagu "Allah Selamatkan PMRAM" dinyanyikan mengiringi pemotongan kek.Majlis berakhir sekitar jam 11 malam dengan seidkit jamuan.

Ahad, 11 April 2010

SELAMAT BERMUKTAMAR HEWI PMRAM


Hari ini, 11 April sekalian pimpinan HEWI berkumpul pada Muktamar sayap kanan PMRAM tersebut di Dewan Solah Kamil. Muktamar HEWI kali ke-23 itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden, saudara Shahrizan Mohd Hazime. Tentunya dengan semangat 80 tahun usia PMRAM, berkebetulan pada hari yang sama Muktamar HEWI berlangsung, akan menatijahkan kesatuan dan kebersamaan yang lebih baik buat pentadbiran yang akan datang. Dengan tema yang baru bagi pembawakan HEWI PMRAM akan datang, diharapkan perwakilan yang membahaskan ucaptema Timbalan Pengerusi HEWI dengan melontarkan idea dan cadangan yang lebih bernas dan realistik bagi pimpinan akan datang.

Selamat bermuktamar kepada HEWI PMRAM. Semoga Allah membimbing dan memandu perbincangan kalian ke jalan yang diredhai-Nya.

Sabtu, 10 April 2010

SEKITAR HARI PENGUNDIAN PMRAM 10 APRIL


Menunggu giliran sebelum proses membuang undi bersama Setiausaha Agung,saudara Adlan dan saudara Taufik (gambar atas) dan memeriksa ejaan nama pada daftar pemilih yang disediakan (bawah).


Memeriksa nama dan no keahlian PMRAM sebelum ke dewan mengundi (gambar atas) dan saya membuang undi.


Presiden PMRAM di tempat pembuangan undi (gambar atas) dan beberapa Badan Pengurus beratur sebelum membuang undi masing-masing.

Gambar sekitar pengundian PMRAM.

TAHNIAH BADAN PENGURUS BARU PMRAM

Keputusan pilihanraya bagi memilih anggota Badan Pengurus PMRAM telah diumumkan oleh SPR sebentar tadi. Maka teka teki siapa BP bagi sesi 2010 ini telah terjawab bagi memilih hanya 9 dari 12 orang calon yang bertanding. Seperti yang disiarkan dalam blog saudara Mujahid Fadzil www.ibnuirfadzil.blogspot.com.

Keputusan telah diumumkan oleh Pengarah SPR. Berikut ialah senarai calon dan bilangan undian mereka :

1.Ustaz Mohd Faizuddin bin Ghazali : 877 (menang)

2.Ustaz Muhammad Yusof Abd Kadir : 861 (menang)

3.Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar : 848 (menang)

4.Ustaz Abdul Aziz bin Ali : 826 (menang)

5.Ustaz Muaz bin Syukri : 173

6.Ustaz Aminuddin bin Alias : 226

7.Ustaz Syeikh Mujahid bin Syeikh Nawawi : 860 (menang)

8.Ustaz Mohd Faizuddin bin Ghazali : 877 (menang)

9.Ustaz Mohammad al Hidayat bin Khalid : 861 (menang)

10.Ustaz Hanif bin Haron : 158

11.Ustaz Solehuddin bin Mohd Safien : 852 (menang)

12.Ustaz Ahmad Huzaifah Fauzi : 821 (menang)

13. Ustaz Firdauz bin Noh : 830 (menang)

Jumlah ahli PMRAM yang layak mengundi = 1445 orang

Jumlah ahli yang keluar mengundi = 920 orang (63.7%)

Undi Rosak: 8 undi

Tahniah buat yang telah berjaya menduduki kerusi Badan Pengurus di bawah teraju saudara Shahrizan akan datang. Yang masih menjadi tanda tanya iaitu baki 5 anggota Badan Pengurus yang kekal. Tentunya akan diumumkan pada hari muktamar Selasa ini.

KPT SAMBUT 80 TAHUN PMRAM BERSAMA BADAN PENGURUS


Badan Pengurus PMRAM bersama Yang Dipertua KPT saudara Ridhuan ABu Bakar menunjukkan kek bersempena sambutan ulangtahun ke-80 PMRAM.

Gambar kek 80 tahun PMRAM yang disediakan oleh pihak KPT (gambar atas) dan para hadirin khusyuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh saudara Shahrizan (gambar bawah). Gambar ihsan KPT.

Malam ini saya berpeluang berada dalam majlis solat hajat anjuran Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) bersempena sambutan 80 tahun PMRAM yang bakal disambut esok. Turut hadir Presiden PMRAm saudara Abdul Mu'izz, Timbalan Presiden, saudara Shahrizan Mohd Hazime dan saudara Taufik yang kedua-dua BP angkat kepada KPT, saudara Mohd Azrul Ismail, saudara Muhammad Zuhaili Saiman, saudara Nik Rosdi (juga penasihat KPT)dan saudara Farkhan Md.Zin. Turut kelihatan ialah Yag Dipertua KPT saudara Ridhuan Abu Bakar dan AJKT KPT yang lain.

Majlis bermula dengan solat Isyak berjemaah dan solat hajat yang diimamkan oleh saudara Shahrizan. Kemudian saya membacakan doa bagi memohon keselamatan PMRAM dan saudara-saudara kita di seluruh dunia. Majlis kemudian menjemput saudara Shahrizan menyampaikan tazkirah ringkas. Dalam tazkirahnya, beliau memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah atas nikmat kesatuan tersebut.

Selepas majlis, pimpinan BP PMRAM diiringi Yang Dipertua KPT menikmati sedikit jamuan yang disediakan. Paling kami terharu, kami berkesempatan memotong kek sambutan 80 tahun PMRAM yang disediakan oleh pihak KPT yang diketuai oleh saudara Shahrizan. Presiden,saudara Abdul Mu'izz terpaksa beredar lebih awal kerana mempunyai tugasan yang perlu diselesaikan segera. Atas kek tersebut tertulis "80 TAHUN PMRAM". Terima kasih atas sokongan KPT kepada PMRAM selama ini. Walaupun mendapat tekanan seketika dari pihak-pihak luar sebelum ini, namun KPT masih utuh dan meneruskan perjuangan bersama PMRAM, tidak pernah goyah walau sedikit. Kami bangga dengan KPT. Semoga Allah memandu kita ke jalan yang diredhai-Nya.

PRESIDEN,BP ANTARA TERAWAL MEMBUANG UNDI


Presiden PMRAM, saudara Abdul Mu'izz Muhammad merupakan orang pertama yang membuang undi sebaik sahaja pusat pengundian bertempat di Rumah Selangor dibuka jam 9 pagi tadi. Pusat pengundian tersebut juga merupakan pusat penjumlahan undi yang dijangka keputusannya akan diumumkan oleh pihak SPR malam ini. Turut bersama Presiden ialah kesemua anggota Badan Pengurus serta HEWI PMRAM yang membuang undi masing-masing.Pengundian akan ditutup sekitar jam 5 petang.

Jumaat, 9 April 2010

MENYELAMI PEMIKIRAN DAN IDEA SAUDARA ABDUL MU'IZZ YANG DIKENALI


Bergambar kenangan bersama Exco Kerajaan Kedah (atas) dan suasana dalam Muktamar PMRAM tahun lalu (gambar bawah).

Menyambung coretan bersama saudara Abdul Mu'izz, antara yang paling saya terkesan dengan beliau ialah minat membaca dan mengkaji kitab Haraki dan semasa (mu'asarah)yang mana sebelum ini saya amat kurang berminat. Beliau cukup menekankan kepada Badan Pengurus untuk memperkayakan thaqafah dari sudut kepimpinan Islam dengan membaca kitab-kitab Haraki. Terkesan dari beliau tersebut, hampir kesemua Badan Pengurus termasuk saya membanyakkan bacaan dan kajian terhadap kitab Haraki dan mu'asarah terutama karangan Imam Dr.Yusuf Qardhawi.Antara kitab yang mulai saya minati ialah karangan Syeikh Sa'id Hawa r.anhu. Bagi saya kebanyakkan kitab karangan beliau yang menyentuh penyucian jiwa dan amalan kerohanian.

Saya ingin menulis beberapa pemerhatian saya terhadap idea dan pemikiran saudara Abdul Mu'izz. Sebelum itu, izinkan saya menyelami peribadi beliau seperti yang saya kenali.Bagi mereka yang pertama kali berurusan atau jarang berurusan dengan Saudara Abdul Mu'izz, mereka akan meletakkan pelbagai tanggapan yang salah. Sebaliknya sesiapa yang kerap mendekati beliau,akan dapat merasakan sesuatu yang berharga dari nilai sebuah persahabatan dengan beliau.

Sewaktu saya bekerja di bawah beliau sebagai Ketua Pengarang PRISMA,pernah satu ketika, saya tengok kopiah Haji Deris yang dipakainya. Saya tegur, "Cantik kopiah Ustaz Muizz." Lalu dia pakaikan kepada saya kopiah tersebut, muat. Saiz kepala kami tidak jauh beza. Kopiah tersebut seperti dimaklumi amat sukar diperolehi di Mesir dan di Malaysia harganya agak mahal. Tak lama kemudian, beliau datang kepada saya dan hadiahkan kepada saya. Terima kasih atas hadiah tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan sifat tegasnya banyak memberikan saya tunjuk ajar tambahan ketika baru dalam Badan Pengurus. Ingat lagi semasa Kejohanan Piala Malaysia di Iskan Tullab dalam akhir Julai 2008. Antara tugas BPP ialah mengambil gambar program dan membuat laporan berita untuk web. Tiba-tiba hari itu saya terlupa, tambah tak bawa kamera dan banyak jumpa kawan di padang bola, lupa tugas utama saya. Masa perjalanan pulang, saudara Mu'izz tegur saya. "Mana kamera?" tanya beliau. "Terlupa, ada kat rumah," jawab saya. Lalu beliau muhasabah diri saya dan mengingatkan tugas saya sebagai BPP sepertimana beliau laksanakan sebelum itu. Saya secara peribadi, selepas peperiksaan fasa 1 yang lalu, saya ingin menyertai rombongan Syeikh Ashraf ke Aswan 5 hari. Pada pertimbangan saya, masa itu baru lepas peperiksaan dan program masih belum bermula. Jadi saya beranikan diri untuk meminta izin beliau ke sana. Setelah memaklumkan perkara tersebut, beliau senyap. Selalunya jika beliau senyap itu menunjukkan beliau tak bersetuju. Saya pun senyap dan beredar.

Dua hari sebelum bertolak,sekali lagi saya mencuba nasib dengan menghantar SMS kepada beliau, minta keizinan untuk ke Aswan. Malam itu, berita gembira saya terima, beliau membalas SMS saya "Jalan baik2". dengan dua patah perkataan tersebut, fahamlah saya beliau telah bersetuju. Bukan tak boleh bagi saya untuk pergi tanpa makluman atau keizinan beliau, tapi dalam berpersatuan kita dididik dengan akhlak dan disiplin. Atas kita ada ketua, seharusnya beliau dihormati.

Berikut saya paparkan beberapa aspek yang ditekankan oleh saudara Abdul Mu'izz.

1)Dakwah Melalui Lisanul Hal


"Lisanul Hal" antara perkara yang ditekankan beliau. Pimpinan tak perlu menjawab semua tohmahan dan fitnah yang dilemparkan musuh. Kata beliau, "Kalam pimpinan ada bisa. Jika selalu digunakan, akan hilang bisa." Oleh itu, Lisanul Hal adalah cara untuk PMRAM menjawab setengah dari tohmahan yang dilemparkan. Konsep ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam misi dakwahnya dan ternyata berjaya. Banyak peristiwa dalam Sirah yang menunjukkan pihak musuh terbuka pintu hati dan menerima Islam hanya setelah melihat akhlak dan peribadi Baginda Rasulullah s.a.w.

Ini juga diamalkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz apabila mula-mula memerintah Kelantan dahulu. Prinsip beliau, ada isu yang perlu dijawab segera. Ada isu yang perlu tunggu masa sesuai untuk jawab (melihat keadaan), ada isu yang tak perlu dijawab langsung bahkan jika dijawab menampakkan kebodohan kita dan segala kerja membangunkan negeri terbantut. Contoh isu yang tak dijawab isitu isu pembangunan. Walaupun pada awal pemerintahan ada tanggapan kerajaan beliau hanya mampu bertahan tiga bulan, ada kata setahun. Namun bila berlalu masa tersebut, kerajaan beliau masih stabil. Tiada apa-apa yang berlaku. Hingga kini setelah hampir 20 tahun berlalu, tiada lagi lagu "Kelantan tiada pembangunan" dimainkan.

Begitu juga isu dalam PMRAM. Contohnya apabila ada tuduhan mengatakan PMRAM tiada tarbiyah. Pimpinan PMRAM tidak cepat melatah bahkan mereka telah menunjukkan konsep tarbiyah sebenar dan memperbetulkan tanggapan tarbiyah hanya sekadar juzuk-juzuk tertentu tanpa melihat secara keseluruhan. Pimpinan PMRAM selalu mengingatkan bahawa tarbiyah besar yang PMRAM berjaya didik ahli iaitu setiap kali program atau Exco peringkat DPM atau BKAN, PMRAM tidak pernah membayar gaji atau memberikan duit poket. Segala titik peluh dan sumbangan adalah dari duit poket ahli sendiri. PMRAM berjaya mendidik ahli tidak mementingkan diri sendiri dan menjauhi sifat "maddiyyah" iaitu mementingkan kepada kebendaan. Begitu juga tohmahan PMRAM tidak mementingkan pencapaian akademik. Sedangkan dua bulan sebelum menjelang peperiksaan, PMRAM telah menghentikan program-program pada masa itu kecuali kelas tutorial dan motivasi sahaja dibenarkan.

2) Melobi Pimpinan


Antara konsep baru yang cuba ditonjolkan oleh saudara Abdul Mu'izz bahawa dalam kepimpinan PMRAM tiada yang dinamakan "main show" atau hanya individu tertentu mewarnai corak sesebuah persatuan. Tiada watak utama bahkan 15 orang anggota Badan Pengurus itu bergerak seiringan dan bekerja secara kolektif. Setakat ini bagi saya melobi pimpinan ini masih kurang diamalkan oleh pelajar-pelajar kita tambahan orang Melayu.

Kata saudara Abdul Mu'izz,golongan Freemasonary sekali-kali tidak pernah memburukkan orang yang ingin dinaikkan sebagai pimpinan (Presiden Amerika sebagai contoh) walaupun mereka mengetahui kelemahan orang itu, bahkan di 'make up' dan dinaikkan dengan banyak menonjolkan kebaikan dan kekuatan pemimpin tersebut hingga dia mendapat kepercayaan masyarakat dunia. Bagi orang Melayu pula, nak jatuhkan seseorang sesuatu yang mudah.Bahkan jika dibuka ruang untuk muhasabah atau dialog, sering kita dengar soalan yang panas hingga menjatuhkan air muka pimpinan di hadapan. Masa itu dia mengambil peluang untuk belajar bercakap bahkan rasa bangga jika soalan yang diutarakan membuatkan pimpinan tidak dapat menjawab. Bukan tak boleh mengkritik atau bertanyakan soalan tapi ada caranya. Ada akhlak dan disiplinnya tambahan jika pemimpin itu melaksanakan Islam.

Sepanjang saya mengikuti perkembangan dalam akhbar Mesir, saya cukup tertarik politik yang dimainkan oleh orang Mesir. Contohnya jika ada majlis atau program di bawah satu-satu kementerian, mereka pasti akan menyebut nama Presiden,Hosni Mubarak sebagai penaung kepada program.Sebagai contoh: "Tahta ri'ayah As-Sayyid Ar-Rais..." antara ayat yang sering digunakan yang bermaksud: "Di bawah seliaan Tuan Presiden Hosni Mubarak, Gabenor wilayah Kaherah, Dr.Abdul Azim Wazir menjemput tuan-puan menghadiri majlis hari raya Aidiladha..."

Begitu juga apabila khutbah Jumaat atau Hari Raya yang disiar melalui televisyen, imam yang selalu mengetuai solat Jumaat antaranya Mufti, Syeikhul Azhar atau Dr.Umar Hashim sebagai Ketua Jabatan Agama Islam di Parlimen Mesir. Dalam khutbah kedua,pasti akan disertakan doa dengan menyebut nama Presiden Mesir memohon kesejahteraan buat beliau.

Itu kepada pemimpin sekular. Seperti yang kita sedia maklum dengan pemerintahan rejim Mubarak. Tapi nama Presiden mereka tetap dinaikkan.Menaikkan nama pemimpin yang melaksanakan Islam tentu sekali tiada salah. Ini juga pernah diamalkan sebelum ini apabila mendoakan buat Presiden PMRAM dan kepimpinan PMRAM dalam doa di majlis-majlis PMRAM sebelum ini. Dalam majlis perasmian Ekspo Gempak PMRAM (EGP), Konvensyen PMRAM dan lain-lain, acapkali doa buat pimpinan PMRAM dipanjatkan dan tak lupa kepada kesatuan PMRAM itu sendiri. Namun, bagi mereka yang tidak memahami menganggapnya sebagai cubaan untuk membodek atau mengampu Presiden.

Ini juga menjadi prinsip sepanjang saya kenali beliau. Dalam ucapan, beliau takkan menyebut apa kejayaan beliau sendiri atas nama Presiden bahkan yang disampaikan adalah misi dan dasar persatuan yang beliau bawa. Kata beliau, "Seorang pemimpin dia akan bercakap misi dan dasar persatuan yang diperjuangkannya, bukan seorang pemimpin bila mengangkat diri sendiri."

3)Cakap Perkara Yang Kita Buat

Ini nasihat yang beliau selalu tekankan kepada kami Badan Pengurus. Bercakap perkara yang kita tak buat merupakan satu retorik dan hanya lakonan. Beliau mahukan setiap kalam yang dituturkan biarlah dari hati. Kata beliau, pimpinan boleh bercakap lebih atau mengangkat diri tapi takut bila orang atau ahli kenal kita, mereka akan kecewa.

4)Bukan Intima' Syakhsi

Antara yang selalu ditekankan juga tentang dasar PMRAM yang berpegang kepada Al-Quran dan Hadith. Selagi PMRAM berjalan atas landasan Islam maka selagi itulah Allah akan menjaganya. Pemimpin merupakan individu yang kurniakan oleh Allah sebagai khalifah-Nya bagi menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba atas muka bumi ini. Menyayangi pemimpin tiada salah tapi jika sampai mentaqdiskan pemimpin dan hanya melihat beberapa individu tertentu sahaja yang layak,maka ia sudah menjadi satu kesalahan. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi Islamlah yang akan kekal dipelihara oleh Allah buat selama-lamanya.

PMRAM hanyalah wasilah bagi memperjuangkan Islam. Jika tiada ditempat lain namanya PMRAM tetapi matlamat dan dasar yang sama diperjuangkan iaitu Islam,maka wajib ditaati. Dimana bumi dipijak,di situ Islam dijunjung.

Beliau pernah menukilkan kisah bagaimana sewaktu hayat As-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah menziarahi rumah seorang ahli Ikhwan. Beliau terkejut apabila melihat sekeping gambar wajah beliau digantung dalam rumah tersebut. Lantas beliau mengarahkan gambar tersebut diturunkan dengan segera.

5)Tidak Lupa Mencari Pelapis


Dalam melaksanakan gerak kerja, beliau selalu ingatkan supaya pimpinan menyediakan barisan pelapis yang bersedia mewarisi perjuangan. Mereka yang berjuang tapi lupa menyiapkan golongan pelapis, mereka sebenarnya "syok sendiri".

Demikian yang saya sempat singkapkan sedikit sebanyak idea dan pemikiran beliau sebagai Presiden PMRAM. Tentu mereka yang mengenali dan berkawan sejak dari sekolah seperti saudara Adlan, Setiausaha Agung PMRAM yang merupakan junior beliau atau sesiapa jua kenalan beliau tentu akan dapat menimba pengalaman dan menyelami pemikiran beliau lebih dalam.

Mohon kemaafan khas buat Tuan Presiden jika coretan di atas dan sebelum ini terdapat kekurangan dan tidak menepati citarasa dan kehendak tuan.Semoga Allah terus memelihara kesatuan kita ini buat selamanya..

ANTARA MAKSUD "MELOBI PIMPINAN"


Dr.Ahmad Nazif,Perdana Menteri Mesir berucap dalam Dewan Rakyat.

Minggu lalu,saya terbaca dalam surat khabar harian Mesir bernama "Al-Ahram" iaitu akhbar arus perdana negara (setaraf dengan Utusan Malaysia atau Berita Harian). Satu petikan yang menarik perhatian saya iaitu ucapan tahniah dari Perdana Menteri Mesir, Dr.Ahmad Nazif kepada Gabenor wilayah Sinai. Minggu lalu merupakan sambutan "Hari Raya bagi Kaum" di Sinai atau dalam istilahnya disebut "Aid Qaumi". Dalam perutusan tersebut, Dr.Ahmad Nazif yang memangku jawatan dari Presiden Hosni Mubarak berkata;
يسعدني أن أبعث إليكم وإلى أبناء جنوب سيناء أخلص التهاني وأطيب التنميات بهذه المناسبة راجيا لكم دوام التوفيق والسداد تحت الحكيمة فخامة الرئيس محمد حسني مبارك

Bermaksud: "Sukacitanya saya mengutuskan kepada kalian semua dan anak-anak Sinai setinggi-tinggi tahniah dengan sambutan ini, dengan harapan sentiasa memperolehi taufik dan peliharaan di bawah kebijaksanaan Yang Agung Tuan Presiden Hosni Mubarak."

Begitulah juga sebaliknya,jika ada upacara tahunan negara, maka segenap lapisan pimpinan daerah, wilayah atau menteri-menteri akan mengutuskan perutusan mengucapkan tahniah atas sambutan tersebut dengan diiringi doa dan harapan. Dapat dilihat apabila Presiden Mesir yang mengalami pembedahan ususnya baru-baru ini di Jerman. Setelah pulang, pelbagai sepanduk dan kain rentang mengucapkan selamat dan tidak terkecuali akhbar harian Mesir.

Antara insan yang banyak memberi galakkan kepada saya mengetahui hal ehwal semasa di Mesir ini iaitu saudara Farkhan, BP PMRAM. Kami pasti akan mendapatkan maklumat semasa dari beliau.

Sesekali terfikir, mungkin juga boleh dilaksanakan oleh BKAN dan DPM bersempena sambutan 80 tahun PMRAM yang bakal menjelang pada 11 April ini. Inilah yang dimaksudkan dengan "melobi pimpinan" seperti yang diwar-warkan oleh Presiden PMRAM.

JOM KELUAR MENGUNDI ESOK


Esok,10 April bakal berlangsung pilihanraya di peringkat PMRAM bagi memilih 9 anggota Badan Pengurus PMRAM sesi 2010. Pengundian akan bermula sekitar jam 9 pagi di Rumah Selangor,Hayyul Asyir yang dijangka akan dimulai oleh Presiden PMRAM dan diikuti 14 anggota Badan Pengurus serta HEWI yang lain. Hampir 1,400 ahli PMRAM setakat ini disahkan layak mengundi. Sewaktu pemergian saya ke Shibin El-Kom 7 April lalu, saya cadangkan kepada mereka supaya menyewa tremco pagi Sabtu. Keluar dan bertolak beramai-ramai kepusat pengundian bagi menunjukkan kebersamaan pada PMRAM dan memriahkan pilihanraya pertama PMRAM sejak hampir 20 tahun tidak diadakan.Tunaikan kewajipan esok,keluar mengundi beramai-ramai.

SELAMAT HARI LAHIR DARI JSUA


Tanggal 9 April juga merupakan tarikh ulangtahun hari lahir bagi Setiausaha Agung PMRAM, saudara Mohd Adlan Mokhtarudin. 9 April 2010 genaplah usianya 24 tahun. Sebagai timbalannya, mewakili Jabatan Setiausaha Agung PMRAM tahun 2009 mengucapkan Selamat Hari Lahir buat beliau. Semoga terus berjaya dan diberikan kekuatan dalam meneruskan perjuangan dalam persatuan yang tercinta ini di bawah kepimpinan Tuan Presiden, saudara Abdul Mu'izz Muhammad.Terima kasih atas segala tunjuk ajar selama saya berada dalam JSUA untuk tahun ini. Semoga Allah jua yang membalasnya.

HARI LAHIR SAUDARA ABDUL AZIZ ALI

Selepas majlis sambutan 80 tahun PMRAM di Dewan Tok Kenali, kami Badan Pengurus menikmati sedikit jamuan yang disediakan oleh saudara Abdul Aziz Ali, Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiyah KPKM yang juga calon Badan Pengurus PMRAM. Rupanya hari ini tanggal 9 April 1987 merupakan tarikh ulangtahun kelahiran Ust Aziz. Tahniah dan dari saya Selamat Hari Lahir ke-23. Beliau juga tak lain adalah 'guru' kelas tutorial saya. Banyak membantu untuk subjek Nahu dan Balaghah. Barakallahu fika.

NASIHAT BP PMRAM SEMPENA 80 TAHUN PMRAM



Dalam ucapan ringkas sempena solat hajat 80 tahun PMRAM di Rumah Kelantan Baru malam tadi, Badan Pengurus PMRAM,saudara Farkhan Md.Zin telah menarik perhatian pendengar dengan fakta dan sejarah PMRAM lampau. PMRAM pernah ditawaqufkan skeitar tahun 1975 kerana masalah sentimen kenegerian yang timbul ketika itu. Beliau kemudian mengaitkan dengan kejatuhan khilafah Islam yang jatuh dengan sebab tangan-tangan umat Islam sendiri yang termakan dengan momokan Barat yang menimbulkan isu perkauman. Menurut beliau, ketika itu peranan Liga Arab yang tidak kurang hebatnya peranan menjatuhkan khilafah sehingga negara umat Islam dipecahkan kepada negara yang kecil. Justeru, beliau meminta agar ahli PMRAM mengambil perhatian dari sejarah tersebut untuk tidak memainkan lagi sentimen kenegerian. Melalui pembahagian taakhi mengikut zon sebenarnya telah lama diamalkan di peringkat yang menerapkan konsep bekerjsama,bantu-membantu. Jika lemah, kita nak sama-sama lemah, jika kuat, kita nak semua kita kuat.

Bagi saudara Zuhaili pula, beliau mengingatkan bahana perpecahan yang berlaku. Kata beliau, PMRAM telah menunjukkan kesungguhan untuk bersatu dan mengenepikan anasir-anasir perpecahan yang merujuk kepada usul yang diluluskan dalam Muktamar Sanawi PMRAM lalu.

SOLAT HAJAT SEMPENA 80 TAHUN PMRAM


Selepas majlis Iftor Jamaie di BKAN Melaka, saya,saudara Zuhaili dan saudara Farkhan bergegas ke rumah Kelantan Baru (RKB). Di sana satu lagi majlis bersempena 80 tahun PMRAM diadakan di sana. Setiba kami di sana, saudara Abdul Aziz Ali Exco Dakwah KPKM memaklumkan selepas maghrib tadi telah diadakan bacaan Yasin dan tahlil. Majlis bermula solat isyak berjemaah dan disusuli dengan solat hajat mohon dipelihara PMRAM buat generasi mendatang. Hampir 50 orang warga Kelantan menyertai majlis pada malam itu yang diadakan di peringkat KPKM.Selepas solat hajat, para hadirin mendengar ucapan daro Badan pengurus yang hadir. Saya yang mempengerusikan majlis menjemput saudara Farkhan disusuli saudara Zuhaili menyampaikan amanat ringkas kepada anak-anak Kelantan malam itu.

IFTOR JAMA'IE DI BKAN MELAKA

Malam tadi,Khamis 8 April PMRAM cawangan Melaka telah mengundang Badan Pengurus ke Iftor Jamaie bersama ahli-ahli mereka. Majlis yang diadakan di Wisma Melaka di Hayyu Sabie telah dihadiri oleh saya, saudara Muhammad Zuhaili Saiman(Naib Presiden III) dan saudara Mohd Farkhan Md.Zin (Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan). Majlis bermula dengan solat maghrib berjemaah disusuli dengan jamuan. Selepas itu, kami sempat bertanya khabar tentang masalah dan perkembangan semasa berkaitan Melaka. Semoga ia dapat mengeratkan hubungan antara PMRAM Pusat dan cawangan Melaka.

Malam ini juga terdapat majlis lain yang telah dibahagi-bahagi penyertaan Badan Pengurus.Antaranya malam ini juga berlangsung majlis tahlil buat Allahyarham Hafizul Husna di Rumah Perak yang turut dihadiri keluarga Allahyarham. Di sana antara Badan Pengurus yang hadir ialah saudara Nik Rosdi (selaku BP angkat), saudara Azrul dan Meor Mohamad Hairul Anuar.

HADIR DI MAJLIS PENUTUP BIAH SHIBIN EL-KOM

Hari Rabu,7 April lalu saya selaku Bp angkat bagi PMRAM cawangan Shibin El-Kom turun ke DPM angkat.Mungkin juga turun kali terakhir sebelum Muktamar yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Kali ini bagi menghadiri majlis Perasmian Penutup Bulan Thaqafah dan Tarbiyah (BIAH'10) serta motivasi peperiksaan yang disempurnakan oleh Naib Presiden II merangkap Ketua Lajnah Muhafazah,saudara Nik Rosdi Nik Jusoh. Turut serta seorang lagi teman saya saudara Meor Mohamad Hairul Anuar yang juga BP angkat DPM Shibin. Majlis bermula sekitar jam 8.30 malam dimulakan dengan motivasi oleh Ustaz Syafiq Alias dari Johor. Sekitar jam 10 malam, majlis perasmian pun bermula dengan ucapan pengarah dan Pengerusi DPMS, saudara Muhammad Faizal Abdullah. Majlis diteruskan dengan ucapan saudara Nik Rosdi, Dalam ucapan,beliau mengaitkan dengan tema program "Azhari Penggerak Tarbiyah". Turut disentuh masalah sosial yang semakin meruncing.

Program sebulan yang berakhir malam itu telah diisi dengan program-program menarik antaranya kelas tafaqquh, Kenali Qiraat, Penerangan berkaitan dengan Hisbah dan Bait Muslim,ceramah kesihatan,kembara berkuda.

Selasa, 6 April 2010

NUKILAN KHAS BUAT PRESIDEN SAUDARA ABDUL MU'IZZ


Penuh segak,bergaya di Bazar Brunei (atas) Tiga generasi Presiden PMRAM. Pimpinan PMRAM datang silih berganti. Pemimpin bestari anugerah Tuhan buat kami (gambar bawah)

Menghitung hari-hari terakhir dalam Badan Pengurus, saya terdetik ingin membuat catatan ringkas yang saya dedikasi buat teman saya, saudara Abdul Mu'izz yang mengemudi bahtera PMRAM tahun ini. Kami mula berkenalan dalam program Kolokium Ilmuan-Q PMRAM masa tahun pertama kami tiba di Mesir. Masih ingat lagi adhoc yang bersama kami waktu itu antaranya saudara Firdaus Mazlan (Ustaz Alang), saudara Nazim (mantan BP), saudara Ridzuan Yahya (mantan Bendahari PMRAM) dan tidak dilupakan saudara Yazid Pardi. Saya mengenali saudara Abdul Mu'izz atas sikap semangat dan sering mengambil bahagian dalam setiap acara yang dianjurkan. Teman-teman saya yang lain rupanya telah mengenali beliau lebih awal ketika kursus anjuran BTN di Selangor hanya beberapa bulan sebelum kedatangan kami ke Mesir. Pada masa itu,saya tidak dapat menyertainya kerana cuti saya tidak diluluskan oleh pihak sekolah yang saya mengajar.

Sekitar tahun 2004 itu jugalah,tercetusnya gelombang kebangkitan para pelajar Selangor yang bangkit setelah ditindas oleh dua orang pegawai yang dihantar sebelum itu. Sebelum En.Idris namanya En.Latif. Salah seorang yang turut sama bersama gelombang itu ialah Abdul Mu'izz. Antara cara terbaik selepas kami tamat program Q yang dianjurkan, Abdul Mu'izz telah mencetuskan satu cadangan untuk batch kami ini menggerakkan usrah sendiri. Tambahan katanya peringkat Selangor masih belum menyusun usrah untuk adik-adik baru. Kata beliau, sementara siap disusun,elok kita buat usrah dulu. Lagipun tarbiyah Q masih panas-panas. Antara yang terlibat beliau, saya, saudara Wan Hafiz, Khairul Anuar Ismail, Muaz Lokman dan saudara Syazwan (kini menuntut di Universiti Madinah). Seingat saya, kerap kali juga usrah berjalan. Kalau tak dibuat rumah Selangor (masih ingat bilik saudara Mu'izz di tingkat dua 201), kami akan jumpa di rumah saya (masa tu di depan Rumah Pulau Pinang,Hayyu Sabie). Pernah sekali saudara Mu'izz tiada suara.Bila kami tanya katanya dia bergaduh dengan pegawai. "Pegawai tak bagi kami guna mic untuk azan, ana berdiri depan pintu surau, ana azan tanpa guna mic!" .Masa tu kami orang Kelantan saling berpandangan satu sama lain, hebat sungguh semangat beliau. Dalam usrah, kami akan saling berkongsi masalah. Antara yang selalu ditanya tentang masalah anak-anak Selangor yang tertindas hanya kerana kebersamaan mereka bersama PMRAM. Tambahan lagi, masa itu Selangor adalah BKAN taakhi dengan Kelantan. YDP kami masa itu, Ustaz Nik Azran banyak membakar semangat kami adik-adik baru tentang betapa perlu kita ambil cakna kepada teman yang lain. Dalam Q juga kami dididik supaya perlu ada sensitiviti dengan rakan seperjuangan lain. Jangan kita senang, mereka susah. Itu bukan kawan namanya bila membiarkan temannya kelaparan,sedangkan perut sendiri kekenyangan.

Tahun pertama itu juga,saudara Abdul Mu'izz memperkenalkan pada kami kelas-kelas pengajian. Antaranya kelas di mudhiyafah Syeikh Ismail Sodiq 'Adawi. Yang tidak pernah ditinggalkan ialah pengajian bersama Syeikh Nurudin. Bahkan beliaus ering kelihatan duduk bersebelahan syeikh pada setiap pengajian dengan mengenakan pakaian jubah dan berserban.

Usrah kami terhenti seketika apabila beliau pulang ke Malaysia pada tahun 2006. Selepas kembali dari tanahair, beliau dicalonkan Badan Pengurus PMRAM tahun 2007. Sekalian kami yang pernah berusrah bersamanya bangga. Jawatannya sebagai Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan (BPP) di bawah Presiden ketika itu,Ustaz Hairul Nizam. Turut tercalon masa itu sahabat kami,saudara Khairul Anuar Ismail sebagai Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab (BKBA). Yang akhirnya kedua-dua mereka bergandingan untuk sesi 2008 apabila saudara Khairul Anuar dilantik presiden dan timbalannya saudara Abdul Mu'izz.

Sewaktu saudara Abdul Mu'izz mengetuai BPP, saya bekerja di bawah beliau sebagai ketua pengarang PRISMA. PRISMA sebuah buletin yang diedarkan secara percuma bagi memuatkan berita PMRAM.Seingat saya beliau BP angkat kepada Pahang dan DPM Shubra. Tahun itu juga,beliau merupakan Pengarah Minggu Taaruf dan Silaturrahim (MPS)-yang kini ditukar kepada KEJORA. Menjelang Muktamar Sanawi PMRAM, beliau merupakan timbalan Pengarah I kepada saudara Rasul bin Amat manakala saya timbalan pengarah III.

Untuk tahun kedua dalam PMRAM, beliau dilantik Ketua Lajnah Perancang dan panitia, bergandingan dengan saudara Khairul Anuar,presiden ketika itu. Saya merupakan Badan Pengurus baru mewarisi portfolio BPP yang dipegang beliau sebelum itu. Bermula dari A sampai Z beliau ajar satu persatu tentang BPP. Memang susah kerja BPP ni. Banyak kena ingat etika dan berurusan dengan orang luar.

Menjelang peralihan kuasa PMRAM 2009, takdir Allah saudara Abdul Mu'izz dipilih untuk memimpin PMRAM.Pelbagai tanggapan terhadap beliau dibentangkan hanya berdasarkan persepsi. Hingga ada yang membayangkan kejatuhan PMRAM bakal melanda kerana ia dipimpin oleh seorang yang kononnya berwatakan tidak mesra,garang dan susah nak senyum. Mudah betul mereka mengukur kemampuan pimpinan. Memerintah dan memimpin dengan akal,bukan dengan senyuman.

Teringat bila Tok Guru Nik Aziz memimpin Kelantan akhir tahun 1990 dulu, ramai yang beranggapan kerajaannya takkan bertahan lama. Anggapan mereka hanya kerana pemimpin kerajaan pakai kain pelikat,berjubah dan berserban. Sewaktu di sekolah menengah dulu, ayah saya suka belikan kaset Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakob hinggakan saya jadi peminat beliau. Beliau bekas ahli parlimen Bachok dari tahun 1990 hingga 1999, antara tahanan ISA dalam operasi Lalang. Isteri pertamanya tidak siuman selepas beliau dibebaskan dari tahanan kerana setiap hari diganggu oleh pihak SB. Kata Allahyarham dalam loghat Kelantan, "Kalau nak ikut merintah tengok ko pakaian,baju cuba bui (bagi) pakai baju kot kat kera, tengok dia pandai memerintah ke dok? Merintah bukan dengan baju, guna otak!". Kes yang sama juga berulang pada PMRAM. Bukan dibangkit oleh musuh PMRAM, tapi mereka yang boleh dikelaskan sebagai orang yang faham dan banyak bekerja dengan PMRAM.

Akhirnya, beliau telah berjaya membuktikan bahawa persepsi orang tersbeut adalah salah. Beliau juga berjaya membuktikan sifat ketegasan dan garang yang diberikan dapat digunakan untuk PMRAM. Muhasabah kepada beliau tentang pemimpin tak mesra dan tak senyum diterima dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Setahu saya beliau telah berusaha dan lakukan yang terbaik. Lepas ni, saya akan ketengahkan beberapa lontaran idea yang sempat saya selidiki sepanjang bersama beliau.

Isnin, 5 April 2010

HABIB ABDUL QADIR AS-SAQQAF: SEMOGA ALLAH MEREDHAINYA


Nama beliau ialah Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin Abdul Rahman bin 'Ali bin 'Umar bin
Saqqaf bin Muhammad bin 'Umar bin Toha As-Saqqaf yang bersambung nasab keturunan kepada Saidina Rasulullah s.a.w. Dilahirkan di bandar Saiun,Yaman pada bulan Jamadil Akhir tahun 1331 hijrah. Dibesarkan dalam keluarga kedua-dua ibu bapanya dari kalangan orang yang soleh. Ayahandanya, Habib Ahmad bin Abdul Rahman merupakan pendakwah di jalan Allah,manakala bondanya pula Sayyidah As-Syarifah Alawiyah binti Al-Habib Ahmad bin Muhammad Al-Jufri.

Habib Abdul Qadir memulakan pengajian dengan Al-Habib Toha bin 'Umar di bandar kelahirannya. Di sana beliau mula mempelajari beberapa pengajian selain dari ayahandanya tercinta.

Antara guru-guru beliau yang disebutkan pada pengijazahan kepada sebahagian muridnya:
-Ayahandanya Habib Ahmad bin Abdul Rahman As-Saqqaf
-Habib 'Umar bin Hamid bin 'Umar As-Saqqaf
-Habib 'Umar bin Abdul Qadir bin Ahmad As-Saqqaf
-Habib Abdullah bin 'Idrus Al-'Idrus
-Habib Abdullah bin 'Alawi Al-Habasyi,anaknya Habib Husain
-Habib Abdul Bari bin Syeikh Al-'Idrus
-Habib Muhammad bin Hadi As-Saqqaf
-Habib Abdullah bin 'Umar bin Hamid As-Saqqaf
-Habib Hasan bin Ismail bin Syeikh Abi Bakr bin Salim
-Habib Hamid bin 'Alawi Al-Bar dan ramai lagi.

Selepas kewafatan ayahandanya, Habib Ahmad bin Abdul Rahman tahun 1357, beliau telah
mula menggerakkan kelas pengajian bagi menyebarkan amanah ilmu Allah kepada masyarakat ketika itu berusia 21 tahun.

Takdir Allah, tidak lama kemudian berlaku perubahan iklim politik di utara Yaman apabila golongan fahaman sosialis mengambil alih kuasa di sana. Puak sosialis ini telah mengenakan tekanan yang amat dahsyat kepada para pendakwah Islam dan para ulamak, lebih-lebih mereka yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, tidak terkecuali Habib Abdul Qadir. Beliau telah diminta sentiasa melaporkan diri pada waktu pagi dan petang setiap hari di balai polis berdekatan.

Akan tetapi berkat kesabarannya, Allah telah memberikannya jalan keluar dari genggaman golongan sosialis tadi apabila salah seorang yang berkedudukan dalam pentadbiran telah mengeluarkan beliau ke wilayah bernama 'Adan pada bulan Rabi'ul Awal tahun 1393 hijrah.Beliau menetap di sana untuk beberapa bulan sebelum dipermudahkan untuk keluar negara berhijrah ke Singapura. Di sana beliau diberikan sambutan yang menggalakkan. Pada bulan Jamadil Awal, beliau berangkat ke negara Indonesia dan turut menerima sambutan yang baik ketika majlis bersama beliau diadakan sama ada di Jakarta, Kepulauan Sulu dan Surabaya.

Dari Indonesia, beliau kemudian berhijrah ke negara Saudi. Di sana bukanlah tempat yang asing kerana sebelumnya beliau telah menunaikan haji sebanyak 6 kali.

Sebelum beliau menetap di sana, Habib Abdul Qadir telah menziarahi negara lain dengan tujuan berdakwah antaranya ke Lubnan, Syria, Mesir, Nairubi, Kenya, Tanzania, kemudian kembali ke Kenya untuk satu tempoh yang panjang.

Sekembalinya ke Saudi pada tahun 1394 hijrah, beliau telah menetap di Jeddah. Di rumahnya,beliau telah mengadakan majlis pengajian di rumah beliau setiap hari dengan pelbagai kitab dari ilmu Hadith,Tasawuf,Sirah dan lain-lain lagi, selain pengajian beliau yang akan berlangsung secara mingguan dengan berpindah tempat dari satu tempat ke tempat yang lain.

Menjelang sambutan maulid atau perayaan dalam Islam, Habib Abdul Qadir akan dijemput bagi menghuraikan dan mengupas berkaitan sambutan tersebut. Selain itu, menjelang bulan Ramadhan, beliau akan mengadakan majlis pengajian di rumahnya yang disertai sejumlah besar tetamu yang ingin mengambil intipati ilmu dari beliau.

Antara kehebatan beliau juga, beliau menguasai ilmu Sastera dan Syair Arab sejak kecil. Beliau memiliki beberapa qasidah yang menunjukkan ketinggian ilmu dalam ilmu Bayan, Badie' (dalam ilmu Balaghah) dan 'Arudh.

Selayaknya diceritakan juga, kecintaan dalam hati manusia kepada beliau dari pelbagai bangsa, sama ada mereka yang jauh atau dekat, mereka yang sehaluan atau yang
suka menentang. Sepertimana dapat dilihat dengan jelas pada majlis pengajian beliau,
kehadiran dari pelbagai bangsa dan warna kulit akan tetapi memiliki pemikiran dan tujuan yang satu.

Sebelum ini, sesiapa yang bertandang ke bumi Mekkah bagi menunaikan haji, umrah atau
ziarah tidak pernah lupa untuk singgah di rumah beliau mengikuti majlis pengajian bersama beliau. Tambahan bagi para ulamak, menziarahi beliau merupakan satu kemestian. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, majlis pengajian bersama beliau sudah tiada lagi setelah beliau ditimpa keuzuran. Setelah lebih separuh abad hidupnya diwakafkan di jalan Allah, tentunya ramai anak-anak didik beliau yang kini berada di serata dunia bagi mengembangkan ilmu Allah kepada manusia. Antara mereka ialah Al-Marhum Sayyid Muhammad bin 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani yang telah pergi menghadap Allah lebih awal dari beliau.

Menjelang pagi Ahad,4 April 2010 bersamaan 19 Rabi'ul Akhir 1431, beliau telah dijemput menghadap ke hadrat Allah s.w.t dalam usia menjangkau 100 tahun. Semoga Allah s.w.t meredhai beliau serta menganugerahkan balasan kepadanya dengan sebaik-baik balasan terhadap apa yang beliau usahakan sewaktu hayat beliau . Kepada roh beliau, Al-Fatihah...

HABIB ABDUL QADIR AS-SAQQAF

KEWAFATAN HABIB ABDUL QADIR AS-SAQQAF




Habib Abdul Qadir bin Ahmad As-Saggaf telah kembali ke rahmatullah pada pagi Ahad, 4 April bersamaan 19 Rabi'ul Akhir 1431 di Jeddah, negara Saudi, demikian menurut kenyataan dalam blog rasmi Habib 'Umar di http://www.alhabibomar.com. Semoga Allah menempatkan beliau bersama nendanya, Rasulullah s.a.w di syurga bersama hambaNya yang soleh, syuhada' dan siddiqin dan dimanfaatkan sekalian ilmu dan petunjuk beliau.

Jumaat, 2 April 2010

PENGENDALIAN PROGRAM PMRAM


Sambutan Maulid pada 3 Mac 2009 (atas) dan sewaktu menyambut ketibaan Dr.Toha Dusuqi Hubaisyi di majlis penutup Kutub Sittah (gambar bawah)

Tanggal 1 April ini menandakan perjalanan PMRAM sesi 2009 kian berada di penghujung. Sekitar 10 hari lagi, PMRAM akan diterajui oleh pimpinan baru. Pejam celik,pejam celik sudah lebih setahun PMRAM di bawah pemerintahan saudara Abdul Mu'izz. Mengenang kembali saat-saat ditaklifkan sebagai pengarah kepada program-program PMRAM sejak dilantik Badan Pengurus 2008, terdapat empat program yang dikendalikan saya:

Pertama: Konsert Apresiasi Graduan bersama saudara Nazrey Johani sempena Pelancaran Kamus Miftah pada 22 Oktober 2008. Ini merupakan program PMRAM pertama yang saya kendalikan bersama barisan adhoc yang lain. Timbalan pengarah I masa itu, saudara Azrul Ismail.

Kedua: Muktamar Sanawi PMRAM ke-76 di Nadi Riyadhi. Timbalan pengarah I ketika itu, saudara Mohammad Azizudin Aznan.

Ketiga: Pengarah Konvensyen PMRAM di Solah Kamil di bawah pentadbiran saudara Abdul Mu'izz pada 22 Julai 2009.Timbalan pengarah saudara Amaluddin Arshad.

Keempat: Pengarah Iftor Jamaie dan Ihya' Ramadhan 1430 hijrah dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai di dataran Hayyul Asyir, solat terawih berjemaah dan mengendalikan majlis muhadharah bersama Dr.Rif'at Fauzi. Timbalan pengarah saudara Jamal Najmuddin.

Dalam mengendalikan majlis bersama para masyayeikh, saya berasa amat bertuah dapat mengendalikan majlis Kutub Sittah pada majlis penutup yang dihadiri oleh Mufti Mesir Dr.Ali Jum'ah. Juga tidak lupa pada mengendalikan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran PMRAM di Dataran Hayyul Asyir yang dihadiri oleh Dr.Yusri Jabr Al-Hasani, Syeikh Dr.Atiyah Mustafa dan Syeikh Ashraf Hamid Hasanain.

Terima kasih PMRAM yang memberikan daku peluang semua ini..

PEMIKIRAN DR.YUSUF AL-QARDHAWI DISEMINARKAN


Presiden PMRAM di majlis perasmian SKEDA Damanhur.

Semalam,1 April saya menemani Presiden, saudara Abdul Mu'izz ke muhafazah Damanhur. Turut serta Naib Presiden I, saudara Azrul. DPM Damanhur mulai hari ini hingga 4 April menganjurkan Simposium Keilmuan Damanhur atau ringkasannya (SKEDA). Ia merupakan program tiga hari yang mengupas dan membincangkan pemikiran Dr.Yusof Al-Qardhawi. Presiden sendiri dijemput membentangkan tajuk Fiqh Ikhtilaf sekitar jam 3 petang dan malamnya beliau dijemput merasmikan SKEDA.Dengan tema "Menyelusuri Manhaj Pemikiran Imam Yusuf Al-Qardhawi", sambutan dari ahli Damanhur amat menggalakan.

Presiden sendiri dalam ucapan perasmiannya memuji program yang dianjurkan bagi membentangkan pemikiran dan idea seorang pemimpin yang telah mendapat pengiktirafan dunia dengan "Al-Imam". Bahkan beliau sendiri merupakan peminat kepada tulisan Dr.Yusuf Al-Qardhawi.

Program yang bakal berkahir pada hari Ahad bersamaan 4 April ini, turut menyaksikan pembentangan berkenaan "Fiqh Muwazanat" oleh Ustaz Hairul Nizam, "Fiqh Aulawiyyat", "Wujudullah" serta "Sunnah & Bid'ah".