Selasa, 24 Januari 2012

UMMAH KEHILANGAN MEREKA SEPANJANG TAHUN 2011

Kalangan ulamak yang meninggal dunia sepanjang tahun 2011. Mohon maaf jika ada yang tidak disebut di sini..

13 April 2011, Syeikh Abdul Mu'izz Abdul Sattar
-dari kalangan 'orang lama' dalam Gerakan Ikhwan Muslimin yang meninggal dunia di negara Qatar
-Anggota Kesatuan Ulamak Muslimin SeDunia
-Merupakan wakil Ikhwan Muslimin pertama yang dihantar ke Palestin pada tahun 1946
-Mengenali dan kemudian menyertai dakwah Ikhwan Muslimin ketika menuntut di Al-Azhar
-Sempat bertemu dengan pengasasnya, Imam Hasan AlBanna pada tahun 1937


21 April 2011, Dr. Mustafa As-Syuk'ah
-Anggota Akademi Penyelidikan Islam (Mujamma' Buhus Islamiyah)
-Meninggal dunia pada usia 94 tahun
-Ketua Lajnah Pengenalan Islam di Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam
-Anggota Jawatankuasa Dialog antara agama Islam dan Kristian di Al-Azhar.
-Dilahirkan tahun 1917 di wilayah Gharbiyah, Mesir
-Bertugas sebagai Pensyarah Sastera Arab di Fakulti Sastera, Universiti 'Ain Shams hingga dilantik sebagai Dekan Fakulti
-Pernah bertugas sebagai Penasihat kepada Kedutaan Mesir di Washington, Amerika (1960-1965)
-Banyak menghasilkan buku dalam lapangan sastera hingga dianugerahkan beberapa pingat kebesaran
-Antara tulisannya yang masyhur ialah "Islam Tanpa Mazhab" yang diterbitkan tahun 1960 yang diulang cetak sebanyak 25 kali.


8 Mei 2011, Syeikh Faisol Maulawi
-Usia menjangkau 70 tahun
-Dilahirkan di Lubnan pada tahun 1941
-Menceburi dalam kerja dakwah Islam pada tahun 1955
-Merupakan Setiausaha Agung bagi Jema'ah Islamiyyah sejak 1992 hingga 2009 menggantikan Al-Marhum Dr.Fathi Yakan
-Bekas Muraqib Ikhwan Muslimin di Lubnan
-Ketua Lajnah Dakwah dan Pendakwah yang diasaskan pada 199
-Dilantik sebagai Hakim Syar'ie di Lubnan pada 1968
-Penasihat Mahkamah Tinggi Syariah di Beirut tahun 1988.


4 Jun 2011, Dr.Abdul Hamid El-Ghazali
-Pakar Ekonomi yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Sains Politik Universiti Kaherah
-Meninggal dunia pada usia 73 tahun
-Merupakan Penasihat Politik kepada Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin
-Kelahiran wilayah Menufiyah pada 23 Februari 1937
-Menyertai gerakan Ikhwan Muslimin sejak kecil dan pernah ditangkap sebanyak tiga kali (iaitu pada 1954, 1971 dan 1996).


10 Jun 2011, Syeikh Abu Hasan Syum'ah
-Pengasas gerakan HAMAS di Palestin.
-Meninggal dunia di Semenanjung Gaza
-Pemimpin Ikhwan Muslimin
-Antara tujuh orang terawal yang mengasaskan gerakan HAMAS bersama-sama As-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin.

23 Jun 2011, Syeikh Abul 'Ainain Syaisya'
-Qari Al Quran yang masyhur di Mesir dan dunia Islam
-Usia menjangkau 89 tahun
-Antara qari tersohor peringkat Mesir sebaris dengan nama Syeikh Abdul Basit Abdul Samad, Syeikh Mahmud Khalil Husori dan lain-lain
-Anak kelahiran wilayah Kafr Sheikh pada tahun 1922
-Suaranya mula diperdengarkan oleh Radio Mesir ketika usianya 17 tahun yang banyak belajar dari suara Syeikh Ahmad Rif'at (yang amat dikenali sebagai Qari yang agung dalam sejarah Mesir)
-Ketika tahun 90-an, beliau ditimpa penyakit yang membawa kepada gangguan pada suaranya yang memaksa beliau berehat tetapi beliau menghadapi penyakit tersebut dengan sabar
-Beberapa tahun kemudian, beliau kembali aktif mengalunkan ayat-ayat Allah.

12 Ogos 2011, Syeikh Abdul Rahman Syaiban
-Pendakwah Islam yang gigih di Algeria
-Meninggal dunia pada usia 93 tahun
-Ketua Kesatuan Ulamak Muslimin di Algeria, sebuah kesatuan yang diasaskan oleh Syeikh Abdul Hamid bin Badis tahun 1931
-Pernah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama antara tahun 1980 dan 1986
-Dikenali sebagai orang yang menghidupkan pembacaan hadis "Sohih Muslim" di masjid-masjid di Algeria.

6 September 2011, Dr.Ibrahim Salqoni
-Mufti wilayah Halab, Syria
-Meninggal dunia pada usia 78 tahun
-Dilahirkan di Halab pada tahun 1934
-Dikatakan sempat menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Abu Hanifah An-Nukman di Halab sebelum menemui ajal
-Memperolehi sijil Phd dalam bidang Usul Fiqh di Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar, Mesir
-Kemudian kembali ke kampung halaman di Halab dengan bertugas sebagai guru dan pengetua di beberapa buah sekolah dalam wilayah Halab
-Pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Dimashq dan Halab
-Pensyarah Usul Fiqh di Fakulti Syariah Islamiyah Universiti Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh, Saudi
-Pensyarah di Universiti Islam Madinah
-Pensyarah dan Dekan di Pengajian Islam dan Arab, Dubai
-Pensyarah pelawat Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Ummul Qura, Mekah
-Pernah dilantik sebagai Ahli Parlimen Syria pada penggal 1973 hingga 1977
-Lantang mengkritik rejim Basyar Al-Asad dalam revolusi rakyat Syria

20 Oktober 2011, Dr. Judah Abul Yazid Al-Mahdi
-Ulamak sufi terkenal di Tanta, Mesir
-Anggota Akademi Penyelidikan Islam (Mujamma' Buhus Islamiyyah)
-Meninggal dunia pada usianya mencapai 67 tahun
-Bekas Timbalan Rektor Universiti Al-Azhar
-Bekas Dekan Fakulti Al-Quran Universiti Al-Azhar Tanta
-Pernah menjawat jawatan Ketua Bahagian Tafsir Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar cawangan Tanta
-Wakil dan Dekan Fakulti Usuluddin Al-Azhar cawangan Tanta
-Syeikh Tariqat Naqsyabandiyah Al-Khalidiyah Al-Judiyyah
-Terkenal kelas pengajian yang disampaikan di Masjid Sayyidi Ahmad Badawi, bandar Tanta pada setiap Jumaat melalui kupasan ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis.

25 Oktober 2011, Dr.Muhammad Fuad Syakir
-Pensyarah dan Ketua Bahagian Hadith Universiti 'Ain Shams
-Meninggal dunia pada 25 Oktober 2011 akibat sakit jantung kira-kira selepas sebulan selepas pulang dari luar negara bagi menerima rawatan
-Dilahirkan di wilayah Qina pada 1948
-Memperolehi ijazah Phd dari Universiti Al-Azhar pada akhir 80-an

10 Disember 2011, Dr.Abdul Halim 'Uwais
-Pensyarah Sejarah dan Tamadun Islam
-Meninggal dunia pada usia 68 tahun
-Sepatutnya berlepas ke negara Saudi bagi menerima anugerah Raja Saudi tetapi takdir telah mendahuluinya
-Ketua Pengarang Majalah "At-Tibyan"
-Mendapat pendidikan dari Fakulti Pengajian Arab dan Islam, Darul 'Ulum Universiti Kaherah hingga berjaya memperoleh sijil Phd pada tahun 1978.


16 Disember 2011, Syeikh 'Imad Effat
-Tenaga pengajar di Al-Azhar
-Menemui ajal dalam "Peristiwa Kompleks Jemaah Menteri"
-Ditembak ketika dalam satu himpunan di hadapan Kompleks Jemaah Menteri
-Pemergian beliau ditangisi oleh seluruh anak didik beliau selain gurunya, Syeikh Dr.Ali Jum'ah, Mufti Mesir
-Bertugas sebagai pegawai di Darul Ifta' Mesir
-Orang yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa mengharamkan rakyat Mesir mengundi golongan fulul dalam Pilihanraya Parlimen Mesir.


23 Disember 2011, Dr.Mahmud Hafiz
-Menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia menjangkau 100 tahun
-Pengerusi Kompleks Bahasa Arab
-Presiden Kompleks Ilmu Mesir
-Setiausaha Agung Kesatuan Hidayatul Islamiyah bersama-sama Syeikh Muhammad Al-Khidhr Husain, bekas Syeikh Al-Azhar selama 17 tahun
-Kelahiran wilayah Kaherah pada 10 Januari 1912

Semoga ALLAH merahmati mereka semua,Al Fatihah...

Sabtu, 21 Januari 2012

FJP MENANGI 47% KERUSI PARLIMEN

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir petang tadi mengumumkan keputusan muktamad Pilihanraya Dewan Rakyat yang mempunyai 498 kerusi termasuk keputusan bagi calon SENARAI yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding. Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memperoleh 235 kerusi atau 47.2% iaitu 127 org melalui calon SENARAI dan 108 org melalui calon INDIVIDU.

Sementara itu, Ketua Tentera, Husin Tantawi melantik 10 orang Ahli Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Mesir iaitu kerajaan berhak melantik 10 Ahli Parlimen tambahan.

Rabu, 18 Januari 2012

7 KERUSI TAMBAHAN MILIK FJP

Ikhwan Muslimin melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) setakat ini menambahkan 7 orang Ahli Parlimennya bagi menyertai 232 rakan-rakannya yang lain bagi Parlimen selepas revolusi ini. Keputusan Pilihanraya ulangan yang diadakan dua hari lalu meletakkan FJP dalam kedudukan yang begitu selesa. Hanya menanti keputusan satu kerusi INDIVIDU di daerah pertama di Daqahliyah dan satu kerusi lagi di QINA yang dijadualkan diketahui malam ini.

Berikut kedudukan 7 kerusi milik FJP:

Daerah pertama Kaherah
1) Fahmi Abduh (PROFESIONAL) Undi: 187,148
2) Kamal Mahdi (BURUH) Undi: 183,373

Daerah ketiga Asyut
1) Abdullah Sodiq Nasr (BURUH) Undi: 43,781

Daerah kedua Asyut
1) Muhammad Salamah Bikr (PROFESIONAL) Undi: 89,509
2)Muhammad Mudhor Musa (BURUH) Undi: 84,116

Daerah kelima Syarqiyyah
1) Ahmad Syail (PROFESIONAL) Undi: 104,000
2)Sayyid 'Atwil (BURUH) Undi: 92,000

20 JANUARI: MEMPERINGATI MURSYIDUL 'AM IKHWAN MUSLIMIN KEEMPAT

MURSYIDUL 'AM IKHWAN KEEMPAT: AL-MARHUM USTAZ MUHAMMAD HAMID ABU NASR

Ustaz Muhammad Hamid Abu Nasr merupakan Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin yang keempat selepas Al-Marhum Ustaz Umar Tilmisani.

-Dilahirkan pada 6 Rabiul Akhir 1331 bersamaan 25 Mac 1913di daerah Manfalut, wilayah Asyut
-keturunan Syeikh Ali Ahmad Abu Nasr, salah seorang ulamak Al-Azhar
-sempat bertemu dengan Imam Hasan Al-Banna pada akhir tahun 1933 dan telah mengangkat janji setia bagi memperjuangkan dakwah Islam atas gerakan ini
-Dikira antara golongan terawal menyertai Ikhwan Muslimin
-dilantik sebagai ketua cawangan Manfalut
-kemudian dilantik sebagai anggota Haiah Ta'sisiyyah (Majlis Syura 'Am sekarang) dan anggota Maktab Irsyad
-Pernah dipenjarakan pada tahun 1954 dan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dengan kerja berat
-Dibebaskan pada tahun 1974 iaitu selepas hanya 20 tahun dipenjara dan terus bergerak aktif kembali dalam Ikhwan Muslimin
-Dipilih Mursyid selepas Ustaz Umar Tilmisani meninggal dunia tahun 1986
-Meninggal dunia di Kaherah pada pagi Sabtu, 20 Januari 1996 usianya mencecah 83 tahun iaitu kira-kira 10 tahun memimpin gerakan tersebut.

Pencapaian:
-Pada zamannya, Ikhwan Muslimin berjaya memasuki dan menguasai beberapa badan profesional, kesatuan pelajar dan pengajar di universiti
-Pada tahun 1987, Ikhwan Muslimin menyertai Pilihanraya Parlimen dengan menjalinkan kerjasama (tahaluf) dengan Parti 'Amal dan memenangi 36 kerusi
-Pada Pilihanraya Parlimen tahun 1990, Ikhwan Muslimin dan parti-parti pembangkang lain memboikot kerana membantah Undang-Undang Darurat yang masih berterusan dan penipuan pilihanraya yang berlaku
-Tahun 1992,Ikhwan menyertai Pilihanraya Majlis Tempatan
-Tahun 1993, Ikhwan Muslimin membantah pelantikan penggal ketiga Mubarak sebagai Presiden Mesir
-Akibatnya, 82 orang pimpinannya didakwa atas tuduhan palsu di mahkamah tentera pada tahun 1995 yang membawa kepada hukuman penjara bagi 54 tokoh mereka
-Ikhwan Muslimin pada zaman beliau telah bergerak dengan tersusun apabila organisasi di setiap peringkat disusun semula termasuk penyusunan bagi Maktab Irsyad dan Majlis Syura 'Am.

Semoga ALLAH merahmati beliau dengan rahmatNya seluas-luasnya..Amin. Al-Fatihah

Sabtu, 14 Januari 2012

SYURA IKHWAN MUSLIMIN SERAH KUASA PADA MAKTAB IRSYAD BINCANG PERALIHAN KUASA

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG IKHWAN MUSLIMIN SELEPAS MESYUARAT MAJLIS SYURA 'AM

Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin yang telah mengadakan mesyuaratnya yang kelima (selepas revolusi 25 Januari) pada hari Sabtu 21 Safar 1433 bersamaan 14 Januari 2012 dengan kehadiran 108 anggota atau nisbah 87% dari seluruh anggotanya telah memutuskan berikut:

1) Bersetuju sebulat suara menyerahkan kuasa kepada Maktab Irsyad (badan tinggi dalam Ikhwan Muslimin) bagi mengadakan perbincangan dengan sayap politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi mengambil langkah-langkah yang sesuai dalam tempoh peralihan kerajaan dalam Dewan Rakyat dan kerajaan.

2) Bersetuju melantik Dr.Muhammad Toha Wahdan sebagai anggota Maktab Irsyad menggantikan Ir.Saad Al-Husaini yang telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Pelaksana FJP.

Dr.Mahmud Husain,
Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin

Kaherah: 21 Safar 1433/ 14 Januari 2012

Jumaat, 13 Januari 2012

KEDUDUKAN TERKINI: FJP MENDAHULUI DENGAN 232 KERUSI


Kedudukan terkini selepas pusingan ulangan fasa terakhir Pilihanraya Parlimen Mesir:

-Pakatan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP): 232 kerusi

-Pakatan Parti Nur Salafi: 113 kerusi

-Parti Wafd Liberal: 47 kerusi

-Pakatan Liberal "Kutlah": 39 kerusi

-Fulul: 17 kerusi

-Parti2 lain dan bebas: 14 kerusi

-Parti Wasat: 10 kerusi

-Pakatan Thaurah Mustamirah atau "Revolusi Berterusan": 8 kerusi

*18 kerusi yg ditangguhkan oleh mahkamah

Selasa, 10 Januari 2012

APA DAH JADI DENGAN PARTI NUR SALAFI?


Apa dah jadi dengan Parti Nur Salafi ni? Inilah akibatnya tiada pengalaman dalam politik dan mudah ditipu orang. Sudah la tiada pengalaman, berlagak pandia pula. Orang nak masuk politik, dia pun nak masuk politik. Sebelum revolusi, mana golongan Salafi? Yang masuk keluar penjara hanyalah pimpinan Ikhwan Muslimin, mereka sekadar membicarakan bab khilafiyah, mengharamkan dan membidaahkan maulid dan tawassul. Tiba-tiba lepas tumbang Mubarak, dia nak jadi hero dalam politik pula.

Banner yang digantung dalam kawasan di wilayah Gharbiyah, satu lagi bukti Parti Nur sanggup bersekongkol dengan siapa saja demi mengalahkan FJP. Kali ini bersama orang kuat Mubarak, Solah El-Hisowi. Hisowi ni merupakan puak fulul, bekas parti Mubarak NDP yang banyak membuat kerosakan sewaktu memerintah Mesir sebelum ini. Tapi tanpa rasa bersalah,Nur boleh bekerjasama, siap tulis "Solah Hisowi dan Parti Nur bersatu di atas tangan yang satu!"

Demi kerana nak menang, sanggup buat apa sahaja asalkan berjaya kalahkan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Adapun pendirian FJP jelas. Mereka hanya akan bekerjasama dengan rakan-rakan pakatan mereka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik KECUALI golongan saki-baki Mubarak (fulul). "Demi memelihara roh revolusi 25 Januari dan demi memelihara kemuliaan darah para syuhada' yang telah terkorban pada revolusi lalu, demi tanah air, kami tidak akan gadaikan prinsip ini," jelas pimpinan FJP. Bagi saya, eloklah FJP tak perlu bergabung atau bekerjasama dengan Parti Nur.

JALAN TERAKHIR MUSUH IKHWAN MUSLIMIN BAGI MEMASTIKAN FJP TEWAS


Pelbagai taktik digunakan oleh musuh Ikhwan Muslimin bagi melihat sayap politiknya, FJP tersungkur dalam pilihanraya kali ini. Rupa-rupanya musuh Ikhwan Muslimin bukan hanya Mubarak dan rejimnya sahaja.

Seorang pimpinan Ikhwan Muslimin, Dr.Mahmud Ghazlan yang juga jurucakap rasmi Ikhwan Muslimin ketika menghadiri majlis memperingati As-Syahid Syeikh 'Imad 'Effat yang terkorban dalam peristiwa di hadapan bangunan 'Jemaah Menteri' beberapa bulan lalu. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kesatuan Wartawan Mesir, kebetulan isteri As-Syahid merupakan wartawan akhbar Al-Ahram. Antara tetamu yang dijemput adalah wakil Ikhwan Muslimin. Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie telah mewakilkan kepada Dr.Mahmud Ghazlan.
Mahmud Ghazlan, jurucakap rasmi Ikhwan Muslimin

Selesai bacaan Al-Quran, tiba giliran beliau untuk berucap, tiba-tiba segelintir pemuda yang hadir bangun mengganggu ucapan dan tidak membenarkan beliau berucap. Kumpulan pemuda tersebut tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Ikhwan Muslimin yang tidak turun ke Tahrir sebelum ini menyertai himpunan pada beberapa kali hari Jumaat. Mahmud Ghazlan yang terganggu dan tidak dapat meneruskan ucapan terpaksa meninggikan suara dengan berkata "Inikah akhlak kamu?!" sambil bertekad untuk meninggalkan pentas tetapi dihalang oleh penganjur yang meminta beliau menutup ucapannya dengan bacaan doa. Selesai berdoa untuk roh As-Syahid, Mahmud Ghazlan dengan nada kecewa menyatakan kepada pemuda tersebut "Ketika kami turun ke Tahrir (iaitu sebelum revolusi) dan terdapat beberapa kumpulan yang tidak menyertainya, kami tidak pernah mencerca mereka walau sepatah perkataan tetapi apabila kami (Ikhwan Muslimin) mengambil keputusan tidak turun hanya pada beberapa kali Jumaat, kami dihina dengan pelbagai tohmahan."

Halangan pertama yang dihadapi Ikhwan Muslimin selepas revolusi ialah keputusan Majlis Tentera yang menangguhkan Pilihanraya Umum yang sepatutnya telah diadakan pada bulan September tahun lalu. Majlis Tentera yang masih dikuasai saki-baki rejim Mubarak bimbang jika pilihanraya diadakan awal, maka Ikhwan Muslimin akan mencapai kemenangan besar kerana sebahagian besar parti-parti aliran sekular lain masih belum bersedia mengahadapinya. Tapi takdir ALLAH, semakin ditangguhkan, semakin cemerlang pencapaian Ikhwan Muslimin.

Ujian paling besar buat Ikhwan Muslimin ialah ketika berlangsung Pilihanraya Umum pusingan pertama pada 28 November lalu, berlakunya peristiwa berdarah di Tahrir yang menyaksikan beberapa nyawa terkorban. Pada pusingan kedua pula, berlaku rusuhan seterusnya di Jalan Mohammad Mahmud, hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri yang mengorbankan beberapa nyawa. Peristiwa yang berlaku ketika pilihanraya setiap pusingan sedang berlangsung tersebut seakan-akan dirancang bagi menggagalkan proses pilihanraya. Dalam menghadapi situasi yang amat getir ketika itu, politik Ikhwan Muslimin bijak apabila tidak mudah 'ditipu' dengan permainan politik kotor musuh mereka bagi mengheret Ikhwan ke kancah perbalahan. Lalu Ikhwan Muslimin mengambil pendirian untuk tidak menyertai himpunan pada Jumaat di Tahrir ketika mana puluhan parti-parti politik lain menyertainya. Ternyata, keputusan yang amat berkat itu merupakan keputusan bijak untuk tidak terperangkap dalam 'jerangkap samar' yang dipasang musuh. Dr.Mohammad Bad'ie mengulas bahawa "Ikhwan Muslimin mempunyai Mursyid yang dipandu oleh Maktab Irsyad" yang diberikan petunjuk oleh ALLAH dalam setiap keputusan yang diambilnya.

Terbaru, melihat kemaraan Ikhwan Muslimin yang telah memperolehi 207 kerusi, cara terakhir yang digunakan oleh musuh Ikhwan ialah melalui mahkamah. Beberapa daerah yang sepatutnya telah selesai mengadakan pilihanraya pada pusingan pertama dan kedua terpaksa ditangguhkan atas keputusan mahkamah selepas difailkan oleh calon lawan FJP di beberapa kawasan.

Terbaru, mahkamah Ismailiyyah menangguhkan pilihanraya di wilayah Selatan Sinai yang sepatutnya berlangsung pada 10 dan 11 Januari ditunda kepada 14 dan 15 Januari ini. Selain itu, turut ditangguhkan ialah pilihanraya bagi daerah pertama wilayah Daqahliyah dan Qina.

Sebelum ini juga, mahkamah telah menangguhkan pilihanraya bagi daerah Sahil di Kaherah, dua daerah di Asyut, satu daerah di Iskandariah dan calon SENARAI di Aswan.

Bahkan terdapat hakim-hakim yang menjadi ketua tempat mengundi melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan peraturan seperti melarang orang buta huruf dibantu untuk mengundi, menghalau wakil-wakil calon berada dalam pusat mengundi atas alasan "ruang amat sempit" dan tidak mempedulikan rasuah dna politik wang dalam pilihanraya yang dilakukan oleh golongan fulul,saki-baki rejim Mubarak yang merasuah pengundi untuk menyokong calon bekas rejim mereka.

Keputusan-keputusan mahkamah tersebut diharapkan akan menyebabkan Ikhwan Muslimin memboikot pilihanraya atau mengadakan himpunan membantah keputusan mahkamah tetapi yang berlaku tidak seperti yang disangka. Mengulas lanjut berkaitan penangguhan mahkamah ini, Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Badie berkata, "Kami menghormati keputusan mahkamah bahkan kami antara mereka yang pertama menghormatinya". Demikian sikap pimpinannya yang tidak melenting atau melatah seperti apa yang diharapkan oleh musuh Ikhwan Muslimin. Tetapi semuanya tidak berlaku yang menyebabkan perancangan mereka gagal kesemuanya.

MAHKAMAH TANGGUH PILIHANRAYA DI SINAI UTARA, SATU DAERAH DI DAQAHLIYAH

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir menangguhkan proses pilihanraya Parlimen bagi wilayah Selatan Sinai (calon INDIVIDU dan SENARAI) yang sepatutnya berlangsung pada 10 dan 11 Januari ditunda kepada 14 dan 15 Januari ini sementara pusingan ulangan bagi calon INDIVIDU wilayah ini ditetapkan pada 18 dan 19 Jaanuari. Ia berikutan keputusan mahkamah semalam yang menangguhkan pilihanraya di wilayah tersebut.

Selain itu, mahkamah juga menangguhkan pilihanraya bagi daerah pertama Daqahliyah (calon INDIVIDU dan SENARAI) dan daerah ketiga wilayah QINA (calon INDIVIDU).

Oleh itu, seramai 29 orang calon FJP bertanding bagi pilihanraya ulangan pada 10 dan 11 Januari ini dan pecahannya seperti berikut:
-Daqahliyah (9 orang)
-Gharbiyah (7 orang)
-ElMenia (5 orang)
-Qalyubiyah (4 orang)
-Qina (2 orang)
-Masing-masing seorang di Wadi AlJadid dan Utara Sinai

Isnin, 9 Januari 2012

LANGKAH BARU PARTI NUR DALAM ARENA POLITIK MESIR



Parti Nur, sebuah parti yang diasaskan golongan yang mendakwa "Salafi" di Mesir yang diluluskan pendaftarannya pada 12 Jun 2011 yang diketuai oleh 'Imad Abdul Ghafur. Nur bermaksud "cahaya" kini menduduki tempat kedua terbanyak memperolehi kerusi di Parlimen selepas Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).

Ikhwan Muslimin yang menubuhkan sayap politiknya, FJP pernah 'menghulurkan salam persahabatan' kepada Parti Nur sebelum pilihanraya bagi membentuk sebuah pakatan yang kuat tetapi ditolak oleh Nur. Ketika mana Nur menolak tawaran kerjasama FJP, parti-parti aliran Liberal seperti Ghad Thaurah yang diketuai Dr.Aiman Nur, seorang Liberal pula menyambut salam yang dihulurkan FJP.

Sebliknya, Nur bertindak menubuhkan pakatan gabungannya sendiri yang dinamakan "Pakatan Nur". Adapun parti komponen yang lain ialah Parti Asolah, Fadhilah dan Bina' wat Tanmiyah. Semua parti tersebut merupakan parti serpihan "Salafi" kecuali Bina' wat Tanmiyah yang merupakan sayap parti bagi Jamaah Islamiyyah. Asolah dan Fadhilah merupakan parti yang ditubuhkan kerana "masalah tidak puas hati". Akhirnya terbentuk pakatan ini yang diketuai oleh Parti Nur. Mungkin jika Nur bergabung dalam "Pakatan Demokrasi" bersama FJP, tentu Nur hanya sebagai parti komponen biasa, tidak boleh menjadi ketua. Apabila berasingan, nampak "kehebatan" Nur memimpin walaupun semasa berkempen, masyarakat melihat Nur 'kurang cerdik'.

Masakan tidak, kempen yang berlangsung penuh dengan maki-hamun terhadap part-parti Liberal dan sekular. Seorang pimpinannya menyebut "Jika golongan sekular dan Liberal berkuasa di Mesir, kalian akan dapati setiap jalan di Mesir akan dipenuhi dengan berhala-berhala." Juga pendekatan radikal mereka berhadapan dengan masyarakat Kristian. Ini berbeza dengan kempen harmoni yang ditunjukkan dalam kempen FJP yang banyak menerangkan kebaikan dan kemurnian ajaran Islam yang diperjuangkan selain memperkenalkan calon dan manifesto parti. Sikap tidak matang mereka juga dapat dilihat apabila mereka menentang gagasan negara madani atau "negara untuk masyarakat awam" yang disokong oleh golongan sekular bahkan pandangan FJP yang turut menyokong gagasan tersebut turut ditentang. Sedangkan pada FJP, pihaknya menerima konsep negara madani tersebut tetapi dengan syarat "mesti meletakkan Islam sebagai rujukan".

'Kurang cerdik' Nur ini dapat dilihat selepas penamaan calon yang terpampang pada poster-poster kempen mereka. Mereka mahu menonjolkan calon muslimat tetapi mereka 'masih belum bersedia' menampilkan gambar calon muslimat mereka di poster-poster calon. Lalu ruangan gambar tersebut dibiarkan kosong atau digantikan dengan bunga mawar. Ini kerana mereka masih berpegang kepada pandangan mereka sewaktu berada dalam Salafi berkaitan batas wanita dalam masyarakat.

Sikap tidak matang dalam politik ini menyebabkan mereka jauh dari masyarakat terutama golongan minoriti Kristian. Apatah lagi, menjelang perayaan Krismas baru-baru ini, Presiden Parti Asolah-rakan pakatan Nur telah mengeluarkan kenyataan yang amat sensitif yang tidak membenarkan umat Islam mengucapkan tahniah atau menyertai perayaan Krismas. Bahkan katanya, "Kami dari (parti) Asolah, sama sekali tidak akan mengucapkan tahniah kepada mereka (masyarakat Kristian)". Pandangan tersebut ditolak oleh ulamak Al-Azhar, antaranya bekas Mufti Mesir Dr.Nasr Farid Wasil yang menyatakan harus hukumnya berbuat demikian.

Belumpun tamat pilihanraya, sebuah parti komponen dalam pakatan Nur, Bina wa Tanmiyyah telah menunjukkan tanda-tanda parti tersebut bakal keluar dari pakatan Nur dan dilihat bakal bekerjasama dengan FJP. Akhbar Huriyyah wa 'Adalah terbitan Sabtu, 7 Januari 2012 lalu memetik kenyataan seorang pimpinan Parti Bina wa Tanmiyyah, Dr.Sofwat Abdul Ghani bahawa partinya akan menarik diri dari pakatan Nur tersebut berikutan banyak perkara melibatkan dasar partinya tidak sehaluan dengan Nur. Bahkan pakatan Nur tersebut hanya dibentuk untuk menghadapi pilhanraya, bukan hingga membentuk kerajaan. Selain itu kata beliau, "pemikiran Bina wa Tanmiyyah dilihat cenderung kepada FJP," jelas wakil parti itu yang merupakan sayap politik kepada Jamaah Islamiyyah bahawa partinya yang kini berjaya memperolehi 15 kerusi akan membentuk kumpulan berasingan dari Parti Nur dalam Parlimen kelak.

WILAYAH DAQAHLIYAH: PARTI NUR BEKERJASAMA DENGAN PARTI ADIL, FULUL LAWAN FJP!


Sejak bermula proses pilihanraya, Parti Nur telah menunjukkan sikapnya yang sebenar. Pada awalnya Nur menolak untuk bekerjasama dengan FJP. Tetapi malangnya hari ini, Nur lebih selesa bekerjasama dengan "golongan fulul" yang menjadi musuh FJP. Golongan fulul, iaitu mereka yang merupakan bekas Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang diketuai Mubarak yang kini telah dibubarkan telah menyertai pilihanraya kali ini. Kebanyakan mereka bertanding atas tiket bebas dan tidak kurang pula terdapat parti-parti lain yang sudi menerima mereka yang disifatkan FJP sebagai "musuh negara". Kenapa tidak, semasa penguasaan NDP dalam kerajaan, semua kerosakan dan kemungkaran yang dilakukannya. Parti Nur juga tidak ketinggalan sudi menerima calon-calon fulul ini ke dalam calon mereka. Natijahnya, hingga ke saat ini, Parlimen Mesir bakal menerima 11 anggota fulul yang menang dalam pusingan baru-baru ini.

Terbaru, sikap Parti Nur yang menghairankan yang sanggup bekerjasama dengan siapa jua walau dengan musuh bagi berhadapan dengan FJP. Terbaru berlaku di wilayah Daqahliyah di aman Nur telah memberikan kerjasama terbuka dengan fulul dan Parti 'Adil dalam satu sidang media yang diadakan sehari sebelum menjelang pengundian bagi pusingan ulangan fasa ketiga yang juga yang terakhir untuk Parlimen yang dijadualkanpada 10 dan 11 Januari. Ia berlaku di daerah ketiga, calon Parti Nur, Sulaiman Hamid Sulaiman (Buruh) bakal ditentang oleh calon FJP, Abdul Hamid Muhammad Hasan 'Isa (Buruh) manakala calon Parti 'Adil, Dr.Ahmad Ismail Shukri (Profesional) akan ditentang oleh calon FJP, Imad Syamsuddin Abdul Rahman (Profesional).

Sementara di daerah keempat dalam wilayah yang sama, seorang calon fulul Mahmud Nabih Hasanain (Buruh) yang merupakan bekas Ahli Parlimen 2005 dan 2010 yang mewakili parti Mubarak NDP telah menyokong calon Parti Nur, Ed-Daudi Muhammad Mehlab (Profesional) bagi menentang calon FJP yang juga pimpinan Ikhwan Muslimin Daqahliyah, Ir Ibrahim Abu 'Auf (Profesional).

Mengulas kerjasama Nur dengan fulul Mubarak, Ibrahim Abu 'Auf memberikan ulasan berikut, "Kami (FJP) memboikot (untuk bekerjasama dengan) fulul merupakan persoalan prinsip. Jika kami mengejar kedudukan atau pangkat nescaya kami mengambil jalan yang mudah (untuk bekerjasama dengan mereka). Tetapi kami menjunjung prinsip kami, menghormati darah mereka yang terkorban dalam revolusi, menghormati revolusi 25 Januari yang berlaku bagi membersihkan negara dari saki-baki rejim, jadi kami menolak sebarang bentuk kerjasama dengan fulul."

10 DAN 11 JANUARI PUISNGAN ULANGAN BAGI FASA KETIGA


KENYATAAN RASMI PARTI KEBEBASAN DAN KEADILAN SEMPENA PUSINGAN ULANGAN FASA KETIGA (TERAKHIR) PARLIMEN MESIR

Esok (10 Januari 2012) akan bermulanya pusingan ulangan bagi fasa ketiga Pilihanraya Parlimen Mesir selama dua hari yang bakal disertai seramai 30 orang calon FJP. Selain itu, ia akan melibatan beberapa kawasan yang ditangguhkan atas keputusan mahkamah iaitu:

1) Daerah Sahil (wilayah Kaherah) yang melibatkan dua calon INDIVIDU, seorang (Buruh) dan seorang profesional dan 8 orang calon SENARAI
2) Aswan (4 orang calon SENARAI)
3) Asyut, melibatkan dua daerah; Daerah kedua dan ketiga (4 orang calon INDIVIDU)
4) Wilayah Syarqiyah, melibatkan dua daerah; Daerah kedua dan kelima (4 orang calon INDIVIDU)
5) Wilayah Iskandariah, melibatkan daerah ketiga (2 orang calon)

Ahad, 8 Januari 2012

SOALJAWAB PENERANGAN PILIHANRAYA MESIR

Sebelum ini, saya kemukakan kedudukan terkini parti politik dalam Parlimen Mesir. Ramai yang menyatakan ia susah difahami. Untuk lebih memberikan kefahaman kepada pembaca, kali ini saya ringkaskan berkaitan proses Pilihanraya Mesir dan saya paparkan dalam bentuk soal jawab. Semoga menambahkan kefahaman kepada semua.

1) Berapakah kerusi keseluruhan Dewan Rakyat di Mesir?

Jumlah keseluruhan kerusi ialah 498 dan dipecahkan seperti berikut:

332 orang dipilih melalui calon Fardi (INDIVIDU)
166 orang dipilih melalui calon Qawaim (SENARAI)
10 orang lagi bakal dipilih oleh kerajaan baru (iaitu Ahli Parlimen yang dilantik)

2) Apakah perbezaan antara calon INDIVIDU dan calon SENARAI?

Calon INDIVIDU atau fardi mewakili individu manakala SENARAI mewakili parti politik.

3) Apakah yang dimaksudkan dengan calon Buruh dan Profesional dalam calon INDIVIDU?

Calon INDIVIDU dalam setiap kawasan Parlimen akan diwakili oleh dua kelompok iaitu:
1) kelompok 'Ummal (Buruh)
2) kelompok Fiat (Profesional)

Setiap calon yang bertanding akan dinilai dari kerjayanya. Jika dia seorang peniaga, peladang, pemandu sebagai contoh, maka dia perlu bertanding atas tiket (Buruh). Manakala jika kerjayanya pensyarah, doktor perubatan, peguam, jurutera sebagai contoh maka dia perlu bertanding atas tiket (Profesional).

4) Adakah menjadi syarat utama calon INDIVIDU mesti mewakili mana-mana parti politik?

Tidak. Ia tidak menjadi syarat. Mereka yang tidak mewakili parti akan bertanding atas tiket bebas (mustaqil). Oleh kerana itu, pada kertas undi calon INDIVIDU, tidak akan diletakkan simbol parti yang diwakili akan tetapi terdapat simbol peribadi yang dipilih oleh calon. Demikian juga menyebabkan calon INDIVIDU yang bertanding setiap kawasan terlalu ramai.
Contoh 1: Calon FJP di sebuah daerah di wilayah Gharbiyah. Dua calon mereka mewakili (Buruh) dan (Profesional) dan bagi calon SENARAI, mereka mengemukakan 10 calon.

5) Bagaimana pula calon SENARAI?

Adapun untuk calon SENARAI,semua calonnya mesti bertanding atas nama parti.

6) Berapa bilangan yang dihadkan bagi setiap calon SENARAI yang mewakili parti?

Setiap parti perlu mengemukakan antara 4 hingga 12 orang calon. Setiap senarai pula, mesti mempunyai seorang ketua iaitu Ketua Senarai (atau Ra'sul Qaimah).

7) Adakah calon SENARAI dan INDIVIDU mempunyai keluasan kawasan yang sama?

Tidak, ia berbeza. Kawasan bagi calon SENARAI akan lebih luas berbanding calon INDIVIDU. Sebagai contoh, kawasan pilihanraya wilayah Kaherah:

SPR telah memecahkan kawasan untuk calon INDIVIDU bertanding pada LIMA daerah berikut:
-Daerah pertama (Shubra)
-Daerah kedua (Madinah Nasr)
-Daerah ketiga (Ain Shams)
-Daerah keempat (Helwan)
-Daerah kelima (Misr Jadidah)

Bagi calon SENARAI, SPR memecahkan hanya kepada DUA daerah yang akan menggabungkan seperti berikut:
-Daerah pertama (Shubra+Helwan)
-Daerah kedua (Ain Shams+Madinah Nasr+Misr Jadidah)

8) Bagaimana proses pengundian dijalankan?

Setiap pengundi akan diberikan dua helai kertas undi:

i) Kertas undi pertama memaparkan calon INDIVIDU yang mana pengundi tersebut perlu mengundi dua orang iaitu seorang mewakili Buruh dan seorang lagi mewakili Profesional.

Jika dia mengundi lebih dari dua calon atau kurang dari itu, maka ia dikira undi rosak. Pada senarai calon INDIVIDU tidak akan dipaparkan logo parti bahkan simbol yang dipilihnya. Maka pengundi perlu mengingati nama calon dan simbol calon tersebut.

ii) Kertas undi kedua ialah senarai parti yang mahu dipilihnya. Jika dia penyokong FJP, maka dia perlu mencari ruangan petak yang tertera "Parti Kebebasan dan Keadilan" dan simbol yang ditetapkan bagi FJP ialah simbol "neraca". (Adapun simbol Parti Nur Fanus-Lampu Arab). Maka pengundi tersebut perlu mengundi di sebelah petak kosong yang disediakan. Perlu diingat, undian bagi Pilihanraya Mesir ialah tanda betul, bukan pangkah seperti di Malaysia.

iii) Selesai mengundi, pengundi perlu memasukkan dua kertas undi ke dalam dua kotak peti undi yang disediakan; satu peti untuk calon INDIVIDU dan kotak kedua untuk calon SENARAI.

iv) Sebelum beredar, pengundi perlu menandatangani senarai kehadiran dan akan mencelup jari dakwat bagi menunjukkan dia telahpun mengundi.
Contoh 2: Ir Ibrahim Abu 'Auf, seorang jurutera mewakili FJP di sebuah daerah di Mansurah atas calon INDIVIDU (Profesional) menggunakan simbol "basikal" dan simbol ini akan tertera pada kertas undi.

9) Dimanakah proses pengiraan undi dilakukan?

Semua pengiraan undi akan dipusatkan di satu tempat. Justeru, selepas selesai proses mengundi, hakim yang bertugas di semua pusat mengundi akan di 'seal' peti undi dan akan dibawa ke pusat penjumlahan undi.

10) Bagaimana proses pengiraan undi bagi CALON INDIVIDU?

Untuk diisytiharkan menang, seseorang calon mesti memperolehi undi nisbah (50%+1) daripada keseluruhan jumlah undi yang diterima.

11) Apa yang dimaksudkan dengan nisbah (50%+1)?

Undi yang diperolehi seseorang calon hendaklah melebihi 50% daripada jumlah yang diterima. Sebagai contoh, undi yang diterima (setelah ditolak undi rosak) berjumlah 50,000. Maka calon yang menang perlu memperoleh undi melebihi 25,000 undi.

12) Apa perlunya diadakan pusingan ulangan?

Ia amat perlu kerana seperti yang disebutkan di atas bahawa calon yang mengemukakan pertandingan untuk kerusi INDIVIDU terlalu ramai. Sebagai contoh, daerah pertama wilayah Gharbiyah yang ditandingi oleh calon FJP, Syeikh Sayyid 'Askar menyaksikan calonnya berjumlah 80 orang. Pada pusingan ulangan ini, dua calon yang memperolehi undi tertinggi akan bertanding manakala selainnya tewas secara automatik.

13) Adakah nisbah (50%+1) dikira juga pada pusingan ulangan?

Tidak, pada pusingan ulangan, nisbah tersebut tidak digunakan. Mana-mana jua calon yang mengatasi calon lawannya walau dengan perbezaan majoriti yang tipis akan diumumkan menang.
Contoh 3: Kertas undi yang telah ditanda pada ruangan kertas undi SENARAI pada simbol "neraca" milik FJP

14) Bagaimana pengiraan undi bagi CALON SENARAI?

Pengiraan undi seperti berikut:

Sebagai contoh setiap kawasan Parlimen, terdapat tiga parti yang mengemukakan calon SENARAI iaitu FJP, Nur Salafi dan Parti Wafd.

Jika pengiraan undi menyaksikan FJP memperolehi 50% undi, maka hanya 5 orang calonnya menang daripada 10 orang calon yang dikemukakan.

Kemudian calon Nur Salafi memperolehi 30% daripada 10 orang calon, maka hanya 3 orang dari calonnya yang menang.

Kemudian, 20% peratus lagi dimenangi oleh Parti Wafd, maka hanya 2 orang sahaja yang menang daripada 10 calonnya.

15) Adakah calon SENARAI memerlukan juga pusingan ulangan seperti calon INDIVIDU?

Tidak. Pengundian untuk calon SENARAI tidak memerlukan pusingan ulangan. Ia akan dikira pada pusingan awal sahaja.
Contoh 4: Senarai di atas menunjukkan nama 11 parti komponen "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" yang diketuai FJP menggunakan simbol "neraca" pada kertas undi.

16) Bagaimana percaturan FJP untuk memasukkan pimpinan tertinggi mereka ke dalam Parlimen?

Antaranya dengan meletakkan pimpinan utama mereka sebagai KETUA SENARAI calon FJP. Ini kerana KETUA SENARAI akan menduduki tempat pertama dalam susunan dan sudah pasti akan menang. Sebagai contoh:
-Timbalan Presiden FJP, Dr. 'Essam 'Iryan dicalonkan sebagai KETUA SENARAI FJP di wilayah Giza
-Setiausaha Agungnya Dr. Saad Katatni sebagai KETUA calon SENARAI FJP di wilayah ElMinia -AJK FJP Pusat, Dr.Mohammad Beltaji sebagai KETUA SENARAI FJP di wilayah Qalyubiyyah.

17) Dimanakah kedudukan calon parti komponen "Pakatan Demokrasi" selain FJP?

Selain FJP, "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" ini mempunyai 10 parti komponen yang lain. Calon selain FJP hanya bertanding di kerusi calon SENARAI. Mereka tidak bertanding calon INDIVIDU. Pimpinan parti komponen "Pakatan Demokrasi" akan dimasukkan dalam calon SENARAI.

Contoh, SENARAI FJP bagi Parlimen (Madinah Nasr+Misr Jadidah) yang mempunyai 8 orang calon dan memperolehi 30% undi. Ini bermakna hanya 3 calon sahaja yang menang. Salah seorangnya ialah Dr.Majdi Qarqar yang merupakan Setiausaha Agung Parti 'Amal, salah sebuah parti dalam "Pakatan Demokrasi" yang menduduki tempat ketiga dalam susunan. Berikut susunannya:

1) Dr.Ahmad Imam mewakili FJP (KETUA SENARAI)- menang
2) Abdul Basit Qubais (FJP)-menang
3) Dr.Majdi Qarqar (Parti 'Amal)-menang
4)Redha Mustafa Abduh (FJP)-tewas
5)Dr.Usamah Abdul Rahim (FJP)-tewas
6) Dr.Manal Abul Hasan (FJP)-tewas
7) Jad Muhammad Jad (FJP)-tewas
8) Khalid Sayyid Jaballah (FJP)-tewas


Sabtu, 7 Januari 2012

KEDUDUKAN TERKINI KERUSI PARLIMEN MESIR-FJP MENDAHULUI 207 DARIPADA 498 KERUSI

Ramai merungut kepada saya, mereka sukar untuk memahami proses pilihanraya Mesir. Saya pun akui, memang sukar. Saya sendiri memerlukan masa hampir dua bulan untuk saya kaji berkaitannya. Mungkin ada yang pening apabila melihat carta dan membaca kesimpulan keputusan terkini Pilihanraya Parlimen di bawah. Apapun, bagi mereka yang cuba memahami, semoga ia dapat dikongsi bersama. Mohon maaf jika menyukarkan pembaca untuk memahami.

  • Perlu diketahui, bilangan keseluruhan Parlimen Mesir berjumlah 498 kerusi yang dipertandingkan. Dalam Perlembagaan Mesir, selepas pilihanraya, kerajaan baru berhak melantik 10 orang Ahli Parlimen lantikan (tanpa kawasan).

Berikut carta bagi kedudukan kerusi parti-parti politik yang bertanding:


KETERANGAN CARTA:

1) Mendahului parti-parti bertanding ialah "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" yang mempunyai 11 parti komponen yang diketuai oleh Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhwan Muslimin yang memperolehi 41% atau 207 kerusi.

2) Pakatan Nur Salafi yang mempunyai empat parti diketuai Parti Nur, Asolah, Fadhilah, Bina wa Tanmiyah memperoleh 20% atau 106 kerusi.

3) Parti Liberal El-Wafd (45 kerusi atau 9%)

4) Kutlah Masriyyah-Pakatan yang dianggotai oleh sekumpulan parti aliran Liberal dan Sekular (45 kerusi atau 9%)

5) Parti Wasat (11 kerusi atau 2%)

6) Pakatan yang menamakan diri sebagai Thaurah Mustamirrah atau "Revolusi Yang Berterusan" (9 kerusi atau 2%)

7) Fulul atau calon bekas parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) juga mendapat 4%

8) Calon bebas dan lain-lain (2%)

9) Calon yang ditangguhkan pengundian dan keputusannya oleh mahkamah (sebanyak 11%)

KETERANGAN BERKAITAN KEMENANGAN FJP
  • Kemenangan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) pada pusingan pertama:
-Kaherah (24 kerusi)
-Iskandariah (12 kerusi)
-Kafr Sheikh (6 kerusi)
-Fayyum (12 kerusi)
-Asyut (12 kerusi)
-Dumyat (6 kerusi)
-Port Said (2 kerusi)
-Bahrul Ahmar (3 kerusi)
-Luxor (3 kerusi)

  • Kemenangan FJP pada pusingan kedua:
-Giza (16 kerusi)
-Syarqiyyah (18 kerusi)
-Menufiyah (12 kerusi)
-Buhaira (14 orang)
-Bani Suwef (6 kerusi)
-Ismailiyah (3 kerusi)
-Suhaj (9 kerusi)
-Aswan (2 kerusi)

  • Kemenangan FJP pada pusingan ketiga:
-Daqahliyah (10 kerusi)
-Gharbiyah (9 kerusi)
-Qalyubiyyah (7 kerusi)
-ElMenia (7 kerusi)
-Qina (3 kerusi)
-Utara Sinai (2 kerusi)
-Selatan Sinai (2 kerusi)
-Wadi ElJadid (1 kerusi)
-Matruh (1 kerusi)

  • Untuk pusingan ketiga ini, calon FJP yang menang berjumlah 42 orang (iaitu 4 orang atas calon INDIVIDU dan 38 orang lagi atas calon SENARAI).
  • Seramai 30 calon FJP bakal menyertai pusingan ulangan bagi fasa ketiga yang ditetapkan pada 10 dan 11 Januari ini
  • Ini tidak termasuk 10 orang calon INDIVIDU dan empat calon SENARAI FJP yang menyertai 5 daerah yang sepatutnya telah mengundi pada pusingan pertama dan kedua sebelum ini. Namun, 5 daerah ini telah diputuskan oleh mahkamah untuk ditangguhkan pengundian kepada 10 dan 11 Januari ini iaitu:
1) Dua calonnya di daerah Mehram Bik (Iskandariah)-sepatutnya menyertai pusingan pertama
2) Dua calonnya di daerah Fath (Asyut)-sepatutnya menyertai pusingan pertama
3) Dua calonnya di daerah Dairut (Asyut)-sepatutnya menyertai pusingan pertama
3) Dua calonnya di daerah Sahil (Kaherah)-sepatutnya menyertai pusingan pertama
4) Dua calonnya di daerah Kelima (Syarqiyyah)-sepatutnya menyertai pusingan kedua
5) Empat orang calon FJP atas kerusi SENARAI di wilayah Aswan yang juga diputuskan oleh mahkamah ditangguhkan pengundian kepada 10 dan 11 Januari ini



SETAHUN PENGEBOMAN GEREJA ISKANDARIAH, KEMATIAN SAYID BILAL

Masyarakat Kristian Mesir menyambut sambutan "Milad Al-Majid" pada 7 Januari setiap tahun dan ia diisytiharkan sebagai cuti umum. Ikhwan Muslimin dan sayap politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) semalam menghantar wakil rasmi ke Sambutan Perayaan Qibti meraikan kelahiran Nabi Isa a.s di Gereja Utama Koptik di 'Abbasiyah.

Mengetuai delegasi Ikhwan Muslimin ialah Naib Mursyidul 'Am, Dr.Mahmud Izzat yang mewakili Mursyidul 'Am, Dr.Mohammad Badie mengucapkan tahniah kepada Ketua Paderi Masyarakat Ortodok Mesir, Pope Syanuda III. Turut serta Setiausaha Agung gerakan Ikhwan, Dr.Mahmud Husein, anggota Maktab Irsyad, Dr.Abdul Rahman Al-Barr yang juga Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah dan beberapa pimpinan lain.

Mengetuai rombongan FJP ialah Presidennya, Dr.Mohammad Mursi dan Setiausaha Agung, Dr.Saad Katatni.

Tarikh 7 Januari tahun ini juga genap setahun peristiwa pengeboman gereja di Iskandariah ketika masyarakat Kristian sedang berkumpul dalam sebuah gereja di wilayah tersebut, tiba-tiba sebuah kereta yang diletakkan berhampiran gereja tersebut meletup mengakibatkan lebih 20 orang menjadi korban. Masyarakat Kristian menyangka ia angkara perbuatan golongan 'pengganas' atau puak radikal Islam, malam itu selepas kejadian itu, sebuah masjid yang terletak bersebelahan gereja dirosakkan. Peristiwa yang hampir mencetuskan ketegangan antara agama Kristian-Islam ini berlaku setelah sebulan berlalunya Pilihanraya Umum Parlimen Mesir era-Mubarak tahun 2010 yang menyaksikan partinya, NDP menang besar!

Setelah kejatuhan Mubarak, terdedah maklumat sulit bahawa dalang pengeboman tersebut dicetuskan oleh Jamal Mubarak, anak Hosni Mubarak. Pakatan jahat Jamal ini dirancang bersama dengan Menteri Dalam Negeri, Habib 'Adli. Tujuan pengeboman ini dicetuskan adalah bagi mengalihkan isu penipuan pilihanraya Parlimen Mesir sebelum itu yang menjadi buah mulut masyarakat.

Setahun juga berlalu pembunuhan seorang pemuda dari Iskandariah, Sayid Bilal. Sayid seorang aktivis yang menyertai Jamaah Salafiyah. Dia ditahan oleh pihak polis beberapa hari selepas peristiwa pengeboman gereja tersebut. Akhirnya, sehari kemudian keluarga Sayid diberitahu bahawa dia meninggal dunia semasa dalam tahanan. Peguamnya mendapati Sayid mati akibat diseksa dengan teruk oleh pihak Amnu Daulah, pasukan polis durjana di era Mubarak. Sayid diseksa kerana pihak polis mahukan namanya dibabitkan dalam kes tersebut sebagai dalang perancang pengeboman bagi menutup perancang sebenar, Jamal Mubarak.
Sayid Bilal..
Setahun telah berlalu..Masa begitu pantas. Tarikh 25 Januari tahun ini merupakan ulangtahun pertama revolusi Mesir. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah menterinya, Jeneral Muhammad Ibrahim berkata, pihaknya sedang menyusun program bersama antara sambutan ulangtahun tersebut dengan sambutan Hari Polis. Ini kerana 25 Januari juga adalah sambutan Hari Polis Mesir.

MURSYIDUL 'AM IKHWAN TERIMA MENANTU


Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Dr.Mohammad Badi'e menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan beliau dengan Ali Ahmad Husain Raghib di Darul Ifta' petang semalam.

Majlis turut dihadiri oleh para pimpinan Ikhwan Muslimin iaitu bekas Mursyidul 'Am Ustaz Mahdi 'Akif, tiga Naib Mursyidul 'Am; Dr.Mahmud Izzat, Dr.Rasyad Bayumi dan Ir Khairat Shatir, Setiausaha Agung, Dr.Mahmud Husain, anggota-anggota Maktab Irsyad, ahli Majlis Syura dan wakil-wakil Ikhwan beberapa wilayah. Turut hadir Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr.Mohammad Mursi, dua timbalannya Dr.'Essam 'Iryan dan Dr.Rafiq Habib.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran bekas Mufti Mesir, Dr.Nasr Farid Wasil, anggota Akademi Kajian Islam, Syeikh Dr.Muhammad Ar-Rawi dan beberapa kenamaan lain.
Dr.Mohammad Badie menerima ucapan tahniah dari bekas Al-Mursyid, Ustaz Mahdi 'Akif (gambar atas) Dr.Mohammad Badie mengucup kepala Syeikh Dr.Muhammad Ar-Rawi, anggota Akademi Kajian Islam (gambar bawah)


Dalam ucapan ringkasnya, Dr.Bad'ie mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir pada majlis tersebut sama ada dari masyarakat Islam dan Qibti. "Kami ingin katakan kepada mereka yang mahukan Mesir berada dalam keburukan; semoga ALLAH menggagalkan tipu daya dan perancangan jahat kalian serta memberikan Mesir aman, menyatukan rakyat dan segala impian dan cita-cita rakyat dapat dilaksanakan".

Beliau kemudian mendoakan buat dua pengantin dengan doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w "Semoga ALLAH memberkati kamu berdua, menghimpunkan kamu dalam kebaikan.."

KENYATAAN RASMI PERKEMBANGAN TERKINI FJP


Kenyataan rasmi ke-42 Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) setelah berakhir pusingan awal bagi fasa ketiga Pilihanraya Parlimen Mesir 2011/2012

Keputusan terakhir bagi pusingan pertama, fasa yang ketiga Dewan Rakyat Mesir:

-Pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi daerah pertama Tanta di wilayah Gharbiyah telah mengumumkan kemenangan Syeikh Sayyid Abdul Maqsud 'Askar, calon FJP bagi kerusi (Buruh) setelah memperolehi 266,057 undi.

-Pihak SPR juga telah mengumumkan calon FJP atas kerusi (Profesional) bagi daerah kelima di wilayah tersebut, Ibrahim Zakaria yang memperolehi 105,248 undi bakal menyertai pusingan ulangan

-Nasib tidak menyebelahi FJP di wilayah Qina apabila calon, Ali As-Syaisyani tidak dapat menyertai pusingan ulangan sekaligus tewas.

-Berkaitan undi yang diperolehi oleh calon SENARAI FJP di daerah pertama Gharbiyah sebanyak 255,704 berbanding jumlah undi yang diterima sebanyak 859,090.

-Demikian itu, undi yang diperolehi oleh FJP setakat ini ialah 2,916,594 undi daripada 8,281,127 keseluruhan undi yang diterima.

Kedudukan terkini FJP seperti berikut:

-Empat calon FJP telah menang iaitu: Sayyid 'Askar (wilayah Gharbiyah), Nasir El-Hafi dan Jamal Syahatah (Qalyubiyyah) dan Dr.Yusri Hani (Daqahliyyah)

-30 orang calon FJP bakal menyertai pusingan ulangan pada 10 dan 11 Januari ini

-Dua calonnya tewas iaitu seorang di Qina dan seorang lagi di wilayah Wadi Al-Jadid

Jumaat, 6 Januari 2012

PENYEMBELIHAN RAKYAT SYRIA: WAKIL LIGA ARAB YANG MEMBUTAKAN MATA, MEMEKAKKAN TELINGA

  • Rakyat Syria keluar lagi selepas solat Jumaat hari ini, Jumaat pertama dalam tahun 2012. Mereka telah menamakannya dengan Jumaat "Jika kamu menolong ALLAH, Dia pasti akan menolong kamu". Ia diambil daripada petikan firman ALLAH "إن تنصر الله ينصركم".
  • Ia adalah minggu kedua demonstrasi dibuat setelah Liga Arab menghantar rombongan rasmi mereka ke negara bergolak itu bagi melihat dan membuat laporan lebih dekat apa yang berlaku. Keputusan Liga Arab itu dibuat setelah beberapa tindakan yang tegas diambil (bagi pandangan mereka walhal sebenarnya tidak langsung menakutkan rejim Basyar.
  • Antara tindakan yang dibuat oleh Liga Arab bagi mengekang keganasan rejim Asad itu ialah:
1) Menggantung keahlian Syria dalam mesyuarat Liga Arab. Pada setiap kali mesyuarat yang diadakan, Menteri Luar negara tersebut atau wakilnya, tidak dibenarkan menyertai mesyuarat atau perbincangan.

2) Tidak membenarkan 17 orang kenamaan dan pimpinan tertinggi Syria memasuki mana-mana anggota Liga Arab. Antara 17 orang nama yang disenarai hitamkan tersebut ialah Maher Al-Asad, adik kandung Basyar yang juga ketua tentera selain Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis negara.

3) Tidak membenarkan semua bank negara Arab membuat urusan dengan Bank Syria.

4) Membekukan aset Basyar Al-Asad di negara-negara Arab.
"Rakyat Syria sedang disembelih wahai masyarakat Arab" kertas putih ini tertulis.
  • Demikian tindakan yang dilakukan oleh Liga Arab sebagai satu 'hukuman berat' buat rejim itu. Tetapi semua itu langsung tidak memberikan kesan kepada rejim. Sampai ke tahap mana sangat tindakan tersebut boleh menginsafkan rejim Basyar yang semakin menggila itu jika setakat menggantung keanggotaan Syria dari Liga Arab yang hanya dilihat sebagai 'boneka' Barat dan memiliki kuasa yang amat terhad itu? Walaupun Liga Arab diketuai seorang pimpinan baru iaitu Nabil 'Arabi (bekas Menteri Luar Mesir) yang menggantikan Setiausaha Agung sebelum ini, 'Amr Musa, tapi sejarah telah membuktikan Liga Arab sebelum ini hanya sebagai 'patung cendana' yang tidak mampu bertindak apa-apa ketika Amerika dan sekutunya menyerang Iraq dan Afghanistan. Tidak habis dengan sidang media dan mesyuarat mereka. Lihat isu Palestin, puluhan tahun saudara kita di sana menderita.
  • Begitu juga tindakan-tindakan Liga Arab yang lain, hanya ditertawakan oleh Basyar. Jika hanya menghalang mereka memasuki negara Arab, puluhan lagi negara dan destinasi lain yang boleh Basyar dan pengikutnya pergi.
  • Keputusan itupun tidak dipersetujui oleh dua buah negara; Iraq dan Lubnan. Mereka mengambil sikap berkecuali dan tidak mengundi ketika keputusan ini diambil oleh Liga Arab.
  • Melihat kepada Basyar yang semakin menggila ini, langkah terakhir diambil Liga Arab ialah dengan menghantar rombongan rasmi mereka ke negara tersebut untuk melihat situasi dengan lebih dekat. Rombongan tersebut diketuai oleh bekas Ketua Perisikan Sudan, Mustafa Al-Dib. Hingga kini, sudah lebih dua minggu rombongan tersebut berkampung di Syria. Mereka turun ke setiap kawasan dan daerah tetapi malangnya ketika tiba di Homs, penduduk telah menghalau rombongan tersebut.

Kesimpulan yang saya dapat buat dari rombongan Liga Arab tersebut seperti di bawah:

1) Beberapa hari setelah tiba di Syria, ketua rombongan Mustafa Al-Dib telah membuat kenyataan media bahawa "keadaan di Homs stabil dan tiada apa-apa yang kritikal berlaku".. Sedangkan ketika itu tentera Syria telah menduduki Bab 'Amru, salah satu pintu masuk ke wilayah Homs dan selepas kenyataan tersebut, ratusan menjadi mangsa akibat peluru yang dimuntahkan oleh senjata tentera Basyar. Bagaimana mereka katakan tidak ada apa-apa yang berlaku? Antara mereka ialah Syeikh Manhal Atasi, putera kepada Mufti Homs, Syeikh Muhammad At-Toyyib Atasi yang ditembak ketika beliau keluar dari masjid bagi menyelamatkan wanita dan kanak-kanak yang bergelimpangan terkena peluru tentera Syria.

2) Tindakan Liga Arab yang 'kurang cerdik' menghebahkan kedatangan rombongan mereka hingga tentera Syria mengarahkan semua kereta kebal dan perisai milik mereka keluar dari kedudukan masyarakat awam.

3) Layanan baik yang diberikan oleh rejim Basyar kepada rombongan tersebut berjaya mengelabui mata wakil Liga Arab tersebut. Justeru, kata Musta Al-Dib, kerajaan Syria telah memberikan kerjasama yang baik kepada mereka.

4) Tali barut tentera telah mengekori rombongan di mana jua mereka berada. Sebagai contoh, mereka telah meletakkan kenderaan di perkarangan hotel yang didiami oleh rombongan Liga Arab dan kenderaan tersebut diletakkan logo rasmi Liga Arab. Tujuan kenderaan tersebut diletakkan di perkarangan hotel adalah bagi bertujuan mengelabui mata rakyat dan bagi menjadi pengintip bagi sesiapa dari kalangan rakyat yang berani bertemu dengan wakil Liga Arab untuk menceritakan perihal sebenar. Mereka yang berani menemui wakil tersebut akan dikenalpasti dan dibunuh.

5) Pendirian Liga Arab sendiri dipersoalkan. Adakah tidak memadai dengan dunia melihat dan menyaksikan kezaliman dan penyeksaan yang dilakukan melalui internet dan siaran televisyen di seluruh dunia? Adakah tidak cukup semua itu sebagai bukti untuk bertindak lebih tegas terhadap Syria? Lalu, soalan seterusnya muncul, tindakan lebih tegas yang mana lagi yang boleh dibuat oleh Syria? Menghantar tentera negara-negara anggota bagi melindungi rakyat awam Syria yang tidak memiliki apa-apa senjata? Beranikah Liga Arab?

Tidak cukup sekadar itu, Jumaat minggu lalu adalah yang paling besar yang diadakan seluruh negara bagi menunjukkan sokongan mereka semua kepada revolusi rakyat yang berlaku. Mereka tidak mampu meluahkan dengan perkataan, bilangan mereka yang ramai menjadi saksi kebencian melampau mereka terhadap rejim Basyar.
Rombongan wakil Liga Arab meninggalkan lokasi.

6) Rakyat Syria bertanya lagi kepada rombongan Liga Arab, "Jika kamu ada di negara kamipun mereka (tentera Syria) berani membunuh kami, apatah lagi jika kamu tiada?" Ya, dalam keadaan wakil Liga Arab ada dalam bumi Syria pun, rejim Basyar berani membunuh dan sedikitpun tidak mahu memberhentikan tindakan ganas mereka atau sekurang-kurangnya 'berlakon' berhenti membunuh, bayangkan ketika wakil Liga Arab tiada? Kesimpulannya, kehadiran wkail Liga Arab langsung tidak dipedulikan rejim Basyar.

7) Oleh sebab itu, Speaker Parlimen Iraq sendiri mencadangkan supaya Liga Arab memanggil pulang rombongan mereka segera kerana keberadaan mereka tidak dipedulikan dan ini merupakan penghinaan secara langsung oleh rejim terhadap Liga Arab.

8) Tindakan sebahagian rakyat Syria yang menghalau dan tidak mahu langsung bertemu dengan rombongan tersebut amat tepat kerana kehadiran wakil tersebut tidak membawa apa-apa erti bagi mereka yang dibunuh terang-terangan, di depan mata rombongan. Apatah lagi, pada wal-awal lagi, ketua rombongan telah membuat kenyataan yang mengguris perasaan rakyat Syria yang dizalimi ketika ini.

9) Semenjak ketibaan wakil Liga Arab, bumi Syria sudah dua kali digegarkan dengan letupan bom iaitu tidak sampai dalam tempoh sebulan. Kali pertama berlaku pada 25 Disember lalu, ketika masyarakat Kristian dalam persiapan menyambut perayaan Krismas manakala kali kedua berlaku pada hari ini, Jumaat 6 Januari 2012. Kejadian pada hari ini disasarkan kepada orang awam apabila sebutir bom meletup di tengah bandar Dimashq yang sesak. 25 orang sekurang-kurangnya terkorban manakala puluhan lagi cedera.

10) Taktik terbaru yang digunakan rejim Basyar ialah dengan pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan bilangan yang ramai berbeza cara sebelum ini. Taktik dengan cara meledakkan bom di khalayak ramai adalah cara yang paling cepat untuk membunuh rakyat apatah lagi ia melibatkan jumlah yang ramai sekaligus.

Apakah lagi yang diharapkan kepada Liga Arab?Mereka hanya menjadi pemerhati kepada saudara kita yang disembelih di Syria..

SYEIKH 'ASKAR DIUMUM MEMENANGI KERUSI PARLIMEN TANTA


Calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi (Buruh) di wilayah Gharbiyyah, Syeikh Sayyid 'Askar telah diumumkan memenangi kerusi tersebut setelah memperolehi 266,056 undi. Syeikh 'Askar yang juga bekas Ahli Parlimen bagi kawasan tersebut dari tahun 2005 hingga 2010 merupakan pimpinan Ikhwan Muslimin. Beliau merupakan bekas Penolong Setiausaha Akademi Kajian Islam merupakan ulamak Al-Azhar.

Syeikh 'Askar merupakan graduan Fakulti Usuluddin, Al-Azhar tahun 1959 kemudian memperoleh Ijazah Kedua atau Sijil Tinggi ketika itu yang setaraf dengan Master pada tahun 1960.

Beliau kemudian berkhidmat di bawah panji Al-Azhar dan menyandang beberapa jawatan penting antaranya wakil Al-Azhar ke Lubnan (1985-1986), Ketua Dakwah dan Penerangan Agama di Al-Azhar (1992-1996), wakil Kementerian yang juga Penolong Setiausaha Akademi kajian Islam (1996-1999), wakil Al-Azhar ke Amerika Utara, anggota Kesatuan Ulamak Al-Azhar hingga dipilih sebagai Ahli Parlimen pada Pilihanraya Parlimen 2005 atas tiket Ikhwan Muslimin.

Beliau amat dikenali oleh rakyat di kawasan tersebut dengan sifat ramah, penyayang dan sering dilihat berjalan dan menziarahi dari rumah ke rumah rakyat pada setiap petang.

Khamis, 5 Januari 2012

MUBARAK DI MAHKAMAH: ANTARA BERPAKAIAN PUTIH DAN BIRU

Perbicaraan terhadap Presiden Mesir yang digulingkan, Husni Mubarak kini disambung semula selepas hampir tiga bulan tertangguh. Ia kerana dalam tempoh tersebut, terdapat para peguam rakyat yang terkorban telah memfailkan terhadap Mahkamah Agung untuk meminta hakim yang membicarakan kes Mubarak ini, Tuan Ahmad Ref'at ditukar dengan hakim lain.

Ini kerana Hakim Ref'at didapati mempunyai kaitan dengan tertuduh keempat iaitu Husin Salim, jutawan Mesir dan kroni utama Mubarak. Terdapat dakwaan bahawa Husin Salim telah menjadi 'orang tengah' melantik adik Hakim Ref'at ke jawatan kerajaan di bawah pejabat Mubarak. Kes tersebut telah selesai apabila mahkamah menolak permohonan para peguam dan mengekalkan Hakim Ref'at sebagai hakim yang akan mendengar kes Mubarak ini. Selain itu, para peguam tersebut diarah membayar wang ganti rugi.
Hakim Ahmad Ref'at

Selain Mubarak, tertuduh yang lain ialah kedua-dua anaknya, Jamal dan Ala'a, bekas Menteri Dalam Negerinya, Habib 'Adli, jutawan Mesir dan kroni Mubarak, Husin Salim (melarikan diri ke Spain dan dilaporkan sedang sakit tenat) selain enam orang timbalan dan pembantu Menteri Dalam Negeri antara mereka ialah Ketua Pasukan Polis yang paling digeruni, Amnu Daulah, Hasan Abdul Rahman.

Perbicaraan diteruskan walau ditangguh beberapa hari dan bermula Isnin lalu hingga hari ini, Khamis, mahkamah membenarkan bagi pihak pendakwaan untuk mengemukakan hujah dan bukti. Perbicaraan dijalankan secara tertutup dan tidak lagi dibenarkan dibuat secara langsung seperti sebelum ini.

Kemunculan terbaru Mubarak ada kali ini; Mubarak dilihat berpakaian biru, berbeza lebih tiga bulan lalu iaitu hari pertama dia diheret ke mahkamah, Mubarak dilihat berpakaian serba putih-seperti tertuduh yang lain, kecuali Habib 'Adli, bekas Menteri Dalam Negerinya.
Kemunculan terbaru Mubarak yang berpakaian biru seperti banduan mengejutkan banyak pihak berbeza pada kali pertama Ogos 2011 lalu (gambar bawah)

Perlu dijelaskan, terdapat perbezaan warna pakaian antara mereka yang masih menjalani proses perbicaraan mahkamah dengan mereka yang sedang menjalani hukuman penjara atau banduan.

Bagi mereka yang masih dibicarakan, mereka perlu mengenakan pakaian serba putih manakala mereka yang sedang menjalani hukuman penjara perlu mengenakan pakaian serba biru.

Habib 'Adli, bekas Menteri Dalam Negeri sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan kepadanya kerana sabit kesalahan 'menyalahgunakan kuasa sewaktu menerajui KDN'.
Beza antara pakaian Ala'a Mubarak (gambar kiri) yang berwarna putih dan Habib 'Adli (gambar kanan) yang berpakaian biru

Berbeza pakaian tertuduh yang lain iaitu Mubarak, dua orang anaknya, Jamal dan Ala'a serta 6 orang pembantu kanan Adli sewaktu di KDN dahulu. Kesemua mereka belum lagi menjalani hukuman penjara tetapi kenapakah Mubarak telah mengenakan pakaian biru seperti banduan yang bersalah?

Beberapa ahli politik yang agak terkejut dengan kemunculan terbaru Mubarak ini membuat kesimpulan bahawa Mubarak 'telah menghukum' dirinya sebelum mahkamah menghukum paling kurang penjara untuknya tetapi keluarga mangsa yang terokorban sepanjang revolusi lalu mahukan hukuman gantung sampai mati!

Bahkan, ketika perbicaraan dijalankan, puluhan kalangan mereka berhimpun di perkarangan Akademi Polis di Tajammuk Khamis yang dijadikan mahkamah perbicaraan. Mereka berhimpun selain membawa sepanduk mahu Mubarak digantung dan membawa poster anak dan keluarga mereka yang terbunuh. "Jika Mubarak dilepaskan (oleh mahkamah), kami sendiri akan 'gantung dirinya'!" jerit salah seorang dari kalangan mereka. Mungkin mereka merujuk terhadap satu kes terbaru yang berlaku di Sayyidah Zainab apabila mahkamah membebaskan anggota polis yang dituduh membunuh rakyat daerah Sayyidah Zainab di balai polis daerah tersebut pada 'Jumaat Kemarahan" 28 Januari lalu.
Rakyat yang berhimpun di luar mahkamah mahukan Mubarak digantung

Sebagai mengakhiri penghujahan hari ini, Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara yang mewakili pihak pendakwaan, Mustafa Khatir berkata, terdapat rakaman perbualan yang jelas antara 'orang kanan' di Kementeri Dalam Negeri sewaktu kebangkitan rakyat yang meminta semua pegawai tertinggi polis memberikan taklimat kepada pasukan keselamatan untuk bertindak melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan.

Khatir berhujah, bahawa Presiden Mubarak harus dipertanggungjawabkan kerana dia merupakan ketua negara ketika itu. "Sekalipun polis bertindak ganas, dia memiliki kuasa untuk mengekang kekejaman tersebut. Tetapi dia sendiri yang mengeluarkan arahan tersebut".

Kata Shatir, "Pada tahun 1997, satu kejadian berdarah telah berlaku di wilayah bersejarah, Luxor apabila beberapa pelancong asing mati di serang oleh lelaki bersenjata di jalan tengah padang pasir. Tertuduh (Mubarak) ketika itu menjadi Presiden negara telah turun sendiri ke kawasan kejadian dan mengarahkan siasatan dilakukan serta-merta selain memecat Menteri Dalam Negeri, Hasan El-Alfi."

"Persoalannya di sini, adakah darah pelancong asing lebih berharga dari darah rakyat sendiri?"

Khatir juga menolak bahawa pembunuhan penunjuk perasaan didalangi oleh anasir luar bahkan katanya, "ia daripada pasukan keselamatan dalam negara sendiri".

Rabu, 4 Januari 2012

PUSINGAN KETIGA YANG PALING SENGIT: DIKOTORI DENGAN UGUTAN DAN SAMSENG UPAHAN

Pusingan ketiga iaitu pusingan terakhir bagi Pilihanraya Dewan Rakyat Mesir yang ditetapkan pada 3 dan 4 Januari ini adalah pusingan yang paling sengit. Pusingan ulangan bagi fasa ketiga ini ditetapkan pada 10 dan 11 Januari ini. Saingan sengit yang sihat walau bagaimanapun sesuatu yang positif dalam sistem demokrasi. Namun apabila ia dicemari dengan keganasan, maka ia telah merencatkan amalan demokrasi yang sama-sama didokongi. Ugutan, penggunaan samseng yang berleluasa, hakim dan petugas dalam pusat mengundi yang berat sebelah dan berkempen melewati masa dan tempoh yang ditetapkan maka ia sesuatu yang bercanggah dengan amalan demokrasi.

Bilangan calon terlalu ramai dalam satu-satu daerah menambahkan lagi 'kegawatan' suasana dalam berkempen. Sebagai contoh, dalam wilayah Gharbiyyah. Selepas persempadanan baru kawasan, wilayah tersebut mempunyai hanya 5 daerah. Pilihanraya kali ini bagi memilih 10 orang Ahli Parlimen sahaja bagi mewakili 5 daerah tersebut kerana setiap daerah akan menghantar 2 wakil iaitu mewakili golongan profesional (Fi At) dan mewakili golongan petani atau buruh ('Ummal/ Fallah). Walau bagaimanapun, dalam wilayah tersebut, terdapat 285 orang calon dari pelbagai parti politik dan calon bebas bakal merebut 10 kerusi tersebut.

Seorang calon popular dari Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di daerah bandar Tanta dalam wilayah Gharbiyyah, Syeikh Sayyid Askar yang juga pimpinan Ikhwan Muslimin akan dicabar oleh 80 orang calon dari bebas dan parti politik lain. Ketokohan Syeikh Sayyid yang juga kalangan ulamak Al-Azhar amat terserlah dikalangan rakyat di daerah tersebut. Beliau tidak asing bagi mereka kerana pernah menang di daerah tersebut pada tahun 2005. Pada pilihanraya 2010, beliau sekali lagi dicalonkan tetapi tewas kerana penipuan yang dilakukan pemerintah. Syeikh Askar pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha bagi Akademi Kajian Islam (Mujamma' Buhus Islami). Beliau bertanding bagi calon Buruh daerah tersebut. Kerana ketandusan isu, pihak calon lawan, Abdul Mun'im Alimi telah mencabar pencalonan Syeikh Askar ke mahkamah atas tiket calon (Buruh) iaitu bagi Alimi sepatutnya Syeikh Askar bertanding atas (Fi At) bukan (Buruh). Rakyat yang sedia memberikan undi kepada beliau telah membuat slogan "Kami Mahukan Syeikh Askar; Undi Untuknya Sama ada Fi At atau Buruh". Dua hari sebelum pengundian, mahkamah memutuskan Syeikh Askar kekal sebagai calon Buruh. Syeikh Askar dalam ulasannya berkata, "Saya sudah lama berada dalam Kesatuan Buruh bahkan pada pilihanraya 2005 dan 2010, saya sudah bertanding atas tiket calon Buruh".

Bagi pilihanraya Mesir, peraturan menetapkan bahawa dua hari sebelum memasuki hari pengundian, maka ia disebut sebagai "tempoh bertenang" iaitu larangan bagi semua calon dan parti bertanding untuk melakukan sebarang kempen.

Kebanyakan mereka yang mengotori perjalanan pilihanraya ini adalah dari golongan bekas Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) parti pemerintah yang telah dibubarkan atau istilahnya (fulul). Ahli dan penyokong mereka telah menyertai pilihanraya kali ini dengan bertanding atas tiket bebas. Akan tetapi malangnya, terdapat beberapa parti politik yang telah bekerjasama dan dipergunakan oleh golongan fulul ini untuk kepentingan mereka.

Berikut disiarkan beberapa laporan kejadian yang telah menodai proses pilihanraya pusingan ketiga negara Mesir:

Di wilayah El-Minia, beberapa orang calon dari Parti El-Wafd, Nasiri dan fulul NDP yang dibubar menggunakan senapang dan mesingan bagi menghalang pengundi dan wakil calon ke pusat pengundian.

Di kampung "ElWaqaf", bekas wakil rakyat daerah tersebut Ahmad Abdul Hamid Hettah telah bekerjasama dengan rakannya juga bekas wakil rakyat sebelum ini dan seorang calon dari Parti El-Wafd dengan melepaskan tembakan bagi menakut-nakutkan pengundi untuk keluar mengundi.

Di kampung "Soft El-Khemar" juga di wilayah El-Menia, tiga orang calon yang bertanding dari keluarga "Badawi" iaitu 'Ali Ismail Badawi, Muhammad Ismail Badawi dan Ibrahim Ismail Badawi menggunakan kekerasan terhadap para pengundi sewaktu mereka dalam perjalanan ke tempat mengundi bahkan termasuk mengugut untuk membunuh!

Mereka bertiga juga telah mengutus surat kepada wakil calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi mengugut mereka agar jangan pergi ke pusat mengundi, jika tidak mereka akan dibunuh.

Walau bagaimanapun, Lajnah Undang-Undang Parti FJP El-Menia telah melaporkan kepada pihak tentera dan polis yang bertugas bagi menjaga keselamatan pengundi.

Di wilayah Qina, seorang calon fulul NDP, Khalid Khalfallah, calon INDIVIDU bagi daerah ketiga wilayah membelasah wakil calon FJP di sebuah pusat mengundi di kampung "Hua", dalam bandar Naja' Hammadi.

Seorang saksi memberitahu, calon tersebut merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan itu telah mengugut semua wakil-wakil calon lain yang berada di pusat pengundian itu dan lebih ditujukan kepada calon FJP.

"Dia sebut, kampung Hua ini merupakan tempat kelahiran dia dan dia juga merupakan bekas 'Jeneral' dalam Unit Polis Amnu Daulah yang telah dibubarkan", terang saksi tersebut.

Di kampung Abal Balad, seorang calon bebas bagi kerusi INDIVIDU, Ramadhan El-Tohan dibelasah teruk ekoran tindakannya bagi menghalang dua penyokong calon lawan, Ahmad Hattah (calon fulul NDP) dan Asyraf Abul Ghaith (calon SENARAI bagi Parti Wafd) daerah utara El-Menia menggunakan samseng untuk menakut-nakutkan pengundi.

Di Naja' Hammadi juga dalam wilayah Qina, beberapa orang penyokong calon fulul NDP, Abdul Rahim Ghul yang bertanding atas tiket bebas INDIVIDU bagi daerah ketiga Qina telah memukul dan menghalau wakil calon FJP, Mahmud Solah dari pusat mengundi.

Di wilayah Daqahliyyah, penyokong seorang calon fulul NDP, Mamduh Fudah bersama sebilangan samseng yang diupah telah menghalang pengundi untuk memasuki pusat pengundi di daerah Mansurah.

Di Kampung Kefr Badawi, sesuatu yang pelik apabila seorang hakim yang juga ketua saluran 36 dan 37 telah membatalkan pengundian yang dilakukan oleh golongan warga emas yang buta huruf. Lebih mengejutkan, salah seorang wakil calon NDP yang membantah tindakan hakim tersebut telah dihalau keluar dari pusat mengundi.

Di sebuah sekolah yang dijadikan pusta mengundi di wilayah Daqahliyah, seorang hakim yang mengetuai saluran 74 dan 75 telah melarang golongan buta huruf dibantu untuk mengundi. Tindakan hakim tersebut hingga melarang pengundi yang cacat penglihatan dibantu oleh petugas. Sekalipun terdapat golongan yang cacat penglihatan ini meminta bantuan, para petugas akan mendapatkan kertas mengundi dan mereka akan memasukkan kertas mengundi tersebut ke dalam peti undi tanpa dilakukan undian apa-apa pada kertas tersebut.

Di selatan Sinai, perbuatan seorang calon INDIVIDU dari Kutlah Misriyyah (Pakatan bagi Parti-Parti Liberal dan Sekular) yang berkempen dalam pusat mengundi telah memaksa hakim yang bertugas menghalaunya keluar. Calon tersebut, Sayyid Kamil dilihat membahagi-bahagikan kad calon kepada para pengundi di dalam pusta pengundian. Seorang wakil calon FJP wanita, telah menegur perbuatan calon tersebut kerana ia bersalahan dengan peraturan pilihan raya. Peraturan tersebut dengan jelas melarang sebarang kempen menjelang tempoh dua hari sebelum hari pengundian. Teguran wakil FJP tadi tidak diendahkan bahkan wanita tersebut ditengking. Ini memaksa wanita FJP tersebut membuat laporan kepada hakim yang bertugas dan memberi kata dua kepadanya sama ada dia segera keluar atau pihaknya terpaksa memanggil pihak keselamatan untuk memaksanya keluar dari pusat mengundi. Dengan marah, Sayyid Kamil telah meninggalkan tempat tersebut.

Di wilayah Wadi Al-Jadid, di Sekolah Abu Hurairah dan Nahdhah, ketua tempat mengundi telah mengarahkan wakil-wakil calon dan parti yang bertanding mengosongkan tempat mengundi dengan alasan "kesempitan ruang" pada pusat mengundi tersebut. Perbuatan tersebut telah menimbulkan tidak puas hati dari semua pihak yang bertanding. Ini telah memaksa Gabenor wilayah, Jeneral Toriq El-Mahdi mengadakan perbincangan dengan semua bersetuju untuk setiap wakil parti yang diwakili oleh dua orang untuk bergilir masuk selama 15 minit.