Sabtu, 4 September 2010

SEPUTAR SYARAHAN BUKU "ASROR AS-SIYAM"

Kitab Asror As-Siyam atau Rahsia-rahsia Puasa ini ditulis oleh Syeikh Soleh Jaafari r.anhu

Kefardhuan puasa ke atas Nabi Muhammad s.a.w merupakan kelebihan dan kurniaanNya kepada umat pilihan. Sayang dan kasihNya dengan sifat "Ar-Rahman" dan "Ar-Rahim" ALLAH kepada hamba-hambaNya hingga Dia mewajibkan umat Nabi Muhammad s.a.w agar berlapar dan menegah mereka dari melakukan perkara-perkara yang harus pada bulan lain. Suruhan ALLAH ini sebenarnya akan memberikan kebahagian kepada hambaNya di dunia dan akhirat kalau hambaNya mengetahui.

'Paksaan' ALLAH dengan mewajibkan puasa kepada hambaNya sama sekali bukan untuk menyeksa dan menyusahkan hambaNya akan tetapi itulah sifat kasihnya ALLAH kepada hambaNya.

Puasa atau dalam bahasa Arab disebut "Soum" yang terdiri dari tiga huruf iaitu "Sod", "Wau" dan "Mim" dihuraikan maknanya seperti berikut:

"Sod" diisyaratkan kepada "Sabar"-Apabila seseorang itu berpuasa, maka dengan sendirinya dia diuji oleh ALLAH Taala dengan pelbagai ujian. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda," Puasa itu separuh dari kesabaran."Sabar itu terbahagi kepada tiga:

Pertama: Sabar dalam melaksanakan perintah ALLAH-Salah satu perintah yang wajib kita taati ialah perintahnya berkaitan puasa. Puasa mengajar kita walaupun perkara tersebut disisi akal kita adalah baik, tetapi apabila ia perintah ALLAH, maka wajib kita ikuti dan tinggalkan akal kita serta merta. Sebagai contoh, makan dan minum di siang hari pada bulan Ramadhan. Pada bulan-bulan lain, kenapa diboleh dan tidak pada bulan Ramadhan? Tapi ia adalah perintah ALLAH maka wajib kita taati.

Kedua:Sabar dalam meninggalkan larangan ALLAH- Apabila perkara yang dilarang ALLAH itu maka yakinilah ia adalah perkara yang memudaratkan.

Ketiga: Sabar dalam menghadapi bala dan ujian ALLAH.

"Wau" diisyaratkan pada makna "Wara'- Ia bermaksud berhati-hati dalam tindakan kita seharian agar tidak terjerumus dalam perkara-perkara syubhah dan jauh sekali dari perkara yang haram.

"Mim" diisyaratkan kepada "Muhsin" yang bermaksud rasa kasihan belas sesama manusia dan makhluk ALLAH yang lain.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud dan Tirmizi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "ALLAH telah menulis sifat kasihan belas kepada semua hambaNya".

Khamis, 2 September 2010

SUBUH JUMAAT TERAKHIR RAMADHAN 1431 DI MASJID TOK GURU

Hari Jumaat ini adalah Jumaat terakhir Ramadhan. Kita dijadualkan menyambut 1 Syawal pada Jumaat minggu hadapan. Pagi Jumaat terakhir Ramadhan ini, saya menunaikan solat Subuh di Masjid Pulau Melaka bersama Tok Guru Nik Aziz.

Walaupun ia sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Kelantan setiap pagi Jumaat-mereka akan menunaikan solat Subuh dan seterusnya mendengar tazkirah dari Tok Guru, namun bagi saya, ia adalah perkara baru setelah lebih 5 tahun tidak solat Subuh di belakang Tok Guru. Masjid dua tingkat bersebelahan kediaman Tok Guru itu, penuh sesak dengan kehadiran jemaah yang memenuhi masjid sebelum berkumandanya azan Subuh.

Ketika berada di pintu masjid, saya hairan melihat sesetengah mereka yang membawa tong dan bekas berisi air masuk ke dalam masjid. Setelah masuk ke ruang solat, saya dapati di mihrab imam telah terdapat berpuluh-puluh tong dan bekas air lain yang diletakkan untuk dibuat air penawar oleh Tok Guru dengan pelbagai hajat.

Solat Subuh diimamkan oleh Tok Guru. Sebelum mengangkat takbir, beliau menjelaskan hadith Nabi s.a.w, "Sollu solatan muwadda'' Yang bermaksud, "Solatlah kamu seakan-akan solat terakhir dalam hidup".

Selesai solat, beliau membawa zikir.Antara yang dibaca Tok Guru ialah "LAILAHAILLAH MUHAMMAD RASULULLAH, FI KULLI LAMHATIN WA NAFASIN 'ADADA MA WASI'AHU 'ILMULLAH".. Ini ialah talkin yang dibawa oleh Sayyidi Ahmad bin Idris r.anhu yang menjadi amalan teras kepada Tariqat Ahmadiyyah dan semua cabangnya termasuk Jaafariyah. Saya meyakini tohmahan beliau "WAHABI" seperti yang ditohmah sesetengah pihak adalah bohong semata-mata. Atau adakah Tok Guru tak sedar atau tak tahu apa yang dibaca? Mustahil sama sekali, sebab Tok Guru adalah ulamak yang faham Al-Quran dan Bahasa Arab.

Selepas zikir beramai-ramai, beliau terus mengadap kiblat, dengan suara yang sebak, beliau memulakan kuliah Subuh. Nada sebak itu kerana itu adalah Jumaat terakhir pada bulan mulia ini dan beliau menyebut bila perginya Ramadhan, segala rahmat dan berkatnya turut sama akan pergi. Katanya, rahmat dan berkat perkara yang tak nampak tengok kecuali kena ada IMAN kepada ALLAH. Iman inilah yang akan menjadikan seseorang itu percaya atau tidak kepada perkara ghaib.

Tok Guru menerangkan kelebihan orang yang berbuat baik, apabila dia mati kelak, bukan sahaja manusia akan sedih tapi makhluk lain juga akan menangisi pemergiannya. Tok Guru bacakan hadith Nabi s.a.w, "Dua perkara yang akan menangis kerana meratapi tuannya yang soleh apabila tuan tersebut meninggal dunia, pertama tempat sujud dan kedua tempat laluan amalan solehnya."
Ramainya mereka yang menanti giliran untuk tahniq dan cukur jambul bayi masing-masing.

Tok Guru menasihati agar menjaga hati kerana disitulah tempat duduknya iman. Sabda Nabi s.a.w, "Hati ini boleh berkarat sepertimana berkaratnya besi.." Berkarat hati dengan dosa manakala cara untuk gilap supaya karat itu hilang ialah dengan banyakkan zikir, ingat kepada ALLAH.

Sepanjang 20 minit ucapan Tok Guru itu, bukanlah dengan nada yang tinggi dan bersemangat. Suaranya tenggelam timbul. Tapi saya lihat ramai yang boleh memberi perhatian kepada setiap kalimah yang keluar dari mulut Tok Guru. Bahkan, kalau diperhatikan sesetengah ucapan beliau adalah diulangi perkara yang sama, tapi orang yang mendengar tidak pernah rasa bosan. Ucapannya tak keluar dari skop dosa pahala, syurga neraka dan dunia akhirat. Pergilah ke mana pun, ucapan Tok Guru takkan keluar dari topik tersebut. Itulah keramatnya beliau.


WARNA-WARNI NEGERI JELAPANG PADI

Berada selama beberapa hari menemani Syeikh Ashraf di negeri Kedah, banyak perubahan yang telah dibawa oleh kerajaan Kedah. Kolej Universiti Insaniah yang gak berdiri menjadi lambang bidang pendidikan yang diteruskan oleh kerajaan hari ini.

Kali terakhir saya sampai di negeri Kedah kira-kira 8 tahun lalu sewaktu menjadi wakil negeri bagi pertandingan Forum Remaja peringkat Kebangsaan tahun 2002. Hanya selepas lapan tahun, saya berkesempatan ke Kedah dan itupun kerana mengiringi Syeikh Ashraf ke negeri tersebut.

Kerajaan yang baru beralih tapuk kepimpinan kira-kira dua tahun lalu, telah melakukan beberapa perubahan yang menarik. Berbeza dari pemerintahan sebelum ini, dengan slogan "Kedah Sejahtera", kepimpinan Dato' Seri Azizan Razak mendapat sokongan jitu dari rakyat bawahan. Di mana-mana jua tempat sama ada di persimpangan dan di jalan-jalan utama, akan terpampang potret wajah beliau yang ceria.

Kedah cukup sinonim dengan perjuangan PAS sejak dahulu lagi. Di negeri Jelapang Padi inilah lahirnya beberapa tokoh pejuang PAS yang disegani kawan dan lawan. Antaranya Allahyarham Dato' Fadzil Noor yang pernah menerajui PAS selama lebih kurang 12 tahun, Allahyarham Dato' Abu Bakar Umar, Dato' Mahfuz Omar, Dato' Taib Azamuddin Mohd Taib dan ramai lagi.

Disini juga lahirnya tokoh ilmuan agamawan terbilang seperti Tuan Guru Yahya Junid, Tuan Guru Azhari Abdul Razak, Tuan Guru Omar Zuhdi, Tuan Guru Haji Saleh Musa Sik dan lain-lain. Perkembangan pusat pengajian ilmu Islam khasnya pondok-pondok yang tumbuh bagaikan cendawan di negeri ini seperti di Kelantan menjadikan rakyatnya celik agama dan amat mudah memahami gerakan Islam yang dibawa oleh PAS.

Perdana Menteri pertama Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berasal dari Kedah. Kedah juga mempunyai wakil dalam kerajaan sama ada menteri penuh seperti Datuk Dr.Hamid Othman sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kini Tan Sri), timbalan menteri seperti Datuk Dr.Afifuddin Omar (mantan Timbalan Menteri Kewangan) atau Setiausaha Parlimen seperti Datuk Othman Abdul, mantan Ahli Parlimen Pendang yang juga Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selain Ahli Parlimen Langkawi, Dato' Abu Bakar Taib. Kini,wakil Kedah dalam kerajaan iaitu Ahli Parlimen Kubang Pasu,Dato' Johari Baharum sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain Senator Datuk Mashitah Ibrahim.

Sejarah juga mencatatkan bahawa kerusi-kerusi bagi kawasan pilihanraya pernah menyelamatkan tokoh-tokoh PAS yang bertanding bagi mewakili suara parti tersebut khasnya di Parlimen.

Allahyarham Dato' Asri Haji Muda, mantan Presiden PAS pernah mencuba nasib di Parlimen Padang Terap akan tetapi gagal.Allahyarham Tuan Haji Yusof Rawa, mantan Yang Dipertua Agung dan Mursyidul Am PAS pernah memenangi kerusi Palimen Kota Setar menewaskan Dr.Mahathir Mohamad pada pilihanraya umum 1969. Tuan Haji Mohammad Sabu yang berasal dari Pulau Pinang bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada tahun 1999. Selain itu, Sasterawan negara, Dato' Shahnon Ahmad juga pernah memenangi kerusi Parlimen Sik tahun 1999 menewaskan Dato' Hamid Othman.

Politik Kedah mempunyai seninya tersendiri terutama DUN. Pembangkang pernah memengangi banyak kerusi DUN tahun 1969. Sekali lagi pada tahun 1999, pembangkang telah menafikan majoriti 2/3 kerajaan BN dalam DUN dan PAS Kedah kemudiaannya melancarkan slogan PAS Tawan Kedah 2004. Namun, keputusan pilihanraya umum 2004 menyaksikan beberapa kerusi yang disandangnya terlepas kembali kepada BN dan hanya tahun 2008, Allah memperkenankan doa ahli PAS apabila Kedah bertukar tampuk kepimpinan.
Terpahat dalam lipatan sejarah, beberapa peristiwa besar negara khasnya dalam sejarah politik PAS sebahagian besarnya diwarnai di Kedah.

1)Peristiwa berdarah Memali- Ia berlaku di Mukim Sion, Kampung Memali, Baling pada tahun 1985 yang mencatatkan sejarah hitam buat PAS khasnya yang terpaksa berdepan dengan pertaruhan nyawa seramai 14 orang penyokong dan ahlinya menemui syahid.

2)Peristiwa berdarah di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap. Perjalanan bersama Syeikh Ashraf baru-baru ini ke Pedu, kami melalui persimpangan yang menunjukkan tanda arah masuk ke Felda Lubuk Merbau, tempat berlakunya insiden berdarah 25 tahun lalu ketika satu pilihanraya kecil diadakan pada Januari 1985. Dalam keganasan yang tercetus, seorang petugas PAS, Allahyarham Othman Talib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selain berpuluh-puluh cedera.


3)Percubaan rampasan tanah Muassasah Darul Ulum. Saya terbaca kisah ini sewaktu melawat tapak pameran PAS Kedah sempena sambutan Jubli Emas PAS tahun 2001 di PUTIK. Pada waktu itu, Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor berada di tanah suci yang kerajaan BN Kedah masa itu cuba merampasnya tetapi para penyokong PAS telah berkampung atas tanah muassasah tersebut sambil mengadakan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH. Setibanya Allahyarham Ustaz Fadzil dari tanah suci, beliau mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa.

4) Peristiwa rampasan tanah penduduk di Kerpan. Ia berlaku sekitar pertengahan 90-an dan saya kurang mengingati lebih lanjut peristiwa air mata rakyat ini.

Walaupun hingga kini masih terdengar suara-suara sumbang yang meminta Dato' Seri Azizan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, beliau sebenarnya Menteri Besar yang disayangi oleh semua lapisan rakyat hingga kaum India menganggapnya beliau adalah "Tok Guru Nik Aziz di Kedah".

Rabu, 1 September 2010

MENZIARAHI PUSARA DI MUASSASAH DARUL ULUM




Sebelum bertolak pulang ke Kelantan jam 10 pagi tadi (Rabu, 1 September), saya ditemani Ustaz Firdaus Hat telah menziarahi Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, satu institusi pendidikan yang diasaskan oleh PAS di bawah Al-Marhum Dato' Fadzil Noor satu ketika dahulu. Tanah luas yang diwakafkan oleh ahli dan penyokong PAS itu telah tersergam indah bangunan sekolah menengahnya (SMIDU) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU). Perjalanan dari Alor Setar ke sana memakan masa hampir 45 minit. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke muassasah itu. Terbayang saat duka ketika umat Islam dikejutkan dengan berita pemergian beliau mengadap ALLAH tahun 2002, kira-kira 8 tahun lalu. Masa itu saya masih di bangku Sekolah menengah, tahun SPM bakal menjelang. Dengan begitu pantas, jalan-jalan menuju ke muassasah, tempat Al-Marhum akan disemadikan, telah dibanjiri ribuan manusia yang ingin memberikan penghormatan terakhir.
Di sini bersemadinya Al-Marhum Dato' Fadzil dan beberapa yang lain.


Di hadapan masjid Muassasah tersebut bersemadinya jasad beliau bersama-sama para pejuang yang lain. Terbaru ialah adik ipar beliau, Allahyarham Ustaz Shauki Ibrahim, mantan ADUN Langgar yang memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 1999 dan merupakan ayahanda kepada YB Ustaz Ahmad Izzat Shauki, ADUN PAS Kedah sekarang.

Setahu saya, berdasarkan bacaan bahawa tanah muassasah itu pernah cuba dirampas oleh kerajaan BN Kedah sekitar tahun 80-an. Pada masa itu, Al-Marhum Ustaz Fadzil berada di tanah suci Mekah dan apabila tersebar berita tanah muassasah cuba dirampas, puluhan ahli dan penyokong PAS telah berkampung di atas tanah tersebut bagi sama-sama mempertahankannya. Hingga Al-Marhum pulang dan beliau mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa lalu hasrat kerajaan BN telah dapat dihalang.

Begitulah perjuangan penubuhan muassasah adalah terbina atas keringat dan air mata para penyokong gerakan Islam yang mahukan PAS mempunyai institusi pendidikannya tersendiri.

Dalam perjalanan ke Stesesn Syahab Perdana itu juga, kami sempat singgah di sebuah sekolah yang asalnya sebuah pusat pengajian pondok. Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Langgar yang satu ketika dahulu dikenali Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Kechik, Langgar.

SYEIKH ASHRAF BERANGKAT PULANG KE MESIR,10 HARI DI MALAYSIA

Syeikh Ashraf telah berlepas pulang ke Mesir jam 9.20 malam dengan penerbangan MAS dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, Selasa 31 Ogos. Ramai tetamu dan anak-anak murid beliau berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim bagi mengucapkan selamat jalan kepada tetamu ini. Turut serta Ustaz Zakaria Othman, mantan pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir yang kini berkhidmat di Kolej Universiti Insaniah.

Syeikh Ashraf tiba di Malaysia tanggal 21 Ogos lalu dalam lawatan ziarah ke negara ini selama 10 hari. Sepanjang berada di Malaysia, beliau mengunjungi negeri Selangor (sehari), Negeri Sembilan (3 malam), Kelantan (3 malam), Perlis (1 malam) dan Kedah (3 malam) selain melawat Kuala Lumpur, Putrajaya dan memenuhi jemputan di Terengganu. Jadual program Syeikh yang begitu padat bermula dari hari pertama hingga 3 hari terakhir, sebelum beliau banyak direhatkan di negeri Kedah.

Pihak saya dan teman-teman yang mengatur perjalanan Syeikh ke Malaysia, mewakili Syeikh Ashraf mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini walaupun pada awalnya saya secara peribadi kurang yakin untuk mengendalikan program Syeikh ini. Berkat kesungguhan dan perbincangan yang diadakan hampir tiap-tiap malam bersama teman-teman, akhirnya jadual perjalanan Syeikh dapat diatur dengan licin dan baik.

Saya tidak akan menyebut secara khusus nama-nama mereka yang terlibat memberikan kerjasama kerana mereka terlalu ramai dan saya khuatir akan ada nama yang tercicir. Saya bersyukur kepada ALLAH kerana Dia memberikan kemudahan kepada saya dan rakan-rakan lain.

Mohon maaf kepada semua pihak jika di sana ada kekurangan dan saya mohon kemaafan kepada teman-teman yang antara mereka tentu kecewa kerana permintaan mereka kepada Syeikh tidak dapat ditunaikan termasuk memenuhi beberapa jemputan di negeri-negeri lain. Kata Syeikh Ashraf, ini hanya permulaan kepada lawatan beliau dan beliau berjanji, dengan izin ALLAH akan kembali menziarahi Malaysia pada masa akan datang. Mungkin akan datang, Sayyidi Muhammad Soleh, anak kepada guru beliau akan turut serta.

Juga saya memohon maaf secara khusus kepada teman-teman dari Singapura yang meminta saya menyusunkan jadual Syeikh ke negara tersebut tetapi oleh sebab Syeikh terikat dengan cuti yang terhad (berkhidmat dengan kerajaan di bawah Kementerian Wakaf), maka beliau menangguhkan hasrat mengunjungi Singapura ke satu tempoh terdekat yang akan ditentukan kelak.

Semoga ALLAH membalas jasa dan budi baik kalian dan dijadikan amal soleh bagi memberatkan neraca timbangan kita di akhirat kelak.

Bermula dari pagi tadi (Rabu, 1 Ogos), saya dan teman-teman yang mengiringi Syeikh lain telah beransur-ansur pulang ke negeri masing-masing setelah keberangkatan pulag Syeikh malam tadi.