Selasa, 16 Februari 2010



Haji Hamudah Bakhit membacakan madih

Sewaktu Majlis Hadrah berlangsung, salah seorang pembaca madih mengalunkan qasidah RAUDHATUL QULUB WAL ARWAH yang masyhur dengan RADHINA YA BANI ZAHRA' RADHINA". Ia berkisah pujian Syeikh Soleh Jaafari terhadap ahli keluarga Rasulullah s.a.w. Antaranya berbunyi:

رضينا يا بني الزهرا رضينا
بحب فيكم يرضي نبينا


Yang bermaksud:
"Kami redha wahai anak-anak Zahra' (iaitu Sayyidah Fatimah Az-Zahra') kami redha,
Dengan mencintai kamu mudah-mudahan diredhai oleh Nabi kami"

Diceritakan:

Satu ketika dahulu, ketika Syeikh Abdul Ghani berada dalam satu majlis, seorang pembaca madih membacakan qasidah ini. Selesai saja bacaan madih, seorang warga Syria yang hadir pada majlis itu bangun dan bertanya Syeikh Abdul Ghani. "Wahai Syeikh! Berdasarkan qasidah tadi, aku faham ada di sana cinta yang diredhai oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tapi adakah di sana cinta yang tidak diredhai oleh Baginda?" Jawab Syeikh Abdul Ghani "Ya, ada.Mencintai ahli keluarga Rasulullah s.a.w dalam masa yang sama membenci dan mengutuk para sahabat Rasulullah s.a.w.".

Mencintai ahli keluarga Rasulullah s.a.w bukan atas sebab jawatan khalifah atau kewalian atau selain itu. Mencintai mereka adalah satu perintah dari Allah kepada umat Bgainda Muhammad s.a.w.

Maulid di Aswan



Syeikh Abdul Ghani dipapah masuk ke Majlis Hadrah (gambar bawah) suasana Masjid Syeikh Soleh di Aswan pada malam maulid tersebut.



Untuk pertama kalinya sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu di peringkat Aswan diadakan hanya satu malam berbanding sebelum ini diadakan selama lima malam bermula hari Ahad dan penutupnya Khamis. Dengan masa yang singkat, sudah tentu ramai para pembaca madih akan mempersembahkan bacaan mereka tambahan penduduk Aswan yang terkenal dengan suara lunak lagi merdu.Apatah lagi tahun ini diserikan dengan kehadiran Syeikh Abdul Ghani, syeikh 'umum yang sudah 2 tahun tidak turun ke Aswan atas faktor kesihatan.

Bermula dengan solat maghrib berjemaah, para hadirin kemudiannya diperdengarkan dengan bacaan madih memuji Rasulullah s.a.w dan ahli keluarganya. Haflah berhenti rehat solat Isyak dan disambung semula dengan bacaan Al-Quran oleh Syeikh Mahmud. Beliau berasal dari Suhaj dan bermukim di Aswan kerana bekerja di sebuah syarikat sebagai jurutera. Dengan suara yang merdu serta menghafal Al-Quran dengan sempurna, beliau dilantik menjadi imam di Masjid Syeikh Soleh di Jabal Taquq.

Majlis semakin rancak apabila Syeikh Abdul Ghani dan Sayyidi Muhammad Soleh (putera sulung) dan Sayyidi Husain (putera kedua) mengambil tempat di hadapan. Ucapan alu-aluan dari wakil masyaikhah Aswan, Haji Mahmud diteruskan dengan mengalu-alukan kedatangan tetamu serta kami dari Malaysia.

Oleh kerana masa yang suntuk, Sayyidi Muhammad Soleh mengarahkan agar tiada sebarang ucapan dari mana-mana pihak dan hanya madih sahaja dibenarkan. Bacaan madih dari wakil Malaysia dipersembahkan oleh saudara Amal dari Negeri Sembilan bergandingan dengan saudara Ahmad Othman dari Kelantan membacakan madih "YA SADATAL 'URBIL UWAL". Saya pula dijemput mempersembahkan hadiah dari pihak Malaysia kepada wakil masyaikhah Haji Mahmud di hadapaan Syeikh Abdul Ghani dan putera beliau.

Majlis berakhir sekitar jam 12 malam.

Aswan Bumi Yang Diberkati



Tahun pertama ke Aswan 2007: Menerima cenderahati dari masyaikhah JABAL TAQUQ, Aswan.


Ramai tertanya-tanya juga apa tujuan sebenar saya dan teman-teman ke Aswan minggu lalu. Ia sebenar untuk menyambut Maulid Syeikh Soleh Jaafari peringkat muhafazah Aswan bahkan hampir setiap tahun saya dapat menghadirinya bermula tahun 2007. Masa itu, bilangan kami sekitar 7 orang sahaja. Saya masih ingat nama mereka-selain saya,Ustaz Othman, Suhaimi, Ustaz Zubir, Mufaial,Syauqi Sabah dan Yumni dari Kedah. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi bertuah Aswan. Tujuan hanya bagi meraikan sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari bersama-sama saudara kami di sana. Mengimbau kembali kenangan tersebut, rombongan kami yang menyertai rombongan Arab Mesir lain bertolak menaiki sebuah bas dan kami ditempatkan di atas Masjid Syeikh Soleh di Jabal Taquq. Bahkan sebelum kami bertolak pulang, kami diraikan oleh masyaikhah Jabal Taquq dan setiap seorang dari kami menerima cenderahati dari pihak mereka. Sejak dari itu, saya mula "jatuh hati" dengan Aswan.Layanan mereka, baik hati mereka serta hubungan kuat mereka dengan Syeikh Soleh Jaafari membuatkan saya berazam untuk setiap tahun, akan cuba untuk menghadiri Maulid Syeikh Soleh yang lazimnya disambut di sana pada cuti penggal pertama pengajian. Sesiapa juga yang bersama-sama saya pasti terharu dengan layanan yang diberikan selain dapat melihat syiar Islam terserlah di sana melalui rasa cinta mereka kepada Syeikh Soleh Jaafari, seorang ulamak yang pernah berkhidmat untuk Islam satu masa dauhulu.

Bayangkan suasana seperti hari raya, kegembiraan menyambut kedatangan syeikh yang disambut dengan bacaan madih di mana-mana. Keadaan ini pernah membuatkan saya menitiskan air mata ketika majlis wida' sebelum berangkat pulang ke Kaherah pada tahun 2008. Sebelum kami menaiki van yang disediakan ke stesen kereta api, mereka sudah bersedia beratur bagi menghantar kepulangan kami sambil bacaan madih RADHINA YA BANI ZAHRA' dialunkan.Rasa tersentuh hati dan perasaan.

Bilangan tahun berikutnya makin bertambah pada 2008, 2009 dan tahun ini sebuah bas.Sewaktu saya masih memegang jawatan dalam Badan Pengurus juga saya masih boleh menghadiri maulid di sana.

Aswan menyimpan kenangan manis saya bersama-sama teman di sana. Walaupun sebagai destinasi pelancongan yang utama, suasana Aswan masih terjaga dengan nilai-nilai murni. Penduduknya amat menghormati tetamu dan cukup peramah.Sejak kedatangan saya ke sana tahun lepas, beberapa loghat Aswan sudah mula mampu dipelajari. Nama-nama jalan serta tempat mereka sudah mampu saya ingati. Segala pengangkutan dan perhubungan awam dari Masjid Syeikh Soleh ke bandar Aswan sudah saya naiki.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada saya dan teman-teman lain dengan nikmat ini selama-lamanya dan menjadikan kegembiraan ini berpanjangan. Semoga Allah berkati penduduk dan bumi Aswan...

Ziarah Empangan Tinggi dan Taman Botani



Syeikh Ashraf (tengah) "pengarah utama" rehlah kami bersama tetamu lain bergambar di Empangan (Saddul 'Ali).
Kami selamat tiba di bandar Aswan petang Selasa, 9 Februari . Kami terus dibawa ke Markaz Besar Jaafari yang terletak di Hayyul 'Aqad. Ia dinamakan 'Aqad bersempena nama sasterawan Mesir iaitu 'Abbas 'Aqqad yang berasal dari Aswan dan beliau juga disemadikan di Aswan. Makamnya terletak di awal jalan masuk ke masjid Syeikh Soleh Jaafari di bandar Aswan. Kami dijamu makan tengah hari di sana sebelum dibawa ke penginapan kami di sebuah bangunan asrama pelajar berhampiran masjid. Sarapan, makan tengah hari dan malam kami dijamu di masjid tersebut. Suhu cuaca di sana amat panas terutama di waktu tengah hari walaupun pada musim sejuk.

Keesokannya, Rabu selepas menikmati sarapan-rutin harian warga Mesir, roti 'Ish, kuah kacang (ful), keju (gibnah) dan manisan (halawah)- kami dibawa ke Saddul 'Ali iaitu Empangan Tinggi yang menjana elektrik kepada seluruh Aswan bahkan Mesir. Ia dikatakan yang terbesar di benua Afrika! Kalau ikutkan harga tiket setiap orang dikenakan bayaran LE20 perkepala, tapi itu semua diuruskan oleh Syeikh Ashraf. Di akhir rehlah,beliau berbisik kepada saya semua bayaran masuk ke tempat-tempat di Aswan diuruskan oleh anak-anak murid Syeikh Soleh di sana. Semasa kami bersiar-siar di kawasan Empangan tersebut, kebanyakan warga Aswan bersalaman dengan kami sambil memperkenalkan diri sebagai "Abna Jaafari" bahkan ada yang menunjukkan kerneh (kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Tariqat Jaafariyah) sebagai Abna'Jaafari.

Tidak hairan, anak-anak murid Syeikh Soleh bertaburan menetap di pelusuk Mesir bahkan dunia. Haji Hamudah Bakhit (sesiapa yang bersama kami jaulah baru-baru ni akan mengenali kehebatan Haji Hamudah yang memiliki suara yang merdu dan nafas yang panjang).Beliau bekerja di Empangan tersebut.

Isnin, 15 Februari 2010

Sedetik di Maqam Sayyidi Abul Hasan Syazuli



Berada di sisi maqam Sayyidi Abul Hasan As-Syazuli r.anhu terasa ketenangan. Rombongan kami selamat tiba di Masjid Sayyidi Abul Hasan As-Syazuli sekitar jam 8 pagi setelah semalaman bermusafir yang memakan masa hampir 13 jam. Perjalanan yang ditemani dengan bukit-bukau dan padang pasir-sesekali melintasi hotel mewah dan rumah tumpangan di tepi Laut Merah berhampiran pelabuhan Safaga.Banyak juga check point pemeriksaan polis yang terpaksa kami lalui. Syeikh Ashraf malam itu tidak dapat tidur kerana bimbangkan keselamatan kerana pada awalnya kami dimaklumkan terlalu sukar untuk melepasi kawalan pemeriksaan polis kerana orang-orang asing (Ajnabi). Tambahan pula destinasi kami ke Masjid Sayyidi Abul Hasan Syazili itu berada di tengah-tengah lembah padang pasir. Sebelum ini Syeikh Ashraf berpesan kepada saya, hanya mereka yang memiliki pasport dan visa sahaja yang dibenarkan mengikuti rombongan kami. Beberapa orang teman yang telah mendaftarkan diri terpaksa menarik diri di saat-saat akhir kerana ketiadaan visa. Setiap kali di pemeriksaan, polis yang bertugas akan bertanya kami dari mana dan kemana kami? Jawab pemandu bas 'Ammu Khalid "Hum talabah fil Azhar, ziarah Abil Hasan Syazli.." (Maksud: mereka belajar di Al-Azhar, nak ziarah Sayyidi Abul Hasan Syazuli).

Alhamdulillah, sekitar jam 8 pagi kami selamat tiba di kawasan Masjid wali agung ini. Keadaan masjid masih dalam kerja pembaikan dan pembesaran. Kelak projek yang dijangka siap tahun depan akan memperlihatkan keadaan maqam berada di dalam masjid dan luasnya seperti Masjid Sayyidi Dusuqi atau Sayyidi Ahmad Badawi Tanta.

Ini adalah kali kedua saya dikurniakan Allah menziarahi wali ini. Kali pertama tahun lepas di bulan Ramadhan bersama rombongan Syeikh Nurudin Al-Banjari yang bermalam di sana serta mengadakan pengajian beliau di dalam maqam tersebut.

Jaulah Aswan Sempena Maulid Syeikh


Hampir lima hari saya dan teman-teman mengadakan jaulah sempena Maulid Syeikh Soleh Jaafari di Aswan bermula 8 hingga 12 Februari lepas. Rombongan kami di bawah kendalian guru kami, Syeikh Ashraf Hamid Hasanain bertolak dari perkarangan Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Hayyul Khalidin, Darrasah, Kaherah dengan sebuah bas selepas solat Maghrib. Turut solat bersama kami malam itu Sayyidi Husain Ibn Sayyidi Abdul Ghani yang turut bertolak ke Aswan bagi menyertai sambutan maulid di sana. Beliau dan keluarga bertolak menaiki kereta api dari Ramsis.Rombongan kami menaiki bas disertai hampir 30 orang pelajar Malaysia (12 orang dari Kelantan, 15 dari Kedah dan bakinya Negeri Sembilan) manakala selebihnya pelajar Indonesia, seorang Pakistan dan seorang China. Kebanyakannya adalah murid Syeikh Ashraf yang mengaji Al-Quran dari beliau setiap pagi di maqam Syeikh Soleh.Pada awalnya terdapat sedikit masalah pada wal perjalanan kerana bilangan kami yang lebih dari kerusi yang ada, namun akhirnya perjalanan berjaya diteruskan. Bacaan Al-Fatihah dan doa dibaca sebelum perjalanan bagi memohon keselamatan dari Allah. Bersama kami seorang sahabat karib Syeikh Ashraf, iaitu Ustaz Dihab. Beliau menyelia kelas tahfiz Al-Quran di masjid kawasan rumah beliau di Bandar Hari 10 Ramadhan (Madinah Al-'Asyir Min Ramadhan) yang terletak di jalan ke Ismailiyyah. Destinasi pertama kami pada hari pertama ialah Maqam dan Masjid Sayyidi Abul Hasan As-Syazuli di Humaithara.

Khamis, 4 Februari 2010

Seharian di Mansurah, Malam bersama Syeikh Fadhil


Seharian semalam saya dan teman Badan Pengurus saudara Zuhaili Saiman dan saudara Mohamad Azlan Hj.Alias berada di bumi Mansurah bagi tujuan menziarahi ahli dan bertanya khabar keadaan di sana. Ia juga bertujuan menghantar kitab Tafsir Jailani yang ditempah oleh para pelajar Malaysia di sana. Bumi Mansurah sekarang ini agak padat dengan kedatangan pelajar perubatan yang semakin bertambah saban tahun. Setelah pulang dari Mansurah, saya dan saudara Azlan bergegas ke Maaradh (Pameran Kitab) yang berlangsung ketika ini bagi menjemput Syeikh Fadhil Jailani Al-Husaini. Kesesakan yang maha dahsyat menyebabkan kami terlewat namun kesediaan syeikh yang sedia menanti untuk menjadi tetamu kepada kami. Kami menjemputnya ke rumah Perak Baru sebagai tempat penginapan beliau untuk beberapa hari ini. Sebelum ini Syeikh Fadhil menginap di rumah tumpangan sekitar Masjid Saidina Husain namun atas permintaannya mahukan tinggal berhampiran dengan para pelajar menyebabkan kami segera mencari tempat penginapan syeikh yang berhampiran dengan pelajar Malaysia dan Indonesia. Agak sukar pada awlanya kerana rumah tumpangan Indonesia yang diuruskan oleh Syeikh Rahimudin penuh. Begitu juga saya yang menguruskan Rumah Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Alhamdulillah akhirnya setelah menghubungi YDP Perak akhirnya bilik tetamu Rumah Perak menjadi tempat syeikh bertamu. Setelah bersusah payah YDP dan teman-teman dari Perak mengemas bilik bagi keselesaan syeikh, kami meminta izin dari syeikh bagi beliau berehat. Kerana aktiviti beliau hari esok (Jumaat) agak padat. Beliau bercadang untuk solat Jumaat di Masjid Imam Syafie bagi menziarahi ulamak tersohor itu dan terus ke Maaradh bagi pertemuan dengan Pengurus Bahagian Pameran (Maaradh) jam 3 petang.

Rabu, 3 Februari 2010

Bertemu Syeikh Fadhil di Maaradh


Setelah lama tidak mengaktifkan tulisan blog ini, tiba-tiba hari ni terasa nak mencatat. Petang tadi saya sempat ke Pameran Kitab (Ma'aradh) bagi bertemu dengan Syeikh Fadhil Al-Jailani Al-Husaini, salah seorang keturunan Raja Auliya' Sayyidi Abdul Qadir Al-Jailani. Tujuan saya dan teman-teman bertemu beliau selain bertemu mata bagi menyampaikan hasrat PMRAM menjemput beliau ke majlis bersama warga Malaysia yang dirancang pada 7 Februari iaitu Ahad ini. Ternyata pertemuan yang berlangsung dengan penuh muhibbah tadi diaturkan oleh guru kami Syeikh Rahimuddin dari Indonesia.