Selasa, 31 Mei 2011

BENARKAH MAHASISWA AL-AZHAR LEMAH BERBAHASA ARAB?


Isu mahasiswa Al-Azhar lemah dalam menguasai Bahasa Arab sekali lagi diputar dan dimainkan baru-baru ini. Sekali lagi kita dikejutkan dengan kenyataan sedemikian setelah hampir beberapa ketika tidak kedengaran. Dalam hal ini, PMRAM telah memberikan penjelasan dan pada syaa memadai jawapan tersebut bagi menangkis secara langsung tuduhan tersebut. (Klik untuk baca jawapan PMRAM). Cuma dalam tulisan ini saya ingin lontarkan beberapa persoalan:


1. Isu kelemahan dalam Bahasa Arab ini bukan kali pertama disebut bahkan sudah bertahun-tahun. Seperti yang kta ketahui, bagaimana wujudnya muhafazah sekarang ini yang terbentuk sekitar tahun 1992 juga adalah kerana bagi memastikan pelajar-pelajar boleh menguasai Bahasa Arab. Ini kerana kata sesetengah pendapat, jika mahasiswa kita berkumpul hanya di satu tempat iaitu Kaherah sahaja maka matlamat menguasai Bahasa Arab tidak kesampaian. Justeru mereka wajar di tauzik dan dipecahkan ke kampung-kampung hingga tertubuhnya Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) yang dinaungi PMRAM. Sekitar awal 90-an itu maka diwujudkan Ketua Lajnah Muhafazah dan Unit Muhafazah dalam organisasi PMRAM bagi memastikan kebajikan mahasiswa kita di muhafazah terjaga. Namun, setelah hampir 20 tahun berlalu, 'lagu lama' berjudul "Kelemahan Mahasiswa Al-Azhar Menguasai Bahasa Arab" masih lagi kedengaran dan ini menjadi sebab mengapa pelajar-pelajar Malaysia tidak boleh lagi berada di muhafazah-muhafazah dan semuanya perlu ditempatkan pada satu tempat. Maka bermula tahun lalu maka sudah tiada lagi penghantaran pelajar ke muhafazah. Persoalan yang saya ingin cetuskan di sini, mengapa setelah hampir 20 tahun perkara ini masih lagi berbangkit? Adakah bermakna 20 tahun masih belum memadai bagi pihak berwajib mengatasi masalah kelemahan Bahasa Arab yang dikatakan berlaku ini? Berapa lama lagi tempoh yang ingin diberikan bagi menjadikan seseorang pelajar Malaysia fasih berbahasa Arab? Adakah ia berpunca dari individu atau pihak Universiti Al-Azhar atau dari nizom iaitu sistem pendidikan di tempat kita?

2. Kedua, dari segi logiknya, alasan untuk menempatkan pelajar-pelajar di muhafazah yang pernah digunakan dahulu agak logik berbanding alasan sekarang iaitu untuk menempatkan di Kaherah sahaja. Apa tidaknya, alasan 20 tahun dahulu lebih logik kerana untuk berbahasa Arab, pelajar kita perlu bergaul dengan warga Arab dan tidak boleh bergaul sesama Melayu sahaja, maka perlu mereka diasingkan dan dipecahkan ke muhafazah. Jika alasan sekarang ini, sudah ada muhafazah, kenapa tidak dihantarkan ke sana dan ingin dikumpulkan di Kaherah yang tentu pergaulan mereka adalah sesama warga Malaysia?

3. Saya ingin bertanya, kelemahan dari sudut mana yang dimaksudkan? Kerana dalam berbahasa kita diajar dengan beberapa kemahiran iaitu mendengar, membaca, menulis dan bercakap. Mustahil semua pelajar-pelajar Al-Azhar lemah dan tidak tidak tahu apa-apa dari semua sudut. Kalau tidak, mana boleh setiap tahun ada saja yang berjaya dalam peperiksaan dan kembali ke Malaysia berkhidmat untuk negara. Dan kalau tidak juga, bagaimana hampir setiap masjid dan surau di setiap negeri terdapat golongan lepasan Al-Azhar yang membacakan Tafsir, Hadith dan kitab-kitab Arab dalam siri kuliah mereka. Atau jika ingin disebutkan lagi, bagaimana golongan lepasan Al-Azhar boleh diberikan kedudukan dalam kerajaan yang memegang jawatan pegawai yang mereka akan dirujuk berkaitan hukum-hakam dan persoalan agama. Lihat berapa ramai lepasan Al-Azhar di Majlis Agama negeri-negeri, Jabatan Agama negeri-negeri, mahkamah syariah, JAKIM, IKIM dan syarikat-syarikat kerajaan lain bahkan terdapat mereka yang menjadi penasihat atau panel syariah di Bank-Bank bahkan di Bank Negara. Kesemua empat kemahiran yang disebutkan tadi adalah berbeza. Berapa ramai mereka yang mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik (iaitu kemahiran menulis) tetapi gagal dalam menguasai kemahiran bercakap. Ada mereka yang menguasai kemahiran bercakap tapi lemah dari segi kemahiran membaca. Ada pula yang menguasai kemahiran menulis dan bercakap tapi sukar untuk memahami iaitu dia gagal dalam kemahiran mendengar. Jika perlu diperhalusi, sebagai contoh gaya bahasa Arab dalam kitab ilmiah berbeza dengan gaya bahasa dalam berita atau akhbar. Contoh lagi, ada yang boleh membaca kitab-kitab kuliah tapi tidak boleh membaca akhbar harian sama ada "Al-Ahram", "Al-Jumhuriah" atau "Al-Misril Youm".. Dalam seni bahasa kitab ilmiah pula, berbeza bahasa antara kitab moden (mu'asoroh) dengan kitab lama (turath). Demikianlah uniknya seni bahasa Arab yang ALLAH pilih untuk dibangkitkan Rasul terakhir adalah dari bangsa Arab dan Kalam ALLAH juga dalam Bahasa Arab. Sebab itulah Al-Quran disebut sebagai mukjizat.

4. Kita pernah diajar ketika berada di sekolah dulu, tujuan utama belajar Bahasa Arab adalah untuk memahami Al-Quran dan Hadith. Itu matlamat asas yang kita diminta supaya betulkan niat. Bukan untuk kerja, bukan untuk masuk berdebat dan bukan untuk bermegah-megah. Jika kita belajar Bahasa Arab dan boleh memahami Al-Quran, tersentuh dengan bacaan Al-Quran, mudah mengalirkan air mata sewaktu solat mendengar bacaan imam maka tujuan dan matlamat kita sudah kesampaian.


5. Memang tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir mereka yang lemah dalam menguasai Bahasa Arab tapi tidaklah boleh dijadikan kayu pengukur untuk menghukum kesemua. Seperti kes mereka yang aktif dalam berpersatuan tapi lemah dari sudut akademik, tidaklah boleh dijadikan pengukur bahawa persatuan menyebabkan seseorang lemah dari sudut akademik sedangkan mereka yang tidak terlibat langsung dalam persatuan pun ada yang lemah dari sudut akademik. Pihak persatuan sudah banyak membantu, adakan kelas tutorial, jemput motivator untuk bakar semangat dan tawaqqufkan program dua bulan sebelum peperiksaan bermula. Bagi saya, itu terletak atas kehendak dan kemahuan masing-masing. Walaupun ada kempen untuk berbahasa Arab, tapi masih ada yang malu-malu untuk bercakap. Bahkan tiada keinginan untuk bertutur dalam Bahasa Arab. Jika bertutur pun, pengaruh Bahasa Arab 'Ammi terlalu kuat. Ini bahaya apabila selalu berbahasa 'Ammi dan ini mengapa Al-Imam Hasan Al-Banna memasukkan salah satu dari wasiat beliau yang 10 itu antaranya ialah "..berusaha untuk bercakap Bahasa Arab fushah..." Seperti yang disebutkan oleh PMRAM, pihak PMRAM telah merangka pelbagai program sebelum ini bagi penguasaan Bahasa Arab Fushah antaranya acapkali sebelum ini mengadakan majlis pengajian bersama para ulamak Al-Azhar seperti muhadhoroh 'ammah, bacaan Kutub Sittah dan sambutan hari-hari agung dalam Islam.

Kesimpulannya:

1. Kemahiran Bahasa Arab tidak boleh dilihat hanya kepada satu sudut sahaja iaitu kelemahan bercakap tetapi terdapat kemahiran-kemahiran lain yang juga perlu dinilai. Jika tidak, kita tidak adil dalam meletakkan neraca pertimbangan.

2. Kegagalan segelintir mereka yang gagal untuk kemahiran bercakap dalam Bahasa Arab Fushah, tidak boleh dihukum secara rambang. Demikian itu terletak di atas kehendak dan kemahuan individu masing-masing.

3.Tujuan utama kita mempelajari Bahasa Arab dengan faham Nahu,Soraf,Balaghah dan lain-lain bagi memahami sumber utama agama iaitu Al-Quran, Hadith dan membaca kitab-kitab para ulamak. Setidak-tidaknya, boleh menyampaikan kepada masyarakat melalui pengajian dan siri kuliah di masjid dan surau di negeri kita.

4.Jangan terlalu mengikut rentak 'lagu lama' yang sering dimainkan ini yang kita percaya akan terus di'dendang'kan pada masa-masa akan datang, kelak segala kerja dan usaha kita di Perlembahan Nil ini akan terbantut. Kita terima sebagai satu cabaran buat terus meningkatkan kualiti Bahasa Arab kita sekadar termampu. Buat mahasiswa dan mahasiswi sekalian, cuba pelajari dan gunakan Bahasa Arab dalam pergaulan kita hingga kita akan dapati ia satu bahasa yang unik dan penuh dengan bunga-bunga bahasa.

Beberapa persoalan yang dibangkitkan di atas diharapkan dapat mencelikkan mata mereka yang membuat tuduhan tidak berasas terbabit. Ia adalah satu isu dan persoalan lama yang dibangkitkan kembali dan seakan-akan mahu menjatuhkan imej Al-Azhar di mata masyarakat dan Mesir yang puluhan tahun menjadi tempat tumpuan mereka menuntut ilmu.

Khamis, 26 Mei 2011

USTAZ FARKHAN DAN PMRAM AJAR SAYA CAKNA ISU

20 Mei lepas kira-kira seminggu lalu, saudara Farkhan Mohd Zain, mantan Badan Pengurus PMRAM telah pulang ke Malaysia setelah berkhidmat untuk PMRAM selama dua penggal bermula sebagai Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan dan Naib Presiden III PMRAM. Secara peribadi, kepulangan beliau terasa satu kehilangan buat saya dan teman-teman lain,bukan sekadar beliau seorang yang memiliki sifat setiakawan,bahkan beliau tempat dirujuk dan bertukar-tukar sesuatu isu yang berlaku. Isu-isu yang berlaku baik temptan dan luar dikongsi dan ternyata jika saya mengambil tahu isu yang berlaku, ada saja maklumat tambahan yang ada ada beliau, tiada pada diri syaa dan teman-teman lain. Sukar untuk mencari seorang 'pakar rujuk' yang setanding dengan beliau.

Memang tidak boleh dinafikan, tercabar dan terdorongnya saya mengamati dan meminati isu-isu semasa adalah terkesan dari beliau. Melihat beliau hampir setiap hari membeli akhbar harian Mesir seperti "Al-Ahram" atau "Masril Youm", juga menjadikan sebab untuk saya mencontohi beliau. Antara yang beliau sering pesankan seingat saya "Pimpinan kena kuasai isu..tapi jangan sampai isu menenggelamkan matlamat kerja kita.." Maksud kata, jika isu yang terpalit dengan PMRAM, jangan sampai terbantut gerak kerja kita semata-mata untuk menghambat untuk menjawab isu. Kata beliau, kadang-kadang sesuatu 'isu picisan' sengaja dicipta untuk mengalihkan tumpuan dari isu yang sebenar.

Contoh yang mudah,ketika terbongkar dalang di sebalik peristiwa siri pengeboman di Mesir selama ini-sebelum ini kita dikejutkan dnegan pengeboman hotel di Toba, Sharm Al-Sheikh dan Husein- terbaru awla tahun ini ketika masyarakat Kristian merayakan sambutan mereka, berlaku pengeboman kereta di luar gereja di Iskandariah yang menyebabkan 20 rakyat Mesir berbangsa Qibti terkorban-rupanya yang merancang dan mendalangi isu ini ialah anak bekas Presiden Mubarak iaitu Jamal Mubarak. Contoh bagaimana letupan di luar gereja di Iskadariah boleh berlaku kerana jika kita ingat, akhir tahun lalu (2010), Mesir berhadapan dengan Pilihan Raya Parlimen paling kotor dalam sejarah yang penuh penipuan yang memaksa Syura Ikhwan Muslimin memutuskan untuk memboikot pilihanraya ini pada pusingan kedua walaupun pada awalnya mereka menyertai. Yang menakjubkan, sokongan kepada Mubarak meningkat hingga 90 peratus. Ini menyebabkan rakyat Mesir terutama pembangkang mendedahkan penipuan dan ia semakin menjadi buah mulut rakyat. Oleh itu, bagi 'menutup mulut' rakyat dari terus bercakap, taktik mengalihkan isu dibuat dengan rancangan yang amat licik oleh Jamal Mubarak dengan kerjasama bekas Menteri Dalam Negeri, Habib Adli. Selepas letupan yang mengakibatkan puluhan korban, mana lagi rakyat nak bincang pasal pilihanraya, semua berubah topik kepada keganasan dan berkaitan pengeboman tersebut.

Apa yang penting bagi saya, penguasaan dan memahami isu semasa amat penting buat mereka yang bergelar mahasiswa apatah lagi pimpinan. Bukan susah, ia berada di hujung jari dengan melayari internet selain berita di dada-dada akhbar. Kalau melayani Facebook boleh menghabiskan masa berjam-jam, apalah salahnya sambil itu cuba layari berita atau ambil tahu berkaitan dnegan isu. Memang sikap suka membaca itu satu amalan yang membawa kepada berjayanya seseorang. Mereka diluar sana terlalu ramai tapi suka saya ambil contoh Dato' Husam Musa, EXCO Kerajaan Kelantan. Kata orang, beliau mempunyai fakta yang kuat serta hujah yang mantap. Berhujah dengan fakta menjadi satu asas kepada pidato-pidato beliau. Dari mana fakta itu jika tidak dari minat beliau yang suka membaca dan mengkaji. Semasa satu majlis yang sempat syaa iringi beliau ketika kehadiran beliau ke Mesir 3 tahun dahulu di satu Rumah BKAN, sampai sahaja beliau di lobi rumah tersebut, perkara pertama yang dilakukan selepas bersalam dnegan kami, beliau menuju ke papan kenyataan dan meneliti satu persatu pada kertas yang tercatat di situ walaupun berkaitan iklan program. Didapatinya pula satu rak majalah, beliau segera membelek helaian majalah dan buku di rak tersebut. Maksudnya, bahan bacaan beliau tidak terhad.

Itulah berjayanya PMRAM mengubah diri saya, sepanjang 2 tahun dalam Badan Pengurus PMRAM..dari seorang yang malas mengambil tahu isu kepada yang cuba mengambil tahu isu. Terima kasih kepada PMRAM..

CERITA KUCING DAN TIKUS DI MUKTAMAR PMRAM

Dalam ucapan penangguhan saya di Muktamar Sanawi PMRAM ke-78 di Solah Kamil baru-baru ni, saya ada nukilkan cerita kumpulan tikus dan kucing. Walaupun sejarah sebelum ini, tiada ucapan penangguhan disampaikan oleh Penasihat PMRAM dalam muktamar. Mereka sekadar hadir. Sebab itu dalam Minit Muktamar tercatat Penasihat dalam kalangan "Turut Hadir". Tapi tahun ini mungkin kerana hanya seorang Penasihat yang berada di dalam muktamar, maka Presiden ketika itu, saudara Shahrizan menulis nota ringkas disampaikan kepada saya, meminta saya menyampaikan sedikit ucapan selepas berucapnya suadara Zuhaili, Timbalan Presiden ketika itu. Ketika memikirkan tajuk apa yang ingin saya ucapkan, tiba-tiba terlintas di benak fikiran akan cerita tikus dan kucing.


Ceritanya kumpulan tikus ini selalu menghadapi ancaman diburu oleh seekor kucing. Hampir setiap hari ada saja si tikus menjadi mangsa dibaham oleh sang kucing. Lalu,kata ketua kumpulan tikus, kalau begini maka akan terhapus generasi tikus, lalu dipanggil mesyuarat tergempar menghimpunkan semua ketua-ketua tikus di bawahnya bagi mengambil langkah segera menyekat kemaraan kucing yang semakin melampau. Lalu, terdetik satu cadangan dari salah seorang ahli mesyuarat, "Apa kata, kalau kita kalungkan loceng di leher kucing itu.." Ahli-ahli mesyuarat lain kelihatan bersetuju kerana ia seakan-akan idea yang amat bernas. Tanya si ketua yang mempengerusikan mesyuarat, "Siapa setuju dengan cadangan ini?" Semua sang tikus yang menghadiri mesyuarat mengangkat tangan. Lalu si ketua mencetuskan satu persoalan, "Siapa dari kalangan kita yang akan mengalungkan loceng tadi?" Apabila soalan itu dilontarkan, maka berpandanganlah sesama sendiri antara tikus-tikus tadi. Walaupun kelihatan satu idea yang bernas tapi hakikatnya ia sekadar retorik dan tidak berpijak pada realiti. Ini kerana masing-masing tahu, siapa saja yang berani mengalungkan loceng tadi maka sebenarnya dia telah mengambil risiko untuk menggadaikan nyawanya sebelum loceng tersbeut dikalungkan di leher sang kucing.

Itu sekadar kiasan cerita saya bagi membangkitkan kesedaran perwakilan yang hadir dan ahli di luar. Betapa saya sejak dari pagi dan hingga berakhir muktamar saya amati pelbagai idea yang dilontar. Terutama ketika usul berkaitan dengan mempertahankan BKAN Melaka, hingga yang sanggup mencadangkan untuk turun ke Rumah Melaka seperti hal yang pernah dibuat PMRAM kira-kira 5 tahun dulu seingat saya ketika BKAN Selangor ditindas ketika itu.

Dalam hal ini, saya tidak menentang dan tidak mengatakan tidak bersetuju tapi harus diingat, jika cadangan itu dibuat, kepada siapa harus pimpinan PMRAM meminta untuk menjayakannya jika bukan dari kalangan pendukung PMRAM itu sendiri? Maka jika demikian, kuatnya PMRAM apabila cadangan itu dijayakan dengan tindakan. Kalau sekadar melontarkan idea dan apabila sampai seruan tiada tindakan yang dilakukan,maka itu yang saya kurang sedikit bersetuju.

Sebab itu saya sebutkan di awla ucapan betapa Revolusi Mesir yang kita alami bukan sesuatu yang sia-sia. Di sebalik revolusi tersebut, terdapat seribu satu pengajaran yang boleh diperolehi. Antaranya saya sebutkan sesuatu perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Contohnya, suasana aman dan bebas serta keadilan yang sedang dan bakal rakyat Mesir nikmati ini adalah memerlukan pengorbanan yang maha hebat dari rakyat mereka sendiri. Ini terbukti walaupun hanya memakan masa 18 hari sebelum jatuhnya Mubarak, angka korban dari rakyat Mesir mencapai hinga ratusan..kata setengah 300 kata ada lebih bahkan mencecah 800 orang. Ketika mana pemuda-pemuda yang terkorban itu merelakan dada mereka dibolosi oleh peluru-peluru hidup polis Mesir, mereka telah meletakkan diri mereka sebagai benteng agar walaupun mereka tahu,mereka takkan sempat melihat dan mengecapi kebebasan selepas kematian mereka, biarlah generasi mereka merasainya. Seperti kata lirik kata dalam lagu "Ana Bihibbik Ya Baladi"...:

"Katakan kepada ibuku jangan kamu marahiku,
Hidupnya aku di sisimu sesuatu yang kamu tidak rasai,
Maafkan daku wahai ibu...
Sekalipun aku mati akan tetapi negara kita tetap akan terus hidup..."

Rabu, 25 Mei 2011

MUKTAMAR PMRAM KE-78


Muktamar PMRAM kali ke-78 telah berlalu sekira-kira dua minggu yang lalu..Hanya saya seorang barisan Penasihat PMRAM (lelaki) yang menyertai Muktamar. Untuk sesi 2010 lalu, tiga orang Penasihat dilantik selain saya saudara Khairul Anuar Ismail dan saudara Abdul Mu'izz Muhammad kedua-duanya mantan Presiden PMRAM.Takdir ALLAH, kedua-dua mereka berada di Malaysia sewaktu Muktamar berlangsung dan hanya tinggal hamba yang kerdil ini. Alhamdulillah, Muktamar berlangsung dalam suasana yang harmoni dan berjalan lancar di Dewan Solah Kamil. Dalam suasana keadaan politik Mesir yang masih belum stabil, PMRAM terus melangkah.

KEMBALI BERBLOG


Selamat kembali ke medan penulisan blog setelah sekian lama tidak menulis..Kira2 hampir setahun lalu..Bebanan kerja agak kurang selain terus diamanahkan sebagai Penasihat PMRAM 2011 dan juga Ahli Lembaga Penasihat KPKM, tumpuan sekarang untuk peperiksaan yang bakal menjelang pada pertengahan Jun ini..Bak kata orang, "Masa nak exam ni la,dia nak buat macam2..nak perhidup blog pun masa ni la..sebab bila exam dah dekat, program2 pun dah tak der,maka apa saja yang terlintas dalam benak fikiran maka mahu ditulis..." Tambahan selepas Revolusi 25 Januari...

Mungkin gaya penulisan musim baru ni lebih santai..Semoga ada manfaatnya