Jumaat, 23 Disember 2011

BEKAS MENTERI MUBARAK TEWAS DI SYARQIYYAH

Dalam kawasan pilihanraya Parlimen peringkat kedua ini, yang menjadi tumpuan saya ialah daerah ketiga dalam wilayah Syarqiyah yang menyaksikan pertandingan antara calon Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) untuk kerusi (Fi At) yang diwakili oleh Ir. Muhammad Fayadh. (Ibu negeri bagi wilayah SYARQIYYAH ialah ZAQAZIQ).

Beliau ditentang oleh bekas Menteri Kebajikan Masyarakat zaman Mubarak (tentunya dari kalangan FULUL), Dr.Ali El-Musailahi.
Ir.Muhammad Fayadh (kanan) dan Ibrahim Salim (kiri) -Ahli Parlimen baru FJP bagi daerah ketiga Syarqiyyah

Nama beliau dikenali kerana kementeriannya merupakan kementerian yang menaungi PMRAM. Dalam kempen yang begitu sengit di kubu Musailahi itu, akhirnya nasib menyebelahi FJP apabila Muhammad Fayadh menang dengan undi 178,074 undi berbanding Musailahi yang hanya memperoleh 155,162 undi.
Ali Musailahi, bekas Menteri zaman Mubarak-tewas di tangan calon FJP

Seorang lagi calon FJP (Buruh) untuk daerah yang sama, iaitu Ibrahim Salim juga diumumkan menang dengan undi 191,270 berbanding lawannya juga calon bekas NDP Mubarak (atau FULUL) Ali Kisyk dengan undi sebanyak 126,764. (Sumber: Web Ikhwan Syarqiyah KLIK)

Untuk rekod, wilayah Syarqiyah menyaksikan FJP dapat menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi pada pusingan ulangan apabila kesmeua 10 calonnya memperoleh kemenangan.

Untuk maklumat lanjut, layari web Ikhwan Muslimin cawangan Syarqiyyah :
http://sharkiaonline.com

CALON FJP MENANG 40 DARI 49 PUSINGAN ULANGAN

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) sekali lagi mencatatkan kejayaan besar pada pusingan ulangan bagi peringkat kedua yang berakhir Khamis lepas dan sedang bersedia berhadapan dengan pusingan ketiga (terakhir) yang ditetapkan pada 3 dan 4 Januari depan. Sementara itu, Setiausaha Agung FJP, Dr.Saad Katatni berkata, hingga sekarang, seramai 10 juta pengundi Mesir telah memberikan undi kepada FJP.

FJP meletakkan 49 calonnya bagi pusingan ulangan peringkat kedua namun 40 daripadanya menang. Berikut pecahan calon FJP dan mereka yang menang berdasarkan sembilan wilayah tersebut:

1) Giza:
Menang 8 dari 9 calon

2) Menufiyah:
Menang 6 dari 6 (sapu bersih)

3) Buhaira :
Menang 7 dari 10 calon

4) Bani Suwef :
Menang 4 dari 6 calon

5) Syarqiyah :
Menang 10 dari 10 calon (sapu bersih)

6) Ismailiyyah :
Seorang calon sahaja dan menang

7) Suwes:
Seorang calon sahaja dan menang

8)Suhaj :
Menang 3 dari 4 orang calon

9) Aswan:
Dua orang calon dan tewas kedua-duanya.

Keputusan rasmi dari pihak Suruhanjaya Pilihanraya Mesir (SPR) akan diumumkan tengah hari esok, Sabtu.

Dalam pada itu, Ikhwan Muslimin dan FJP menyambut baik dengan keputusan Ketua Pemerintah Tentera, Musyir Husin Tantawi yang menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh pertama persidangan Dewan Rakyat.

Rabu, 21 Disember 2011

WAKIL RAKYAT PERTAMA DARI PARTI NUR SALAFI MENINGGAL DUNIA


Parti Nur Salafi hari ini kehilangan seorang wakil rakyat mereka apabila Syeikh 'Adil Abu Solib (gambar) wakil rakyat bagi daerah kedua (Buruh) bagi daerah Utara Giza meninggal dunia setelah serangan jantung, Selasa semalam. Allahyarham memenangi kawasan tersebut pada pusingan pertama fasa kedua 14 dan 15 Disember lalu.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1959 dan memiliki Diploma Kepejabatan dan Kesetiausahaan tahun 1980. Aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan apabila dilantik sebagai pengerusi sebuah NGO, Jam'iyyah Syar'iyyah di Ahram. Antara sumbangan beliau ialah menubuhkan beberapa kolej pengajian antaranya Kolej Pengajian Umar bin Al-Aziz, bagi peringkat menengah dan rendah.

Ucapan terakhir beliau ungkapkan pada Facebook beliau setelah diisytiharkan menang "Terima kasih bagi kalian dan setiap yang mengundi bagi senarai Parti Nur-juga yang mengundi kepada parti-parti dan senarai yang lain.."

Allahyarham pernah bertanding sebelum ini pada pilihanraya 2005 atas tiket calon bebas tetapi tewas di tangan calon Parti pemerintah, NDP akibat penipuan pilihanraya. Walaupun ada tuduhan yang mengatakan beliau adalah ahli Pati Demokratik Kebangsaan (NDP) yang dibubarkan tetapi ia dinafikan oleh Parti Nur.

Ikhwan Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) telah menghantar wakil menziarahi jenazah Allahyarham bagi mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Ia diketuai oleh Ketua Pejabat Ikhwan Muslimin daerah Giza, Sayyid An-Nuzaili, Ketua pejabat ikhwan bagi Ahram, Ali Jabir selain Ahli Parlimen bagi FJP, Ezzab Mustafa.

MENGUNDI ADALAH TUNTUTAN SYARAK-KESATUAN PENDAKWAH MESIR

Kesatuan Pendakwah Islam Mesir menyeru supaya rakyat Mesir yang layak mengundi untuk menunaikan kewajipan masing-masing kerana ia adalah kefadhuan syarak khasnya dalam keadaan perkembangan semasa Mesir yang terlalu mendesak.

Kenyataan kesatuan yang masih diperingkat penajaan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum pilihanraya bermula 28 November lalu. Wakil kesatuan yang ditubuhkan menggabungkan para pendakwah Islam di bawah pantauan Kementerian Wakaf itu, Syeikh Abdul Aziz Rejab berkata, penyertaan dalam proses pilihanraya merupakan penyaksian di hadapan Allah dan ia dikuatkan lagi dengan firman ALLAH yang melarang menyembunyikan penyaksian sebagaimana firmanNya:
"Siapakah lagi yang lebih zalim dari mereka yang menyembunyikan penyaksian di sisi ALLAH dan ALLAH tidak pernah lupa apa yang kamu kerjakan".

Beliau juga meminta supaya para pengundi memilih calon yang sesuai yang mampu memenuhi syarat-syarat pemimpin seperti berkelayakan, berpengalaman, baik dan mampu berkhidmat untuk tanah air. Beliau mengingatkan ancaman Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis "Sesiapa yang bersaksi atas seorang muslim dengan penyaksian bahawa dia bukanlah ahli yang selayaknya maka tempatnya adalah dalam neraka".

Pesan beliau, hendaklah penyaksian itu dilakukan semata-mata kerana ALLAH, bukan kaum kerabat atau hal-hal lain.

Selepas kejatuhan rejim Mubarak, para pendakwah, imam dan khatib di bawah Kementerian Wakaf telah mengambil inisiatif menubuhkan kesatuan bagi menjaga kebajikan ahli mereka di Mesir. Ia seperti kesatuan profesional yang lain seperti Kesatuan Peguam, Kesatuan Doktor, Kestauan wartawan dan lain-lain.

Sumber: Al-Ahram (klik)

PENGUNDIAN PUSINGAN ULANGAN BAGI PERINGKAT KEDUA HARI INI DAN ESOK

Hari ini, Rabu dan Khamis adalah pusingan ulangan bg fasa kedua utk 9 wilayah- dgn FJP terpaksa mengulang bg 49 calonnya.
Sumber: Akhbar Hurriyah wal 'Adalah,Rabu 21 Di 2011

Hari ini, Rabu 21 Disember dan esok, Khamis, 22 Disember adalah ditetapkan pilihanraya ulangan bagi pusingan kedua yang melibatkan 9 wilayah lagi iaitu:

-Giza
-Menufiyah
-Bani Suwef
-Buhaira
-Suez
-Aswan
-Suhaj
-Syarqiyah
-Ismailiyah

Berkaitan kedudukan kerusi bagi parti-parti yang bertanding di Mesir hingga pusingan kedua yang mempunyai jumlah kerusi sebanyak 236 kerusi:

-Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mendahului dengan 117 kerusi dengan 47 calonnya mengulang pada pusingan kedua ini.
-kedua diikuti Parti Nur Salafi (45 kerusi) dengan 25 calon pada pusingan ulangan.
-Kutlah Masriyah yang menggabungkan Parti Misriyyan Al-Ahrar, Tajammuk dan Masry El-Demoqrati sebanyak 26 kerusi dan 3 orang calon pada pusingan ulangan.
-diikuti Parti Wafd Liberal sebanyak 24 calon dan 3 orang calonnya pada pusingan ulangan
-Parti Wasat memperolehi 5 kerusi
-Parti serpihan NDP bekas Mubarak atau istilahnya FULUL sebanyak 3 kerusi.

Selasa, 20 Disember 2011

ULASAN SYEIKH WAJDI GHUNAIM: TENTERA MESIR TIDAK MAHU MENYERAHKAN KUASA KEPADA RAKYAT


Seorang pendakwah Islam, Syeikh Wajdi Ghunaim mengeluarkan kenyataan bagi mengulas tindakan tentera bertindak kasar terhadap rakyat yang berhimpun di hadapan bangunan Majlis Jemaah Menteri bermula Jumaat 16 Disember lalu. Menurut Ghunaim:

*Mereka yang mengasari rakyat di Tahrir ini adalah bukan dari kalangan tentera Mesir. Ini kerana tentera tidak mungkin mengasari rakyat (kerana tentera terbukti menyokong revolusi 25 Januari lalu) akan tetapi "terdapat pihak yang membenci revolusi tersbeut yang terkesan dengan persengketaan dan dendam lama antara mereka dengan para pendukung revolusi." Kata beliau, mereka mungkin perusuh atau samseng pengikut Majlis Tentera atau pihak Kementerian Dalam Negeri yang memakai pakaian seragam tentera.

*Bahawa mereka ini menghidap penyakit buta hati- bukan buta mata- sekalipun turun petanda atau petunjuk dari langit yang menguatkan bahawa tentera melakukan kekasaran, tentu penyokong Ketua Majlis Tentera, Husin Tantawi sama sekali tidak akan membenarkannya. Sekalipun ratusan gambar dan video telah menunjukkan buktinya kepada dunia hari ini.

*Beliau mempersoalkan kenapa Majlis Tentera tidak bertindak terhadap Israel yang melakukan tindakan biadap dengan membunuh tentera Mesir di sempadan selain melakukan pencerobohan kepada sempadan negara beberapa bulan lalu?

*Majlis Tentera adalah yang banyak mendapat sokongan dari Amerika. Ini jelas apabila Amerika mengalu-alukan Majlis Tentera mengambil alih kuasa selepas kejatuhan Mubarak selain Menteri Luar Isarel yang turut melahirkan pandangan yang sama. Apatah lagi, kenyataan Ketua Tentera, Husin Tantawi bahawa hubungan antara Mesir dan Zionis Israel tidak sama sekali akan terjejas.

*Tentera sebenarnya tidak mahu menyerahkan kuasa dan ini telah diketahui umum bagaimana kenyataan pimpinan tentera antaranya Jeneral El-Mala yang menyebut "Dewan Rakyat yang akan datang tidak akan berfungsi" bahkan terdapat kempen bagi menyokong Tantawi.

*Tentera juga menunjukkan mereka menggunakan senjata import khasnya dari Amerika mengekang kebangkitan rakyat ketika ini menguatkan lagi bahawa mereka sebenarnya tidak akan menyerahkan kuasa kepada rakyat.

Sumber: El-Wafd (klik)

Kenyataan ini susulan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika ini, Dr.Janzuri masih menafikan kekerasan tentera menangani penunjuk perasaan sepanjang rusuhan bermula Jumaat lalu.

Bagaimana sebuah buku tulisa Solah Muntasar bertajuk "Naik dan Jatuh: Dari Persada ke Mahkamah" penulis membongkarkan bahawa hingga hari ini surat peletakan jawatan Mubarak masih belum ditandatangani.

Penulis mempersoalkan kenapa kenyataan Mubarak yang dibacakan oleh timbalannya, Omar Suleiman bahawa dia mempertanggungjawabkan Majlis Tentera bagi mentadbir negara dibuat berdasarkan peruntukkan dalam perlembagaan Mesir yang mana?

Penulis juga mendedahkan bahawa, Omar Suleiman menghubungi melalu telefon kepada Mubarak bahawa dia sedang menyiapkan kenyataan untuk mengumumkan Mubarak meletak jawatan. Tetapi Mubarak meminta tempoh dilewatkan bagi dia dan anaknya, Jamal dan 'Ala'a sempat melarikan diri ke Sharm AsSheikh. Omar Suleiman kemudian membuat rakaman kenyataan bahawa Mubarak meletakkan jawatan dan rakaman tadi dilakukan di Pejabat Majlis Tentera. Kemudian, setelah dibuat rakaman, Omar Suleiman menyerahkan rakaman tersebut kepada Jeneral 'Atman, salah seorang Ahli Majlis Tentera untuk beliau serahkan kepada Stesen Radio dan Televisyen Mesir (Masbero) untuk disiarkan ke seluruh negara.

Isnin, 19 Disember 2011

PARTI ISLAH SALAFI MENANG DI MENUFIYAH ATAS TIKET FJP

Parti Perubahan (Hizul Islah) adalah sebuah parti aliran Islam yang cenderung kepada Salafi. Ia antara parti Salafi yang ditubuhkan selepas revolusi 25 Januari selain Parti Nur, Asolah dan Fadhilah.

Walau bagaimanapun, pendekatan lebih terbuka yang ditunjukkan oleh Parti Perubahan ini dengan bekerjasama dengan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang menjadi sayap politik Ikhwan Muslimin dilihat lebih menguntungkannya berbanding rakan mereka, Parti Nur. Nur dilihat lebih suka mengambil jalan 'konfrantasi' dengan musuh sealiran dengan mereka seperti FJP. Jika bersama parti sealiran dengan mereka iaitu 'aliran agama', pendekatan yang lebih keras mereka tunjukkan dengan parti aliran Liberal dan sekular lain.

Parti Perubahan (Islah) menyertai gerakan pakatan mereka yang dinamakan dengan Tahalluf Demoqrati Min Ajli Misr (Kerjasama Demokrasi Demi Mesir).
Dr.Atiyah Adlan, Presiden Parti Perubahan Salafi

Pada pilihanraya Parlimen ini, antara yang menang ialah Presiden Parti Islah Salafi ini iaitu Dr. Atiyah Adlan yang bertanding atas senarai FJP di daerah kedua wilayah Menufiyah. Semalam, SPR telah mengumumkan kemenangan Atiyah Adlan di daerah tersebut. Tahniah kepada Parti Islah atas kepintaran mereka dalam berpolitik..


IKHWAN MUSLIMIN SANTUNI ARTIS


"Pandangan aku terhadap Ikhwan Muslimin berkaitan hiburan telah berubah" Hani Syanudah.

Seorang ahli seni muzik Mesir yang terkenal, Hani Syanudah bahawa persepsinya terhadap Ikhwan Muslimin kebelakangan ini telah berubah ekoran sikap positif yang ditunjukkan pimpinan pergerakan tersebut terhadap aktiviti kesenian.

Syanudah,anak kelahiran Tanta yang berusia 68 tahun itu berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan Lajnah Kesenian Ikhwan Muslimin dan wakil Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi mengucapkan tahniah atas persembahan yang disertai Syanudah berjudul "Selawat ke Atas Rasulullah" (Sollu 'ala Toha Rasul).

Seorang wakil rombongan tersebut, Dr.Muhammad Al-Zaini berkata, "Hubungan berterusan dengan golongan seni hiburan akan diteruskan bagi menyampaikan pandangan sebenar Ikhwan Muslimin terhadap golongan artis yang menyokong pendirian dan sikap positif mereka."
Syanudah bersama rombongan Lajnah Kesenian Ikhwan Muslimin.

Sumber: http://ikhwanonline.com

Sikap keterbukaan Ikhwan Muslimin yang lebih terbuka ini menyebabkan antara faktor mereka muda didekati berbanding aliran dan pergerakan Islam yang lain. Sudah tentu, pendirian Ikhwan Muslimin atau sayap politik mereka, FJP ditentang oleh aliran Islam seperti Parti Nur dan Pergerakan Salafi yang lebih 'syadid' dan keras terhadap golongan artis, kesenian dan hiburan. Justeru, tidak hairanlah Ikhwan telah membuktikan mereka memperolehi sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga Kristian Qibti yang dibuktikan dalam Pilihanraya Parlimen kali ini.

Ahad, 18 Disember 2011

TENTERA MESIR TIDAK SERIUS TANGANI KONFLIK

Terlalu pantas isu yang berlaku di Mesir-minggu ini sahaja terdapat tiga peristiwa yang berlaku iaitu pilihanraya pusingan kedua bagi Parlimen Mesir pada 14 dan 15 Disember yang keputusannya hanya diketahui hari ini, 18 Disember yang menyaksikan kebanyakan calon terpaksa menyertai pusingan ulangan pada Rabu dan Khamis ini. Peristiwa kedua pada 16 Disember lalu satu protes diadakan di hadapan bangunan Jemaah Menteri dan ketiga menyaksikan pada protes tersebut gugurnya sebilangan rakyat yang menyertai himpunan antaranya Syeikh Imad 'Effat. Hingga kini, seramai 10 orang dilaporkan sudah terkorban dan lebih 500 orang lagi cedera. Ketika artikel ini ditulis, televisyen Mesir masih memaparkan pergolakan yang masih berterusan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan. Terbaru, sebuah pusat kaijan terbakar yang menyaksikan banyak bahan-bahan sejarah dan kajian ilmiah turut musnah.

Esok, Isnin Majlis Tentera diberitakan akan mengadakan sidang media khas bagi mengulas kejadian berdarah yang terbaru ini.

Mesir menyaksikan suasana yang agak tegang kebelakangan. Banyak sudah nyawa terkorban dan harta benda musnah namun rakyat masih ternanti-nanti siapakah dalang di sebalik peristiwa ini?

Sebelum ini, dunia digegarkan dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di Tahrir, kemudian di Masbero (bangunan stesen Televisyen dan Radio Mesir), kemudian kejadian berdarah Abbasiyah. Beberapa minggu lalu, di Jalan Mohammad Mahmud iaitu jalan yang menghala ke bangunan Kementerian Dalam Negeri manakala terbaru ialah di Jalan Jemaah Menteri.

Benar seperti yang disebut oleh Dr.Mohammad El-Baltaji, AJK Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Pusat yang juga Ketua parti bagi daerah Kaherah.

Beliau meminta Majlis Tentera mendedahkan nama-nama yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan pada semua peristiwa-peristiwa tersebut.

Kata beliau "Persoalan yang masih belum menemui jawapan ialah: Siapa yang bunuh mereka yang berhimpun di Masbero, Jalan Mohammad Mahmud, bangunan Jemaah Menteri? Maka Majlis Tentera wajib menjawabnya: Siapa yang melepaskan tembakan?

Atau kata beliau yang juga merupakan pimpinan Ikhwan Muslimin, adakah perlu pihak berkuasa berundur dari jawatan masing-masing akibat kegagalan mentadbir tanah air dengan baik?

Memang jelas, permintaan beliau bahawa Majlis Tentera perlu mendedahkan nama-nama penjenayah yang melakukan pembunuhan kepada rakyat. Sudah tentu, pihak keselamatan mempunyai maklumat segala hal yang berkaitan.

Setiap kali berlaku kejadian berdarah, beberapa hari kemudian Majlis Tentera akan mengadakan sidang media. Tetapi tentera seakan-akan tidak serius menyelesaikan masalah apabila kejadian yang hampir sama berulang kembali.

Lihat contoh peristiwa berdarah di Masbero beberapa bulan lalu. Selepas kejadian, tentera mengadakan sidang media dan menayangkan video kepada para wartawan dan kesimpulan yang dibuat, kejadian didalangi oleh "musuh kepada revolusi 25 Januari". Dengan menamakan "musuh revolusi" dan hingga kini rakyat masih ternanti-nanti di mana perbicaraan kepada mereka yang terlibat mendalangi peristiwa tersebut yang dinamakan sebagai "musuh revolusi" tadi? Siapakah mereka?

Pandangan saya, sidang media Majlis Tentera esok pun ramai yang boleh membuat andaian apa yang bakal berlaku pada sidang media tersebut yang akan turut menyimpulkan di akhirnya seperti sebelum ini bahawa "musuh revolusi" menjadi dalang peristiwa di bangunan Jemaah Menteri sejak Jumaat lalu.

Sabtu, 17 Disember 2011

KENAPA AS-SYAHID SYEIKH IMAD DIBUNUH?


Sebelum syahidnya Al-Marhum Syeikh 'Imad 'Effat, ramai yang tidak tahu bahawa beliau adalah antara aktivis revolusi 25 Januari. Pemergian beliau turun ke medan Tahrir pada himpunan dan protes sebelum dan selepas jatuhnya Mubarak, tidak ramai yang menyedari kerana As-Syahid akan mengenakan pakaian biasa, tanpa pakaian jubah Al-Azhar dan serban Al-Azhar-seperti kebiasaan yang beliau pakai pada hari-hari menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar.

Saat menemui ajal, beliau turun sekali lagi bersama-sama rakyat pada Jumaat lalu bersamaan 16 Disember bagi menuntut agar tentera melaksanakan janjinya menyerahkan kerajaan Mesir kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada masa yang disepakati sebelum ini iaitu sebelum Jun 2012 selain menuntut agar pilihanraya Mesir yang berbaki dua pusingan akan datang, berlangsung dengan penuh telus dan bersih.

Ini kerana pada pusingan pertama dan kedua yang berlangsung pada 14 dan 15 Disember lepas, menyaksikan saki-baki golongan 'FULUL' atau calon-calon bekas parti Mubarak yang dibubarkan (NDP) melakukan pembelian undi dan menyogok para pengundi dengan wang. Ada beberapa daerah mengundi, calon 'jahat' ini telah mengupah para perusuh untuk melarikan kertas dan peti undi seperti yang berlaku di daerah Gamaliya, bahagian Kaherah apabila calon bekas parti NDP yang juga bekas wakil rakyat kawasan tersebut, Haidar Baghdadi. Namun, pihak keselamatan berjaya mendapatkan semula kertas dan peti undi yang cuba dilarikan. Begitu juga pada pusingan kedua baru-baru ini, pihak calon 'jahat' ini mengupah perusuh untuk melakukan kekacauan di pusat-pusat mengundi antaranya melepaskan tembakan ke udara yang menyebabkan ada pengundi yang takut untuk mengundi. Pelbagai penipuan yang berleluasa ini, sekalipun berjaya diatasi tetapi ia tiada kerjasama baik yang diberikan oleh pihak tentera sebagai pemerintah sementara ketika ini. Itu belum dikira lagi poster dan kain rentang yang dikoyak dan dirosakkan. Malah terdapat beberapa daerah, pihak musuh menggunakan samseng-samseng bagi menghalang calon kempen Parti Kebebasan dan Keadilan masuk ke kampung bagi merayu undi. Terdapat juga laporan beberapa penyokong parti dibelasah dan dikasari.

Yang banyak menentang penipuan pilihanraya ini ialah individu calon atau wakil mereka atau parti yang bertanding khasnya Parti Kebebasan dan Keadilan, satu-satunya parti setakat ini yang dilihat mahu pilihanraya berjalan dengan penuh adil dan telus. Adapun selainnya, banyak melakukan dakyah dan politik kotor. Sekalipun ia bergelar parti Salafi yang kononnya mahu kepada pelaksanaan syariat Islam seperti Parti Nur yang banyak memberikan saingan sengit kepada Parti kebebasan dan Keadilan di semua daerah. Antara kempen kotor Parti Nur apabila menggunakan nama seorang syeikh Wahabi yang terkenal di Mesir iaitu Syeikh Muhammad Hisan. Parti Nur menggunakan kalam ucapan dan gambar beliau bahawa Syeikh Hisan menyokong Parti Nur. Tetapi dalam satu wawancara televisyen, Syeikh Hisan terang-terang meminta nama dan gambar beliau tidak digunakan untuk kempen mana-mana parti politik. Bahkan pada pusingan kedua lepas, terdapat calon dari Parti Nur adalah dari kalangan 'FULUL' iaitu calon bekas NDP pada zaman Mubarak. Parti Nur sanggup mengambil mereka sebagai calon mereka demi untuk kepentingan politik.

Semua perjalanan pilihanraya yang walaupun zahirnya dilihat lebih adil berbanding zaman Mubarak, tetapi beberapa perkara yang mencacatkan keadilannya harus dibantah. Maka golongan rakyat yang prihatin, mereka mengadakan bantahan di hadapan Pejabat Jemaah Menteri, di Jalan Jemaah Menteri di Qosrul 'Aini, berhampiran dengan dataran Tahrir. Maka sebab itu, kejadian ini dinamakan "Peristiwa Jalan Jemaah Menteri" atau "Ahdas Syarie Majlis Wuzarak".

Syeikh Imad juga turut menyertai himpunan tersebut. Menurut isteri beliau yang juga wartawan akhbar Al-Ahram yang diceritakan dari saksi kejadian, ketika Syeikh Imad berada dalam himpunan tersebut, tiba-tiba seorang lelaki yang berada bersebelahan beliau melepaskan tembakan yang menyebabkan Al-Marhum gugur syahid. Bedah siasat hospital juga mendapati bahawa tembakan yang dilepaskan adalah dari jarak dekat. Solat jenazah beliau telah disembahyangkan ribuan umat Islam yang bersedih atas pemergian beliau di Masjid Al-Azhar, sehari selepas syahidnya beliau.

Pada 22 Oktober 2011 iaitu kira-kira sebulan sebelum berlangsungnya Pilihanraya Mesir, Al-Marhum As-Syahid Syeikh Imad 'Effat dgn ilmu dan keberanian beliau telah mengeluarkan fatwa bahawa mengundi calon 'Fulul' iaitu bekas parti Mubarak adalah HARAM. Berikut disiarkan kenyataan penuh beliau spt yg disiar oleh web Ikhwan Muslimin:

"Sesungguhnya mengundi bagi (calon) Fulul atau mereka yang ada hubungan dengan anggota parti (pemerintah) yang dibubarkan (iaitu Parti Demokratik Kebangsaan-NDP) pada pilihanraya akan datang adalah HARAM dari segi syarak. Ini kerana memandangkan mereka telah menyumbang kepada kerosakan selain keinginan mereka yang mahu menghancurkan masa depan Mesir dengan berleluasanya rasuah sedangkan telah berlakunya revolusi berdasarkan sebab tersebut (iaitu memerangi rasuah dan kerosakan). Maka sesiapa yang memberikan undinya nescaya dia telah menyampaikan (golongan ini) kepada pentas bagi membuat perundangan."

Boleh rujuk web rasmi Ikhwan Muslimin yang menyiarkan teks dalam Bahasa Arab (klik )

Pada pandangan saya, ini juga menjadi faktor beliau menjadi sasaran musuh. Satu fatwa yang amat berani dan atas nama Al-Azhar, tentunya ia memberikan kesan besar kepada masa depan politik musuh revolusi 25 Januari yang terdiri dari kalangan 'FULUL' parti NDP Mubarak dan Amnu Daulah, kedua-duanya telah dibubarkan tetapi masih bertebaran melakukan kerosakan dan memastikan revolusi dan pilihanraya Parlimen menemui kegagalan.

Berdasarkan kepada fatwa tersebut, pada saya secara tidak langsung Al-Azhar telah membuktikan bahawa politik dan pemerintahan merupakan perkara yang ada kaitan dengan agama. Jika tidak, masakan tidak ada hukum HARAM mengundi mereka yang membuat kerosakan dan mengamalkan rasuah?

Sememangnya Islam dan pemerintahan tidak pernah terpisah atau istilahnya 'Islam suku, politik suku'. Ia adalah ajaran dan didikan golongan sekular yang amat bertentangan dengan Islam.

Rabu, 14 Disember 2011

PILIHANRAYA PUSINGAN KEDUA BERMULA 14 DAN 15 DIS


Hari ini, 14 Disember dan esok, 15 Disember merupakan Pilihanraya pusingan kedua yang melibatkan 9 lagi wilayah di Mesir. Menurut laporan rasmi Suruhanjaya Pilihanraya Mesir bahawa terdapat 3,387 calon bertanding 'individu' dan 'senarai' bagi merebut 180 kerusi Parlimen. Bagi jumlah pengundi, seramai 18.8 juta layak untuk mengundi. Sembilan wilayah tersebut ialah:

1) Menufiyah-Terdapat 2.2 juta pengundi dan 525 pusat mengundi.

2) Syarqiyah-Mmepunyai 3.4 juta pengundi dan 1,036 pusat mengundi.

3) Aswan-Seramai 852,000 pengundi dengan 227 pusat pengundian.

4) Giza-Seramai 4.2 juta pengundi yang mempunyai 572 pusat mengundi.

5) Bani Suwef-Terdapat 1.2 juta pengundi dengan 494 pusat pengundian.

6) Suez-Terdapat 378,000 pengundi dengan 68 pusat pengundian.

7) Ismailiyyah-Mempunyai 696,400 pengundi dengan 199 pusat mengundi.

8) Suhag-Mempunyai 2.3 juta pengundi dengan 754 pusat mengundi.

9) Buhaira-Terdapat 3.1 juta pengundi dengan 714 pusat pengundian.

SPR juga memutuskan untuk menangguhkan pilihanraya tiga daerah bagi calon SENARAI pada 21 dan 22 Disember ini iaitu:

1) Daerah kedua bagi wilayah Giza
2)Daerah kedua bagi wilayah Suhag
3) Daerah pertama bagi wilayah Menufiyah

Ahad, 4 Disember 2011

GOLONGAN ISLAM MENDAHULUI PILIHANRAYA MESIR


Berdasarkan keputusan terkini berkaitan undi yang diperloehi calon SENARAI (QAIMAH) Parti Kebebasan dan Keadilan atau Hizbul Hurriyah wal 'Adalah (FJP) maka FJP mendahului parti-parti lain iaitu memperolehi undi sebanyak 3,565,092 atau 40% dari 9 wilayah yang mengundi pada pusingan pertama 28 dan 29 November lalu.

Ia diikuti Parti Salafi Nur pada tangga kedua iaitu 2, 371,731 atau 20% kemudian diikuti Kutlah Masriyah 1,299,081 atau 15 %, kemudian Parti Wasat 6% dan terakhir Parti El-Wafd sebanyak 4 %.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi pada 9 wilayah yang mengundi pada pusingan pertama 28 dan 29 November lalu sebanyak 60.7% atau 10 juta 634, 076 daripada 17 juta 522,583 orang yang layak mengundi. Undi yang dikira sebanyak 9 juta 734,513 manakala undi rosak sebanyak 612,713 undi. Berikut butiran pilihanraya berdasarkan 9 wilayah:

1) Kaherah (Pengundi yang berdaftar: 6 juta 563, 764)
Keluar mengundi: 4 juta 050,999 atau 61.7%
Undi diterima: 3, 780 737
Undi rosak: 270, 262

2) Iskandariah (Pengundi yang berdaftar: 3 juta 303,916)
Keluar mengundi: 2 juta 265,641 atau 67.6%
Undi diterima: 2,164, 338
Undi rosak:101,303

3) Kafr Sheikh (Pengundi yang berdaftar: 1 juta 863, 834)
Keluar mengundi:1 juta 060, 184 atau 56.9%
Undi diterima: 1, 014 604
Undi rosak: 45,580

4) Asyut (Pengundi yang berdaftar: 2 juta 071,879)
Keluar mengundi: 1 ,132 542 atau 54.7 %
Undi diterima 1, 050 215
Undi rosak: 82,327

5) Dumyat (Pengundi yang berdaftar : 849,235)
Keluar mengundi: 563,448 atau 66.3%
Undi diterima:541,032
Undi rosak: 22,124

6) Port Said (Pengundi yang berdaftar : 437, 134)
Keluar mengundi: 306,210 atau 70 %
Undi diterima: 295,556 undi
Undi rosak: 10,654

7)Fayyum (Pengundi yang berdaftar : 1, 545 556)
Keluar mengundi: 798, 032 atau 51.6 peratus
Undi diterima: 738,841
Undi rosak: 59,191

8)Luxor (Pengundi yang berdaftar: 666,254)
Keluar mengundi: 338,065 atau 50.7 %
Undi diterima: 321,726
Undi rosak: 16,339

9) Laut Merah (Pengundi yang berdaftar : 221,011)
Keluar 118, 955 atau 53.8 %
Undi diterima: 114, 022
Undi rosak:4,933