Ahad, 26 Februari 2012

PERSIDANGAN BERSAMA PARLIMEN MESIR UNTUK PINDAAN PERLEMBAGAAN 3 MAC

Ketua Pemerintah Tentera, Musyir Husin Tantawi mengundang kesemua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Syura mengadakan persidangan khas pada 3 Mac bersamaan Sabtu depan bagi memilih dan membentuk jawatankuasa pindaan perlembagaan negara yang baru.

Beliau telah mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Dr.Sa'ad Katatni yang menjemput kedua-dua anggota dewan tersebut ke persidangan bersama yang bakal bermula jam 11 pagi.

BIOADATA CALON SPEAKER DEWAN SYURA MESIR


Dr.Ahmad Fahmi dilahirkan pada 12 Februari 1953 merupakan anggota Majlis Kesatuan Farmasi. Menjadi calon bagi Ikhwan Muslimin pada Pilihanraya Dewan Rakyat tahun 2010 manakala pada Pilihanraya Umum 2011 selepas revolusi, beliau dicalonkan bertanding mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) atas kerusi PROFESIONAL di wilayah Syarqiyah. Dalam pilihanraya tersebut, beliau memperoleh 123,565 undi daripada jumlah keseluruhan 185,987 undi berbanding calon lawannya, Ahmed Badi'e dari Parti Nur yang hanya memperoleh 69,123 undi. Mempunyai seorang isteri dan dikurniakan tiga anak lelaki di samping 4 orang cucu. Beliau mahir dalam menguasai Bahasa Arab, Inggeris dan Jerman.

Beliau memperolehi ijazah pertama dalam Fakulti Farmasi Universiti Kaherah pada Mei 1976, Ijazah kedua (Master) di Universiti Zaqaziq tahun 1981 dan Ijazah Kedoktoran pada tahun 1985.

FJP CALONKAN AHMAD FAHMI SPEAKER DEWAN SYURA

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dan rakan-rakan komponen pakatannya memperoleh 106 kerusi daripada 180 kerusi atau dengan nisbah 59% Dewan Syura Mesir. Daripada 106 kerusi tersebut, 50 kerusi diperolehi melalui calon INDIVIDU dan 56 lagi melalui calon SENARAI. FJP mengaut undi popular sebanyak 2,900,154 undi daripada 6,446,689 orang yang layak mengundi.

Sementara itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Parlimen bagi Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencalonkan Dr.Ahmad Fahmi, Ahli Dewan Syura bagi kerusi PROFESIONAL wilayah Syarqiyah sebagai Speaker bagi Dewan Senat (Syura). Mesyuarat juga memutuskan Ahli Dewan Syura, Ali Fathul Bab sebagai Ketua Ahli Dewan Syura bagi FJP di Dewan Syura. Persidangan pertama Dewan Syura akan berlangsung pada 28 Februari ini.

Pada persidangan pertama Dewan Rakyat akhir Januari lalu, FJP mencalonkan Setiausaha Agungnya, Dr.Sa'ad Katatni sebagai Speaker Dewan Rakyat dan beliau memenangi jawatan tersebut setelah diadakan pengundian di kalangan ahli Dewan Rakyat.

Sabtu, 25 Februari 2012

CUBAAN BUNUH MP FJP DAN ABUL FUTUH

Beberapa hari lalu, saya telah menulsi berkaitan seorang Ahli Parlimen FJP, Dr.Akram Sya'ir telah menerima ugutan bunuh melalui SMS bahawa percubaan beliau untuk memindahkan Mubarak dari Pusat Rawatan Kebangsaan ke hospital Penjara Turrah. Dr.Akram adalah Pengerusi Jawatankuasa Parlimen bagi Kesihatan.

Akhirnya, keputusan yang boleh membenarkan Mubarak dipindahkan ke hospital penjara itu bukan terletak di bawah Parlimen atau Peguam Negara, ia kata putus oleh Hakim yang membicarakan perbicaraan Mubarak itu, iaitu Hakim Ahmad Ref'at. Beliau menetapkan pada 2 Jun depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman kepada Mubarak. Dua hari lalu, seorang Ahli Parlimen FJP, Dr.Hasan Brins yang juga anggota Jawatankuasa Parlimen bagi Kesihatan itu diserang beberapa lelaki di Damanhur. Beliau dalam perjalanan memandu kereta tiba-tiba dihalang sebuah lori dan lelaki dari lori tersebut memukul dan melepaskan tembakan. Ia suatu percubaan membunuh Hasan tetapi beliau hanya mengalami kecederaan dan tembakan tersebut terkena pada tangannya.

Dua hari lalu juga, Mesir menyaksikan seorang calon Presiden Mesir, Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh juga diserang sekumpulan lelaki ketika perjalanan pulang berkempen di Shibin El-Kom, Menufiyah. Abul Futuh yang juga bekas Ahli Majlis Syura gerakan Ikhwan Muslimin mengalami kecederaan akibat pukulan dan dikejarkan ke hospital. Keadaan beliau kini dilaporkan stabil. Turut cedera ialah pemandu beliau.

Parti-parti politik mengecam tindakan ganas dan mafia yang cuba menimbulkan kekacauan di Mesir ketika Mesir menyaksikan berakhirnya Pilihanraya Dewan Syura. Hanya beberapa minggu akan datang, pencalonan bagi Pilihanraya Presiden akan dibuka dan Presiden Mesir yang baru bakal mengangkat sumpah selewat-lewatnya akhir Jun ini. Provokasi dicetuskan kali ini bukan lagi tertumpu kepada rakyat awam atau di dataran-dataran terbuka seperti di Tahrir atau medan utama di Mesir, akan tetapi serangan ini melibatkan batang tubuh individu khasnya kepada mereka yang bakal bertanding jawatan Presiden Mesir kelak. Abul Futuh dipecat keanggotaan dari Ikhwan Muslimin bersama beberapa orang yang lain kerana melanggar keputusan Syura Ikhwan Muslimin yang tidak membenarkan mana-mana ahli mereka bertanding calon Presiden.

Ikhwan Muslimin sendiri tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana individu bagi calon Presiden. Walaupun pada satu kajian yang dilakukan, sokongan rakyat kini memihak kepada calon Salafi, Syeikh Hazim Abu Ismail, kemudian diikuti oleh Abul Futuh. Calon-calon lain seperti Aiman Nour, Amru Musa dan Hamdin Subahi tertinggal dibelakang. Mohammad Al-Baradie pula menarik diri daripada bertanding. Dalam satu wawancara, Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Dr.Mohammad Badie berkata, pihaknya tidak akan menyokong calon Islamik sebagai Presiden negara itu akan tetapi keputusan rasmi gerakan itu kata beliau, akan diketahui selepas tarikh penamaan calon bagi jawatan itu ditutup kelak.

Khamis, 23 Februari 2012

PM PALESTIN DI MASJID AL-AZHAR JUMAAT

Al-Quds kembali berada di tahap kritikal. Syeikh Al-Azhar Dr.Ahmad Toyyib dan Presiden Kesatuan Ulamak Islam SeDunia Dr.Yusuf Qardhawi menggesa umat Islam mengambil langkah segera bagi memelihara kesucian Baitul Maqdis khasnya Masjid Al-Aqsa daripada tangan-tangan Yahudi yang cuba "mengYahudikan" kiblat pertama umat Islam itu. Untuk itu, pada Jumaat 24 Februari esok, Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyah akan menyampaikan ucapan kepada umat Islam selepas solat Jumaat di Masjid Al-Azhar sempena lawatan pemimpin Hamas itu ke Kaherah.

KEPUTUSAN DEWAN SENAT BAGI PUSINGAN ULANGAN FASA TERAKHIR: FJP MENANG 20 KERUSI

Suruhanjaya Pilihanraya Mesir telah mengumumkan keputusan pusingan ulangan fasa kedua iaitu yang terakhir bagi Pilihanraya Dewan Senat Mesir yang telah diadakan satu hari pada Rabu, 22 Februari. Bagi kerusi (fardi/individu), Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memenangi 20 kerusi daripada 23 orang calonnya yang menyertai pusingan itu. Tiga lagi berbaki iaitu keputusan dua kerusi di wilayah Luxor yang hingga kini masih belum diumumkan manakala seorang lagi calon FJP daerah pertama Giza, Abdul Nasir Abu Dahb (Buruh) tewas.

Oleh itu, jumlah kerusi yang diperolehi FJP pada pusingan kedua ini ialah 22 kerusi daripada 27 orang bagi kerusi Individu. Keputusan dua lagi kerusi di wilayah Luxor masih ditunggu.

FJP juga menempa kejayaan pertama dalam meletakkan calon wanita bagi kerusi Individu melalui calonnya, Dr.Suzan Sa'ad Zaghlul sejak pilihanraya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Senat ini. Ini kerana, kemenangan tiga calon wanita dalam Pilihanraya Dewan Rakyat adalah atas kerusi Senarai (Qaimah) sahaja.

Untuk rekod, Pilihanraya Dewan Senat diadakan hanya dua pusingan dan Ketua Tentera, Husin Tantawi telah menetapkan 28 Februari ini adalah persidangan pertama Dewan Senat.

Selasa, 21 Februari 2012

HAKIKAT KHOMEINI YANG SEBENARNYA-SAID HAWA


Sebelum meninggal dunia, Al-Marhum Ustaz Sa'id Hawa (pada tahun 1989) sempat menulis risalah bertajuk "El-Khumainiyyah:Pelik dari sudut Aqidah, Pelik dari sudut Pendirian". Beliau mengulas pemerintahan Khomeini, pengasas Revolusi Iran. Risalah setebal 64 muka surat ini menjelaskan siapa Syiah dan Khomeini sebenarnya yang bertopengkan Revolusi Islam sebagai senjata.

Jika Syiah ini tidak bahaya, kenapa seorang pejuang Haraki Sufi ini menulis risalah berkaitannya? Terima kasih kpd hamba ALLAH yg sudi menghadiahkan buku ini. Carilah di mana-mana sama ada kedai buku Darusssalam atau lain-lain, ia sudah sukar untuk ditemui.

Khamis, 16 Februari 2012

KATATNI UCAP TAHNIAH KEPADA SPEAKER PARLIMEN KUWAIT YANG BARU

Speaker Dewan Rakyat Mesir, Dr.Muhammad Saad Katatni mengutuskan ucapan tahniah kepada Speaker Majlis Ummah (Parlimen) negara Kuwait yang baru, Ahmad As-Saidun yang baru dilantik semalam.

Kuwait melakukan perubahan politik selepas melihat angin revolusi melanda beberapa negara Arab dengan membubarkan Parlimen dan diadakan pilihanraya baru yang menyaksikan kerusi dikuasai oleh Ikhwan Muslimin Kuwait.

SEBUTAN HUKUMAN MUBARAK PADA RABU DEPAN

Hari ini, 16 Februari berakhirnya bagi Mahkamah Jenayah Kaherah mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan yang menyaksikan 11 orang tertuduh diketuai oleh Hosni Mubarak dan kroninya. Hakim Tuan Ahmad Ref'at menetapkan Rabu hadapan bagi menjatuhkan hukuman ke atas Mubarak dan rejimnya. Dihukum gantungkah Mubarak?

Sebelum itu, semasa perbicaraan dijalankan, ramai pihak mahukan Mubarak dipindahkan ke Penjara Turrah di Ma'adi. Untuk makluman, Penjara Turrah ini dikhaskan kepada golongan VIP yang melakukan kesalahan dan penjara ini dulu menyaksikan puluhan pimpinan Ikhwan Muslimin dipenjarakan. Selepas Revolusi 25 Januari, penjara tersebut didiami oleh Ala'a dan Jamal Mubarak selain pimpinan utama kerajaan antaranya bekas Speaker Parlimen, Fathi Surur, bekas Speaker Dewan Syura Sofwat As-Sharif dan lain-lain. Di mana Mubarak?

Mubarak semenjak digulingkan, masih mendapat keistimewaan. Pada mulanya dia dilaporkan sakit dan menerima rawatan di Hospital Antarabangsa Sharm As-Sheikh. Apabila mahkamah mula membuka fail dakwaan pada 3 Ogos 2011, Mubarak dipindahkan ke Pusat Kesihatan Kebangsaan di Kaherah.Dari situ, dia dibawa hampir setiap hari menggunakan helikopter khas ke dataran Akademi Polis, Tajammuk Khamis. Manakala dari dataran, Mubarak dibawa dengan ambulans sambil dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang menggunakan kereta perisai dan kereta peronda mengiringi ambulans Mubarak tiba di pintu utama mahkamah. Baki 9 orang lagi tertuduh yang dibicarakan bersama Mubarak iaitu dua anaknya Alaa dan Jamal, bekas Menteri Dalam Negeri Habib 'Adli serta 6 bekas pembantu menteri KDN ditempatkan di penjara Turrah di Ma'adi kira-kira setengah jam perjalanan ke mahkamah setiap hari.

Dilaporkan Pusat Kesihatan Kebangsaan yang menjadi tempat kediaman Mubarak hari ini dilengkapi pelbagai kemudahan yang selesa dan mewah, tidak ubah seperti di istana Presiden.

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang memenangi kerusi majoriti di Parlimen awal-awal lagi meminta Mubarak ditempatkan di hospital Penjara Turrah jika benar-benar dia sakit, bukan mendapat layanan yang istimewa seperti hari ini.

Pandangan FJP ini disokong oleh banyak pertubuhan politik dan gerakan rakyat yang lain. Antara yang lantang mengkritik dan cuba mengembalikan Mubarak ke Penjara Turrah ialah Ahli Parlimen FJP dari Port Said, Dr.Akram Syair. Dr.Akram pernah berucap dalam Parlimen berkaitan nasib keluarga mereka yang cedera dan terkorban dalam Revolusi 25 Januari dengan nada penuh sayu dan menyebabkan ramai pihak yang mendengar menitiskan air mata. Anak lelaki beliau, Dr.Mus'ab Akram Syair antara mangsa yang cedera parah ditembak oleh polis menjelang kebangkitan rakyat Januari 2011 dan hingga kini terpaksa menerima rawatan di Jerman.

Dr.Akram dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Rakyat Mesir. Oleh kerana kelantangan beliau meminta Mubarak dipindahkan ke Penjara Turrah, beliau diugut bunuh oleh individu yang tidak dikenali. Beliau menerima satu SMS dari nombor yang tidak dikenalinya pada jam 1.05 petang hari ini yang menyebut "Jika berjaya Presiden Mubarak dipindahkan ke Penjara Turrah, kami akan bunuh kamu!"

MESIR KAJI SEMULA CAMP DAVID JIKA AMERIKA TERUS DENGAN UGUTAN

Menjadi hak negara Mesir untuk mengkaji semula Perjanjian Camp David yang melibatkan kepentingan Israel jika Amerika Syarikat cuba mengugut Mesir untuk menghentikan bantuan kewangan kepada Mesir, demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Dewan Rakyat Mesir, Dr.Essam Iryan yang juga Naib Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).

Ulasan Iryan itu menyusul selepas pihak Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan untuk menghentikan bantuan kewangan kepada Mesir yang diterima selepas Mesir menandatangani perjanjian tahun 1979. Amerika Syarikat dilihat cuba mengugut Mesir yang dimenangi oleh golongan Islam dengan menghentikan bantuan kewangan . Kenyataan Iryan itu satu tamparan hebat buat Amerika yang menjangkakan rakyat Mesir akan merayu dan menikus atas ugutan tersebut. Ternyata politik pintar FJP ini berjaya menyekat keegoan Amerika dan jika Mesir betul-betul seius mengkaji semula Perjanjian Camp David ini maka ia akan menyebabkan kepentingan 'anak emas'nya, Israel akan diganggu.

KEMPEN PRIHATIN SYRIA DI KAHERAH


Malam ini insya ALLAH akan diadakan Pelancaran KEMPEN PRIHATIN SYRIA dan kutipan derma bagi rakyat Syria anjuran PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR (PMRAM) di Rumah Kelantan Baru bermula solat maghrib. Saudara dan saudari semua dijemput hadir. Majlis akan bermula solat maghrib, solat hajat, ucapan penerangan dan pelancaran oleh Tuan Presiden, Saudara Muhammad Zuhaili Saiman.

805 JENERAL POLIS MESIR "PENYEKSA RAKYAT" MASIH BERKUASA

Hari ini, mahkamah Jenayah Kaherah akan mendengar hujah pembelaan terakhir dalam kes membunuh penunjuk perasaan dalam Revolusi 25 Januari 2011 dengan penghujahan dari tertuduh yang ke-11 iaitu Umar Farmawi, bekas Ketua Polis wilayah 6 Oktober. Pihak pendakwa dan wakil peguam keluarga mangsa yang terkorban akan membuat penggulungan pada Isnin, 20 Januari depan selepas 30 hari mahkamah memberikan peluang kepada peguam tertuduh seramai 11 orang dalam kes tersebut mengemukakan hujah pembelaan yang dilihat oleh penganalisis politik penuh dengan penipuan.

11 orang tertuduh dalam kes sejarah dunia itu diketuai oleh Hosni Mubarak, dua anaknya Jamal dan Ala'a, kroni mereka yang juga jutawan Mesir yang melarikan diri ke luar negara Husin Salim, bekas Menteri Dalam Negeri Habib 'Adli serta 6 orang pembantu Habib 'Adli di KDN iaitu:
1) Hasan Abdul Rahman (bekas Ketua Amnu Daulah)
2) Ahmad Ramzi (bekas Ketua Amnul Markazi)
3) Adli Fayed (bekas Ketua Jabatan Keselamatan Awam)
4) Ismail Sya'ir (bekas Ketua Polis wilayah Kaherah)
5) Usamah El-Murasi (bekas Ketua Polis wilayah Giza)
6) Umar Farmawi (bekas Ketua Polis wilayah 6 Oktober)

Selama lebih 30 hari mahkamah memberikan peluang kepada peguam 11 orang yang tertuduh tersebut untuk memberikan hujah pembelaan dan yang pertama antara mereka ialah Farid Ad-Dib, peguam yang mewakili Hosni Mubarak. Dilaporkan, beberapa hari selepas mempertahankan bermati-matian anak guamnya itu, Ad-Dib telah menutup firma guamannya di Kaherah dan melarikan diri ke luar negara, satu tindakan yang memeranjatkan dan hingga kini masih menjadi tanda tanya.

Sepanjang penghujahan tersebut, semua para peguam yang mewakili anak guaman mereka 11 orang itu berhujah bagi menafikan penglibatan mereka dalam mengarahkan pembunuhan ke atas rakyat Mesir. Semua tertuduh digambarkan sebagai seorang yang baik termasuk dan tidak pernah melakukan jenayah berat bekas Ketua Polis Amnu Daulah, Hasan Abdul Rahman.
Bekas Ketua Amnu Daulah, Hasan Abdul Rahman dalam sangkar tertuduh

Siapa tidak kenal dengan polis Amnu Daulah hinggakan orang asing yang datang ke Mesir ini juga direkodkan dalam rekod mereka. Tujuan Amnu Daulah ini hanya satu iaitu bagi memastikan keselamatan dan kepentingan Mubarak terpelihara. Tidak kira anasir tersebut dari dalam atau luar sekalipun terdapat percubaan untuk menggulingkan dari dalam kerajaan, maka Amnu Daulah ini akan bertindak.

Tidak hairan, bekas ketua-ketua polis Amnu Daulah sebelum ini dinaikkan pangkat oleh Mubarak ke jawatan lebih tinggi antaranya sebagai Speaker Dewan Syura (Sofwat As-Sharif) dan Habib Adli (Menteri Dalam Negeri) bagi 'menghargai' tugas dan jasa mereka mengekang kebangkitan rakyat dan berjaya menakutkan rakyat dengan penjara dan penyeksaan.

Ribuan rakyat Mesir yang menerima penyeksaan yang maha dahsyat sewaktu ditahan adalah angkara Amnu Daulah. Kerusi elektrik, tusukan objek tajam di kemaluan, tumbuk, tampar dan pelbagai seribu satu penderaan yang dilakukan oleh anasir-anasir Amnu Daulah dan rakan-rakan mereka dari pelbagai pasukan polis lain sepanjang 30 tahun Mubarak berkuasa. Tidak pelik, rakyat menyaksikan sendiri di bawah pejabat Amnu Daulah terdapat perkuburan bagi mengebumikan jasad-jasad rakyat yang mati akibat penyeksaan mereka.

Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan Kebangsaan bagi Dewan Rakyat telah membincangkan masalah dan kerosakan paling teruk dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mesir. Salah satu kementerian paling bermasalah dan hingga hari ini gagal untuk dibersihkan. Salah seorang ahli jawatankuasa berkenaan Dr. Farid Ismail mendedahkan, hingga ke hari ini masih terdapat 805 orang pegawai tinggi polis yang berpangkat "Al-Liwa' atau "Jeneral" masih bertugas dalam perkhidmatan polis.

Khamis, 9 Februari 2012

FATWA SYEIKH ABUL HUDA MENYERU BASYAR DIGULINGKAN


Kenyataan ulamak terkenal Syria, Syeikh Muhammad Abul Huda Al-Ya'aqubi yang menyeru kebangkitan rakyat menentang kezaliman rejim Basyar:

Wahai rakyat Syria! Sesungguhnya rejim telah melakukan penyembelihan terbaru setiap hari di Homs dan di tempat-tempat lain yang dikepung, maka sudah sampai masanya untuk kita tidak boleh duduk berdiam diri. Demikian itu kerana wajib kita membantu golongan yang lemah, menghalang mereka dari meneruskan pembunuhan, mempertahankan hak rakyat. Ini kerana rejim hari ini sudah hilang kelayakan memerintah. Maka kami mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi kita memikul senjata dan meniup semboyan bagi menghapuskan mereka yang membunuh penduduk secara berleluasa demi menyelamatkan nyawa-nyawa lelaki dan wanita, kanak-kanak dan warga tua di Homs, Zabdani, Dir Zur, Lazaqiyah, pinggir Halab dan semua bandar-bandar Syria.

Ramai penduduk yang sudah disembelih, rumah-rumah dimusnahkan dan manusia yang dibunuh oleh skuad penembak. Oleh itu, kami mengeluarkan fatawa bahawa:

Pertama: Wajib bagi tentera dan polis rejim keluar dan menyelamatkan diri dari melaksanakan arahan rejim.

Kedua: Wajib bagi pasukan tentera simpanan untuk menyertai tentera yang berpaling tadah dan tidak boleh bagi mereka menyertai tentera rejim. Wajib bagi rakyat memberikan bantuan yang termampu kepada pasukan tentera yang berpaling tadah ini dari sudut perlindungan dan apa jua bantuan yang diperlukan.

Ketiga: Wajib bagi para peniaga dan usahawan mengumpulkan sumbangan kewangan bagi membantu daerah yang dikepung.

Keempat: Wajib bagi para ulamak dan khatib menyeru kepada kebangkitan selain melakukan solat ghaib untuk roh mereka yang terkorban.

Kelima: Kami menyeru kepada penduduk Damsyik dan Halab menyertai kebangkitan ini. (kerana dua wilayah ini belum menerima tekanan seperti wilayah-wilayah lain)

Keenam: Kami menyeru kepada para pegawai tinggi kerajaan, ahli-ahli politik dan pegawai diplomatik kerajaan untuk keluar dari pentadbiran rejim.

(Muhammad Abul Huda Al-Ya'aqubi)

Rabu, 8 Februari 2012

LAGI JENAYAH KEJAM REJIM SYRIA


Tahukah anda bilangan kematian akibat rejim Syria sepanjang 329 hari hingga 6 Februari 2012? Ia direkodkan seramai 7,904 orang di seluruh Syria. Wilayah paling tinggi angka korban setakat ini ialah Homs dan diikuti Idlib. Tentera Syria ketika ini masih berkampung dan menggempur wilayah Homs. Terbaru laporan Al-Jazeera bertarikh 8 Februari 2012 melaporkan seramai 43 lagi orang menemui syahid. Dari kalangan mereka termasuk tiga buah keluarga yang dibunuh serentak dan semua mereka disembelih menggunakan pisau. Keluarga Turkawi (8 orang), keluarga Muhaini (6 orang) dan keluarga Zamil (5 orang)..

Berikut dipecahkan bilangan kematian mengikut wilayah:

Homs (3,186 orang)
Idlib (1,222 orang)
Dar'a, wilayah pencetus revolusi (993 orang)
Hamah (849 orang)
Pinggir Damsyik (735 orang)
Dir Zur (330 orang)
Tortus (223 orang)
Damsyik, ibu negara (188 orang)
Halab (80 orang)
Al-Laziqiyah (56 orang)
El-Haskah (20 orang)
Ar-Riqqah (13 orang)
Suwaida' (5 orang)
El-Qanaitarah (3 orang)

TERJEMAHAN SITUASI KEKECOHAN MAMDUH ISMAIL YANG MELAUNGKAN AZAN DALAM PARLIMEN MESIR

Pada persidangan Dewan Rakyat Mesir semalam, 7 Februari 2012, seorang Ahli Parlimen dari Salafi telah mengejutkan dewan dengan melaungkan azan apabila masuk waktu Asar. Perbuatan yang tidak mendapat keizinan Speaker itu ditegur oleh beberapa Ahli Parlimen Salafi lain dan mendapat ulasan dari Ahli Parlimen Tanta, Syeikh Sayyid 'Askar yang juga dari kalangan ulamak Al-Azhar. Syeikh 'Askar sebelum ini merupakan Penolong Setiausaha Akademi Penyelidikan Al-Azhar dan merupakan lulusan Fakulti Usuluddin, Al-Azhar.

Berikut diterjemahkan situasi kejadian berdasarkan video yang kini tersebar luas di internet:

Dewan ketika ini membahaskan tragedi berdarah "Stadium Port Said" yang rata-rata mahukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab atas kematian lebih 70 orang.

Selesai salah seorang Ahli Parlimen berucap, Speaker, Dr.Saad Katatni menjemput pula Ahli Parlimen lain, Husin Fayiz Wafa untuk berucap bagi membahaskan usul yang sama. Tiba-tiba Mamduh Ismail bangun di tempat duduknya dan melaungkan azan.

Speaker: Ustaz Mamduh, saya tidak izinkan! Saya tidak izinkan, kerana terdapat masjid yang kamu boleh azan.

Ustaz Mamduh Ismail, selepas kamu selesai azan, saya akan bercakap dengan kamu kerana kamu telah menyalahi peraturan dewan.

(Mamduh terus melaungkan azan sekalipun dihalang Speaker dan beberapa Ahli Parlimen lain yang minta dia duduk.

(Mamduh selesai melaungkan azan)

Speaker: Ustaz Mamduh Ismail telah menyalahi peraturan dewan kerana tanpa meminta pandangan dari Speaker terlebih dahulu. Di luar sana terdapat masjid yang kamu boleh azan. Dewan ini untuk berbahas, bukan untuk azan. Jangan lebih-lebih! Jangan tunjukkan kamu lebih Islam dari kami dan menjaga waktu solat.

(Ahli Parlimen lain menepuk tangan menyokong kalam Speaker manakala Mamduh mengisyaratkan jarinya untuk cuba berbahas dan mempertahankan hujahnya tanpa pembesar suara yang dipadamkan. Speaker terus bercakap)

Speaker: Saya tidak akan mengizinkan kamu untuk kali kedua. Jika kamu ingin solat, silakan. Saya tidak pernah menghalang.

(Mamduh terus bercakap tanpa pembesar suara)

Speaker: Tempat ini untuk perbincangan, bukan azan. Duduk!

Mamduh: Tolong dengar penjelasan saya, tuan Speaker!

Ahli-Ahli Parlimen lain: Duduk! Duduk laa!

Speaker: Jika kamu mahu azan, mintalah keizinan. Ini bukan waktu azan.

Ahli Parlimen lain: Duduk la!

Yang lain: Lailahaillah!

Speaker: Semua hadirin nak solat juga.Saya tidak akan benarkan kamu bercakap sekali lagi. Duduk!

(Kelihatan dua orang Ahli Parlimen lain mendekati Mamduh dan memujuknya supaya duduk).

Speaker: Jangan cuba menganggu perjalanan dewan. Duduk!

(Mamduh mengugut untuk keluar dewan)

Seorang Ahli Parlimen: Sila keluar dari dewan!

Speaker: Adakah kamu lebih alim daripada semua mereka? (Sambil menuding jari kepada Ahli-Ahli Parlimen pakatan Salafi lain yang turut tidak bersetuju dengan tindakan Mamduh).

Speaker: Jangan tunjuk lebih ke atas saudara-saudara kamu dalam dewan ini. Duduk! Adakah sekarang sudah masuk waktu untuk azan? Kita sekarang (perbahasan dewan) juga berada dalam kerja ibadah. Syeikh Sayyid 'Askar, dipersilakan untuk memberikan ulasan.

(Speaker menjemput Ahli Parlimen Tanta, Syeikh Sayyid 'Askar yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Agama bagi Dewan Rakyat untuk memberikan ulasan).

Sayyid 'Askar: Bismillah, wassolatu wassalamu 'ala Sayyidina Rasulillah..

Hadith sohih yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas bahawa beliau telah melakukan solat jama' taqdim Zohor dan Asar tanpa musafir dan berlaku hujan lebat, lalu apabila ditanya tentang perbuatannya itu lalu jawab beliau, "Demikianlah aku melihat Rasulullah s.a.w melakukannya". Ini kerana Baginda s.a.w tidak mahu menyempit dan menyusahkan ummatnya.

Agama kita menegah dari kesempitan dan ayat-ayat Al-Quran banyak menerangkan berkaitannya antaranya firman ALLAH:

(Dan Dia tidak mahu menyempitkan ke atas kamu)

(Dia mahukan ke atas kamu kesenangan, bukan kesusahan).

Kalau saudara kita yang mulia ini (dimaksudkan ialah Mamduh Ismail) mahu azan, adalah menjadi haknya untuk keluar dan melaungkan azan di masjid yang terdapat di luar, tiada sesiapa yang akan menghalangnya.

Jika dia solat Zohor dan Asar secara jama' dan qosar kerana dia musafir atau bermukim, maka ia sesuatu harus bersandarkan kepada hadith tersebut.

Saya secara peribadi. Persidangan Parlimen bermula pada jam 1 petang, iaitu waktu solat Zohor telah masuk, mereka yang mahu solat (sempurna/tamam) maka solatlah, tetapi saya secara peribadi terus melakukan solat Zohor dan Asar (jama') sebelum masuk ke dewan dan ramai yang melakukan demikian.

Saya tidak melihat perbuatan melaungkan azan adalah sesuai ketika ini..Wallahu'alam




KENYATAAN MEDIA FJP KEMENANGAN DI 22 KERUSI DEWAN SYURA


Pilihanraya Dewan Syura Mesir bagi peringkat pertama pusingan ulangan telah berakhir semalam dan keputusan telah diumumkan. Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang merupakan sayap politik Ikhwan Muslimin telah bertanding di 26 kerusi daripada 29 kerusi dan mencapai kemenangan di 22 kerusi.

Untuk makluman, Pilihanraya Dewan Syura akan berlangsung hanya dua pusingan, berbeza Pilihanraya Dewan Rakyat yang diadakan sebanyak tiga pusingan. Pusingan kedua Dewan Syura akan berlangsung pada 14 dan 15 Februari ini baki di 14 wilayah lain. Berikut disiarkan kenyataan rasmi dari Bilik Operasi Pilihanraya FJP:

Kenyataan Media (7)

Suruhanjaya Pilihanraya Mesir telah mengumumkan kemenangan bagi peringkat pertama Pilihanraya Dewan Syura dengan kemenangan 20 orang calon FJP daripada 22 calon mereka yang bertanding bagi merebut 26 kerusi di 13 wilayah. Sementara itu dua daripada mereka tewas iaitu seorang calon di Bahrul Ahmar dan Sulaiman Muhammad Musa di Selatan Sinai.

Sementara pemilihan bagi empat lagi kerusi iaitu dua di wilayah Menufiyah dan dua lagi di Qina dilewatkan manakala seorang calon mereka di Fayum, Dr.Hasan Yusuf telah memenanginya pada pusingan pertama yang berlangsung pada 29 dan 30 Januari lalu.

Berikut nama-nama Ahli Dewan Syura Mesir yang baru memenangi dari FJP:

1) Dr.Mahmud Abul 'Azim (Kaherah-Daerah Pertama)
2) Yasir Ramadhan (Kaherah-Daerah Pertama)
3) Dr.Abdul Ghafar Solihin (Kaherah-Daerah Kedua)
4) Toriq Sayyid (Kaherah-Kedua)
5) Dr.Husin Ibrahim Mahmud (Iskandariah)
6) Muhammad Hasan Muhammad Taufiq (Iskandariah)
7) Khalid Syalsy (Gharbiyah)
8) Khalid Siyam (Gharbiyah)
9) Dr.Hasan El-Mursi (Dumyat)
10) Muhammad Ad-Dunjawi (Dumyat)
11) Dr.Khalid Banurah (Daqahliyah-Daerah Pertama)
12) Sofwat El-Bakri (Daqahliyah-Daerah Pertama)
13) Abdul Rahman Salim (Daqahliyah-Daerah Kedua)
14) Sayyid El-Matbuli (Daqahliyah-Daerah Kedua)
15) Muhammad Jabir Muhammad Ibrahim (Fayyum)
16) Salim Atiyah Mahbis (Selatan Sinai)
17) Ahmad Yusuf Sulaiman (Selatan Sinai)
18) Muhammad Hamid Syarit (Asyut)
19) Abdul Hadi Mahmud 'Abid (Asyut)
20) Muhammad Abdul Radhi Uthman (Wadi Al-Jadid)

Sementara

Isnin, 6 Februari 2012

CATATAN JAULAH KE ASWAN

Majlis sambutan MaulidurRasul di wilayah Aswan terdapat sedikit kelainan pada tahun ini. Pertama, ia kali pertama berlaku selepas revolusi 25 Januari. Maka, kumpulan Tasawuf dan Tariqat di Mesir ini turut merasai angin perubahan.

Pemergian saya ke Aswan tahun ini seperti tahun-tahun sebelum ini kecuali tahun lepas 2011 kerana suasana pada masa itu tidak membenarkan. Untuk tahun ini adalah kali yang kelima saya menjejakkan kaki ke bumi Aswan sejak tahun 2007 dan ia sudah menjadi acara tahunan saya pada cuti syita' ini.

Perbezaan lagi tahun ini kerana perjalanan saya bersama-sama kawan lain dengan tiga buah bas yang tentu agak memenatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan kereta api. Perjalanan dengan kereta api ke Aswan lebih selesa yang hanya mengambil masa 14 jam berbanding bas yang hampir-hampir 17 jam!

Perbezaan juga kerana pada program yang bermula 1 Februari lalu adalah kerana majlis perasmian dan pembukaan masjid baru di Kampung Tunab, kampung halaman Syeikh Ashraf. Seharian majlis di kampung beliau.

Perbezaan juga berlaku tahun ini apabila syeikh kami, Sayidi Muhammad Soleh Jaafari yang tiba menaiki kapal terbang yang ditemani oleh Syeikh Ashraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Aswan tiba-tiba diserang sakit jantung. Tapi, Alhamdulillah, beliau hanya ditahan dalam wad satu malam dan dapat menyertai majlis sambutan MaulidurRasul di Masjid Syeikh Soleh Jaafari di bandar Aswan pada Khamis, 2 Februari.

Sesuatu yang menarik berlaku pada malam sambutan tersebut. Pengerusi majlis yang berucap sebaik sahaja selesai solat Isyak mengumumkan kedatangan Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) wilayah Aswan, Ustaz Muhammad Abdul Fattah. Untuk rekod, dalam Pilihanraya Dewan Rakyat bagi wilayah Aswan baru-baru ini, FJP hanya memperolehi satu kerusi daripada 6 kerusi. Baki lagi diperolehi Parti Nur, Bina' wa Tanmiyah dan Wasat selain seorang calon Bebas. Seorang wakil FJP itu menang melalui calon SENARAI iaitu Syahat Abdullah Umar yang mengetuai calon SENARAI FJP Aswan. Akhbar rasmi Ikhwan Muslimin, Huriyyah wal Adalah juga sukar diperolehi di bandar Aswan. Mungkin usaha FJP wilayah tersebut memberikan penerangan di wilayah tersebut perlu ditingkatkan.
Sayyidi Husin (kiri) di dalam majlis Maulid di Aswan bersama-sama kekandanya, Sayyidi Muhammad Soleh (kanan)

Berbalik kepada cerita yang berlaku di dalam majlis maulidurRasul tadi. Saya dan kawan-kawan agak terkejut, betulkah ia parti FJP? Pengerusi kemudian mengumumkan:
"Tariqat Jaafariyah serta Sayyidi Husain Al-Jaafari mengalu-alukan kedatangan Ustaz Muhammad Abdul Fatah, ketua FJP Aswan ke majlis kita pada malam ini..."

Sayyidi Husin yang merupakan adik kepada Sayyidi Muhammad Soleh (kedua-duanya adalah putera bagi Syeikh Abdul Ghani Jaafari, Syeikh Tariqat Jaafari ketika ini) menggantikan tempat abangnya kerana masih menerima rawatan di hospital menjemput Muhammad Abdul Fatah untuk bersalam dengannya. Sambil bersalam, Ustaz Muhammad telah mencium kepala Sayyidi Husin dan berlaku perbualan mesra antara kedua-dua mereka.

Selesai Ustaz Muhammad mengambil tempat duduk di barisan tetamu jemputan, Sayyidi Husin menggapai mikrofon di sebelah dan berucap.

"Saya amat mengalu-alukan kedatangan Ustaz Muhammad Abdul Fattah..Semoga ALLAH memelihara Ikhwan..." seraya beliau memandang kepada Ustaz Muhammad dan hadirin semua ketawa.

Sambung Sayyidi Husin "Syeikh kami (Syeikh Soleh Jaafari) menamakan saudara-saudara kami dalam tariqat sebagai Ikhwan..Tapi saya tidak pasti siapa yang mula-mula menggunakan kalimah Ikhwan, kami atau kalian?" yang ditujukan kepada gerakan Ikhwan Muslimin.

Paling mengejutkan hadirin, Sayidi Husin menyebut nama pengasas Ikhwan Muslimin, Imam Hasan Al-Banna dengan mendoakan semoga ALLAH meredhainya. "Saudara-saudara semua, Imam Hasan Al-Banna-radhiyallahu 'anhu- juga ada tariqat"..

Bagi saya, semua pihak tidak mempunyai sebarang masalah dengan Ikhwan Muslimin jika tidak dihalang oleh kerajaan sebelum ini. Tindakan kerajaan melabelkan Ikhwan Muslimin sebagai gerakan "haram" amat menakutkan rakyat. Tiada siapa yang boleh mendekati gerakan ini kecuali akan dikenakan dengan pelbagai tindakan.

Oleh kerana itu, seorang bekas Perdana Menteri Mesir sebelum ini, Dr.Aziz Sidqi telah menyuarakan rasa kekesalan terhadap sikap kerajaan terhadap Ikhwan Muslimin. Dr.Aziz Sidqi menjawat jawatan tersebut pada pemerintahan Anwar Sadat dan menghembus nafas terakhir pada 25 Januari 2008, dua tahun sebelum berlaku Revolusi 25 Januari. Kata beliau, "Kami memohon maaf kepada rakyat Mesir kerana kami menghalang mereka dari menikmati usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dalam tempoh yang panjang."

Jika kerajaan tidak menghalang usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin sejak 80 tahun lalu, sudah tentu rakyat Mesir tidak akan mundur seperti hari ini, sekalipun kemajuan dan pembangunan tidak dilakukan oleh kerajaan Mesir. Ia sudah memadai dengan "kerajaan" Ikhwan Muslimin yang mempunyai pelbagai kemudahan dan pimpinan yang berwibawa. Tetapi malangnya, bukan setakat usaha dan perancangan baik Ikhwan Muslimin yang dihalang, bahkan gerakan tersebut telah diharamkan.

Sabtu, 4 Februari 2012

KEPUTUSAN PILIHANRAYA DEWAN SENAT (SYURA) PERINGKAT PERTAMA

  • Pilihanraya Dewan Senat (Syura) bagi Mesir yang telah bermula pada peringkat pertama pada 29 dan 30 Januari lalu menyaksikan pusingan ulangan pada 7 Februari ini.
  • Parti Kebebasan dan Keadilan bersama pakatan gabungannya telah menduduki tempat pertama dengan memperoleh undi popular sebanyak 1,323,770 daripada 2,924,187 keseluruhan undi yang diterima pada 13 wilayah tersebut atau dengan nisbah 45.2%.
  • Pilihanraya bagi calon SENARAI di dua wilayah iaitu Qina dan Menufiyah ditangguhkan kepada 7 dan 8 Februari ini.
  • Bagi peringkat pertama sebelum ini, seorang calon FJP di wilayah Fayyum Dr.Hasan Yusuf (Profesional) telah diumumkan menang.
  • Pada pusingan ulangan yang bakal berlangsung pada 7 Februari ini, seramai 26 orang calon FJP bakal bertanding semula daripada 29 kerusi keseluruhan di 13 wilayah.
  • Pilihanraya baki 14 wilayah lain akan berlangsung pada peringkat kedua yang akan bermula pada 14 dan 15 Februari ini.
  • Pilihanraya Dewan Senat (Syura) hanya akan berlangsung sebanyak dua fasa dan persidangan pertama akan diadakan pada 28 Februari ini.

Selasa, 24 Januari 2012

UMMAH KEHILANGAN MEREKA SEPANJANG TAHUN 2011

Kalangan ulamak yang meninggal dunia sepanjang tahun 2011. Mohon maaf jika ada yang tidak disebut di sini..

13 April 2011, Syeikh Abdul Mu'izz Abdul Sattar
-dari kalangan 'orang lama' dalam Gerakan Ikhwan Muslimin yang meninggal dunia di negara Qatar
-Anggota Kesatuan Ulamak Muslimin SeDunia
-Merupakan wakil Ikhwan Muslimin pertama yang dihantar ke Palestin pada tahun 1946
-Mengenali dan kemudian menyertai dakwah Ikhwan Muslimin ketika menuntut di Al-Azhar
-Sempat bertemu dengan pengasasnya, Imam Hasan AlBanna pada tahun 1937


21 April 2011, Dr. Mustafa As-Syuk'ah
-Anggota Akademi Penyelidikan Islam (Mujamma' Buhus Islamiyah)
-Meninggal dunia pada usia 94 tahun
-Ketua Lajnah Pengenalan Islam di Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam
-Anggota Jawatankuasa Dialog antara agama Islam dan Kristian di Al-Azhar.
-Dilahirkan tahun 1917 di wilayah Gharbiyah, Mesir
-Bertugas sebagai Pensyarah Sastera Arab di Fakulti Sastera, Universiti 'Ain Shams hingga dilantik sebagai Dekan Fakulti
-Pernah bertugas sebagai Penasihat kepada Kedutaan Mesir di Washington, Amerika (1960-1965)
-Banyak menghasilkan buku dalam lapangan sastera hingga dianugerahkan beberapa pingat kebesaran
-Antara tulisannya yang masyhur ialah "Islam Tanpa Mazhab" yang diterbitkan tahun 1960 yang diulang cetak sebanyak 25 kali.


8 Mei 2011, Syeikh Faisol Maulawi
-Usia menjangkau 70 tahun
-Dilahirkan di Lubnan pada tahun 1941
-Menceburi dalam kerja dakwah Islam pada tahun 1955
-Merupakan Setiausaha Agung bagi Jema'ah Islamiyyah sejak 1992 hingga 2009 menggantikan Al-Marhum Dr.Fathi Yakan
-Bekas Muraqib Ikhwan Muslimin di Lubnan
-Ketua Lajnah Dakwah dan Pendakwah yang diasaskan pada 199
-Dilantik sebagai Hakim Syar'ie di Lubnan pada 1968
-Penasihat Mahkamah Tinggi Syariah di Beirut tahun 1988.


4 Jun 2011, Dr.Abdul Hamid El-Ghazali
-Pakar Ekonomi yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Sains Politik Universiti Kaherah
-Meninggal dunia pada usia 73 tahun
-Merupakan Penasihat Politik kepada Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin
-Kelahiran wilayah Menufiyah pada 23 Februari 1937
-Menyertai gerakan Ikhwan Muslimin sejak kecil dan pernah ditangkap sebanyak tiga kali (iaitu pada 1954, 1971 dan 1996).


10 Jun 2011, Syeikh Abu Hasan Syum'ah
-Pengasas gerakan HAMAS di Palestin.
-Meninggal dunia di Semenanjung Gaza
-Pemimpin Ikhwan Muslimin
-Antara tujuh orang terawal yang mengasaskan gerakan HAMAS bersama-sama As-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin.

23 Jun 2011, Syeikh Abul 'Ainain Syaisya'
-Qari Al Quran yang masyhur di Mesir dan dunia Islam
-Usia menjangkau 89 tahun
-Antara qari tersohor peringkat Mesir sebaris dengan nama Syeikh Abdul Basit Abdul Samad, Syeikh Mahmud Khalil Husori dan lain-lain
-Anak kelahiran wilayah Kafr Sheikh pada tahun 1922
-Suaranya mula diperdengarkan oleh Radio Mesir ketika usianya 17 tahun yang banyak belajar dari suara Syeikh Ahmad Rif'at (yang amat dikenali sebagai Qari yang agung dalam sejarah Mesir)
-Ketika tahun 90-an, beliau ditimpa penyakit yang membawa kepada gangguan pada suaranya yang memaksa beliau berehat tetapi beliau menghadapi penyakit tersebut dengan sabar
-Beberapa tahun kemudian, beliau kembali aktif mengalunkan ayat-ayat Allah.

12 Ogos 2011, Syeikh Abdul Rahman Syaiban
-Pendakwah Islam yang gigih di Algeria
-Meninggal dunia pada usia 93 tahun
-Ketua Kesatuan Ulamak Muslimin di Algeria, sebuah kesatuan yang diasaskan oleh Syeikh Abdul Hamid bin Badis tahun 1931
-Pernah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama antara tahun 1980 dan 1986
-Dikenali sebagai orang yang menghidupkan pembacaan hadis "Sohih Muslim" di masjid-masjid di Algeria.

6 September 2011, Dr.Ibrahim Salqoni
-Mufti wilayah Halab, Syria
-Meninggal dunia pada usia 78 tahun
-Dilahirkan di Halab pada tahun 1934
-Dikatakan sempat menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Abu Hanifah An-Nukman di Halab sebelum menemui ajal
-Memperolehi sijil Phd dalam bidang Usul Fiqh di Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar, Mesir
-Kemudian kembali ke kampung halaman di Halab dengan bertugas sebagai guru dan pengetua di beberapa buah sekolah dalam wilayah Halab
-Pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Dimashq dan Halab
-Pensyarah Usul Fiqh di Fakulti Syariah Islamiyah Universiti Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh, Saudi
-Pensyarah di Universiti Islam Madinah
-Pensyarah dan Dekan di Pengajian Islam dan Arab, Dubai
-Pensyarah pelawat Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Ummul Qura, Mekah
-Pernah dilantik sebagai Ahli Parlimen Syria pada penggal 1973 hingga 1977
-Lantang mengkritik rejim Basyar Al-Asad dalam revolusi rakyat Syria

20 Oktober 2011, Dr. Judah Abul Yazid Al-Mahdi
-Ulamak sufi terkenal di Tanta, Mesir
-Anggota Akademi Penyelidikan Islam (Mujamma' Buhus Islamiyyah)
-Meninggal dunia pada usianya mencapai 67 tahun
-Bekas Timbalan Rektor Universiti Al-Azhar
-Bekas Dekan Fakulti Al-Quran Universiti Al-Azhar Tanta
-Pernah menjawat jawatan Ketua Bahagian Tafsir Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar cawangan Tanta
-Wakil dan Dekan Fakulti Usuluddin Al-Azhar cawangan Tanta
-Syeikh Tariqat Naqsyabandiyah Al-Khalidiyah Al-Judiyyah
-Terkenal kelas pengajian yang disampaikan di Masjid Sayyidi Ahmad Badawi, bandar Tanta pada setiap Jumaat melalui kupasan ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis.

25 Oktober 2011, Dr.Muhammad Fuad Syakir
-Pensyarah dan Ketua Bahagian Hadith Universiti 'Ain Shams
-Meninggal dunia pada 25 Oktober 2011 akibat sakit jantung kira-kira selepas sebulan selepas pulang dari luar negara bagi menerima rawatan
-Dilahirkan di wilayah Qina pada 1948
-Memperolehi ijazah Phd dari Universiti Al-Azhar pada akhir 80-an

10 Disember 2011, Dr.Abdul Halim 'Uwais
-Pensyarah Sejarah dan Tamadun Islam
-Meninggal dunia pada usia 68 tahun
-Sepatutnya berlepas ke negara Saudi bagi menerima anugerah Raja Saudi tetapi takdir telah mendahuluinya
-Ketua Pengarang Majalah "At-Tibyan"
-Mendapat pendidikan dari Fakulti Pengajian Arab dan Islam, Darul 'Ulum Universiti Kaherah hingga berjaya memperoleh sijil Phd pada tahun 1978.


16 Disember 2011, Syeikh 'Imad Effat
-Tenaga pengajar di Al-Azhar
-Menemui ajal dalam "Peristiwa Kompleks Jemaah Menteri"
-Ditembak ketika dalam satu himpunan di hadapan Kompleks Jemaah Menteri
-Pemergian beliau ditangisi oleh seluruh anak didik beliau selain gurunya, Syeikh Dr.Ali Jum'ah, Mufti Mesir
-Bertugas sebagai pegawai di Darul Ifta' Mesir
-Orang yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa mengharamkan rakyat Mesir mengundi golongan fulul dalam Pilihanraya Parlimen Mesir.


23 Disember 2011, Dr.Mahmud Hafiz
-Menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia menjangkau 100 tahun
-Pengerusi Kompleks Bahasa Arab
-Presiden Kompleks Ilmu Mesir
-Setiausaha Agung Kesatuan Hidayatul Islamiyah bersama-sama Syeikh Muhammad Al-Khidhr Husain, bekas Syeikh Al-Azhar selama 17 tahun
-Kelahiran wilayah Kaherah pada 10 Januari 1912

Semoga ALLAH merahmati mereka semua,Al Fatihah...

Sabtu, 21 Januari 2012

FJP MENANGI 47% KERUSI PARLIMEN

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir petang tadi mengumumkan keputusan muktamad Pilihanraya Dewan Rakyat yang mempunyai 498 kerusi termasuk keputusan bagi calon SENARAI yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding. Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memperoleh 235 kerusi atau 47.2% iaitu 127 org melalui calon SENARAI dan 108 org melalui calon INDIVIDU.

Sementara itu, Ketua Tentera, Husin Tantawi melantik 10 orang Ahli Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Mesir iaitu kerajaan berhak melantik 10 Ahli Parlimen tambahan.

Rabu, 18 Januari 2012

7 KERUSI TAMBAHAN MILIK FJP

Ikhwan Muslimin melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) setakat ini menambahkan 7 orang Ahli Parlimennya bagi menyertai 232 rakan-rakannya yang lain bagi Parlimen selepas revolusi ini. Keputusan Pilihanraya ulangan yang diadakan dua hari lalu meletakkan FJP dalam kedudukan yang begitu selesa. Hanya menanti keputusan satu kerusi INDIVIDU di daerah pertama di Daqahliyah dan satu kerusi lagi di QINA yang dijadualkan diketahui malam ini.

Berikut kedudukan 7 kerusi milik FJP:

Daerah pertama Kaherah
1) Fahmi Abduh (PROFESIONAL) Undi: 187,148
2) Kamal Mahdi (BURUH) Undi: 183,373

Daerah ketiga Asyut
1) Abdullah Sodiq Nasr (BURUH) Undi: 43,781

Daerah kedua Asyut
1) Muhammad Salamah Bikr (PROFESIONAL) Undi: 89,509
2)Muhammad Mudhor Musa (BURUH) Undi: 84,116

Daerah kelima Syarqiyyah
1) Ahmad Syail (PROFESIONAL) Undi: 104,000
2)Sayyid 'Atwil (BURUH) Undi: 92,000

20 JANUARI: MEMPERINGATI MURSYIDUL 'AM IKHWAN MUSLIMIN KEEMPAT

MURSYIDUL 'AM IKHWAN KEEMPAT: AL-MARHUM USTAZ MUHAMMAD HAMID ABU NASR

Ustaz Muhammad Hamid Abu Nasr merupakan Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin yang keempat selepas Al-Marhum Ustaz Umar Tilmisani.

-Dilahirkan pada 6 Rabiul Akhir 1331 bersamaan 25 Mac 1913di daerah Manfalut, wilayah Asyut
-keturunan Syeikh Ali Ahmad Abu Nasr, salah seorang ulamak Al-Azhar
-sempat bertemu dengan Imam Hasan Al-Banna pada akhir tahun 1933 dan telah mengangkat janji setia bagi memperjuangkan dakwah Islam atas gerakan ini
-Dikira antara golongan terawal menyertai Ikhwan Muslimin
-dilantik sebagai ketua cawangan Manfalut
-kemudian dilantik sebagai anggota Haiah Ta'sisiyyah (Majlis Syura 'Am sekarang) dan anggota Maktab Irsyad
-Pernah dipenjarakan pada tahun 1954 dan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dengan kerja berat
-Dibebaskan pada tahun 1974 iaitu selepas hanya 20 tahun dipenjara dan terus bergerak aktif kembali dalam Ikhwan Muslimin
-Dipilih Mursyid selepas Ustaz Umar Tilmisani meninggal dunia tahun 1986
-Meninggal dunia di Kaherah pada pagi Sabtu, 20 Januari 1996 usianya mencecah 83 tahun iaitu kira-kira 10 tahun memimpin gerakan tersebut.

Pencapaian:
-Pada zamannya, Ikhwan Muslimin berjaya memasuki dan menguasai beberapa badan profesional, kesatuan pelajar dan pengajar di universiti
-Pada tahun 1987, Ikhwan Muslimin menyertai Pilihanraya Parlimen dengan menjalinkan kerjasama (tahaluf) dengan Parti 'Amal dan memenangi 36 kerusi
-Pada Pilihanraya Parlimen tahun 1990, Ikhwan Muslimin dan parti-parti pembangkang lain memboikot kerana membantah Undang-Undang Darurat yang masih berterusan dan penipuan pilihanraya yang berlaku
-Tahun 1992,Ikhwan menyertai Pilihanraya Majlis Tempatan
-Tahun 1993, Ikhwan Muslimin membantah pelantikan penggal ketiga Mubarak sebagai Presiden Mesir
-Akibatnya, 82 orang pimpinannya didakwa atas tuduhan palsu di mahkamah tentera pada tahun 1995 yang membawa kepada hukuman penjara bagi 54 tokoh mereka
-Ikhwan Muslimin pada zaman beliau telah bergerak dengan tersusun apabila organisasi di setiap peringkat disusun semula termasuk penyusunan bagi Maktab Irsyad dan Majlis Syura 'Am.

Semoga ALLAH merahmati beliau dengan rahmatNya seluas-luasnya..Amin. Al-Fatihah

Sabtu, 14 Januari 2012

SYURA IKHWAN MUSLIMIN SERAH KUASA PADA MAKTAB IRSYAD BINCANG PERALIHAN KUASA

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG IKHWAN MUSLIMIN SELEPAS MESYUARAT MAJLIS SYURA 'AM

Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin yang telah mengadakan mesyuaratnya yang kelima (selepas revolusi 25 Januari) pada hari Sabtu 21 Safar 1433 bersamaan 14 Januari 2012 dengan kehadiran 108 anggota atau nisbah 87% dari seluruh anggotanya telah memutuskan berikut:

1) Bersetuju sebulat suara menyerahkan kuasa kepada Maktab Irsyad (badan tinggi dalam Ikhwan Muslimin) bagi mengadakan perbincangan dengan sayap politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) bagi mengambil langkah-langkah yang sesuai dalam tempoh peralihan kerajaan dalam Dewan Rakyat dan kerajaan.

2) Bersetuju melantik Dr.Muhammad Toha Wahdan sebagai anggota Maktab Irsyad menggantikan Ir.Saad Al-Husaini yang telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Pelaksana FJP.

Dr.Mahmud Husain,
Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin

Kaherah: 21 Safar 1433/ 14 Januari 2012

Jumaat, 13 Januari 2012

KEDUDUKAN TERKINI: FJP MENDAHULUI DENGAN 232 KERUSI


Kedudukan terkini selepas pusingan ulangan fasa terakhir Pilihanraya Parlimen Mesir:

-Pakatan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP): 232 kerusi

-Pakatan Parti Nur Salafi: 113 kerusi

-Parti Wafd Liberal: 47 kerusi

-Pakatan Liberal "Kutlah": 39 kerusi

-Fulul: 17 kerusi

-Parti2 lain dan bebas: 14 kerusi

-Parti Wasat: 10 kerusi

-Pakatan Thaurah Mustamirah atau "Revolusi Berterusan": 8 kerusi

*18 kerusi yg ditangguhkan oleh mahkamah

Selasa, 10 Januari 2012

APA DAH JADI DENGAN PARTI NUR SALAFI?


Apa dah jadi dengan Parti Nur Salafi ni? Inilah akibatnya tiada pengalaman dalam politik dan mudah ditipu orang. Sudah la tiada pengalaman, berlagak pandia pula. Orang nak masuk politik, dia pun nak masuk politik. Sebelum revolusi, mana golongan Salafi? Yang masuk keluar penjara hanyalah pimpinan Ikhwan Muslimin, mereka sekadar membicarakan bab khilafiyah, mengharamkan dan membidaahkan maulid dan tawassul. Tiba-tiba lepas tumbang Mubarak, dia nak jadi hero dalam politik pula.

Banner yang digantung dalam kawasan di wilayah Gharbiyah, satu lagi bukti Parti Nur sanggup bersekongkol dengan siapa saja demi mengalahkan FJP. Kali ini bersama orang kuat Mubarak, Solah El-Hisowi. Hisowi ni merupakan puak fulul, bekas parti Mubarak NDP yang banyak membuat kerosakan sewaktu memerintah Mesir sebelum ini. Tapi tanpa rasa bersalah,Nur boleh bekerjasama, siap tulis "Solah Hisowi dan Parti Nur bersatu di atas tangan yang satu!"

Demi kerana nak menang, sanggup buat apa sahaja asalkan berjaya kalahkan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Adapun pendirian FJP jelas. Mereka hanya akan bekerjasama dengan rakan-rakan pakatan mereka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik KECUALI golongan saki-baki Mubarak (fulul). "Demi memelihara roh revolusi 25 Januari dan demi memelihara kemuliaan darah para syuhada' yang telah terkorban pada revolusi lalu, demi tanah air, kami tidak akan gadaikan prinsip ini," jelas pimpinan FJP. Bagi saya, eloklah FJP tak perlu bergabung atau bekerjasama dengan Parti Nur.

JALAN TERAKHIR MUSUH IKHWAN MUSLIMIN BAGI MEMASTIKAN FJP TEWAS


Pelbagai taktik digunakan oleh musuh Ikhwan Muslimin bagi melihat sayap politiknya, FJP tersungkur dalam pilihanraya kali ini. Rupa-rupanya musuh Ikhwan Muslimin bukan hanya Mubarak dan rejimnya sahaja.

Seorang pimpinan Ikhwan Muslimin, Dr.Mahmud Ghazlan yang juga jurucakap rasmi Ikhwan Muslimin ketika menghadiri majlis memperingati As-Syahid Syeikh 'Imad 'Effat yang terkorban dalam peristiwa di hadapan bangunan 'Jemaah Menteri' beberapa bulan lalu. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kesatuan Wartawan Mesir, kebetulan isteri As-Syahid merupakan wartawan akhbar Al-Ahram. Antara tetamu yang dijemput adalah wakil Ikhwan Muslimin. Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie telah mewakilkan kepada Dr.Mahmud Ghazlan.
Mahmud Ghazlan, jurucakap rasmi Ikhwan Muslimin

Selesai bacaan Al-Quran, tiba giliran beliau untuk berucap, tiba-tiba segelintir pemuda yang hadir bangun mengganggu ucapan dan tidak membenarkan beliau berucap. Kumpulan pemuda tersebut tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Ikhwan Muslimin yang tidak turun ke Tahrir sebelum ini menyertai himpunan pada beberapa kali hari Jumaat. Mahmud Ghazlan yang terganggu dan tidak dapat meneruskan ucapan terpaksa meninggikan suara dengan berkata "Inikah akhlak kamu?!" sambil bertekad untuk meninggalkan pentas tetapi dihalang oleh penganjur yang meminta beliau menutup ucapannya dengan bacaan doa. Selesai berdoa untuk roh As-Syahid, Mahmud Ghazlan dengan nada kecewa menyatakan kepada pemuda tersebut "Ketika kami turun ke Tahrir (iaitu sebelum revolusi) dan terdapat beberapa kumpulan yang tidak menyertainya, kami tidak pernah mencerca mereka walau sepatah perkataan tetapi apabila kami (Ikhwan Muslimin) mengambil keputusan tidak turun hanya pada beberapa kali Jumaat, kami dihina dengan pelbagai tohmahan."

Halangan pertama yang dihadapi Ikhwan Muslimin selepas revolusi ialah keputusan Majlis Tentera yang menangguhkan Pilihanraya Umum yang sepatutnya telah diadakan pada bulan September tahun lalu. Majlis Tentera yang masih dikuasai saki-baki rejim Mubarak bimbang jika pilihanraya diadakan awal, maka Ikhwan Muslimin akan mencapai kemenangan besar kerana sebahagian besar parti-parti aliran sekular lain masih belum bersedia mengahadapinya. Tapi takdir ALLAH, semakin ditangguhkan, semakin cemerlang pencapaian Ikhwan Muslimin.

Ujian paling besar buat Ikhwan Muslimin ialah ketika berlangsung Pilihanraya Umum pusingan pertama pada 28 November lalu, berlakunya peristiwa berdarah di Tahrir yang menyaksikan beberapa nyawa terkorban. Pada pusingan kedua pula, berlaku rusuhan seterusnya di Jalan Mohammad Mahmud, hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri yang mengorbankan beberapa nyawa. Peristiwa yang berlaku ketika pilihanraya setiap pusingan sedang berlangsung tersebut seakan-akan dirancang bagi menggagalkan proses pilihanraya. Dalam menghadapi situasi yang amat getir ketika itu, politik Ikhwan Muslimin bijak apabila tidak mudah 'ditipu' dengan permainan politik kotor musuh mereka bagi mengheret Ikhwan ke kancah perbalahan. Lalu Ikhwan Muslimin mengambil pendirian untuk tidak menyertai himpunan pada Jumaat di Tahrir ketika mana puluhan parti-parti politik lain menyertainya. Ternyata, keputusan yang amat berkat itu merupakan keputusan bijak untuk tidak terperangkap dalam 'jerangkap samar' yang dipasang musuh. Dr.Mohammad Bad'ie mengulas bahawa "Ikhwan Muslimin mempunyai Mursyid yang dipandu oleh Maktab Irsyad" yang diberikan petunjuk oleh ALLAH dalam setiap keputusan yang diambilnya.

Terbaru, melihat kemaraan Ikhwan Muslimin yang telah memperolehi 207 kerusi, cara terakhir yang digunakan oleh musuh Ikhwan ialah melalui mahkamah. Beberapa daerah yang sepatutnya telah selesai mengadakan pilihanraya pada pusingan pertama dan kedua terpaksa ditangguhkan atas keputusan mahkamah selepas difailkan oleh calon lawan FJP di beberapa kawasan.

Terbaru, mahkamah Ismailiyyah menangguhkan pilihanraya di wilayah Selatan Sinai yang sepatutnya berlangsung pada 10 dan 11 Januari ditunda kepada 14 dan 15 Januari ini. Selain itu, turut ditangguhkan ialah pilihanraya bagi daerah pertama wilayah Daqahliyah dan Qina.

Sebelum ini juga, mahkamah telah menangguhkan pilihanraya bagi daerah Sahil di Kaherah, dua daerah di Asyut, satu daerah di Iskandariah dan calon SENARAI di Aswan.

Bahkan terdapat hakim-hakim yang menjadi ketua tempat mengundi melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan peraturan seperti melarang orang buta huruf dibantu untuk mengundi, menghalau wakil-wakil calon berada dalam pusat mengundi atas alasan "ruang amat sempit" dan tidak mempedulikan rasuah dna politik wang dalam pilihanraya yang dilakukan oleh golongan fulul,saki-baki rejim Mubarak yang merasuah pengundi untuk menyokong calon bekas rejim mereka.

Keputusan-keputusan mahkamah tersebut diharapkan akan menyebabkan Ikhwan Muslimin memboikot pilihanraya atau mengadakan himpunan membantah keputusan mahkamah tetapi yang berlaku tidak seperti yang disangka. Mengulas lanjut berkaitan penangguhan mahkamah ini, Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Badie berkata, "Kami menghormati keputusan mahkamah bahkan kami antara mereka yang pertama menghormatinya". Demikian sikap pimpinannya yang tidak melenting atau melatah seperti apa yang diharapkan oleh musuh Ikhwan Muslimin. Tetapi semuanya tidak berlaku yang menyebabkan perancangan mereka gagal kesemuanya.

MAHKAMAH TANGGUH PILIHANRAYA DI SINAI UTARA, SATU DAERAH DI DAQAHLIYAH

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Mesir menangguhkan proses pilihanraya Parlimen bagi wilayah Selatan Sinai (calon INDIVIDU dan SENARAI) yang sepatutnya berlangsung pada 10 dan 11 Januari ditunda kepada 14 dan 15 Januari ini sementara pusingan ulangan bagi calon INDIVIDU wilayah ini ditetapkan pada 18 dan 19 Jaanuari. Ia berikutan keputusan mahkamah semalam yang menangguhkan pilihanraya di wilayah tersebut.

Selain itu, mahkamah juga menangguhkan pilihanraya bagi daerah pertama Daqahliyah (calon INDIVIDU dan SENARAI) dan daerah ketiga wilayah QINA (calon INDIVIDU).

Oleh itu, seramai 29 orang calon FJP bertanding bagi pilihanraya ulangan pada 10 dan 11 Januari ini dan pecahannya seperti berikut:
-Daqahliyah (9 orang)
-Gharbiyah (7 orang)
-ElMenia (5 orang)
-Qalyubiyah (4 orang)
-Qina (2 orang)
-Masing-masing seorang di Wadi AlJadid dan Utara Sinai

Isnin, 9 Januari 2012

LANGKAH BARU PARTI NUR DALAM ARENA POLITIK MESIR



Parti Nur, sebuah parti yang diasaskan golongan yang mendakwa "Salafi" di Mesir yang diluluskan pendaftarannya pada 12 Jun 2011 yang diketuai oleh 'Imad Abdul Ghafur. Nur bermaksud "cahaya" kini menduduki tempat kedua terbanyak memperolehi kerusi di Parlimen selepas Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).

Ikhwan Muslimin yang menubuhkan sayap politiknya, FJP pernah 'menghulurkan salam persahabatan' kepada Parti Nur sebelum pilihanraya bagi membentuk sebuah pakatan yang kuat tetapi ditolak oleh Nur. Ketika mana Nur menolak tawaran kerjasama FJP, parti-parti aliran Liberal seperti Ghad Thaurah yang diketuai Dr.Aiman Nur, seorang Liberal pula menyambut salam yang dihulurkan FJP.

Sebliknya, Nur bertindak menubuhkan pakatan gabungannya sendiri yang dinamakan "Pakatan Nur". Adapun parti komponen yang lain ialah Parti Asolah, Fadhilah dan Bina' wat Tanmiyah. Semua parti tersebut merupakan parti serpihan "Salafi" kecuali Bina' wat Tanmiyah yang merupakan sayap parti bagi Jamaah Islamiyyah. Asolah dan Fadhilah merupakan parti yang ditubuhkan kerana "masalah tidak puas hati". Akhirnya terbentuk pakatan ini yang diketuai oleh Parti Nur. Mungkin jika Nur bergabung dalam "Pakatan Demokrasi" bersama FJP, tentu Nur hanya sebagai parti komponen biasa, tidak boleh menjadi ketua. Apabila berasingan, nampak "kehebatan" Nur memimpin walaupun semasa berkempen, masyarakat melihat Nur 'kurang cerdik'.

Masakan tidak, kempen yang berlangsung penuh dengan maki-hamun terhadap part-parti Liberal dan sekular. Seorang pimpinannya menyebut "Jika golongan sekular dan Liberal berkuasa di Mesir, kalian akan dapati setiap jalan di Mesir akan dipenuhi dengan berhala-berhala." Juga pendekatan radikal mereka berhadapan dengan masyarakat Kristian. Ini berbeza dengan kempen harmoni yang ditunjukkan dalam kempen FJP yang banyak menerangkan kebaikan dan kemurnian ajaran Islam yang diperjuangkan selain memperkenalkan calon dan manifesto parti. Sikap tidak matang mereka juga dapat dilihat apabila mereka menentang gagasan negara madani atau "negara untuk masyarakat awam" yang disokong oleh golongan sekular bahkan pandangan FJP yang turut menyokong gagasan tersebut turut ditentang. Sedangkan pada FJP, pihaknya menerima konsep negara madani tersebut tetapi dengan syarat "mesti meletakkan Islam sebagai rujukan".

'Kurang cerdik' Nur ini dapat dilihat selepas penamaan calon yang terpampang pada poster-poster kempen mereka. Mereka mahu menonjolkan calon muslimat tetapi mereka 'masih belum bersedia' menampilkan gambar calon muslimat mereka di poster-poster calon. Lalu ruangan gambar tersebut dibiarkan kosong atau digantikan dengan bunga mawar. Ini kerana mereka masih berpegang kepada pandangan mereka sewaktu berada dalam Salafi berkaitan batas wanita dalam masyarakat.

Sikap tidak matang dalam politik ini menyebabkan mereka jauh dari masyarakat terutama golongan minoriti Kristian. Apatah lagi, menjelang perayaan Krismas baru-baru ini, Presiden Parti Asolah-rakan pakatan Nur telah mengeluarkan kenyataan yang amat sensitif yang tidak membenarkan umat Islam mengucapkan tahniah atau menyertai perayaan Krismas. Bahkan katanya, "Kami dari (parti) Asolah, sama sekali tidak akan mengucapkan tahniah kepada mereka (masyarakat Kristian)". Pandangan tersebut ditolak oleh ulamak Al-Azhar, antaranya bekas Mufti Mesir Dr.Nasr Farid Wasil yang menyatakan harus hukumnya berbuat demikian.

Belumpun tamat pilihanraya, sebuah parti komponen dalam pakatan Nur, Bina wa Tanmiyyah telah menunjukkan tanda-tanda parti tersebut bakal keluar dari pakatan Nur dan dilihat bakal bekerjasama dengan FJP. Akhbar Huriyyah wa 'Adalah terbitan Sabtu, 7 Januari 2012 lalu memetik kenyataan seorang pimpinan Parti Bina wa Tanmiyyah, Dr.Sofwat Abdul Ghani bahawa partinya akan menarik diri dari pakatan Nur tersebut berikutan banyak perkara melibatkan dasar partinya tidak sehaluan dengan Nur. Bahkan pakatan Nur tersebut hanya dibentuk untuk menghadapi pilhanraya, bukan hingga membentuk kerajaan. Selain itu kata beliau, "pemikiran Bina wa Tanmiyyah dilihat cenderung kepada FJP," jelas wakil parti itu yang merupakan sayap politik kepada Jamaah Islamiyyah bahawa partinya yang kini berjaya memperolehi 15 kerusi akan membentuk kumpulan berasingan dari Parti Nur dalam Parlimen kelak.

WILAYAH DAQAHLIYAH: PARTI NUR BEKERJASAMA DENGAN PARTI ADIL, FULUL LAWAN FJP!


Sejak bermula proses pilihanraya, Parti Nur telah menunjukkan sikapnya yang sebenar. Pada awalnya Nur menolak untuk bekerjasama dengan FJP. Tetapi malangnya hari ini, Nur lebih selesa bekerjasama dengan "golongan fulul" yang menjadi musuh FJP. Golongan fulul, iaitu mereka yang merupakan bekas Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang diketuai Mubarak yang kini telah dibubarkan telah menyertai pilihanraya kali ini. Kebanyakan mereka bertanding atas tiket bebas dan tidak kurang pula terdapat parti-parti lain yang sudi menerima mereka yang disifatkan FJP sebagai "musuh negara". Kenapa tidak, semasa penguasaan NDP dalam kerajaan, semua kerosakan dan kemungkaran yang dilakukannya. Parti Nur juga tidak ketinggalan sudi menerima calon-calon fulul ini ke dalam calon mereka. Natijahnya, hingga ke saat ini, Parlimen Mesir bakal menerima 11 anggota fulul yang menang dalam pusingan baru-baru ini.

Terbaru, sikap Parti Nur yang menghairankan yang sanggup bekerjasama dengan siapa jua walau dengan musuh bagi berhadapan dengan FJP. Terbaru berlaku di wilayah Daqahliyah di aman Nur telah memberikan kerjasama terbuka dengan fulul dan Parti 'Adil dalam satu sidang media yang diadakan sehari sebelum menjelang pengundian bagi pusingan ulangan fasa ketiga yang juga yang terakhir untuk Parlimen yang dijadualkanpada 10 dan 11 Januari. Ia berlaku di daerah ketiga, calon Parti Nur, Sulaiman Hamid Sulaiman (Buruh) bakal ditentang oleh calon FJP, Abdul Hamid Muhammad Hasan 'Isa (Buruh) manakala calon Parti 'Adil, Dr.Ahmad Ismail Shukri (Profesional) akan ditentang oleh calon FJP, Imad Syamsuddin Abdul Rahman (Profesional).

Sementara di daerah keempat dalam wilayah yang sama, seorang calon fulul Mahmud Nabih Hasanain (Buruh) yang merupakan bekas Ahli Parlimen 2005 dan 2010 yang mewakili parti Mubarak NDP telah menyokong calon Parti Nur, Ed-Daudi Muhammad Mehlab (Profesional) bagi menentang calon FJP yang juga pimpinan Ikhwan Muslimin Daqahliyah, Ir Ibrahim Abu 'Auf (Profesional).

Mengulas kerjasama Nur dengan fulul Mubarak, Ibrahim Abu 'Auf memberikan ulasan berikut, "Kami (FJP) memboikot (untuk bekerjasama dengan) fulul merupakan persoalan prinsip. Jika kami mengejar kedudukan atau pangkat nescaya kami mengambil jalan yang mudah (untuk bekerjasama dengan mereka). Tetapi kami menjunjung prinsip kami, menghormati darah mereka yang terkorban dalam revolusi, menghormati revolusi 25 Januari yang berlaku bagi membersihkan negara dari saki-baki rejim, jadi kami menolak sebarang bentuk kerjasama dengan fulul."

10 DAN 11 JANUARI PUISNGAN ULANGAN BAGI FASA KETIGA


KENYATAAN RASMI PARTI KEBEBASAN DAN KEADILAN SEMPENA PUSINGAN ULANGAN FASA KETIGA (TERAKHIR) PARLIMEN MESIR

Esok (10 Januari 2012) akan bermulanya pusingan ulangan bagi fasa ketiga Pilihanraya Parlimen Mesir selama dua hari yang bakal disertai seramai 30 orang calon FJP. Selain itu, ia akan melibatan beberapa kawasan yang ditangguhkan atas keputusan mahkamah iaitu:

1) Daerah Sahil (wilayah Kaherah) yang melibatkan dua calon INDIVIDU, seorang (Buruh) dan seorang profesional dan 8 orang calon SENARAI
2) Aswan (4 orang calon SENARAI)
3) Asyut, melibatkan dua daerah; Daerah kedua dan ketiga (4 orang calon INDIVIDU)
4) Wilayah Syarqiyah, melibatkan dua daerah; Daerah kedua dan kelima (4 orang calon INDIVIDU)
5) Wilayah Iskandariah, melibatkan daerah ketiga (2 orang calon)

Ahad, 8 Januari 2012

SOALJAWAB PENERANGAN PILIHANRAYA MESIR

Sebelum ini, saya kemukakan kedudukan terkini parti politik dalam Parlimen Mesir. Ramai yang menyatakan ia susah difahami. Untuk lebih memberikan kefahaman kepada pembaca, kali ini saya ringkaskan berkaitan proses Pilihanraya Mesir dan saya paparkan dalam bentuk soal jawab. Semoga menambahkan kefahaman kepada semua.

1) Berapakah kerusi keseluruhan Dewan Rakyat di Mesir?

Jumlah keseluruhan kerusi ialah 498 dan dipecahkan seperti berikut:

332 orang dipilih melalui calon Fardi (INDIVIDU)
166 orang dipilih melalui calon Qawaim (SENARAI)
10 orang lagi bakal dipilih oleh kerajaan baru (iaitu Ahli Parlimen yang dilantik)

2) Apakah perbezaan antara calon INDIVIDU dan calon SENARAI?

Calon INDIVIDU atau fardi mewakili individu manakala SENARAI mewakili parti politik.

3) Apakah yang dimaksudkan dengan calon Buruh dan Profesional dalam calon INDIVIDU?

Calon INDIVIDU dalam setiap kawasan Parlimen akan diwakili oleh dua kelompok iaitu:
1) kelompok 'Ummal (Buruh)
2) kelompok Fiat (Profesional)

Setiap calon yang bertanding akan dinilai dari kerjayanya. Jika dia seorang peniaga, peladang, pemandu sebagai contoh, maka dia perlu bertanding atas tiket (Buruh). Manakala jika kerjayanya pensyarah, doktor perubatan, peguam, jurutera sebagai contoh maka dia perlu bertanding atas tiket (Profesional).

4) Adakah menjadi syarat utama calon INDIVIDU mesti mewakili mana-mana parti politik?

Tidak. Ia tidak menjadi syarat. Mereka yang tidak mewakili parti akan bertanding atas tiket bebas (mustaqil). Oleh kerana itu, pada kertas undi calon INDIVIDU, tidak akan diletakkan simbol parti yang diwakili akan tetapi terdapat simbol peribadi yang dipilih oleh calon. Demikian juga menyebabkan calon INDIVIDU yang bertanding setiap kawasan terlalu ramai.
Contoh 1: Calon FJP di sebuah daerah di wilayah Gharbiyah. Dua calon mereka mewakili (Buruh) dan (Profesional) dan bagi calon SENARAI, mereka mengemukakan 10 calon.

5) Bagaimana pula calon SENARAI?

Adapun untuk calon SENARAI,semua calonnya mesti bertanding atas nama parti.

6) Berapa bilangan yang dihadkan bagi setiap calon SENARAI yang mewakili parti?

Setiap parti perlu mengemukakan antara 4 hingga 12 orang calon. Setiap senarai pula, mesti mempunyai seorang ketua iaitu Ketua Senarai (atau Ra'sul Qaimah).

7) Adakah calon SENARAI dan INDIVIDU mempunyai keluasan kawasan yang sama?

Tidak, ia berbeza. Kawasan bagi calon SENARAI akan lebih luas berbanding calon INDIVIDU. Sebagai contoh, kawasan pilihanraya wilayah Kaherah:

SPR telah memecahkan kawasan untuk calon INDIVIDU bertanding pada LIMA daerah berikut:
-Daerah pertama (Shubra)
-Daerah kedua (Madinah Nasr)
-Daerah ketiga (Ain Shams)
-Daerah keempat (Helwan)
-Daerah kelima (Misr Jadidah)

Bagi calon SENARAI, SPR memecahkan hanya kepada DUA daerah yang akan menggabungkan seperti berikut:
-Daerah pertama (Shubra+Helwan)
-Daerah kedua (Ain Shams+Madinah Nasr+Misr Jadidah)

8) Bagaimana proses pengundian dijalankan?

Setiap pengundi akan diberikan dua helai kertas undi:

i) Kertas undi pertama memaparkan calon INDIVIDU yang mana pengundi tersebut perlu mengundi dua orang iaitu seorang mewakili Buruh dan seorang lagi mewakili Profesional.

Jika dia mengundi lebih dari dua calon atau kurang dari itu, maka ia dikira undi rosak. Pada senarai calon INDIVIDU tidak akan dipaparkan logo parti bahkan simbol yang dipilihnya. Maka pengundi perlu mengingati nama calon dan simbol calon tersebut.

ii) Kertas undi kedua ialah senarai parti yang mahu dipilihnya. Jika dia penyokong FJP, maka dia perlu mencari ruangan petak yang tertera "Parti Kebebasan dan Keadilan" dan simbol yang ditetapkan bagi FJP ialah simbol "neraca". (Adapun simbol Parti Nur Fanus-Lampu Arab). Maka pengundi tersebut perlu mengundi di sebelah petak kosong yang disediakan. Perlu diingat, undian bagi Pilihanraya Mesir ialah tanda betul, bukan pangkah seperti di Malaysia.

iii) Selesai mengundi, pengundi perlu memasukkan dua kertas undi ke dalam dua kotak peti undi yang disediakan; satu peti untuk calon INDIVIDU dan kotak kedua untuk calon SENARAI.

iv) Sebelum beredar, pengundi perlu menandatangani senarai kehadiran dan akan mencelup jari dakwat bagi menunjukkan dia telahpun mengundi.
Contoh 2: Ir Ibrahim Abu 'Auf, seorang jurutera mewakili FJP di sebuah daerah di Mansurah atas calon INDIVIDU (Profesional) menggunakan simbol "basikal" dan simbol ini akan tertera pada kertas undi.

9) Dimanakah proses pengiraan undi dilakukan?

Semua pengiraan undi akan dipusatkan di satu tempat. Justeru, selepas selesai proses mengundi, hakim yang bertugas di semua pusat mengundi akan di 'seal' peti undi dan akan dibawa ke pusat penjumlahan undi.

10) Bagaimana proses pengiraan undi bagi CALON INDIVIDU?

Untuk diisytiharkan menang, seseorang calon mesti memperolehi undi nisbah (50%+1) daripada keseluruhan jumlah undi yang diterima.

11) Apa yang dimaksudkan dengan nisbah (50%+1)?

Undi yang diperolehi seseorang calon hendaklah melebihi 50% daripada jumlah yang diterima. Sebagai contoh, undi yang diterima (setelah ditolak undi rosak) berjumlah 50,000. Maka calon yang menang perlu memperoleh undi melebihi 25,000 undi.

12) Apa perlunya diadakan pusingan ulangan?

Ia amat perlu kerana seperti yang disebutkan di atas bahawa calon yang mengemukakan pertandingan untuk kerusi INDIVIDU terlalu ramai. Sebagai contoh, daerah pertama wilayah Gharbiyah yang ditandingi oleh calon FJP, Syeikh Sayyid 'Askar menyaksikan calonnya berjumlah 80 orang. Pada pusingan ulangan ini, dua calon yang memperolehi undi tertinggi akan bertanding manakala selainnya tewas secara automatik.

13) Adakah nisbah (50%+1) dikira juga pada pusingan ulangan?

Tidak, pada pusingan ulangan, nisbah tersebut tidak digunakan. Mana-mana jua calon yang mengatasi calon lawannya walau dengan perbezaan majoriti yang tipis akan diumumkan menang.
Contoh 3: Kertas undi yang telah ditanda pada ruangan kertas undi SENARAI pada simbol "neraca" milik FJP

14) Bagaimana pengiraan undi bagi CALON SENARAI?

Pengiraan undi seperti berikut:

Sebagai contoh setiap kawasan Parlimen, terdapat tiga parti yang mengemukakan calon SENARAI iaitu FJP, Nur Salafi dan Parti Wafd.

Jika pengiraan undi menyaksikan FJP memperolehi 50% undi, maka hanya 5 orang calonnya menang daripada 10 orang calon yang dikemukakan.

Kemudian calon Nur Salafi memperolehi 30% daripada 10 orang calon, maka hanya 3 orang dari calonnya yang menang.

Kemudian, 20% peratus lagi dimenangi oleh Parti Wafd, maka hanya 2 orang sahaja yang menang daripada 10 calonnya.

15) Adakah calon SENARAI memerlukan juga pusingan ulangan seperti calon INDIVIDU?

Tidak. Pengundian untuk calon SENARAI tidak memerlukan pusingan ulangan. Ia akan dikira pada pusingan awal sahaja.
Contoh 4: Senarai di atas menunjukkan nama 11 parti komponen "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" yang diketuai FJP menggunakan simbol "neraca" pada kertas undi.

16) Bagaimana percaturan FJP untuk memasukkan pimpinan tertinggi mereka ke dalam Parlimen?

Antaranya dengan meletakkan pimpinan utama mereka sebagai KETUA SENARAI calon FJP. Ini kerana KETUA SENARAI akan menduduki tempat pertama dalam susunan dan sudah pasti akan menang. Sebagai contoh:
-Timbalan Presiden FJP, Dr. 'Essam 'Iryan dicalonkan sebagai KETUA SENARAI FJP di wilayah Giza
-Setiausaha Agungnya Dr. Saad Katatni sebagai KETUA calon SENARAI FJP di wilayah ElMinia -AJK FJP Pusat, Dr.Mohammad Beltaji sebagai KETUA SENARAI FJP di wilayah Qalyubiyyah.

17) Dimanakah kedudukan calon parti komponen "Pakatan Demokrasi" selain FJP?

Selain FJP, "Pakatan Demokrasi Demi Mesir" ini mempunyai 10 parti komponen yang lain. Calon selain FJP hanya bertanding di kerusi calon SENARAI. Mereka tidak bertanding calon INDIVIDU. Pimpinan parti komponen "Pakatan Demokrasi" akan dimasukkan dalam calon SENARAI.

Contoh, SENARAI FJP bagi Parlimen (Madinah Nasr+Misr Jadidah) yang mempunyai 8 orang calon dan memperolehi 30% undi. Ini bermakna hanya 3 calon sahaja yang menang. Salah seorangnya ialah Dr.Majdi Qarqar yang merupakan Setiausaha Agung Parti 'Amal, salah sebuah parti dalam "Pakatan Demokrasi" yang menduduki tempat ketiga dalam susunan. Berikut susunannya:

1) Dr.Ahmad Imam mewakili FJP (KETUA SENARAI)- menang
2) Abdul Basit Qubais (FJP)-menang
3) Dr.Majdi Qarqar (Parti 'Amal)-menang
4)Redha Mustafa Abduh (FJP)-tewas
5)Dr.Usamah Abdul Rahim (FJP)-tewas
6) Dr.Manal Abul Hasan (FJP)-tewas
7) Jad Muhammad Jad (FJP)-tewas
8) Khalid Sayyid Jaballah (FJP)-tewas