Ahad, 18 Julai 2010

SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ PMRAM

Malam tadi berlangsungnya majlis sambutan Israk dan Mikraj anjuran PMRAM yang diuruskan oleh tiga PMRAM cawangan iaitu Perlis, Terengganu dan Perak. Jadual asalnya muhadharah akan disampaikan oleh 'Allamah Dr.Umar Abdullah Kamil namun di saat-saat akhir beliau terpaksa menguzurkan diri dan tempat beliau diambil alih oleh setiausahanya yang juga salah seorang anak muridnya, Syeikh Abdullah Ahmad Al-Baiti.

Ketidakhadiran Dr.Umar Kamil baru diketahui di saat-saat akhir sedangkan sebelumnya, ketika disampaikan surat jemputan dan melalui panggilan telefon dari teman beberapa hari sebelum majlis berlangsung, beliau telah menyatakan kesediaannya untuk hadir memandangkan sekian lama beliau tidak bersama anak-anaknya dari Malaysia. Menurut Syeikh Abdullah yang menggantikan Dr.Umar, beliau menghidapi penyakit diabetis dan kaki beliau mengalami ketumbuhan yang menyebabkan beliau terpaksa sukar untuk berjalan. Semoga Allah sembuhkan beliau.

Manakala Syeikh Abdullah Al-Baiti yang memulakan ucapannya tidak dapat berucap lama kerana mempunyai urusan lain. Ucapannya sekitar 40 minit itu, menyentuh secara ringkas pengajaran berkaitan Israk dan Mikraj dan di akhirnya menyentuh akhlak dan peribadi seorang pelajar Islam yang mesti dimiliki. Sekitar jam 10 malam, beliau beredar.

Kehadiran Syeikh Dr.Jamal Faruq malam itu diambil kesempatan oleh PMRAM bagi menjemput beliau meneruskan ucapan berkaitan Israk dan Mikraj. Beliau hadir bersama Syeikh Muhyidin Al-Isnawi, salah seorang anak murid Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Syeikh Muhyiddin yang telah hampir 10 tahun bermastautin di Dubai, banyak mentahqiq kitab karangan Syeikh Zaki Ibrahim berkaitan Tasawuf.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan