Selasa, 31 Mei 2011

BENARKAH MAHASISWA AL-AZHAR LEMAH BERBAHASA ARAB?


Isu mahasiswa Al-Azhar lemah dalam menguasai Bahasa Arab sekali lagi diputar dan dimainkan baru-baru ini. Sekali lagi kita dikejutkan dengan kenyataan sedemikian setelah hampir beberapa ketika tidak kedengaran. Dalam hal ini, PMRAM telah memberikan penjelasan dan pada syaa memadai jawapan tersebut bagi menangkis secara langsung tuduhan tersebut. (Klik untuk baca jawapan PMRAM). Cuma dalam tulisan ini saya ingin lontarkan beberapa persoalan:


1. Isu kelemahan dalam Bahasa Arab ini bukan kali pertama disebut bahkan sudah bertahun-tahun. Seperti yang kta ketahui, bagaimana wujudnya muhafazah sekarang ini yang terbentuk sekitar tahun 1992 juga adalah kerana bagi memastikan pelajar-pelajar boleh menguasai Bahasa Arab. Ini kerana kata sesetengah pendapat, jika mahasiswa kita berkumpul hanya di satu tempat iaitu Kaherah sahaja maka matlamat menguasai Bahasa Arab tidak kesampaian. Justeru mereka wajar di tauzik dan dipecahkan ke kampung-kampung hingga tertubuhnya Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) yang dinaungi PMRAM. Sekitar awal 90-an itu maka diwujudkan Ketua Lajnah Muhafazah dan Unit Muhafazah dalam organisasi PMRAM bagi memastikan kebajikan mahasiswa kita di muhafazah terjaga. Namun, setelah hampir 20 tahun berlalu, 'lagu lama' berjudul "Kelemahan Mahasiswa Al-Azhar Menguasai Bahasa Arab" masih lagi kedengaran dan ini menjadi sebab mengapa pelajar-pelajar Malaysia tidak boleh lagi berada di muhafazah-muhafazah dan semuanya perlu ditempatkan pada satu tempat. Maka bermula tahun lalu maka sudah tiada lagi penghantaran pelajar ke muhafazah. Persoalan yang saya ingin cetuskan di sini, mengapa setelah hampir 20 tahun perkara ini masih lagi berbangkit? Adakah bermakna 20 tahun masih belum memadai bagi pihak berwajib mengatasi masalah kelemahan Bahasa Arab yang dikatakan berlaku ini? Berapa lama lagi tempoh yang ingin diberikan bagi menjadikan seseorang pelajar Malaysia fasih berbahasa Arab? Adakah ia berpunca dari individu atau pihak Universiti Al-Azhar atau dari nizom iaitu sistem pendidikan di tempat kita?

2. Kedua, dari segi logiknya, alasan untuk menempatkan pelajar-pelajar di muhafazah yang pernah digunakan dahulu agak logik berbanding alasan sekarang iaitu untuk menempatkan di Kaherah sahaja. Apa tidaknya, alasan 20 tahun dahulu lebih logik kerana untuk berbahasa Arab, pelajar kita perlu bergaul dengan warga Arab dan tidak boleh bergaul sesama Melayu sahaja, maka perlu mereka diasingkan dan dipecahkan ke muhafazah. Jika alasan sekarang ini, sudah ada muhafazah, kenapa tidak dihantarkan ke sana dan ingin dikumpulkan di Kaherah yang tentu pergaulan mereka adalah sesama warga Malaysia?

3. Saya ingin bertanya, kelemahan dari sudut mana yang dimaksudkan? Kerana dalam berbahasa kita diajar dengan beberapa kemahiran iaitu mendengar, membaca, menulis dan bercakap. Mustahil semua pelajar-pelajar Al-Azhar lemah dan tidak tidak tahu apa-apa dari semua sudut. Kalau tidak, mana boleh setiap tahun ada saja yang berjaya dalam peperiksaan dan kembali ke Malaysia berkhidmat untuk negara. Dan kalau tidak juga, bagaimana hampir setiap masjid dan surau di setiap negeri terdapat golongan lepasan Al-Azhar yang membacakan Tafsir, Hadith dan kitab-kitab Arab dalam siri kuliah mereka. Atau jika ingin disebutkan lagi, bagaimana golongan lepasan Al-Azhar boleh diberikan kedudukan dalam kerajaan yang memegang jawatan pegawai yang mereka akan dirujuk berkaitan hukum-hakam dan persoalan agama. Lihat berapa ramai lepasan Al-Azhar di Majlis Agama negeri-negeri, Jabatan Agama negeri-negeri, mahkamah syariah, JAKIM, IKIM dan syarikat-syarikat kerajaan lain bahkan terdapat mereka yang menjadi penasihat atau panel syariah di Bank-Bank bahkan di Bank Negara. Kesemua empat kemahiran yang disebutkan tadi adalah berbeza. Berapa ramai mereka yang mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik (iaitu kemahiran menulis) tetapi gagal dalam menguasai kemahiran bercakap. Ada mereka yang menguasai kemahiran bercakap tapi lemah dari segi kemahiran membaca. Ada pula yang menguasai kemahiran menulis dan bercakap tapi sukar untuk memahami iaitu dia gagal dalam kemahiran mendengar. Jika perlu diperhalusi, sebagai contoh gaya bahasa Arab dalam kitab ilmiah berbeza dengan gaya bahasa dalam berita atau akhbar. Contoh lagi, ada yang boleh membaca kitab-kitab kuliah tapi tidak boleh membaca akhbar harian sama ada "Al-Ahram", "Al-Jumhuriah" atau "Al-Misril Youm".. Dalam seni bahasa kitab ilmiah pula, berbeza bahasa antara kitab moden (mu'asoroh) dengan kitab lama (turath). Demikianlah uniknya seni bahasa Arab yang ALLAH pilih untuk dibangkitkan Rasul terakhir adalah dari bangsa Arab dan Kalam ALLAH juga dalam Bahasa Arab. Sebab itulah Al-Quran disebut sebagai mukjizat.

4. Kita pernah diajar ketika berada di sekolah dulu, tujuan utama belajar Bahasa Arab adalah untuk memahami Al-Quran dan Hadith. Itu matlamat asas yang kita diminta supaya betulkan niat. Bukan untuk kerja, bukan untuk masuk berdebat dan bukan untuk bermegah-megah. Jika kita belajar Bahasa Arab dan boleh memahami Al-Quran, tersentuh dengan bacaan Al-Quran, mudah mengalirkan air mata sewaktu solat mendengar bacaan imam maka tujuan dan matlamat kita sudah kesampaian.


5. Memang tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir mereka yang lemah dalam menguasai Bahasa Arab tapi tidaklah boleh dijadikan kayu pengukur untuk menghukum kesemua. Seperti kes mereka yang aktif dalam berpersatuan tapi lemah dari sudut akademik, tidaklah boleh dijadikan pengukur bahawa persatuan menyebabkan seseorang lemah dari sudut akademik sedangkan mereka yang tidak terlibat langsung dalam persatuan pun ada yang lemah dari sudut akademik. Pihak persatuan sudah banyak membantu, adakan kelas tutorial, jemput motivator untuk bakar semangat dan tawaqqufkan program dua bulan sebelum peperiksaan bermula. Bagi saya, itu terletak atas kehendak dan kemahuan masing-masing. Walaupun ada kempen untuk berbahasa Arab, tapi masih ada yang malu-malu untuk bercakap. Bahkan tiada keinginan untuk bertutur dalam Bahasa Arab. Jika bertutur pun, pengaruh Bahasa Arab 'Ammi terlalu kuat. Ini bahaya apabila selalu berbahasa 'Ammi dan ini mengapa Al-Imam Hasan Al-Banna memasukkan salah satu dari wasiat beliau yang 10 itu antaranya ialah "..berusaha untuk bercakap Bahasa Arab fushah..." Seperti yang disebutkan oleh PMRAM, pihak PMRAM telah merangka pelbagai program sebelum ini bagi penguasaan Bahasa Arab Fushah antaranya acapkali sebelum ini mengadakan majlis pengajian bersama para ulamak Al-Azhar seperti muhadhoroh 'ammah, bacaan Kutub Sittah dan sambutan hari-hari agung dalam Islam.

Kesimpulannya:

1. Kemahiran Bahasa Arab tidak boleh dilihat hanya kepada satu sudut sahaja iaitu kelemahan bercakap tetapi terdapat kemahiran-kemahiran lain yang juga perlu dinilai. Jika tidak, kita tidak adil dalam meletakkan neraca pertimbangan.

2. Kegagalan segelintir mereka yang gagal untuk kemahiran bercakap dalam Bahasa Arab Fushah, tidak boleh dihukum secara rambang. Demikian itu terletak di atas kehendak dan kemahuan individu masing-masing.

3.Tujuan utama kita mempelajari Bahasa Arab dengan faham Nahu,Soraf,Balaghah dan lain-lain bagi memahami sumber utama agama iaitu Al-Quran, Hadith dan membaca kitab-kitab para ulamak. Setidak-tidaknya, boleh menyampaikan kepada masyarakat melalui pengajian dan siri kuliah di masjid dan surau di negeri kita.

4.Jangan terlalu mengikut rentak 'lagu lama' yang sering dimainkan ini yang kita percaya akan terus di'dendang'kan pada masa-masa akan datang, kelak segala kerja dan usaha kita di Perlembahan Nil ini akan terbantut. Kita terima sebagai satu cabaran buat terus meningkatkan kualiti Bahasa Arab kita sekadar termampu. Buat mahasiswa dan mahasiswi sekalian, cuba pelajari dan gunakan Bahasa Arab dalam pergaulan kita hingga kita akan dapati ia satu bahasa yang unik dan penuh dengan bunga-bunga bahasa.

Beberapa persoalan yang dibangkitkan di atas diharapkan dapat mencelikkan mata mereka yang membuat tuduhan tidak berasas terbabit. Ia adalah satu isu dan persoalan lama yang dibangkitkan kembali dan seakan-akan mahu menjatuhkan imej Al-Azhar di mata masyarakat dan Mesir yang puluhan tahun menjadi tempat tumpuan mereka menuntut ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan