Sabtu, 29 Ogos 2009

Jumaat Pertama Bulan Ramadhan: Solat di Masjid Saidina Husain

Jumaat pertama bulan Ramadhan semalam, saya sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Husain r.anhu.. Memang agak lama tidak dapat menjejakkan kaki ke kawasan lapang dataran Masjid Saidina Husain yang sering menjadi tumpuan para pelancong. Apatah lagi masuk dan menunaikan solat di dalam masjidnya kerana kesempitan waktu bersama program dan tugasan PMRAM. Lazimnya solat Jumaat di Masjid Saidina Husain akan mengambil masa yang singkat. Ini kerana faktor khutbahnya yang ringkas tapi penuh bersemangat. Khatib yang menyampaikan khutbah di masjid ini sering bertukar ganti. Sejak saya sampai dulu sampai sekarang entah berapa orang khatib yang berkhutbah. Namun semuanya penuh semangat dengan. Apatah lagi jika diselitkan cerita berkaitan Rasulullah s.a.w dan ahli keluarga Baginda s.a.w. lebih-lebih lagi cerita berkaitan Saidina Husain.Tentu mampu mengalirkan air mata para hadirin yang hadir.

Khatib hari ini menyampaikan khutbah tentang perihal Rasulullah s.a.w menyambut Ramadhan. Disebut bahawa Baginda s.a.w amat pemurah menderma dan berbuat kebajikan lebih pantas dari angin yang bertiup. Khatib kemudian mengaitkan sifat mulia yang ada pada Baginda s.a.w ini dengan mukjizat Baginda s.a.w. Salah satunya ialah ketika peristiwa menggali parit bagi persiapan untuk Perang Khandak. Seorang sahabat Baginda s.a.w telah menjemput Rasulullah s.a.w ke rumah bagi menikmati jamuan yang disediakan. Lalu Baginda s.a.w menjemput ksemua tentera yang menggali parit tersbeut ke rumah sahabat tersebut yang jumlahnya hampir 3 ribu orang. Makanan yang asalnya disediakan untuk seorang iaitu bagi Bgainda s.a.w sahaja menjadi cukup untuk dimakan kepada 3,000 orang.

Khatib mengakhiri khutbah dengan membawa satu kisah. Satu ketika Baginda s.a.w bersama dengan puteri kesayangan Baginda s.a.w iaitu Sayyidah Fatimah Az-Zahra' menantunya Saidina 'Ali serta Baginda s.a.w mendukung dua cucu Baginda yang mulia-sebelah kanannya Saidina Hasan dan kirinya Saidina Husain. Tiba-tiba Baginda s.a.w berpaling kepada Saidina Hasan lanta menyebut "Marhaban ya Hasan!" sebanyak tiga kali. Lalu puterinya Sayyidah Fatimah Az-Zahra' bertanya kepada Baginda s.a.w kenapa Baginda s.a.w berkata kepada Saidina Hasan "Marhaban Hasan!" sebanyak tiga kali dengan meninggalkan Husain tanpa berkata kepada Husain dengan ucapan yang sama sedangkan kedua-duanya cucu Baginda s.a.w. Sabda Baginda s.a.w "Tadi aku melihat malaikat Jibril datang dan berkata kepada Husain "Marhaban Ya Husain" sebanyak tiga kali, lalu aku berkata ucapan yang sama kepada Hasan!" Allah!..Allah!..

Pesan khatib dalam bulan Ramadhan membuat kebaikan kepada ahli keluarga Rasulullah s.a.wamatlah dituntut sama ada mereka yang telah wafat dengan cara menziarahi maqam mereka atau masih hidup dari keturunan As-Syaarif dengan berkhidmat untuk mereka.

Selesai solat Jumaat, seperti biasa di setiap penjuru masjid terdapat zawiyah bagi tariqat-tariqat membuat halaqah masing-masing. Selepas mengucapkan salam kepada Saidina Husain saya beredar. Di perkarangan masjid terdapat pameran jualan kitab oleh Majlis Tertinggi Bahagian Agama Islam Kementerian Wakaf Mesir (Majlis 'Aala Syuun Al-Islamiyyah). Kitab atau makhtutat lama yang diterbit serta ditahqiq semula oleh ulamak Al-Azhar dijual dengan harga yang berpatutan. Namun jika anda membeli banyak mana pun kitab di sini beg plastik tidak disediakan! Sila bawa beg atau plastik sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan