Khamis, 20 Ogos 2009

Majlis Bersama Ulamak Sempena Sambutan Awal Ramadhan

Dr.Ahmad 'Umar Hashim
Dr.Nasr Farid Wasil, mantan Mufti Mesir

Malam ini saya menghadiri Majlis Rukyah Hilal sempena Menyambut Bulan Ramadhan di Dewan Andalus, Al-Azhar Confrence Centre (ACC). Majlis diadakan di bawah seliaan Darul Ifta', Kementerian Keadilan Mesir bagi melihat anak bulan menentukan 1 haribulan Ramadhan yang telah ditetapkan jatuh pada Sabtu ini iaitu 22 Ogos. Majlis tersebut bermula sekitar jam 8 malam. Kebanyakan tempat duduk dalam Dewan Andalus ACC tersebut dipenuhi dengan warga Malaysia dan Indonesia. Beberapa hari sebelum itu, pihak Darul Ifta' telah menyampaikan kad jemputan kepada Presiden PMRAM bagi jemputan majlis tersebut. Majlis dihadiri Syeikh Al-Azhar, Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Mufti Mesir, Dr.Ali Jumaah, Menteri Wakaf, Dr.Hamdi Zaqzuq dan dua orang menteri yang masing-masing mewakili Presiden Mesir Husni Mubarak dan Menteri Keadilan. Kelima-lima mereka ditempatkan di atas pentas utama sebagai tetamu VIP. Turut menyertai mereka ialah mantan Mufti Mesir, Dr.Nasr Farid Wasil. Majlis yang disiarkan secara langsung melalui siaran 1 itu dimulakan dengan bacaan Al-Quran dari qari yang masyhur, Syeikh Dr. Ahmad Ahmad Na'ina yang juga seorang pakar perubatan. Majlis kemudian menjemput Mufti Mesir, Dr.Ali Jumaah bagi mengisytiharkan tarikh bermula Ramadhan. Majlis kemudian diakhiri dengan sekali lagi diperdengarkan bacaan Al-Quran dari Dr.Ahmad Na'ina.

Majlis berakhir sekitar jam 9 malam. Majlis tersebut turut dihadiri ramai dikalangan ulamak Al-Azhar serta tetamu jemputan. Antara yang kelihatan ialah Syeikh Abdul Hadi Al-Qosobi, syeikh bagi masyayikh tariqat kesufian Mesir. Beliau kelihatan diiringi beberapa ahli Majlis Tertinggi Sufi Mesir antaranya Syeikh Muhammad 'Isomudin, syeikh 'Asyirah Muhammadiyah yang juga putera dan pewaris kepada Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Turut kelihatan ulamak Hadith yang masyhur, Dr.Ahmad 'Umar Hashim seorang alim dalam bidang Hadith, merupakan mantan Rektor Al-Azhar. Kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Agama di Dewan Rakyat Mesir dan anggota Majlis Kajian dan Penyelidikan Islam serta anggota Majlis Tertinggi Sufi Mesir. Ke mana-mana saja beliau akan jadi perhatian masyarakat. Setiap kali sambutan Maulid Ahlul Bait Rasulullah s.a.w beliau akan dijemput untuk berucap. Maka masjid tersebut akan penuh padat dengan orang yang datang bagi mendengar ucaan beliau. Kali terakhir saya mendengar ucapan Dr.Ahmad ialah sewaktu sambutan Maulid Sayyidah Nafisah r.anha di masjid beliau dalam bulan Jun lalu. Setiap kali beliau akan berucap, para hadirin sabar menanti walau terpaksa menanti dalam tempoh yang agak lama. Berucap dalam tempoh yang tidak lama-dalam setengah jam sahaja- namun beliau berjaya memukau hadirin dengan memadai berucap berkaitan cinta kepada Rasulullah s.a.w dan ahli keluarga Baginda s.a.w Selepas saja menyampaikan ucapan, pastinya beliau akan dikerumuni para hadirin yang mahu berebut-rebut untuk bersalam dengan beliau. Pernah saya melihat sekali seorang warga Mesir 'terpaksa' mencium kepala beliau kerana terlalu ramai yang bersalam dengan beliau. Begitulah Dr.Ahmad Umar di mata masyarakat Islam dengan kepakaran ilmu Hadith yang beliau miliki. Beliau pernah diundang oleh Yayasan Islam Kelantan ke negeri Kelantan satu ketika dahulu , sekitar awal tahun 2000 sewaktu beliau memimpin Al-Azhar ketika di awal pelaksanaan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Berada dalam majlis ini dengan dihadiri puluhan alim ulamak terasa diri begitu kerdil. Sewaktu berjalan keluar ke pintu utama untuk pulang, terserempak pula dengan mantan Mufti Mesir, Dr. Nasr Farid Wasil. Beliau banyak mengarang buku Feqah yang dijadikan silibus pengajian di Al-Azhar. Beliau juga pernah mengeluarkan fatwa sewaktu di akhir memgang jawatan mufti satu ketika dahulu dengan pengharaman merokok. Fatwa tersebut telah diedar dan ditampal di seluruh masjid di Mesir. Turut kelihatan bersama beliau ialah mantan Timbalan Rektor Al-Azhar, Dr.Toha Abu Kuraisyah sewaktu Dr.Umar Hashim menjadi rektor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan