Isnin, 15 Februari 2010

Jaulah Aswan Sempena Maulid Syeikh


Hampir lima hari saya dan teman-teman mengadakan jaulah sempena Maulid Syeikh Soleh Jaafari di Aswan bermula 8 hingga 12 Februari lepas. Rombongan kami di bawah kendalian guru kami, Syeikh Ashraf Hamid Hasanain bertolak dari perkarangan Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Hayyul Khalidin, Darrasah, Kaherah dengan sebuah bas selepas solat Maghrib. Turut solat bersama kami malam itu Sayyidi Husain Ibn Sayyidi Abdul Ghani yang turut bertolak ke Aswan bagi menyertai sambutan maulid di sana. Beliau dan keluarga bertolak menaiki kereta api dari Ramsis.Rombongan kami menaiki bas disertai hampir 30 orang pelajar Malaysia (12 orang dari Kelantan, 15 dari Kedah dan bakinya Negeri Sembilan) manakala selebihnya pelajar Indonesia, seorang Pakistan dan seorang China. Kebanyakannya adalah murid Syeikh Ashraf yang mengaji Al-Quran dari beliau setiap pagi di maqam Syeikh Soleh.Pada awalnya terdapat sedikit masalah pada wal perjalanan kerana bilangan kami yang lebih dari kerusi yang ada, namun akhirnya perjalanan berjaya diteruskan. Bacaan Al-Fatihah dan doa dibaca sebelum perjalanan bagi memohon keselamatan dari Allah. Bersama kami seorang sahabat karib Syeikh Ashraf, iaitu Ustaz Dihab. Beliau menyelia kelas tahfiz Al-Quran di masjid kawasan rumah beliau di Bandar Hari 10 Ramadhan (Madinah Al-'Asyir Min Ramadhan) yang terletak di jalan ke Ismailiyyah. Destinasi pertama kami pada hari pertama ialah Maqam dan Masjid Sayyidi Abul Hasan As-Syazuli di Humaithara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan