Selasa, 16 Februari 2010

Ziarah Empangan Tinggi dan Taman Botani



Syeikh Ashraf (tengah) "pengarah utama" rehlah kami bersama tetamu lain bergambar di Empangan (Saddul 'Ali).
Kami selamat tiba di bandar Aswan petang Selasa, 9 Februari . Kami terus dibawa ke Markaz Besar Jaafari yang terletak di Hayyul 'Aqad. Ia dinamakan 'Aqad bersempena nama sasterawan Mesir iaitu 'Abbas 'Aqqad yang berasal dari Aswan dan beliau juga disemadikan di Aswan. Makamnya terletak di awal jalan masuk ke masjid Syeikh Soleh Jaafari di bandar Aswan. Kami dijamu makan tengah hari di sana sebelum dibawa ke penginapan kami di sebuah bangunan asrama pelajar berhampiran masjid. Sarapan, makan tengah hari dan malam kami dijamu di masjid tersebut. Suhu cuaca di sana amat panas terutama di waktu tengah hari walaupun pada musim sejuk.

Keesokannya, Rabu selepas menikmati sarapan-rutin harian warga Mesir, roti 'Ish, kuah kacang (ful), keju (gibnah) dan manisan (halawah)- kami dibawa ke Saddul 'Ali iaitu Empangan Tinggi yang menjana elektrik kepada seluruh Aswan bahkan Mesir. Ia dikatakan yang terbesar di benua Afrika! Kalau ikutkan harga tiket setiap orang dikenakan bayaran LE20 perkepala, tapi itu semua diuruskan oleh Syeikh Ashraf. Di akhir rehlah,beliau berbisik kepada saya semua bayaran masuk ke tempat-tempat di Aswan diuruskan oleh anak-anak murid Syeikh Soleh di sana. Semasa kami bersiar-siar di kawasan Empangan tersebut, kebanyakan warga Aswan bersalaman dengan kami sambil memperkenalkan diri sebagai "Abna Jaafari" bahkan ada yang menunjukkan kerneh (kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Tariqat Jaafariyah) sebagai Abna'Jaafari.

Tidak hairan, anak-anak murid Syeikh Soleh bertaburan menetap di pelusuk Mesir bahkan dunia. Haji Hamudah Bakhit (sesiapa yang bersama kami jaulah baru-baru ni akan mengenali kehebatan Haji Hamudah yang memiliki suara yang merdu dan nafas yang panjang).Beliau bekerja di Empangan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan