Selasa, 18 Mei 2010

LEBIHNYA GURU, ILMUNYA DIMANFAATKAN WALAUPUN SELEPAS DIA TIADA


Syeikh Nabil dan Syeikh Ashraf mengajar ilmu Al-Quran

Sempena Hari Guru yang tiba tahun ini, dikesempatan ini saya ucapkan SELAMAT HARI GURU buat mereka yang pernah mendidik dan mengajar saya walau sepatah huruf. Terutama buat ayahanda dan bonda saya yang dari mereka saya menerima didikan awal. Juga guru-guru sewaktu di Tadika USM Pulau Pinang-antara rakan saya ketika itu ialah Dr.Akmal Huzaifah- Kami pernah bercerita kembali sewaktu di Maahad Muhammadi Lelaki yangs ebenarnya kami dulu satu tadika di USM. Antara yang masih segar dalam ingatan ialah Cikgu Wan. Sebab bengis dan garangnya menjadi 'igauan' dan ketakutan kami masa itu. Kemudian saya ke Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong bermula darjah 1 hingga 3.

Kemudian setahun di SRK Hasim Awang, Kepala Batas Pulau Pinang. Antara cikgu yang masih segar dalam ingatan ialah Cikgu Azimah, mengajar Bahasa Inggeris saya yang terkenal juga kebengisan. Setelah lama berpisah, saya menemuinya kembali pada tahun 2002 di pertandingan akhir Forum Remaja peringkat Kebangsaan yang diadakan di Alor Setar, Kedah. Beliau bertugas sebagai penjaga masa dan ketika itu baru saya tahu beliau telah berpindah ke sekolah baru di Sungai Petani. Kemudian sekolah terakhir di peringkat rendah ialah Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam yang meninggalkan seribu kenangan manis di sana. Hingga kini masih ingat nama-nama guru di sana sewaktu saya di kelas 5 Kuning dan 6 Putih. Cikgu Zulkifli (guru kelas 5K), Cikgu Azmar Yahya (guru kelas 6P), Cikgu Tan (guru BI), Ustazah Zahrah (guru Pendidikan Islam) dan ramai lagi laa..

Seterusnya di peringkat menengah,hanya satu sekolah yang saya duduki bermula peralihan hingga tingkatan enam iaitu Maahad Muhammadi Lelaki. Di sana berpuluh-puluh lagi guru yang saya menerima asuhan dan didikan yang walaupun tidak disebut di sini tapi nama mereka sentiasa terpahat di hati. Hingga kini di menara ilmu dunia, Al-Azhar dan bumi Mesir makin bercambah dan bertambah ilmu di dada. Tambahan lagi dalam 'universiti PMRAM' yang ku timba ilmu dan pengalamannya bermula dengan bertatih sebagai AJK biasa hingga sebagai Badan Pengurus PMRAM selama dua tahun.Dalam universiti PMRAM ini, teman-teman sebaya atau senior adalah murabbi yang mendidik.

Demikian saya sebutkan institusi rasmi. Bagi yang tak rasmi, hanya Allah saja Maha Mengetahui. Saya pohon kepada Allah agar Dia merahmati mereka semua.

Terima kasih buat kalian semua..Semoga Allah memberkati hidup semua. Inilah lebihnya menjadi guru dan mengajar ilmu yang boleh dimanfaatkan kerana termasuk dalam hadis Baginda s.a.w antara tiga perkara yang akan sampai pahalanya sekalipun setelah kewafatannya antaranya ilmu yang dimanfaatkan.Sekalipun guru itu telah tiada atas muka bumi ini, tapi ilmunya terus hidup melalui anak-anak muridnya di serata dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan