Sabtu, 25 Februari 2012

CUBAAN BUNUH MP FJP DAN ABUL FUTUH

Beberapa hari lalu, saya telah menulsi berkaitan seorang Ahli Parlimen FJP, Dr.Akram Sya'ir telah menerima ugutan bunuh melalui SMS bahawa percubaan beliau untuk memindahkan Mubarak dari Pusat Rawatan Kebangsaan ke hospital Penjara Turrah. Dr.Akram adalah Pengerusi Jawatankuasa Parlimen bagi Kesihatan.

Akhirnya, keputusan yang boleh membenarkan Mubarak dipindahkan ke hospital penjara itu bukan terletak di bawah Parlimen atau Peguam Negara, ia kata putus oleh Hakim yang membicarakan perbicaraan Mubarak itu, iaitu Hakim Ahmad Ref'at. Beliau menetapkan pada 2 Jun depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman kepada Mubarak. Dua hari lalu, seorang Ahli Parlimen FJP, Dr.Hasan Brins yang juga anggota Jawatankuasa Parlimen bagi Kesihatan itu diserang beberapa lelaki di Damanhur. Beliau dalam perjalanan memandu kereta tiba-tiba dihalang sebuah lori dan lelaki dari lori tersebut memukul dan melepaskan tembakan. Ia suatu percubaan membunuh Hasan tetapi beliau hanya mengalami kecederaan dan tembakan tersebut terkena pada tangannya.

Dua hari lalu juga, Mesir menyaksikan seorang calon Presiden Mesir, Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh juga diserang sekumpulan lelaki ketika perjalanan pulang berkempen di Shibin El-Kom, Menufiyah. Abul Futuh yang juga bekas Ahli Majlis Syura gerakan Ikhwan Muslimin mengalami kecederaan akibat pukulan dan dikejarkan ke hospital. Keadaan beliau kini dilaporkan stabil. Turut cedera ialah pemandu beliau.

Parti-parti politik mengecam tindakan ganas dan mafia yang cuba menimbulkan kekacauan di Mesir ketika Mesir menyaksikan berakhirnya Pilihanraya Dewan Syura. Hanya beberapa minggu akan datang, pencalonan bagi Pilihanraya Presiden akan dibuka dan Presiden Mesir yang baru bakal mengangkat sumpah selewat-lewatnya akhir Jun ini. Provokasi dicetuskan kali ini bukan lagi tertumpu kepada rakyat awam atau di dataran-dataran terbuka seperti di Tahrir atau medan utama di Mesir, akan tetapi serangan ini melibatkan batang tubuh individu khasnya kepada mereka yang bakal bertanding jawatan Presiden Mesir kelak. Abul Futuh dipecat keanggotaan dari Ikhwan Muslimin bersama beberapa orang yang lain kerana melanggar keputusan Syura Ikhwan Muslimin yang tidak membenarkan mana-mana ahli mereka bertanding calon Presiden.

Ikhwan Muslimin sendiri tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana individu bagi calon Presiden. Walaupun pada satu kajian yang dilakukan, sokongan rakyat kini memihak kepada calon Salafi, Syeikh Hazim Abu Ismail, kemudian diikuti oleh Abul Futuh. Calon-calon lain seperti Aiman Nour, Amru Musa dan Hamdin Subahi tertinggal dibelakang. Mohammad Al-Baradie pula menarik diri daripada bertanding. Dalam satu wawancara, Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Dr.Mohammad Badie berkata, pihaknya tidak akan menyokong calon Islamik sebagai Presiden negara itu akan tetapi keputusan rasmi gerakan itu kata beliau, akan diketahui selepas tarikh penamaan calon bagi jawatan itu ditutup kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan