Khamis, 16 Februari 2012

SEBUTAN HUKUMAN MUBARAK PADA RABU DEPAN

Hari ini, 16 Februari berakhirnya bagi Mahkamah Jenayah Kaherah mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan yang menyaksikan 11 orang tertuduh diketuai oleh Hosni Mubarak dan kroninya. Hakim Tuan Ahmad Ref'at menetapkan Rabu hadapan bagi menjatuhkan hukuman ke atas Mubarak dan rejimnya. Dihukum gantungkah Mubarak?

Sebelum itu, semasa perbicaraan dijalankan, ramai pihak mahukan Mubarak dipindahkan ke Penjara Turrah di Ma'adi. Untuk makluman, Penjara Turrah ini dikhaskan kepada golongan VIP yang melakukan kesalahan dan penjara ini dulu menyaksikan puluhan pimpinan Ikhwan Muslimin dipenjarakan. Selepas Revolusi 25 Januari, penjara tersebut didiami oleh Ala'a dan Jamal Mubarak selain pimpinan utama kerajaan antaranya bekas Speaker Parlimen, Fathi Surur, bekas Speaker Dewan Syura Sofwat As-Sharif dan lain-lain. Di mana Mubarak?

Mubarak semenjak digulingkan, masih mendapat keistimewaan. Pada mulanya dia dilaporkan sakit dan menerima rawatan di Hospital Antarabangsa Sharm As-Sheikh. Apabila mahkamah mula membuka fail dakwaan pada 3 Ogos 2011, Mubarak dipindahkan ke Pusat Kesihatan Kebangsaan di Kaherah.Dari situ, dia dibawa hampir setiap hari menggunakan helikopter khas ke dataran Akademi Polis, Tajammuk Khamis. Manakala dari dataran, Mubarak dibawa dengan ambulans sambil dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang menggunakan kereta perisai dan kereta peronda mengiringi ambulans Mubarak tiba di pintu utama mahkamah. Baki 9 orang lagi tertuduh yang dibicarakan bersama Mubarak iaitu dua anaknya Alaa dan Jamal, bekas Menteri Dalam Negeri Habib 'Adli serta 6 bekas pembantu menteri KDN ditempatkan di penjara Turrah di Ma'adi kira-kira setengah jam perjalanan ke mahkamah setiap hari.

Dilaporkan Pusat Kesihatan Kebangsaan yang menjadi tempat kediaman Mubarak hari ini dilengkapi pelbagai kemudahan yang selesa dan mewah, tidak ubah seperti di istana Presiden.

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang memenangi kerusi majoriti di Parlimen awal-awal lagi meminta Mubarak ditempatkan di hospital Penjara Turrah jika benar-benar dia sakit, bukan mendapat layanan yang istimewa seperti hari ini.

Pandangan FJP ini disokong oleh banyak pertubuhan politik dan gerakan rakyat yang lain. Antara yang lantang mengkritik dan cuba mengembalikan Mubarak ke Penjara Turrah ialah Ahli Parlimen FJP dari Port Said, Dr.Akram Syair. Dr.Akram pernah berucap dalam Parlimen berkaitan nasib keluarga mereka yang cedera dan terkorban dalam Revolusi 25 Januari dengan nada penuh sayu dan menyebabkan ramai pihak yang mendengar menitiskan air mata. Anak lelaki beliau, Dr.Mus'ab Akram Syair antara mangsa yang cedera parah ditembak oleh polis menjelang kebangkitan rakyat Januari 2011 dan hingga kini terpaksa menerima rawatan di Jerman.

Dr.Akram dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Rakyat Mesir. Oleh kerana kelantangan beliau meminta Mubarak dipindahkan ke Penjara Turrah, beliau diugut bunuh oleh individu yang tidak dikenali. Beliau menerima satu SMS dari nombor yang tidak dikenalinya pada jam 1.05 petang hari ini yang menyebut "Jika berjaya Presiden Mubarak dipindahkan ke Penjara Turrah, kami akan bunuh kamu!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan