Selasa, 30 Mac 2010

26 MAC: SAYA DIINGATKAN SETAHUN BERLALU PENTADBIRAN PMRAM



Beberapa hari lalu, saya diingatkan oleh teman-teman dalam Badan Pengurus terhadap satu tarikh yang penting. Tanggal 26 Mac 2010 lalu, genaplah setahun pentadbiran PMRAM di bawah teraju saudara Abdul Mu'izz Muhammad setelah dimasyhurkan oleh SPR di Muktamar Sanawi PMRAM di Nadi Riyadhi setahun lalu.Ini bermakna, saya telah berada dalam kepimpinan PMRAM setahun 18 hari atau kiraan saya lebih 380 hari sejak tahun pertama dalam BP tanggal 8 Mac 2008.

Sepanjang setahun lalu, pengalaman banyak mengajar erti kehidupan sebenarnya. Sedikit sebanyak rasa ketidakpuashatian orang terhadap kita, sekecil-kecil kritikan hingga sebesar-besar kutukan telah dilalui dengan sifat berlapang dada. Tugas Timbalan Setiausaha Agung, tidaklah seberat 'bos' saya, Setiausaha Agung, jauh sekali dengan kesibukan tugas Presiden. Membantu dari sudut kepejabatan, laporan minit mesyuarat Badan Pengurus dan sedia menerima apa jua perintah dan arahan dari 'bos' saya. Walaupun dari jarak usia, saya lebih berumur dua tahun dari saudara Adlan, tapi dari sudut kerja dan pengurusan beliau jauh lebih kemas dan hebat. Di sisi beliau, saya meletakkan diri sebagai 'pekerja' atau office boy beliau.

Tempoh setahun bukan satu jangka masa yang singkat. Ia perlu dilalui dengan kesabaran dan ketabahan. Ramai mulut-mulut yang bercakap tentang "zaman kegelapan" PMRAM pada awal kenaikan PMRAM sesi ini hanya kerana PMRAM bakal diterajui saudara Abdul Mu'izz yang disifatkan seorang berwatakan keras dan tidak mesra dengan orang. Tapi setahun telah berlalu,tidak ada 'kegelapan' yang melanda saudara Abdul Mu'izz dan PMRAM bahkan mereka yang bercakap tentang 'kegelapan PMRAM' itu yang sebaliknya 'gelap' dan membisu seribu bahasa. Manakala saudara Abdul Mu'izz pula dikurniakan Tuhan rezeki setelah menamatkan bujangnya tahun lalu.

Meletakkan kepatuhan kepada individu (intima' shakhsi) merupakan satu 'khurafat' yang perlu dihapuskan dari terus membelenggu pemikiran kita. Saudara Abdul Mu'izz dan pimpinan PMRAM berulang kali menyatakan pandangan bahawa kita berjuang bukan kerana individu tapi kerana dasar PMRAM yang membawa Islam.Selagi mana PMRAM hari ini berputar di atas orbitnya (iaitu islam)maka wajib bagi kita mempertahankannya. Pemimpin boleh datang dan pergi tapi Islam hanya satu yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang akan dijaga oleh Allah s.w.t hingga kiamat.

Syukur kepada Allah s.w.t yang membantu kami untuk berjalan atas landasan PMRAM hingga ke hari penghujung ini. Syukur Tuhan, Kau kurniakan kepada kami pimpinan yang telah berlalu sebelum ini.Syukur Tuhan atas segala-gala nikmat-Mu ke atas kami..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan