Rabu, 10 Mac 2010

Dunia Kehilangan Syeikhul Azhar ke-43


Berita kewafatan Syeikul Azhar, Prof.Dr.Mohammad Syed Tantawi pagi ini sepantas kilat tersebar di dunia ini. Berita sedih ini diterima sebaik sahaj beliau menghembuskan nafas terakhir pagi ini, Rabu di hospital di bandar Riyadh, Saudi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir dalam usia mencecah 82 tahun akibat masalah jantung yang dialami ketika beliau berada di Lapangan terbang Antarabangsa Raja Khalid di bandar Riyadh untuk kembali ke Kaherah.Beliau dijemput ke negara Saudi bagi menghadiri majlis anugerah pingat Al-Malik Faisal bagi penerima untuk tahun ini. Beliau antara Syeikhul Azhar paling lama menyandang jawatan ini iaitu selama 14 tahun bermula 1996.

Al-Marhum Syeikh Tantawi dilahirkan tanggal 28 Oktober 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyah, Pusat Thoma, wilayah Suhaj,Mesir. Beliau menghafaz Al-Quran di bandar Iskandariah.

Beliau memperolehi ijazah kedoktoran (Phd) dalam bidang Hadith dan Tafsir tahun 1966 dengan pangkat Cemerlang (Mumtaz). Kemudian beliau berkhidmat sebagai tenaga pengajar di negara Libya selama 4 tahun dan dilantik sebagai Dekan Kuliah Pengajian Tinggi di Universiti Islam, Madinah.

Beliau kemudian dilantik sebagai mufti negara Mesir pada 28 Oktober 1986 ketika Al-Marhum Syeikh Jadul Haq 'Ali Jadul Haq menjadi Syeikul Azhar ketika itu. Setelah kewafatan Syeikh Jadul Haq tahun 1996, beliau telah dilantik sebagai Syeikhul Azhar yang ke-43.

Beliau sering diundang ke majlis dan muktamar di luar negara bagi memberikan pandangan terhadap isu semasa atau berkaitan dengan agama Islam dan lebih menonjol dalam ilmu Tafsir. Beliau banyak menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar, masjid-masjid di Mesir dan halaqah beliau mentafsirkan ayat-ayat suci Al-Quran di stesen Radio Al-Quran Mesir dalam program "Ma'al Quranil Karim" (Bersama Al-Quran) setiap hari.

Beliau juga memiliki tafsir Al-Quran iaitu "Tafsir Al-Wasit" yang dijadikan sukatan pembelajaran bagi subjek Tafsir untuk beberapa kuliah di Al-Azhar termasuk kuliah saya, Bahasa Arab.

Anak didik beliau yang pernah menuntut dari beliau, para pelajar lebih-lebih lagi warga Azhari tentunya merasa kehilangan yang teramat atas pemergian beliau. Beliau meneruskan kesinambungan sistem dan manhaj Al-Azhar dari generasi ulamak terdahulu sepanjang 14 tahun beliau memimpin Al-Azhar.Beliau pernah mengeluarkan kecaman terhadap kejadian pengeboman yang berlaku di sekitar Kaherah termasuk terakhir di halaman Masjid Saidina Husain yang menjadikan orang awam yang tak berdosa sebagai mangsa.

Beliau turut kelihatan hadir di majlis sambutan Maulid Nabi Muhammad s.a.w anjuran Masyaikhah 'Am Tariqat Mesir yang disambut di Masjid Sayyidina Husain sebelum ini bahkan acapkali diundang di majlis sufi dan tariqat di Mesir. Pandangan beliau banyak ingin menyatupadukan antara Sunni dan Syiah.

Jenazah beliau dikatakan akan dikebumikan di Baqie. Alfatihah buat Al-marhum..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan