Khamis, 2 September 2010

WARNA-WARNI NEGERI JELAPANG PADI

Berada selama beberapa hari menemani Syeikh Ashraf di negeri Kedah, banyak perubahan yang telah dibawa oleh kerajaan Kedah. Kolej Universiti Insaniah yang gak berdiri menjadi lambang bidang pendidikan yang diteruskan oleh kerajaan hari ini.

Kali terakhir saya sampai di negeri Kedah kira-kira 8 tahun lalu sewaktu menjadi wakil negeri bagi pertandingan Forum Remaja peringkat Kebangsaan tahun 2002. Hanya selepas lapan tahun, saya berkesempatan ke Kedah dan itupun kerana mengiringi Syeikh Ashraf ke negeri tersebut.

Kerajaan yang baru beralih tapuk kepimpinan kira-kira dua tahun lalu, telah melakukan beberapa perubahan yang menarik. Berbeza dari pemerintahan sebelum ini, dengan slogan "Kedah Sejahtera", kepimpinan Dato' Seri Azizan Razak mendapat sokongan jitu dari rakyat bawahan. Di mana-mana jua tempat sama ada di persimpangan dan di jalan-jalan utama, akan terpampang potret wajah beliau yang ceria.

Kedah cukup sinonim dengan perjuangan PAS sejak dahulu lagi. Di negeri Jelapang Padi inilah lahirnya beberapa tokoh pejuang PAS yang disegani kawan dan lawan. Antaranya Allahyarham Dato' Fadzil Noor yang pernah menerajui PAS selama lebih kurang 12 tahun, Allahyarham Dato' Abu Bakar Umar, Dato' Mahfuz Omar, Dato' Taib Azamuddin Mohd Taib dan ramai lagi.

Disini juga lahirnya tokoh ilmuan agamawan terbilang seperti Tuan Guru Yahya Junid, Tuan Guru Azhari Abdul Razak, Tuan Guru Omar Zuhdi, Tuan Guru Haji Saleh Musa Sik dan lain-lain. Perkembangan pusat pengajian ilmu Islam khasnya pondok-pondok yang tumbuh bagaikan cendawan di negeri ini seperti di Kelantan menjadikan rakyatnya celik agama dan amat mudah memahami gerakan Islam yang dibawa oleh PAS.

Perdana Menteri pertama Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berasal dari Kedah. Kedah juga mempunyai wakil dalam kerajaan sama ada menteri penuh seperti Datuk Dr.Hamid Othman sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kini Tan Sri), timbalan menteri seperti Datuk Dr.Afifuddin Omar (mantan Timbalan Menteri Kewangan) atau Setiausaha Parlimen seperti Datuk Othman Abdul, mantan Ahli Parlimen Pendang yang juga Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selain Ahli Parlimen Langkawi, Dato' Abu Bakar Taib. Kini,wakil Kedah dalam kerajaan iaitu Ahli Parlimen Kubang Pasu,Dato' Johari Baharum sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain Senator Datuk Mashitah Ibrahim.

Sejarah juga mencatatkan bahawa kerusi-kerusi bagi kawasan pilihanraya pernah menyelamatkan tokoh-tokoh PAS yang bertanding bagi mewakili suara parti tersebut khasnya di Parlimen.

Allahyarham Dato' Asri Haji Muda, mantan Presiden PAS pernah mencuba nasib di Parlimen Padang Terap akan tetapi gagal.Allahyarham Tuan Haji Yusof Rawa, mantan Yang Dipertua Agung dan Mursyidul Am PAS pernah memenangi kerusi Palimen Kota Setar menewaskan Dr.Mahathir Mohamad pada pilihanraya umum 1969. Tuan Haji Mohammad Sabu yang berasal dari Pulau Pinang bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada tahun 1999. Selain itu, Sasterawan negara, Dato' Shahnon Ahmad juga pernah memenangi kerusi Parlimen Sik tahun 1999 menewaskan Dato' Hamid Othman.

Politik Kedah mempunyai seninya tersendiri terutama DUN. Pembangkang pernah memengangi banyak kerusi DUN tahun 1969. Sekali lagi pada tahun 1999, pembangkang telah menafikan majoriti 2/3 kerajaan BN dalam DUN dan PAS Kedah kemudiaannya melancarkan slogan PAS Tawan Kedah 2004. Namun, keputusan pilihanraya umum 2004 menyaksikan beberapa kerusi yang disandangnya terlepas kembali kepada BN dan hanya tahun 2008, Allah memperkenankan doa ahli PAS apabila Kedah bertukar tampuk kepimpinan.
Terpahat dalam lipatan sejarah, beberapa peristiwa besar negara khasnya dalam sejarah politik PAS sebahagian besarnya diwarnai di Kedah.

1)Peristiwa berdarah Memali- Ia berlaku di Mukim Sion, Kampung Memali, Baling pada tahun 1985 yang mencatatkan sejarah hitam buat PAS khasnya yang terpaksa berdepan dengan pertaruhan nyawa seramai 14 orang penyokong dan ahlinya menemui syahid.

2)Peristiwa berdarah di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap. Perjalanan bersama Syeikh Ashraf baru-baru ini ke Pedu, kami melalui persimpangan yang menunjukkan tanda arah masuk ke Felda Lubuk Merbau, tempat berlakunya insiden berdarah 25 tahun lalu ketika satu pilihanraya kecil diadakan pada Januari 1985. Dalam keganasan yang tercetus, seorang petugas PAS, Allahyarham Othman Talib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selain berpuluh-puluh cedera.


3)Percubaan rampasan tanah Muassasah Darul Ulum. Saya terbaca kisah ini sewaktu melawat tapak pameran PAS Kedah sempena sambutan Jubli Emas PAS tahun 2001 di PUTIK. Pada waktu itu, Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor berada di tanah suci yang kerajaan BN Kedah masa itu cuba merampasnya tetapi para penyokong PAS telah berkampung atas tanah muassasah tersebut sambil mengadakan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH. Setibanya Allahyarham Ustaz Fadzil dari tanah suci, beliau mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa.

4) Peristiwa rampasan tanah penduduk di Kerpan. Ia berlaku sekitar pertengahan 90-an dan saya kurang mengingati lebih lanjut peristiwa air mata rakyat ini.

Walaupun hingga kini masih terdengar suara-suara sumbang yang meminta Dato' Seri Azizan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, beliau sebenarnya Menteri Besar yang disayangi oleh semua lapisan rakyat hingga kaum India menganggapnya beliau adalah "Tok Guru Nik Aziz di Kedah".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan